Monday, August 31, 2009

SALAM RAMADHAN KAREEM....

Di dalam beramal di bulan Ramadan ini dan untuk mengharapkan ganjaran dari Allah SWT, Rasulullah saw telah bersabda yang bermaksud (terjemahan):
“Sesiapa yang menghidupkan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu”. (Al-Bukhari)

Fadhilat sembahyang Tarawih ada disebut secara umum dalam hadis-hadis yang terkandung dalam kitab-kitab sunan yang muktabar.

Antaranya ialah hadis yang diriwayatkan daripada abu Hurairah Radhiallahu a’nhu, sabda Rasullullah shallallahu ‘alaihi wasallam:

Maksudnya: “Sesiapa yang mendirikan sembahyang di bulan Ramadhan kerana iman dan mengharapkan (pahala daripada Allah), diampunkan baginya dosa-dosanya yang terdahulu.”Hadis seumpama ini turut diriwayatkan oleh Muslim, Tirmidzi, abu daud, Imam Ahmad dan lainnya…

TAHUKAH SAHABAT-SAHABAT !!

Pisang adalah sejenis buah yang enak dan disukai ramai. Al-quran menyatakan bahawa pisang adalah termasuk di antara buah buahan yang dinikmati oleh ahli syurga. al-Quran menamakannya {Tolhin Mamdud} Yang bermakna pohon yang memiliki buah yang tersusun. Pohon pisang hidup dalam negara yang beriklim khatulistiwa khususnya negara negara Amerika tengah yang mendapat jolokan “Republik Pisang” Para ulamak mengatakan bahawa pisang adalah pohon buahan yang pertama muncul di permukaan bumi. Apa yang menakjubkan ialah pohon pisang ini dikatakan berasal daripada hutan negara kita yang dicintai iaitu Malaysia.

Firaun Mesir juga turut memaklumi tentang pisang dan ini tercatat di dalam sejarah yang menceritakan tentang Perang Iskandar agung di India pada tahun 327 sebelum Masehi. Pisang merupakan buah yang istimewa dan mampu memberi tenaga kepada badan. Mengandungi kaborhidrat dan garam semulajadi seperti potassium yang boleh membantu mengurangkan kesakitan dan ketegangan otot. Dengan itu ahli sukan sering menjadikan pisang sebagai makanan berkhasiat kerana menyedari kelebihan kelebihan ini. Kera juga menggemari pisang tetapi pengkaji sains mendedahkan bahawa kera menggemari pisang bukan di dorong oleh khasiat dan rasa pisang tersebut tetapi kerana tertarik dengan warnanya. Ini berdasarkan realiti bahawa kera mampu memakan bunga-bunga yang berwarna kuning dengan lazat sekali meskipun rasanya tidak enak.

Sunday, August 30, 2009

PERUTUSAN PRESIDEN PERSATUAN MAHASISWA FAKULTI PENGAJIAN ISLAM SESI 2008/2009


Bismillahirrahmanirrahim..
Salam Ramadhan buat mahasiswa mahasiswi dan seluruh warga Fakulti Pengajian Islam. Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam ini yang masih memberikan kesempatan kepada kita semua untuk bersama-sama menikmati kehidupan ini seterusnya berpeluang beribadah pada Bulan Ramadhan yang mulia ini. Selawat dan salam juga buat Nabi junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w di atas pengorbanan baginda, kita masih lagi dapat mengecapi kenikmatan Islam dan Iman.

Ramadhan merupakan satu bulan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t dengan pelbagai kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain. Antara kelebihannya,digandakan ganjaran bagi mereka yang beramal ibadah. Pahala amalan-amalan sunat dinaik taraf kepada amalan fardhu dan amalan fardu digandakan sehingga 70 kali ganda. Inilah yang dikatakan penterjemahan sifat ar-Rahim Allah kepada kita semua. Ramadhan memperlihatkan kepada kita suasana umat Islam yang sedikit berbeza. Kita dapat lihat umat Islam beramai-ramai mengimarahkan masjid-masjid. Al-quran dijadikan amalan harian sedangkan perkara-perkara ini tidak berlaku sepertimana di bulan yang lain. Namun itulah yang dikatakan keunikan Ramadhan.

Mengambil pengajaran dari sejarah, diceritakan banyak peristiwa penting yang berlaku atau tercetus di bulan Ramadhan. Antaranya kejayaan umat Islam mengalahkan kaum kafir Quraisy dalam peperangan Badar al-Kubra yang mana kuantiti umat Islam ketika itu amat sedikit berbanding tentera di peringkat musuh. Namun kemenangan tetap dicipta sekalipun jika dinilai akal agak mustahil. Ini membuktikan Allah bersama-sama dengan golongan yang benar dan bersungguh-sungguh untuk membawa Islam. Pengajaran yang boleh kita ambil selaku mahasiswa dari peristiwa ini adalah kesungguhan diperlukan dalam kita melaksanakan segala perkara termasuklah dalam mendalami ilmu.


Selaku mahasiswa FPI, peluang memperoleh syafaat di bulan Ramadhan ini perlu direbut sepenuhnya bagi menambahkan rasa cinta dan taqarrub kita terhadap Pencipta Alam ini berdasarkan pengetahuan yang ditimba di perbukitan ilmu ini. Ilmu yang diperolehi di dewan-dewan kuliah dan bilik-bilik tutorial begitu banyaknya dan amat bernilai untuk menambahkan kefahaman terhadap Islam itu sendiri. Apa yang lebih penting untuk kita semua supaya lebih mengenali Pemilik sebenar segala ilmu tersebut.

Tanggungjawab kita semua terhadap ilmu adalah mempelajari, mengamalkan dan perlu disebarkan kepada insan lain. Sekiranya ketiga-tiga perkara ini terlaksana barulah kita dikatakan mencapai matlamat dalam menuntut ilmu. Bagi membolehkan perkara di atas terlaksana memerlukan kepada niat yang suci dan perlu dituruti dengan adab-adab dalam menuntut ilmu.Sebagai mahasiswa seharusnya kita mengambil berat berkaitan adab sebagai murid kepada guru. Adab pelajar antaranya adab ketika bertanya. Tujuan anak murid bertanya adalah untuk mendapat kepastian atau penerangan yang lebih jelas tentang sesuatu ilmu bukannya untuk menilai tahap keilmuan guru tersebut. Tidak beradap juga murid membanding-bandingkan pandangan gurunya dihadapan guru yang lain kerana mungkin terdapat sedikit perbezaan dalam mereka memberi pandangan. Oleh itu mahasiswa perlu berhati-hati dalam masalah adab ini kerana takut-takut murid menjadi punca perselisihan antara guru-guru mereka.

Di bulan yang mulia ini marilah kita bersama-sama mengambil peluang menyelesaikan permasalahan diantara kita. Saling memaafi kerana kita tetap hamba kepada Allah yang Maha Memaafkan. Semoga Ramadhan kali ini menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih baik. Saya mewakili pimpinan di peringkat Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam mengucapkan Selamat Menyempurnakan Bulan Ramadhan. Diharapkan kita semua dapat mencapai mardhatillah, hati-hati ini lebih telus takut dan cintanya kepada Allah. Salam Ramadhan.
"GENERASI BARU HARAPAN PENGISLAH UMMAH"
Ikhlas dari:
MUHAMMAD ZAID BIN SABRAN,
YANG DIPERTUA,
PERSATUAN MAHASISWA FAKULTI PENGAJIAN ISLAM.


Thursday, August 20, 2009

RAMADHAN DIRINDUI,KEMULIAAN DIHAYATI


Puasa dibulan Ramadhan adalah merupakan pelaksanaan salah satu dari lima rukun (tiang) islam. Ramadhan ialah bulan yang unggul dan paling istimewa dari 12 bulan dalam setiap tahun. Ramadhan adalah bulan yang dijanjikan Allah SWT dilipatgandakan pahala ke atas setiap amlan kebaikan, ibadah dan kebajikan yang dilakukan. Dalam menyambut kedatangan Ramadhan sepatutnya seseorang muslim yang diumpamakan laksana menunggu kedatangan kekasih yang telah berpisah setahun lamanya atau boleh juga diumpamakan sebagai persiapan menyambut kedatangan tetamu yang paling penting, terhormat serta agung dalam negara yang kebiasannya dilakukan sambutan yang begitu hebat, penuh dengan agenda, kemeriahan, kebesaran dan memasang bendera-bendera , slogan-slogan selamat datang dan kata-kata aluan yang menarik bukan sahaja disepanjang perjalanan ditambah pula dengan diwar-warkan di media massa, ahlan wasahlan yang Ramadahan Karim..-selamat datang wahai tetamu yang agung.


Persoalan yang selalu ditanya..Bagaimanakah dengan sambutan kita terhadap Ramadhan??adakah kita merindui dan tidak sabar-sabar menunggu ketibaanya? setiap umat islam patut merindui dan mengalukan-alukan kedatangan Ramadahan setiap tahun dan sentiasa meningkatkan penghayatanya. Kelebihan bulan Ramadahan telah diperakui sendiri oleh Rasulullah SAW yang bermaksud:
"Bulan Ramadhan ke bulan Ramdhan, hari jumaat ke jumaat, satu sembahyang ke sembahyang yang lain penebus dosa antara keduanya, selama dijauhi dosa-dosa besar". (Riwayat Muslim).


RasululLah SAW secara khusus bersabda mengenai bulan Ramadhan: bulan Ramadhan itu ialah bulan kesabarn dan ganjaran kesabaran adalah masuk syurga.

Syariat Puasa

Menurut Prof Yusof al-Qardhawi , Allah mensyariatkan puasa untuk menyedarkan roh, menyihatkan badan, mengenali nikmat, mendidik perasaan kasih dan melatih diri membuat penyerahan dengan sempurna kepada Allah SWT pencipta sekelian alam.
Menurutnya lagi , para sahabat Nabi SAW memperolehi hasil yang sangat baik dengan amalan puasa, mereka memperolehi semangat , siang hari mereka berjihad dan berkerja dengan penuh tekun , pada malamnya pula mereka beribadat, bertahajjud dan membaca al-Quran.

Dalam bulan puasa, Allah telah mengurniakan nikmat yang mat besar kepada hambanya, iaitu mewajibkan satu amalan yang dapat berperanan menolak tipu daya syaitan dan mematahkan segala usaha jahat serta busuknya. Ia adalah perisai orang-orang yang beriman daripada tipu daya syaitan dan juga medan yang sesuai untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah yang Maha pencipta.

Allah Taala berfirman: "Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan keatas kamu berpuasa, sebagaimana diwajibkan keatas umat sebelum kamu, semoga kamu bertaqwa. Maka barangsiapa di antara kamu sakit atau dalam perjalanan , maka wajiblah ia berpuasa beberapa hari atau ketinggalan itu di hari-hari yang lain". (al-Baqarah : 183)

Melalui ayat diatas, kita dapat buat enam kesimpulan secara ringkas:

1. Ayat ini dimulakan dengan seruan "wahai orang-orang yang beriman". Abdullah bin mas'ud , seorang sahabat nabi dan ahli tafsir yang terkenal pernah menyatakan bahawa apabila sesuatu ayat dimulakan dengan seruan " wahai orang-orang yang beriman, ia pasti mengandungi arahan atau larangan yang penting, ini kerana hanya Allah yang mengetahui bahawa orang yang beriman sahaja yang dapat mengorbankan dan memikul arahan Allah SWT.

2. Ayat ini menerangkan perintah puasa serta hukum wajib yang berkaitan denganya, iaitu apabila orang muslim itu cukup syarat-syaratnya maka wajib menunaikanya.

3. Ibadat puasa pernah dilakukan oleh umat-umat terdahulu sebelum nabi SAW.

4. Dijelaskan hikamt secara ringkas tetapi padat dengan rangkaian yang sangat kemas, iaitu supaya kamu bertaqwa kepada Allah

5. Jangka masa yang beberpa hari sahaja yang ditetapkan yakni sebulan.

6. Pengiktirafan Allah bagi hambanya terhadap rukhsah bagi orang uzur syar'i ( sakait atau dalam perjalanan ) namun mereka hendaklah mengantikanya.

Jesteru itu, puasa adalah ibadat yang paling tinggi disisi Allah SWT dan merupakan amalan yang akan dibalas sendiri oleh Allah SWT kepada hambanya yang taat, pUasa juga mengajar erti kesusahan dan kelaparan sebagaimana saudara-saudara kita yang tidak mempunyai bekalan makanan yang mencukupi. Pahala yang besar akan diberikan pada hambanya yang solih dan sanggup semata-mata melakukan ibadat untuk mencari redho Allah SWT dan mencari kasih sayangnya.
Nabi SAW juga bersabda yang bermaksud: " puasa adalah separuh dari kesabaran. Manakala orang yang sabar akan menerima balasan pahala yang tidak terhingga banyaknya daripada Allah SWT".


Firman Alah yang bermaksud:" Hanya orang yang bersabar itulah yang dipenuhi pahalanya tanpa perhitungan".( al-Zumar :10) dan Nabi SAW bersabda lagi yang bermaksud:" Bagi orang yang berpuasa ada dua kegembiraan iaitu:
1) ketika berbuka puasa

2) ketika bertemu dengan Allah SWT mreka gembira dengan puasa mereka..


Marilah sama-sama kita tingkatkan amalan puasa kita pada tahun ini dengan meningkat amalan yang solih serta meningkatkan ketaqwaan kepada Allah, semoga amalan kita diterima olehnya..wa'llam.

ikhlas daripada:
Mohd Khairul Anwar bin Nawi
Lajnah perhubungan PMFPI

SELAMAT MENYAMBUT RAMADHAN AL-MUBARAK

Kelebihan Puasa Di Bulan Ramadan

Kewajipan Berpuasa:
Firman Allah ( Ayat Al-Baqarah ayat 183 dan 185 )" Wahai orang-orang beriman ! Kamu diwajibkan berpuasa sebagimana yang diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.."

Bagi orang-orang Islam yang beriman, bulan Ramadhan adalah bulan yang dinanti-nantikan ketibaannya oleh setiap ummat islam, memandangkan ia bulan yang mulia dan memberi begitu banyak manfaat dan keistimewaan, faedah, fadhilat dan masa depan yang cerah bagi mereka yang tahu dan menghayatinya.

Keutamaan Ramadhan:
Terdapat puluhan hadis Rasulullah saw yang menjelaskan tentang fadhilat dan keutamaan pusa di bulan Ramadhan, bukan sahaja untuk manafat ummat Islam di akhirat kelak, malah ianya memberi faedah yang besar untuk kesihatan tubuh badan manusia didunia ini.

Antara Fadhilat dan Kelebihan Berpuasa dibulan Ramadhan.

1. Pintu langit dibuka
2. Pintu-pintu Syurga Di Buka

Fadhilat yang lain-lain:
1. Mereka yang berpuasa akan mendapat balasan syurga
2. Orang yang berpuasa dimakbulkan permintaanya oleh Allah SWT
3. Orang yang berpuasa mendapat dua kegembiraan iaitu semasa berbuka dan apabila bertemu dengan Allah pada hari kiamat kelak
4. Orang yang berpuasa mendapat peliharaan Allah Swt
5. Orang yang berpuasa dengan sempurna dijanjikan mahligai yang indah di syurga
6. Setiap kali sujud orang yang berpuasa, dikurniakan seribu tujuh ratus kebajikan, dibinakan mahligai di syurga dan tujuh puluh ribu malaikat memohon keampunan baginya dari pagi hingga petang.



Sama-samalah kita menjalankan ibadah puasa ini dengan ikhlas dan penuh rasa kehambaan. Moga segala amalan yang kita lakukan diberkati dan mendapat redha Allah.

Sunday, August 16, 2009

SOLAT BERJEMAAH DARI PANDANGAN NON-MUSLIM & SAINS

Seorang professor fizik di Amerika Syarikat telah membuat satu kajian tentang kelebihan solat berjemaah yang disyariatkan dalam Islam. Katanya tubuh badan kita mengandungi dua cas elektrik iatu cas positif dan cas negatif. Dalam aktiviti harian kita sama ada bekerja, beriadah atau berehat, sudah tentu banyak tenaga digunakan.

Dalam proses pembakaran tenaga, banyak berlaku pertukaran cas positif dan cas negatif, yang menyebabkan ketidakseimbangan dalam tubuh kita. Ketidakseimbangan cas dalam badan menyebabkan kita rasa letih dan lesu setelah menjalankan aktiviti seharian. Oleh itu cas-cas ini perlu diseimbangkan semula untuk mengembalikan kesegaran tubuh ke tahap normal.

Berkaitan dengan solat berjemaah, timbul persoalan di minda professor ini mengapa Islam mensyariatkan solat berjemah dan mengapa solat lima waktu yang didirikan orang Islam mempunyai bilangan rakaat yang tidak sama. Hasil kajiannya mendapati bilangan rakaat yang berbeza dalam solat kita bertindak menyeimbangkan cas-cas dalam badan kita. Semasa kita solat berjemaah, kita disuruh meluruskan saf, bahu bertemu bahu dan bersentuhan tapak kaki. Tindakan-tindakan yang dianjurkan semasa solat berjemaah itu mempunyai berbagai kelebihan.

Kajian sains mendapati sentuhan yang berlaku antara tubuh kita dengan tubuh ahli jemaah lain yang berada di kiri dan kanan kita akan menstabilkan kembali cas-cas yang diperlukan oleh tubuh. Ia berlaku apabila cas yang berlebihan - sama ada negatif atau positif akan dikeluarkan, manakala yang berkurangan akan ditarik ke dalam kita. Semakin lama pergeseran ini berlaku, semakin seimbang cas dalam tubuh kita.

Menurut beliau lagi, setiap kali kita bangun dari tidur, badan kita akan merasa segar dan sihat setelah berehat berapa jam. Ketika ini tubuh kita mengandungi cas-cas positif dan negatif yang hampir seimbang. Oleh itu, kita hanya memerlukan sedikit lagi proses pertukaran cas agar keseimbangan penuh dapat dicapai. Sebab itu, solat Subuh didirikan 2 rakaat.

Seterusnya, setelah sehari kita bekerja kuat dan memerah otak semua cas ini kembali tidak stabil akibat kehilangan cas lebih banyak daripada tubuh. Oleh itu, kita memerlukan lebih banyak pertukaran cas. Solat jemaah yang disyariatkan Islam berperanan untuk memulihkan keseimbangan cas-cas berkenaan. Sebab itu, solat Zohor didirikan 4 rakaat untuk memberi ruang yang lebih kepada proses pertukaran cas dalam tubuh.

Situasi yang sama turut berlaku di sebelah petang. Banyak tenaga dikeluarkan ketika menyambung kembali tugas. Ini menyebabkan sekali lagi kita kehilangan cas yang banyak. Seperti mana solat Zohor, 4 rakaat solat Asar yang dikerjakan akan memberikan ruang kepada proses pertukaran cas dengan lebih lama.

Lazimnya, selepas waktu Asar dan pulang dari kerja kita tidak lagi melakukan aktiviti-aktiviti yang banyak menggunakan tenaga. Masa yang diperuntukkan pula tidak begitu lama. Maka, solat Maghrib hanya dikerjakan sebanyak 3 rakaat adalah lebih sesuai dengan penggunaan tenaga yng kurang berbanding 2 waktu sebelumnya. Timbul persoalan di fikiran professor itu tentang solat Isyak yang mengandungi 4 rakaat. Logiknya, pada waktu malam kita tidak banyak melakukan aktiviti dan sudah tentu tidak memerlukan proses pertukaran cas yang banyak.

Setelah kajian lanjut, didapati terdapat keistimewaan mengapa Allah mensyariatkan 4 rakat dalam solat Isyak. Kita sedia maklum, umat Islam amat digalakkan untuk tidur awal agar mampu bangun menunaikan tahajjud di sepertiga malam. Ringkasnya, solat Isyak sebanyak 4 rakaat itu akan menstabilkan cas dalam badan serta memberikan tenaga untuk kita bangun malam (qiamullail).

Dalam kajiannya, professor ini mendapati bahawa Islam adalah satu agama yang lengkap dan istimewa. Segala amalan dan suruhan Allah Taala itu mempunyai hikmah yang tersirat untuk kebaikan umat Islam itu sendiri. Beliau merasakan betapa kerdilnya diri dan betapa hebatnya Pencipta alam ini. Akhirnya, dengan hidayah Allah beliau memeluk agama Islam.


***3:190*** 190. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang berakal, ***3:191*** 191. (yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.

Saturday, August 15, 2009

PERUTUSAN NYDP II (BI'AH SOLEHAH)


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh..
Alhamdulillah segala pujian serta kesyukuran dirafa’kan kepada Allah S.W.T , selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, para Ahlul-Bait, para sahabat, para tabi’in dan kepada semua mujahid Islam yang mengikut jejak langkah baginda hingga ke hari kiamat.

Di kesempatan yang dikurniakan ini, saya ingin menyeru kepada sahabat-sahabat khususnya serikandi-serikandi Islam yang berada di Fakulti Pengajian Islam ini agar sama-sama kita menyahut seruan Kempen Biah Solehah yang telah dijalankan oleh pihak Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam( PMFPI). Antara agenda yang ingin dibawa di sepanjang kempen ini dijalankan adalah untuk mengajak muslimah-muslimah FPI di dalam memperkasakan diri menjalankan perintah Allah di dalam menutup aurat. Saya pasti, semua sahabat-sahabat sudah maklum akan hukum menutup aurat bagi wanita. Namun kita sebagai manusia perlu diberi peringatan selalu agar kita tidak lalai didalam memenuhi tuntutan syariat. Sesuai dengan sabda Baginda Rasulullah s.a.w yang bersabda “ Sampaikanlah apa yang kau ketahui walau sepotong ayat”.

Sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian,

Tercetusnya idea untuk mengadakan kempen biah solehah ini adalah hasil daripada kesedaran sahabat-sahabat kita akan berleluasanya muslimat Fakulti Pengajian Islam ini tidak menutup aurat dengan selengkapnya semasa di fakulti mahupun di luar fakulti. Sedarlah sahabat-sahabat sekalian, kita sebagai role model kepada mahasiswa-mahasiswi lain perlulah menunjukkan sikap dan contoh teladan yang baik setiap hari. Kita selaku pelajar yang mepelajari ilmu agama mempunyai tuntutan yang besar untuk berdakwah kepada mahasiswa-mahasiswi yang lain. Ini kerana kita di pandang tinggi dengan membawa title Islam di dalam kehidupan kita.

Marilah kita sama-sama menghidupkan kembali budaya amar ma’ruf nahi mungkar di dalam diri kita yang kian terhakis dipupuk di dalam diri. Inilah sunnah yang di tinggalkan oleh rasul junjungan kita yang kita perlu ikuti. Aplikasikan semua ilmu-ilmu agama yang telah kita pelajari sekian lama. Sudah tibanya masa kita merubah kembali segala kemungkaran-kemungkaran yang berlaku di bumi universiti yang kita cintai ini. Letakkan di dalam diri “kita jika bukan kita siapa lagi yang akan melakukannya”??. Sesuai dengan firman Allah s.w.t,

Mafhumnya :-
Hendaklah ada dari kalangan kamu satu kumpulan yang ( berterusan )menyeru (berdakwah)kepada kebaikan dan menguatkuasakan dengan makruf dan menegahkan kemungkaran ( Ali-Imran 3:104).

Akhir kalam, semoga seruan Kempen Biah Solehah ini di sahut oleh semua sahabat-sahabat kerana inilah kewajipan kita terhadap Islam. Semoga sinar-sinar penghayatan Islam yang syumul kembali bersinar di bumi fakulti yang kita cintai ini seterusnya menjadi qudwah hasanah kepada mahasiswa-mahasiswi yang fakulti yang lain. Semoga usaha kita ini di berkati dan di redhai oleh Allah s.w.t.
wallah hua’alam.

Ikhlas dari,
SYIFAK BT MOHD RODZI
NYDP II
PERSATUAN MAHASISWA FAKULTI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA.

MAZMUMAH UTAMA YANG MENGHILANGKAN BAHAGIA HATI

1. Pemarah - paling mudah dikesan atau dilihat dan paling banyak di dalam diri manusia. Orang seperti ini jarang mendapat kawan dan hati tentunya tidak terang. (sape nak dekat kalau asyik nak marah ajer.. bawak2lah senyum.. tentu org tak takut nak dekat punyer..)

2. Pendendam - tersembunyi iaitu ibarat mengumpul lahar di dalam dada. Orang seperti ini sentiasa mencari-cari peluang untuk membalas dendam hatta secara yang kecil-kecil sekalipun seperti sakitkanhati atau tempelak orang yang didendami itu. Sebab itu orang pendendam mudah kena sakit jantung. (ini kes dendam kesumat lahh nie..)

3. Hasad dengki - amalanya hangus akibat hasad dengkinya itu kerana ia memiliki sifat ketuhanan. (tak elok dengki mendengki nih..)

4. Bakhil - sentiasa merasakan orang lain menginginkan harta, kesenangan, pangkat dll. dari dirinya. Contohnya sentiasa berdalih mengatakan ia tiada duit. (rezeki yang diberi oleh Allah elok dikongsi bersama..-derma) Allah lebih sayang orang yang fasiq tetapi pemurah tetapi benci orang yang abid tetapi bakhil. Kerana walaupun fasiq, pemurahnya itu tetap memberi manfaat pada orang lain kerana kadangkala rezeki itu Allah beri melalui makhluk.

5. Tamak - orang yang tidak puas dengan yang sedikit nescaya tidak akan puas dengan yang banyak keranadunia ini ibarat meminum air laut walau berapa banyak yg diminum tetap tak abis jugak lagipun org tamakselalu rugi.. ** Ingat ! yang dikatakan harta atau rezeki kita bila ia dipakai atau digunakan oleh kita. Selagi tidak diguna iaitu disimpan, itu belum boleh dikatakan rezeki kita. (mungkin ada hak orang lain di situ) Biarlah rezeki itu sedikit tetapi mendapat keberkatan iaitu dapat dimanfaatkan.

6. Tidak sabar - andainya perkara yang kecil pun tidak boleh bersabar apatah lagi hal-hal yang lebih besar. (oleh itu banyak2kanlah bersabar bila hadapi dugaan.. cthnyer time keja banyak.. tetap maintain vogue walau keja bertimbun atas meja.. heh.. heh..)

7. Ego - ibu segala mazmummah jadi ia membuatkan seseorang paling tidak tenang. Orang yang memiliki sifat ini pantang tercabar dari sudut zahir mahupun batin. (yg nie no komen).. pasal semua org ader egonyasendiri.. cuma tinggi/rendah tahap keegoan tersebut

8. Riak - terseksa sendiri kerana sentiasa tercari-cari peluang untuk dipuji. Sentiasa berlakun-lakun di depan orang. Jika ia dipuji, ia akan menambah amalnya tetapi jika dikeji, ia akan mengurangkan amalnya. Allah marah kalau kita riak.. takabbur dgn aper yg kita ada

9. Cinta dunia - tidak dapat menderita, dapat pun menderita kerana bila sudah dapat susah pula menjaganya. Berhartalah tidak mengapa tetapi kawal hati jangan diletakkan pada harta itu. biler mati cuma bawa amalan dan doa anak yg soleh/solehah ** Cinta dunia merupakan "neraka dunia" kerana dunia itu "panas" akibat ia merupakan barang buruan dan rebutan. Jadi letakkanlah akhirat itu di hati dan dunia itu di tangan supaya dunia itu senang dibahagi-bahagi dan akhirat dibawa mati.

***Kesimpulan***

Jadi yang meragut kebahagiaan sebenarnya bukanlah secara TOTALnya disebabkan kemiskinan, musibah, kesibukan dllnya. tetapi ialah MAZMUMMAH. ****Makin tinggi mazmummah seseorang, makin ia tidak BAHAGIA.**** Samada bermujahadah atau biarkan saja mazmummah itu, kedua-duanya tetap menderita tetapi andainya bermujahadah kita akan dibantu Allah dan akan bahagia jua akhirnya. So.. sama-samalah kite sentiasa ingat mengingati antara satu sama lain…andai kita terleka dengan dunia buruklah padahnya .

LIGA PIALA DEKAN FPI 09


Hamper kepada pemenang Liga Piala Dekan



Pingat emas,perak dan gangsa utk pemenang


juara bola jaring Liga Piala Dekan 09 dimenangi oleh Kelab Hujjah


Juara keseluruhan Liga Piala Dekan 09 dimenangi oleh Kelab Jannah
Salam ukhuwwah buat sahabat-sahabat...

Sekalung penghargaan diucapkan kepada semua ajk pelaksana Liga Piala Dekan 09 di atas usaha dan komitmen yang telah diberikan untuk menjayakan program ini..tidak lupa juga kepada para pemain yang banyak memberikan kerjasama kepada pihak urusetia utk kelancaran program tersebut..

Tahniah juga diucapkan kepada semua pemenang yang berjaya meraih pingat emas,perak dan gangsa dalam permainan bola sepak,sepak takraw dan futsal bagi muslimin manakala bola jaring,bola tampar dan badminton bagi muslimat..
Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Kelab Jannah kerana berjaya menjadi pemenang keseluruhan Liga Piala Dekan 09 sekaligus berjaya memiliki piala pusingan Liga Piala Dekan untuk tahun 2009 ini.
Syukran jazilan kepada semua....

Thursday, August 13, 2009

NI MASA PI KEM PEMANTAPAN AKIDAH KAT JELEBU,NEGERI SEMBILAN

CEMERLANG,GEMILANG,TERBILANG (BINNAJAH)


EKONOMI ISLAM DI ZAMAN UMAR ABDUL AZIZ




Sejarah telah membuktikan pada Zaman pemerintahan Umar Abd Aziz merupakan zaman kegemilangan ekonomi Islam. Ini terbukti apabila tidak ada seorang pun pada zaman tersebut rakyat yang layak menerima zakat. Alangkah baiknya jika peristiwa tersebut kembali pada zaman ini. Marilah kita sama2 meneliti dan mengkaji apakah strategi yang dijalankan oleh Umar Abd Aziz dalam urusan Ekonomi Islam.Pada hari pertama perlantikan Umar Abd Aziz telah berlaku peristiwa yang tidak pernah terjadi kepada Khalifah sebelumnya dalam Kerajaan Umawiyyah apabila beliau menolak segala kemudahan yang diperuntukkan untuk seorang khalifah seperti kenderaan rasmi dan pelbagai lagi kemudahan semata2 untuk kepentingan rakyat malahan elaun untuk beliau juga telah dipotong sehinggkan gaji beliau hanya 200 dinar berbanding pegawai bawahannya 500 dinar. 

Disini kita dapat mengambil ikhtibar bahawa apabila kepentingan rakyat diutamakan maka ekonomi rakyat akan stabil. Sifat ketakwaan juga perlu ada dalam diri seorang pemimpin apabila keperluan rakyat diutamakan manakala keperluan peribadi dikemudiankan.Perlu diingatkan bahawa pada zaman Umar Abd Aziz juga rakyat hidup dalam keadaan senang lenang kerana kebijaksanaan pemimpinnya dalam merancang ekonomi negara. Khalifah Umar Abd Aziz patut digelar sebagai "Bapa Ekonomi Islam" Selain merancang ekonomi negara dengan baik khalifah Umar juga mengawasi para pegawai2nya daripada terjebak dengan gejala penindasan terhadap ekonomi rakyat. Berlaku peristiwa yang mana Umar telah didatangi beberapa penduduk Iraq yang mengadu tentang kezaliman gabenor Iraq pada zaman sebelum pemerintahannya iaitu mengambil harta rakyat dengan zalim . Umar telah mengembalikan harta tersebut kepada penduduk Iraq sehinggakan habis harta baitulmal di Iraq dan ditambah lagi dengan harta baitulmal Syam. Begitulah peristiwa yang menunjukkan betapa murninya akhlak Khalifah Umar Abd Aziz ......

Wednesday, August 12, 2009

SALAM JIHAD : Zainab Al-Ghazali Al-Jubaili


Dilahirkan pada 1917,merupakan pengasas Jama'at Muslimat . Penubuhan Jama'at Muslimat pada tahun 1937 ini bertujuan untuk memberikan pendidikan kepada wanita-wanita Islam disamping memberi bantuan kepada ahli keluarga yang kehilangan tempat pergantungan setelah ketua keluarga mereka dipenjarakan oleh pemerintah Mesir pada masa itu.

Dalam tahun 1937 ini juga, Zainab telah bertemu dengan pemimpin Ikhwanul Muslimin pada masa itu iaitu As Syahid Hassan Al Banna yang sedang cuba menubuhkan satu cabang khusus untuk muslimat dalam Ikhwanul Muslimin. Jama'ah Muslimat kemudiannya dijadikan satu cabang dari gerakan Ikhwanul Muslimin. Bagaimanapun, pada awal penubuhannya, ia tidak terikat dengan Ikhwanul Muslimin hinggalah berlakunya peristiwa pembubaran Ikhwanul Muslimin pada tahun 1948. Segala harta Ikhwan telah dirampas, cawangan-cawangannya ditutup dan beribu-ribu ahli Ikhwan telah ditangkap. Setelah peristiwa ini, Zainab memikirkan semula saranan awal Hassan Al Banna agar Jama'at Muslimat bergabung dengan Ikhwanul Muslimin dan akhirnya pada tahun 1948, Zainab Al Ghazali sebagai pengerusi Jama'at Muslimat telah memberikan bai'ah kepada Hassan Al Banna.

Bagaimanapun tanggal Februari 1949, komplot untuk membunuh Hassan Al Banna telah dilaksanakan dan akhirnya gugurlah seorang pejuang Islam yang gigih. Perjuangan beliau telah disambung oleh Al Imam Mursyid Hassan Al Hudaibi.

Terdapat satu peristiwa menarik berkenaan dengan Hassan Hudaibi ini. Dalam tahun 1954, Jamal Abdul Nasser telah mengeluarkan perintah hukuman gantung kepada As Syahid Abdul Kadir Audah, As Syeikh Muhammad Fargali, Hassan Hudaibi dan beberapa orang lagi. Walaubagaimanapun, Hassan Hudaibi diserang penyakit jantung secara tiba-tiba dan doktor meramalkan bahawa beliau hanya boleh hidup beberapa jam sahaja lagi. Jamal Abdul Nasser mengampuni beliau kerana menyangka bahawa beliau akan mati keesokan harinya. Dengan kekuasaan Allah, umur Hassan Hudaibi masih panjang dan beliau akhirnya ditangkap dan dihantar ke penjara tentera buat kali kedua.

Hassan Hudaibi merupakan seorang pejuang yang sejati dan begitu berani . Sewaktu beberapa orang Ikhwan yang sudah lemah kerana berada lama dalam perjuangan mengajukan cadangan agar Ikhwanul Muslimin bekerjasama dengan golongan pemerintah yang taghut, beliau telah menyuarakan pendapatnya yang masyhur:"Aku tidak memaksa seseorang bersikap tegas dan berani mengikut pendirianku tetapi aku mengingatkanmu bahawa sesungguhnya dakwah Islam tidak pernah tertegak walau sehari dengan orang-orang yang telah mengambil sikap bertolak ansur".Pendapatnya ini dilahirkan sewaktu beliau berumur 80 tahun dan beliau terus kekal dalam penjara dan hanya dibebaskan setelah kematian Jamal Abdul Nasseer.

Awal Ogos 1965, Jamal Abdul Nasser mula membuat perancangan untuk menangkap barisan pemimpin harakah Islamiah. Perancangan ini didalangi oleh perisik-perisik Amerika dan Russsia yang di susun oleh Zionisme Antarabangsa. Untuk mengaburi mata orang ramai, rejim Jamal Abdul Nasser telah menuduh Zainab dan pemimpin-pemimpin Ikhwanul Muslimin yang lain seperti Syed Qutb dan Hassan Hudaibi merancang pembunuhan Jamal Abdul Nasser dan 4 orang menterinya.

Hasilnya, beribu-ribu orang ahli Ikhwanul Muslimin telah ditangkap. Zainab sendiri telah ditahan pada Jumaat, 20 Ogos 1965. Beliau kemudian telah disumbatkan ke penjara dan di sana beliau melihat bagaimana anggota Ikhwanul Muslimin diseksa dengan teruk. Ada yang digantung, dicambuk dan dicakar-cakar oleh anjing ganas setelah mereka disebat.

Zainab sendiri disiksa dengan kejam termasuk dipukul dengan teruk, disumbatkan dalam penjara air dan diancam untuk dirogol. Walaupun beliau berada dalam kesakitan kerana disiksa, namun dengan pertolongan Allah beliau berjaya menewaskan askar yang diperintahkan untuk merogolnya.

Untuk mengaburi mata rakyat, pihak pemerintah telah mengaturkan agar ahli-ahli Ikhwan yang ditangkap dihadapkan ke muka pengadilan pada 17 hb Mei 1966. Hasil dari perbicaraan yang berat sebelah ini, barisan pimpinan Ikhwan seperti Syed Qutb, Abdul Fattah Ismail, Yusuf Hawash dan lain-lain dijatuhkan hukuman gantung. Zainab dan Hameedah Qutb pula masing-masing dijatuhkan hukuman penjara sebanyak 25 tahun dan 10 tahun dengan kerja berat Semasa berada dalam tahanan inilah, Jamal Abdul Nassser mati. Akhirnya pada 10 hb Ogos 1971, Zainab telah dibebaskan dari tahanan setelah 6 tahun mengalami pelbagai penderitaan.

TAZKIRAH BUAT SEORANG PEMIMPIN

Mungkin pada orang lain yang tidak memahami, amanah itu bukanlah suatu keinginan, bukan juga suatu wasilah untuk mencari popularity. Namun kita perlu sedar, amanah dan tanggungjawab kita adalah untuk memelihara kelangsungan tarbiyah di bumi ini. Bukan hanya menjadi perbualan dan gelaran yang acapkali disogok kepada bumi ini (bumi tarbiyah), tetapi memastikan ia sungguh menjadi realiti yang tidak pupus dihanyut maksiat dan noda.

Kita jangan sesekali merasa gah dengan kedudukan ini. Jangan sesekali ada sekelumit, jikalau ada cepat-cepat kita menangkisnya kerana pasti itu bisikan syaitan yang selalu ingin menyesatkan kita. Kita semua tahu, kedudukan bukan kebanggaan! Tidak sekali-kali. Jadi jangan meletakkan platform sebagai pimpinan ini adalah untuk dikenali ramai dan yang sebetulnya, kita mesti merasakan diri kita ini adalah penyumbang kepada masyarakat umumnya dan mahasiswa fakulti kita sendiri.

Kita ini adalah pemimpin, maka pemimpin akan dipertanggungjawabkan atas setiap apa yang dipimpinnya. Kita juga perlu sedar, amanah seorang pemimpin ini adalah suatu yang cukup berat dan bebanannya amat tinggi. Sukar bagi kita. Ya lah.. jika dulu kita bersenang lenang tanpa membahagikan masa, tapi kini sudah tidak lagi. Masa yang ada semua dipenuhi dengan amanah yang kita ada. Itulah uniknya pimpinan, lebih hebat lagi jika pimpinan yang pandai bahagikan masa lantas Berjaya dalam peperiksaan dengan baik. Tidak pelik dan bezakah? Pimpinan yang masanya cukup terhad kadangkala lebih hebat dalam pencapaian akademik. Tidak pelikkah? Masa pimpinan lebih dipenuhi dengan amanah, namun disana ada suatu persoalan, pada masa mana pula pimpinan membahagikan masa untuk belajar?

Nah! Jika kalian lihat, inilah janji Allah. Jika kita hayati dan yakini janji Allah itu, pasti kita tidak akan ragui dan merungut sama sekali. Masakan tidak,  Allah sudah janji pada hambaNya “Intan surullaha yansurkum, wa yutsabbit aqdamakum”. Akan tetapi jangan kalian jadikan ayat ini sebagai suatu proksi untuk bermalas-malasan tanpa usaha. Kita mesti ingat juga, Allah akan menilai usaha kita sebelum memberi hasilnya.

Insan-insan jundullah,

Antum lah harapan Ummah, harapan untuk melihat kebangkitan kembali Islam yang sudah lelah ditindas kini. Kita adalah bakal penyumbang kepada revolusi itu, revolusi gelombang hijau yang akan menggegarkan lantas menguasai seluruh dunia. Itulah janji Allah. Hingga tiada lagi fitnah di bumi ini. Sudah pasti indahnya saat itu. Namun perjalanan kita masih jauh berliku batu. Bekalan yang amat-amat penting ialah ilmu dan tarbiyah. Tanpa itu, lumpuhlah kita. Ingat, kita adalha penyambung mata rantai, jika kita yang menghancurkan, siapa lagi yang akan membangunkan?

Ikhwah dan akhwat fillah,

Tidak layak hakikat kita di sini, tetapi dengan pilihan yang Maha Kuasa kita akan tetap di sini walau diganggu gugat, ditekan dan diinjak-injak. Walau diancam kiri dan kanan, walau ditusuk hadapan dan belakang. Dengan izin Tuhan  yang Maha Penyayang, kita akan tetap di sini. Sedar dan yakinlah sahabat-sahabat penggerak Islam, taklifan dan jawatan ini tidak sekali-kali kita cari, apatah lagi meminta, segalanya milik Allah. Dan tiada yang layak mengukur keikhlasan kita selain Allah swt.

Teman-teman,

Sokong dan dokonglah jika Islam yang kita bawa. Jika ternyata yang kita telah engkar dan membawa selain Islam, maka sama-samalah kita sedar akan kesilapan ini. Jangan menjadi tangan-tangan yang menghancurkan tubuh-tubuh yang sedaya upaya membantu dalam menegakkan Islam ini. Besar harapan, kita sama-sama tergolong dalam golongan yang disebut Tuhan kita lah Ansarullah. Amin...

 Ikhlas dari,

SYIFAK BT MOHD RODZI
NYDP II
PERSATUAN MAHASISWA FAKULTI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA. 

Thursday, August 6, 2009

KEMPEN BI'AH SOLEHAH




TUTUPLAH AURATMU !!!

Menutup Islam aurat adalah salah satu perkara yang amat dititkberatkan di dalam Islam. Islam mempunyai tatasusila dalam berpakaian. Sewajarnya seseorang itu memakai pakaian yang sesuai kerana pakaian sopan dan menutup aurat adalah mencerminkan seseorang itu Muslim yg mu’min. Islam telah menetapkan etika pemakaian dan menutup aurat:

1. Menutup aurat
- Menurut Islam aurat lelaki ialah dari pusat hingga ke lutut. Aurat wanita pula seluruh anggota badannya, kecuali wajah, telapak tangan. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Paha itu adalah aurat.” (Bukhari)

2. Tidak menampakkan tubuh badan
- Di kala ini, zaman serbi hadhari boleh simpulkan semakin nipis dan jarang tudung semakin mahal harganya, tudung bukan berfungsi sebagai salah satu wadah menutup aurat, akan tetapi digunakan untuk glemer dan gah pemakaian kita. Pakaian yang jarang dan nipis sehingga menampakkan tubuh badan masih belum cukup syarat dalam erti ‘menutup aurat’. Pakaian jarang bukan saja menampakkan warna kulit, malah boleh merangsang dan menaikkan nafsu orang yang melihatnya. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Dua golongan ahli neraka yang belum pernah aku lihat ialah, satu golongan memegang cemeti seperti ekor lembu yang digunakan bagi memukul manusia dan satu golongan lagi wanita yang memakai pakaian tetapi telanjang dan meliuk-liukkan badan juga kepalanya seperti bonggol unta yang tunduk. Mereka tidak masuk syurga dan tidak dapat mencium baunya walaupun bau syurga itu dapat dicium daripada jarak yang jauh.” (Muslim)

3. Pakaian tidak terlalu ketat dan sendat
- Tujuannya adalah supaya tidak kelihatan bentuk tubuh badan dan boleh merangsangkan nafsu seseorang. Jika kita lihat, di zaman sekarang wanita lebih suka memakai jeans, seluar ketat, baju sendat(adik bongsu die punya kot) dan tudung pendek atas dada dan jarang sehingga Nampak apa yang ada di dalam tudung. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku di Negara kita yang diakui Negara islam.

4. Riak dan rasa bangga diri.
- Rasulullah saw bersabda bermaksud: “Sesiapa yang melabuhkan pakaiannya kerana perasaan sombong, Allah SWT tidak akan memandangnya pada hari kiamat.” Dalam hadis lain, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan pada hari akhirat nanti.” (Ahmad, Abu Daud, an-Nasa’iy dan Ibnu Majah)

5. Melabuhkan pakaian
-Tudung yang seharusnya dipakai mestilah sesuai mengikut kehendak syarak iaitu bagi menutupi kepala dan rambut, tengkuk atau leher dan juga dada. Allah berfirman bermaksud: “Wahai Nabi, katakanlah (suruhlah) isteri-isteri dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan beriman, supaya mereka melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun dan Maha Penyayang.” (al-Ahzab:59)

6. Memilih warna sesuai
- Warna-warna yang dianjurkan di dalam Islam ialah warna yang lembut. Tidak perlu memakai warna yang terlalu menarik dan terang sehingga boleh menimbulkan fitnah, ataupun warna dan corak yang begitu menonjol. Warna lembut juga termasuk warna putih kerana ia nampak bersih dan warna ini sangat disenangi dan sering menjadi pilihan Rasulullah SAW. Baginda bersabda bermaksud: “Pakailah pakaian putih kerana ia lebih baik, dan kafankan mayat kamu dengannya (kain putih).” (an-Nasa’ie dan al-Hakim)

7. Wanita dan lelaki mempunyai perbezaan
- Pakaian yang khusus untuk lelaki tidak boleh dipakai oleh wanita, begitu juga sebaliknya. Rasulullah SAW mengingatkan hal ini dengan tegas menerusi sabdanya yang bermaksud: “Allah mengutuk wanita yang meniru pakaian dan sikap lelaki, dan lelaki yang meniru pakaian dan sikap perempuan.” (Bukhari dan Muslim)Baginda juga bersabda bermaksud: “Allah melaknat lelaki berpakaian wanita dan wanita berpakaian lelaki.” (Abu Daud dan Al-Hakim).

p/s : Jika kita mahukan yang terbaik dari Allah, buatlah yang terbaik untuk Allah.

Ikhlas dari:

MOHD ZAKI BIN JAAFAR
TIMBALAN YANG DIPERTUA
PERSATUAN MAHASISWA FAKULTI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA


SALAM NISFU SHA'ABAN

Hari ini adalah tgl 14 Sya'ban, berarti besok adalah pertengahan bulan Sya'ban. Menurut hadits Nabi, dimalam pertengahan Sya'ban itulah kita panjatkan doa karena pada saat itu, tiada satu aral melintang apapun yang akan menghalangi doa kita utk dikabulkan. Dimalam itu juga dibukakan 300 pintu rahmat. Kirimkan ini ke sahabat-sahabatmu maka insya Allah temanmu akan mendoakanmu. Amin Ya Rabbal 'Alamin

Saturday, August 1, 2009

LIGA PIALA DEKAN FPI 09


jOm kita turun beramai-ramai untuk memeriahkan lagi Liga Piala Dekan 09..
berilah sOkOngan anda kepada kelab jabatan masing-masing..
jumpa anda di Padang UKM.....