Thursday, April 28, 2011

SeMarakkAn Cuti Semester DeNgAn PenGisiaN BerMaKna




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji dan sanjungan hanya untuk Allah, mudah-mudahan selawat dan salam dilimpahkan kepada hamba Allah dan Rasulnya, Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan para sahabatnya sekalian.

Minggu ini merupakan minggu terakhir bagi semester ini. Peperiksaan akhir semester 2010/2011 semakin tiba ke penghujungnya. Alhamdulillah kita diberi Allah kesempatan untuk menamatkan sesi pengajian semester ini dengan jayanya.Mudah-mudahan segala perkongsian ilmu yang diperoleh dari pensyarah-pensyarah yang kita kasihi tersemat teguh di ingatan dan menjadi amalan dalam kehidupan seharian kita.

Kami di barisan pimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam(PMFPI) mengucapkan selamat bercuti kepada semua sahabat mahasiswa/mahasiswi perbukitan ilmu yang kita cintai ini. Semoga cuti semester ini dapat kita gunakan sebaik-baiknya dengan pengisian yang bermanfaat. Sekadar perkongsian bersama, antara aktiviti bermanfaat yang boleh kita lakukan ialah mengaktifkan diri dengan membaca. Menurut Dr Aidh Al-Qarni, dalam bukunya ‘Asyiq, Aku, Buku dan Cinta,membaca adalah pintu masuk kepada keilmuan. Ilmu adalah sesuatu yang selalu dicari oleh para pahlawan, pencinta kejayaan, pengagum karya. Ia tidak pernah menolak cinta seseorang, tidak menjauh ketika di dekati. Ia terlalu akrab, selalu dekat. Bersamanya, anda akan diajak ke puncak kejayaan, meniti tangga kemuliaan dan naik menuju tangga kejayaan.

Ayuh kita selusuri kitab-kitab sirah perjuangan Rasulullah s.a.w,para sahabat dan golongan mukmin dalam menyebarkan dakwah Islam ke serata pelusuk dunia. Bantulah jua kedua ibu bapa dalam ruang kesempatan cuti ini dan eratkanlah hubungan silaturrahim sesama ahli keluarga dan sanak saudara. Bagi sahabat-sahabat yang mengambil kesempatan bekerja sewaktu cuti ini, semoga dapat menjalankan kerja dengan tekun kerana sesungguhnya Allah menyukai individu yang tekun dalam melaksanakan kerjanya. Bagi sahabat-sahabat yang mengambil short sem, teruskan perjuangan antum semua menuntut ilmu dengan semangat dan keazaman yang tinggi.

Akhir kalam, kami di barisan pimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) mengucapkan selamat bercuti kepada semua sahabat mahasiswa/mahasiswi. Hingga bertemu lagi pada sesi pengajian yang akan datang dengan izin Allah. InsyaAllah.~Salam ukhuwwah sekencang dakwah dari kami~

Tuesday, April 26, 2011

Salam takziah buat keluarga Allahyarham PM Dr Ahmad Redzuwan Mohd Yunus




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.Segala puji dan sanjungan hanya untuk Allah, mudah-mudahan selawat dan salam dilimpahkan kepada hamba Allah dan Rasulnya, Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan para sahabatnya sekalian.

Dukacita dimaklumkan bahawa Prof. Madya Dr. Ahmad Redzuwan Mohd. Yunus, Pensyarah Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam, telah kembali ke rahmatullah pada 22 April 2011 (Jumaat). Allahyarham juga bertugas sebagai Ketua Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Pengajian Islam, UKM. Jenazah Allahyarham telah selamat dikebumikan di kampung asal Allahyarham di Temerloh, Pahang.

Warga UKM mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang soleh.Amin ya Rabbal Alamin. Al Fatihah.(ewarga/bul/bil.25042011-102).

Sejenak bermuhasabah :
Cukuplah kmatian itu sebagai peringatan kepada kita semua bahawa dari Allah kita datang dan kepadaNya kita pasti kan kembali sebagaimana Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: ‘’Hendaklah kamu memperbanyakkan menyebut perkara-perkara yang akan melenyapkan kelazatan (mati).
H.R Tarmizi, Nasaie dan Ibnu Majah

Sabda Rasulullah s.a.w : ‘’Hendaklah kamu mengingati mati kerana mengingati mati itu boleh menghapuskan dosa dan mendorong seseorang itu zuhud di dunia’’.

Sabda Rasulullah s.a.w : ‘’ Memadailah mati itu sebagai nasihat’’


Sabda Rasulullah s.a.w :‘’Dengan banyak mengingati mati dan mengadakan persediaan yang lebih baginya,mereka itulah orang-orang pintar yang pergi dengan kemuliaan dunia dan kehormatan akhirat’’.
H.R Ibn Majah

Sabda Rasulullah s.a.w :‘’Hendaklah kamu hidup sebagai seorang yang mulia yang mana dunia tidak mempengaruhi kamu ataupun hendaklah kamu mati syahid’’.

Firman Allah:‘’Katakanlah,sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya itu tetap akan menemui kamu,kemudian itu kamu akan dikembalikan kepada Tuhan yang Maha Mengetahui segala yang tersembunyi dan yang nyata,maka Dia akan memberitahu kamu apa yang pernah kamu lakukan.’’
Surah al-Jumuah:8

Hakikat sebuah kematian itu pasti,namun seringkali kita alpa dan melupakan detik pengakhiran sebuah kehidupan yang merupakan jambatan untuk ke akhirat yang kekal abadi. Ayuh, kita bermuhasabah dan pertingkatkan amal soleh serta meninggalkan laranganNya.Mudah-mudahan kita mendapat keredhaanNya.Amiin ya Rabbal 'Alamin.

Saturday, April 9, 2011

AHLAN WASAHLAN IMTIHAN



WAN MUHAMMAD NAIF BIN MOHD NORDIN
YANG DIPERTUA
PERSATUAN MAHASISWA
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Pertama sekali marilah kita menzahirkan rasa kesyukuran kita kepada Allah s.w.t kerana dengan keizinanNya jualah kita masih mampu meneruskan misi kekhalifahan kita di muka bumi sehinggalah ke hari ini. Selawat dan salam juga pada junjungan kita Rasulullah s.a.w. Semoga kita beroleh syafaatnya di akhirat kelak.

Sempena peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi, saya mewakili Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI), ingin mengucapkan selamat menjalani peperiksaan akhir tahun bagi sesi 2010/2011. Setelah selesai 14 minggu kita mengorbankan masa dan kudrat, hari yang dinantikan bakal menjelma. Mungkin terdapat sedikit kegelisahan dalam hati kita semua, namun ia telah menjadi lumrah dalam kehidupan kita semua.

Menjelang peperiksaan yang hampir tiba, pastikan kita sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t dan memohon restu daripada ibu bapa kita, serta memohon maaf kepada pensyarah-pensyarah agar menghalalkan segala ilmu yang telah mereka ajarkan selama ini. Tidak lupa juga kita memohon maaf kepada rakan-rakan seperjuangan kita sepanjang perkenalan yang telah dilalui bersama. Insya’allah dengan restu daripada semua pihak, kita akan mendapat keyakinan dan keberkatan serta dapat melakukan yang terbaik dalam menghadapi peperiksaan itu.

Sebagai mahasiswa/i islam juga, perlu kita ingat, peperiksaan ini hanyalah jalan dan salah satu cabang untuk kita cemerlang nanti. Apa yang lebih penting bagi kita semua agar segala ilmu yang kita perolehi ini mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t di dunia mahupun di akhirat. Akhir kalam, sekali lagi, saya mewakili PMFPI mengucapkan selamat menduduki peperiksaan dan semoga anda semua beroleh kejayaan.

“ SASAR, USAHA , SABAR “

Monday, April 4, 2011

Munajat Cinta Pada Yang Esa





Buat sahabat mahasiswa dan mahasiswi,
Solat Hajat dan Ceramah Perdana akan diadakan sempena peperiksaan akhir semester yang akan bermula tidak lama lagi. Ayuh sahabat-sahabat, kita teruskan langkah menuju peperiksaan ini dengan bermunajat kepada Allah di samping mengisi jiwa dengan pengisian yang insyaAllah akan menyuburkan iman dan semangat untuk meneruskan perjuangan di medan ilmu ini.

Datang,Jangan tak Datang!!!
Sama-sama Kita meriahkan~