Monday, August 29, 2011

Perutusan Aidilfitri Yang Dipertua PMFPI

Yang Dipertua PMFPI


Salam ramadhan….salam eidulfitri….
Sedar atau tidak kita semua berada di penghujung ramadhan, yang semestinya pasti akan ditangisi oleh seluruh orang-orang beriman, namun pada yang sama ianya akan menjadi suatu kegembiraan bagi orang-orang yang tidak menghayati ibadat di bulan ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada Allah.

Sabda Nabi s.a.w :
جَاءِني جِبريلُ صلى الله عليه وسلم فَقال : شَقي عَبدٌ أَدركَ رمضانَ فانسَلخَ مِنهُ ولَم يُغفَر لَه فَقلتُ : آمِينَ ،
Ertinya : "Datang kepadaku Jibrail lalu berkata : " Celaka ke atas seorang hamba yang sempat bertemu Ramadhan dan keluar darinya tetapi tidak mendpaat keampunan terhadap dosa-dosanya, lalu aku (Rasulullah s.a.w) berkata : Ameen. (riwayat tirmidzi)

Selaku hamba Allah, sudah pasti kita semua tidak terlepas daripada berbuat dosa serta kesalahan, sama ada ianya berkaitan dengan Allah atau dengan manusia. Bagi seseorang yang berdosa dengan Allah, sudah tentu ianya mengharapkan keampunan serta rahmat daripada Allah sepanjang bulan ramadhan ini.

Namun bagi kesalahan sesama manusia, sama-samalah kita saling bermaaf-maafan serta ziarah menziarahi disamping syawal yang bakal menjelang tiba.

Justeru, dikesempatan ini barisan kepimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam menyusun sepuluh jari ingin memohon ribuan ampun dan maaf khususnya kepada seluruh warga Fakulti Pengajian Islam dan warga UKM amnya. Semoga kita semua menjadi hamba Allah yang benar-benar bertaqwa. Selamat Hari Raya Aidilfitri Maaf Zahir & Batin

~ Islam Menerajui Kepimpinan Madani ~

Saturday, August 20, 2011

Promosi Hebat!!! Jom Hebohkan!!!



Kita sering mendengar dan melihat promosi-promosi hebat yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat atau premis-premis samada di internet, television, radio, surat khabar dan lain-lain. Lebih-lebih lagi ketika hampir menyambut sesuatu perayaan. Pelbagai diskaun, boucer serta hadiah ditawarkan untuk meraih kehadiran pengunjung ke premis-premis mereka. 

Maka, berduyun-duyun manusia mengunjungi premis tersebut untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan sekalipun mereka tidak mendapat pulangan yang sewajarnya.
Namun, sedarkah kita tentang promosi hebat yang telah tersedia di bulan Ramadhan? Sedarkah kita ganjaran hebat disediakan kepada pengunjung premis ini? Sedarkah kita tentang rahmat serta keampunan Allah terdapat dalam bulan ini?

Sedar tidak sedar, kini kita sudah berada di penghujung bulan Ramadhan. Ada baiknya jika kita renung kembali; adakah kita pasti bahawa ibadah puasa yang telah kita laksanakan diterima oleh Allah? Apakah kita masih melakukan perkara-perkara yang boleh mencacatkan pahala puasa?Apakah puasa kita layak diberi ganjaran oleh Allah, atau sekadar lapar dan dahaga tanpa sebarang pahala?

Persoalan tersebut hanya boleh dinilai oleh diri kita sendiri sahaja. Hal ini demikian kerana ibadah puasa adalah rahsia antara seorang hamba dengan tuhannya.

Nabi Muhammad SAW telah bersabda :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa dibulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan (untuk mendapat ganjaran), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”(Hadith riwayat al-Bukhari, Kitab Solat al-Tarawih, Bab Fadh Laillat al-Qadr).
Antara hikmah puasa ialah untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah sepertimana firmanNya :


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya : “Wahai orang-orang Yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (Al-Baqarah : 183).
Namun, apakah kita benar-benar bertambah ketakwaan kepada Allah setelah hampir sebulan berpuasa, atau bertambah kebencian kita terhadap agamaNya? Apakah kita masih bersemangat melaksanakan amal ibadah, atau jiwa kita semakin lalai dan malas mengerjakannya? Apakah pada sepuluh malam terakhir ini kita semakin banyak membaca al-Quran, banyak bersedekah, berictikaf, banyak berzikir dan istighfar, atau menghabiskan masa dengan lepak dipusat membeli-belah, membuat persiapan hari raya yang berlebihan, meninggalkan solat terawih,banyak berbual kosong serta kurang membaca al-Quran?

Adalah suatu perancangan yang bijak jika kita menggunakan segala peluang yang ada dibulan Ramadhan ini lebih-lebih lagi pada sepuluh malam terakhir ini untuk merebut peluang yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain. Merebut peluang keberkatan dan ganjaran pahala pada malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
 
Maksudnya : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Surah Al-Qadr : 1-5)
Alangkah baik sekiranya peluang keemasan tersebut digunakan semaksima mungkin. Kerana segala amalan yang dikerjakan pada malam tersebut akan diberi ganjaran berlipat kali ganda… Alangkah bijaknya bagi orang-orang yang merancang mengumpulkan ganjaran-ganjaran yang banyak untuk bertemu Allah di akhirat kelak… Alangkah bertuahnya orang yang meminta, meraih & merintih keampunan daripada Allah pada malam yang terpilih tersebut… Alangkah…

Rasulullah SAW sendiri telah melipatgandakan amalan baginda pada sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadhan, inikan lagi kita sebagai hamba yang banyak melakukan maksiat dan sedikit melaksanakan taat…
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ : كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ
Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan, Baginda akan akan mempertingkatkan amal ibadah, menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarga baginda” (Hadith riwayat Al-Bukhari, Kitab Solat Tarawih, Bab al-cAmal Fi al-cAsyr al-Awakhir min Ramadhan)

Lailat al-Qadr merupakan satu anugerah Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW yang tiada siapapun tahu bila berlakunya malam tersebut. Sungguhpun demikian, baginda menasihatkan umatnya supaya sentiasa memperbanyakkan amal ibadah khususnya pada malam-malam ganjil dalam bulan Ramadhan. Sabda Nabi SAW :
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنْ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
Maksudnya : “Carilah malam al-Qadr pada malam ganjil sepuluh terakhir Ramadhan” (Hadith riwayat Al-Bukhari, Kitab Solat Al-Tarawih, Bab Tahri Lailat al-Qadr Fi al-Witr Min al-cAshri al-Awakhir)
Langkah terbaik untuk tidak terlepas peluang keemasan tersebut, kita dikehendaki terus beristiqamah melakukan amal ibadat serta memperbanyakkan lagi pada sepuluh malam terakhir terutamanya pada malam-malam ganjil. Janganlah kita jadikan persiapan untuk menyambut hari raya sebagai alasan untuk tidak membuat persediaan menyambut malam al-Qadr.

Islam tidak melarang kita membuat persediaan bagi memeriahkan sambutan hari raya. Ini kerana hari raya ialah hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menumpaskan hawa nafsu dan syaitan. Namun, janganlah kita mengabaikan nilai dan roh Ramadhan seolah-olah puasa yang telah kita kerjakan langsung tidak memberi kesan baik kepada kita.

Solat Tarawih yang kita kerjakan setiap malam pada bulan Ramadhan sepatutnya dapat membiasakan kita mengamalkan solat-solat sunat pada bulan-bulan lain. Kesabaran menahan lapar dan dahaga sepanjang siang Ramadhan sewajarnya menjadikan diri kita lebih sabar pada bulan-bulan berikutnya. Amalan bersedekah dan memberi makan kepada yang berpuasa pada bulan Ramadhan seharusnya diteruskan pada bulan-bulan yang akan datang. Inilah roh yang perlu diambil oleh orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan.

Masih belum terlambat lagi untuk kita kembali memanfaatkan bulan yang mulia ini. Masih belum terlewat lagi untuk kita meminta keampunan kepada Allah atas dosa dan kesalahan kita. Masih belum tamat lagi masa untuk kita meningkatkan amal ibadat dan ketakwaan kita kepada Allah…

Thursday, August 18, 2011

Ramadan kian berakhir...

Sedar atau tidak, setiap detik dan saat tetap berlalu meninggalkan kita. Setiap detik dan ketika akan menjadikan kita semakin hari semakin tua dan hal ini akan berlaku secara berterusan tanpa menghiraukan seseorang samada menggunakan waktu tersebut sebaik mungkin atau sebaliknya.
Umat Islam sepatutnya bergembira dan bersyukur dengan kedatangan Ramadhan kerana telah menjanjikan seribu satu kelebihan dan keistimewaan untuk direbut. Muslim Mukmin yang berjaya akan terus berusaha merebut serta menggunakan segenap peluang yang ada untuk menghidupkan Ramadhan dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Firman Allah yang bermaksud :



 “Wahai orang-orang Yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (Al-Baqarah : 183).

Nabi SAW telah bersabda dalam satu hadith :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa dibulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan (untuk mendapat pahala), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Dan barang siapa yang bangun (mengerjakan ibadah) pada malam qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”. (Hadith riwayat al-Bukhari, Kitab Solat al-Tarawih, Bab Fadh Laillat al-Qadr).
Puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit matahari sehingga terbenam matahari disertai dengan niat. Antara perkara yang perlu dilakukan sepanjang bulan Ramadhan ialah :
1. Banyakkan membaca Al-Quran, bertadarus serta tadabbur maknanya.
2. Mengerjakan solat samada fardhu atau sunat secara berjemaah di masjid
3. Bersedekah dan memberi makan kepada kerabat, sahabat, jiran, fakir miskin dan sebagainya
أَنَّ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ
Maksudnya : “Adalah Nabi SAW itu manusia yang paling baik (pemurah) dengan membuat kebajikan. Dan baginda paling pemurah pada bulan Ramadhan” (Hadith riwayat Al-Bukhari, Kitab Al-Saum, Bab Ajwada Ma Kana al-Nabi SAW Yakunu Fi Ramadhan)
4. Beriktikaf di dalam masjid terutamanya sepuluh malam terakhir
5. Tidak berbual kosong
6. Menjaga tutur kata
7. Melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah
8. Mengingati Allah
9. Berselawat keatas Nabi SAW
Janganlah kita rosakkan pahala puasa kita dengan melakukan perkara-perkara yang di tegah seperti mengumpat, memfitnah, memburuk-burukkan orang lain dan sebagainya. Nabi SAW bersabda :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Maksudnya : “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk serta beramal dengannya, Allah tidak berhajat kepada puasa mereka” (Hadith riwayat Al-Bukhari, Kitab Al-Saum, Bab Man Lam Yada’ Qaul Al-Zur)

Rasulullah SAW bersabda :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Maksudnya : “Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa kebaikan daripada puasa tersebut kecuali lapar. Berapa ramai orang yang bangun malam tetapi tidak mendapat apa-apa daripada bangun tersebut kecuali letih” (Hadith riwayat Ibn Majah, Kitab Al-Siyam, Bab Ma Jaa fi al-Ghibah wa al-Rafasa li al-Siyam. Hadith Hasan Saheh)

Wednesday, August 17, 2011

NUZUL AL-QURAN


شهر رمضان الذى أنزل فيه القرءان هدى للناس وبينات من الهدى والفرقان


Maksudnya : “(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah” (Al-Baqarah : 185)


Manusia tidak dapat mencapai pembangunan tamadun yang tinggi lagi hakiki tanpa bimbingan Al-Quran.


Sejarah mencatatkan bahawa Al-Quran telah diturunkan pada malam 17 Ramadhan. Surah al-Alaq ayat satu hingga lima merupakan wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW dan merupakan pembukaanlembaran baru dalam sejarah kehidupan dan ketamadunan manusia di alam ini khususnya di tanah Arab.


Daripada kehidupan jahiliyyah yang penuh dengan penindasan, kezaliman politik, sosial dan ekonomi berubah kepada kehidupan yang penuh dengan kasih-sayang, bekerjasama serta kepatuhan kepada ajaran yang murni. Daripada kebobrokan sistem pengibadatankepada kebenaran tauhid kepada Allah. Kemunculan orang yang mampu mengubah sistem yang rapuh kepada sistem yang adil serta mampu memberi hak kepada yang sepatutnya sangat dinantikan oleh masyarakat yang sangat dahagakan kebenaran.


Mereka bersatu diatas satu akidah, satu matlamat, satu hasrat dengan menjadikan al-Quran sebagai panduan serta pedoman hidup walaupun melalui cara dan pelaksanaan yang berbeza. Maka tidak hairanlah masyarakat pada zaman tersebut telah dijelaskan di dalam al-Quran sebagai satu umat yang terbaik, masyarakat yang sangat tekun dan sabar dalam melaksanakan sesuatu urusan.Justeru, dari sinilah lahirnya seorang petani, peniaga dan penternakdan pekerja yang bukan sahaja berjaya dalam kerjaya masing-masing, tetapi juga seorang yang sabar, tekun dan bertakwa dalam menghadapi kehidupan.


Penurunan al-Quran sebenarnya telah memberi tambahan nilai dan membina kualiti hidup sebagai modal insan sebenar yang tidak pernah dirasai oleh umat manusia sebelum ini.Nilai-nilai akhlak al-Quran yang dijelmakan dalam kehidupan baginda SAW menjadikan manusia lebih berkualiti dan bernilai dalam melaksanakan tugas-tugas seharian.Semua ini merupakan hasil daripada pemahaman roh al-Quran.Al-Quran menjadikan hidup mereka sentiasa berkembang.Al-Quran menjadikan pemikiran mereka sentiasa merentasi zaman.


Hasil daripada didikan al-Quran, umat Islam telah berjaya membongkar sebahagian daripada rahsia alam yang kemudiannya melahirkan pelbagai disiplin ilmu seperti ilmu matematik, falak, perubatan, psikologi, geografi, geologi, forensik dan lain-lain.Kita berbangga dengan tokoh-tokoh pemikir Islam yang tidak asing lagi bagi kita seperti Ibn Rusd, Ibn Sina, Ibn Khaldun, Khawarizmi, Al-Kindi dan lain-lain.Mereka bukan sahaja menguasai satu bidang ilmu, bahkan mereka menguasai semua bidang ilmu yang berkaitan dengan kehidupan samada berbentuk duniawi mahupun ukhrawi.


Umat Islam hari ini perlu sedar bahawa peristiwa Nuzul Al-Quran bukan semata-mata hari kelepasan umum untuk bercuti, bahkan kita perlu memahami erti disebalik peristiwa yang berlaku.Penurunan al-Quran telah membawa perubahan yang besar dalam landskap masyarakat. Perubahan ini telah tersemat di dalam sejarah ketamadunan masyarakat apabila mereka telah menjadikan Islam sebagai cara hidup yang menyeluruh tidak kira samada dalam sistem pendidikan, politik, sosial, ekonomi dan sebagainya.


Kesimpulannya yang boleh diambil melalui peristiwa Nuzul al-Quran ialah :

1. Masyarakat Islam sepatutnya sedar bahawa Islam merupakan cara hidup yang lengkap dan sempurna, meliputi seluruh aspek kehidupan serta berbangga dengannya.

2. Al-Quran telah menunjuk jalan dan cara bagaimana kecemerlangan boleh dicapai.

3. Al-Quran memandu arah kehidupan umat Islam supaya menjadi umat yang hebat dan berjaya

4. Islam menuntut umatnya supaya gigih berusaha, kuat, hebat dan memiliki perancangan yang baik dalam hidup.

5. Perlaksanan titah perintah Al-Quran menjadikan masyarakat Islam dipandang tinggi dan beridentiti serta dikagumi kawan dan lawan.

6. Al-Quran telah membawa rahmat keseluruh alam dengan membawa perubahan yang lebih baik samada dalam aspek pendidikan, politik, sosial, ekonomi dan sebagainya.
Justeru, marilah sama-sama kita membaca al-Quran, tadabbur maknanya serta mengamalkan segala titah perintahnya tanpa rasa ragu dan gelisah. Jadikanlah Ramadhan kali ini lebih baik daripada Ramadhan selelumnya…


Monday, August 15, 2011

Al - Quran di Hati



Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji dan sanjungan hanya untuk Allah, mudah-mudahan selawat dan salam dilimpahkan kepada hamba Allah dan Rasulnya, Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan para sahabatnya sekalian. Alhamdulillah, segala puji dan pujian dirafakkan ke hadrat Allah s.w.t yang masih lagi menganugerahkan kita iman dan islam, memberi kita rahmat dan kasih sayangNya tanpa putus. Pemeliharaannya terus dipohon oleh kita, sekalian hambaNya di jalan mujahadah ini.

Menelusuri hari demi hari di dalam bulan yang penuh keberkatan, Ramadhan al-Mubarak. Bulan Ramadhan merupakan bulan untuk mendidik dan mentarbiyah diri menjadi hamba yang bertaqwa kepada Allah s.w.t. Firman Allah S.W.T di dalam Al Quran Surah Al-Baqarah, ayat 183 bermaksud: "Wahai orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu supaya kamu bertaqwa.

Perkara paling penting dalam bulan Ramadhan ialah takwa kerana itulah matlamat utama dari ibadah yang dilaksanakan di dalam bulan ini. Takwa hanya mampu digapai melalui hidayah dari Allah s.w.t . Hati yang dianugerahi hidayah oleh Allah s.w.t akan memandu anggotanya untuk melakukan kebaikan. Kaki dipandu untuk ke masjid, lidah dipandu untuk membaca al-Quran, tangan akan dipandu untuk bersedekah dan begitulah jua anggota-anggota yang lain dengan izin Allah s.w.t.

Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah, pada bulan Ramadhan ini telah diturunkan al-Quran yang disebut juga sebagai nuzul al-Quran. Al-Quran merupakan petunjuk serta panduan kehidupan bagi manusia sebagai hamba dan khalifah Allah s.w.t di muka bumi ini. Firman Allah s.w.t di dalam surah al-Baqarah ayat 185 bermaksud : Bulan Ramadhan adalah (bulan) yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan pembeza (antara yang benar dan batil).

Di dalam surah al-Qadr, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam al-Qadr. Menurut al-Baghawi dalam tafsirnya, ganti nama dalam kata kerja (انَّا أَنْزَلْنَاهُ) menunjukkan kehebatan al-Quran yang diturunkan sekaligus pada malam al-Qadr dari Luh Mahfuz ke langit dunia (al-sama’ al-Dunya), kemudian ditempatkan di Bait al ‘Izzah untuk disampaikan oleh malaikat Jibril a.s kepada Nabi Muhammad s.a.w secara beransur-ansur sesuai dengan perkembangan masa dan cara berfikir masyarakat pada ketika itu. Penurunan al-Quran berjalan dalam tempoh melebihi 20 tahun. Ini adalah pandangan yang diriwayatkan daripada Ibn. Abbas r.a seperti yang dinyatakan oleh Ibn Kathir dalam tafsirnya.

Peringatan Nuzul al-Quran (penurunan al-Quran) sewajarnya dijadikan sebagai momentum untuk kembali menjadikan al-Quran sebagai panduan kehidupan, bukan hanya sekadar dibaca dan disimpan. Semarakkanlah Ramadhan ini dengan memperbanyak bacaan al-Quran, berusaha memahami makna dan beramallah dengan kandungannya. Memahami al-Quran membawa kita mengenali di antara dosa dan pahala, syurga dan neraka. Ia umpama lampu yang menerangi gelap pekat jahiliyyah.

Al-Quran kalamullah, surat cinta dari pemilik cinta yang Maha Agung. Setiap patah ayatnya mempunyai mesej tertentu yang amat berkait dengan kehidupan manusia. Membawa mesej yang jelas mengenai ketuhanan, syariah dan kehidupan, akhlak dan peradaban serta contoh teladan dari kisah-kisah umat-umat terdahulu. Pohonlah doa dari Allah, mudah-mudahan setiap ruang dan peluang yang ada mampu kita gunakan untuk membaca dan mentadabbur al-Quran dan terus istiqamah sehingga ke akhir hayat. Akhir kalam, al-Quran di hati..






Saturday, August 6, 2011

MENDIDIK DIRI MELALUI UNIVERSITI RAMADHAN

Segala kepujian dan kesyukuran di atas segala kenikmatan yang diberikan oleh Allah s.w.t pentadbir seluruh alam.Allah s.w.t mengurniakan kepada seluruh hambaNya terutamanya kita umat Islam 12 bulan mulia,bermula dengan Muharram dan berakhir dengan ZulHijjah.Setiap bulan mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang telah Allah tetapkan kepada kita.Di dalam 12 bulan yang Allah s.w.t kurniakan kepada umat Islam terdapat satu bulan yang paling istimewa iaitu bulan Ramadhan.

Secara umumnya telah kita ketahui bahawa bulan Ramadhan kita diwajibkan untuk mengerjakan ibadah puasa .Ada dikalangan umat Islam apabila datangnya bulan ini merasa sedih kerana tidak dapat makan dan minum pada siang hari iaitulah golongan fasik yang sentiasa melakukan kemaksiatan kepada Allah.Terdapat juga umat Islam yang bergembira dengan kedatangan bulan ini iaitulah golongan yang beriman kepada Allah kerana mereka mengetahui kelebihan dan keistimewaan bulan ini dari bulan-bulan yang lain.Allah s.w.t telahmenyebut di dalam Al-Quran tentang bulan Ramadhan sebagaimana firmanNya:

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرأن
Bulan Ramadhan adalah bulan yang diturunkan padanya Al-Quran

Nabi Muhammad s.a.w sentiasa mendoakan kedatangan bulan Ramadhan sebagaimana hadis yang disabdakan Baginda:
اللهمّ بارك لنا في رجب و شعبان وبلّغنا رمضان
Ya Allah berilah keberkatan kepada kami dalam bulan Rajab dan Syaaban serta sampaikanlah kepada kami bulan Ramadhan

Doa yang diucapkan Baginda Nabi Muhammad s.a.w menunjukkan betapa istimewanya bulan Ramadhan sehingga ditunggu-tunggu kemunculannya dan ditangisi pemergiannya.Apakah keistimewaan bulan ini?

Persoalan ini sentiasa timbul bagi golongan awam yang hanya berpuasa sekadar menahan diri dari makan dan minum pada siang hari sedangkan perkara-perkara haram lain tetap dilakukan.Maka teramat rugilah golongan ini kerana tiada apa-apa yang diperolehi oleh mereka melainkan lapar dan dahaga sebagaimana disabdakan Nabi Muhammad s.a.w:

كم من صائم ليس له من صيامه إلا الجوع والعطش
Berapa ramai mereka yang berpuasa tetapi tiada apa-apa yang diperolehi melainkan lapar dan dahaga.

Ulamak telah membahagikan peringkat-peringkat puasa kepada tiga bahagian:
Pertama ialah puasa awam iaitu menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Kedua ialah puasa khusus iaitu menahan diri dari melakukan perkara membatalkan puasa dan menahan pandangan,lidah,telinga,tangan,kaki,kemaluan dan hati dari melakukan maksiat kepada Allah s.w.t.
Ketiga ialah puasa khusul khusus(khusus kepada yang khusus) iaitu menahan diri dari mengingati selain Allah s.w.t,tiada dalam dirinya terpaut dengan sesuatu melainkan hanya Allah sahaja di dalam hati sanubari mereka.

Melihat kepada pembahagian inilah ulamak mengatakan bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan latihan kepada umat Islam kerana pada waktu siangnya berpuasa,pada waktu malamnya beribadah kepada Allah s.w.t melalui ibadah tarawikh dan ibadah sunat yang lain yang disunatkan Allah kepada umat Islam melaksanakannya dan ibadah sunat tarawikh ini tiada terdapat pada bulan-bulan yang lain .Umat Islam juga digalakkan melaksanakan segala macam ibadah sunat yang lain kerana pada bulan Ramadhan segala kebaikan digandakan oleh Allah s.w.t lebih dari gandaan pada bulan-bulan selain ramadhan.
Kita sebagai umat Islam sepatutnya melihat dan menilai sejauh mana tahap ibadah kita sebelum kita melangkah masuk ke dalam bulan Ramadhan yang mulia ini agar andai kata tahap ibadah kita masih di takuk lama,kita pertingkatkan dari masa ke masa agar bulan Ramadhan yang bakal menjelma tidak berlalu begitu sahaja tanpa kita mengambil segala macam kebaikan yang terkandung di dalamnya.Oleh sebab itu ulamak mengesyorkan kepada kita untuk melihat sejauh mana kejayaan kita mendidik diri di dalam bulan ramadhan lihatlah amalan kita selepas bulan ramadhan sama ada semakin bertambah atau berkurang,andaikata selepas berlalunya bulan Ramadhan ibadah kita semakin menurun,itu menunjukkan kita gagal mendidik diri sepanjang bulan ramadhan.

Ilmu Untuk Di Amalkan Bukan Untuk Tatapan