Monday, October 17, 2011

INTERAKSI PMFPI BERSAMA TAHUN SATU



Sesegar hijau daunan, begitulah kita diibaratkan
Tiada siapa yang bisa memisahkan kita, antara kita semua
DAN...

Seerat simpulan yang tidak terbuka, seteguh langit tinggi menongkah dunia
Kita mengharung badai atas nama, kasih insan bersaudara

Assalamualaikum..
Dengan penuh  ukhuwwah dan persahabatan..
Buat sahabat- sahabat mahasiswa/ I tahun satu Fakulti Pengajian Islam, program  Interaksi bersama Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) akan diadakan pada  20 OKTOBER 2011 ini jam 8.00 MALAM di  FSSK 3F 201.  Pelbagai aktiviti menarik disediakan khas buat semua yang pastinya menarik dan dekat di hati. Jom2, ikuti dialog bersama pimpinan dan  dialog LC. Tambah menarik, cabutan bertuah juga disediakan. Makanan dan pengangkutan juga disediakan untuk kemudahan pulang ke kolej. Apa tunggu lagi, ayuh sama-sama kita meriahkan INTERAKSI PERSATUAN MAHASISWA FAKULTI PENGAJIAN ISLAM (PMFPI) pada tarikh, masa dan tempat yang dijanjikan. Jumpa di sana!!!
~ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI

Sunday, October 16, 2011

Isu Pembuangan Bayi : APA KAITANNYA DENGAN TAHUN BARU ?

Iklim sosial negara kita kian hari kian teruk dan parah. Nilai maruah dan harga diri telah turun semurah sekeping kad prepaid. Apabila maruah dan harga diri boleh dilelong dan digadai semurah itu, apalagi nilai yang ada pada manusia seperti itu untuk dipertahankan. Mereka akhirnya menjadi hamba nafsu yang tidak lagi mengenal syurga dan neraka atau dosa dan pahala. Hidup mereka diabdikan kepada perut dan apa yang berada di bawah perut. Rosak nilai, hancur maruah dan binasa tamadun.


Isu pembuangan bayi sudah lama diperkatakan tidak kira di media massa mahupun media elektronik. Inilah realiti yang berlaku  pada masyarakat kita pada masa kini. Anak-anak remaja kini terutamanya remaja Melayu yang beragama Islam tidak lagi mengenal dosa atau pahala. Maksiat dan aktivit seksual yang bebas berlaku di mana-mana sahaja.


Masalah sosial di negara kita semakin membimbangkan. Sungguh menakutkan apabila statistik jenayah rogol, zina dan pembuangan bayi semakin berleluasa. Bermula dengan pergaulan bebas, pil ectasy, dadah, arak, pusat pelacuran, filem porno, laman lucah. Tindakan membuat sekatan ke atas majlis agama, sekolah agama rakyat (SAR), mengurangkan subjek Pengajian Islam di Pusat Pengajian Tinggi, mengambil tindakan ke atas khatib yang tidak bertauliah telah menyuburkan lagi perkara-perkara yang mungkar dan maksiat yang sedang berleluasa ini.


Menurut pemerhatian yang dibuat dapat kita perhatikan untuk tempoh beberapa tahun seperti menunjukkan satu trend bahawa bulan Julai, Ogos dan September adalah bulan yang yang cukup banyak berlaku kes pembuangan bayi yang dilaporkan dan ditemui.


Bulan Disember adalah bulan terakhir bagi setiap tahun menurut kalender Masihi. Sudah menjadi adat kebiasaan, negara kita akan menyambut kedatangan Tahun Baru detik 12 a.m pada 1 Januari dan sambutan itu akan disajikan dengan pesta-pesta, konsert hiburan dan tari-menari. Tentunya pula pesta-pesta tersebut akan diserikan lagi dengan minuman arak, pil ectasy, pil kuda dan pelbagai bahan khayal untuk membekalkan tenaga kepada melakukan maksiat semaksima yang mungkin.


Maka natijahnya, dalam bulan Julai atau Ogos atau September kemudian penuhlah di kaca-kaca televisyen dan di dada-dada akhbar dan majalah mengenai kes pembuangan bayi berlaku di merata tempat. Kebanyakannya yang ditemui mati dalam keadaan yang menyedihkan dan ada yang benasib baik ditemui dalam keadaan masih hidup. Tong sampah, tempat pembuangan sampah, lubang tandas, tempat awam seperti di masjid, dalam komuter, tandas awam, dan sebagainya menjadi tempat di mana bayi-bayi malang tersebut dijumpai.


Adakah kita sudah layak digelar masyarakat yang tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan sepertimana yang terjadi pada zaman Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam? Kanak-kanak terutamanya bayi perempuan dibunuh dan ditanam hidup-hidup  untuk menutup malu dan hanya untuk mempertahankan maruah keluarga. Tetapi lihatlah apa yang telah terjadi pada zaman sekarang. Bayi-bayi yang baru lahir dilayan sebegitu tanpa rasa belas kasihan dan mereka dibuang merata-rata demi untuk menutup malu dan menjaga maruah orang yang melakukan.


Allah s.w.t. sudah pun menceritakan dua bentuk pembunuhan, yang disandingkan bersama dosa induk yang menjadi puncanya.
Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang sangat besar                                                                                                            (surah al-Israa’ 17:31)

Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan ahli warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah dia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syara’)                                                                                                                                                                (surah al-Israa’ 17:33)

Kes pembuangan bayi semakin meningkat dari hari ke hari. Oleh itu, banyak pihak yang mengambil inisiatif untuk membendung masalah sosial ini misalnya kerajaan negeri Selangor yang sentiasa meletakkan komitmen paling tinggi dalam memerangi masalah gejala sosial terutama masalah pembuangan bayi memandangkan negeri Selangor dilaporkan mempunyai kes yang semakin meningkat saban tahun.


Terdapat banyak program yang dianjurkan melalui Jawatankuasa Pelaksana Program Generasi Idaman Selangor (GeMS)  yang  memberi fokus kepada sambutan hari perayaan yang sering menjadi tumpuan anak muda berhibur. Kempen anti zina berkala pula dilakukan pada malam Merdeka, malam Tahun Baru dan malam sambutan Valentine. Itu adalah ‘wake up call’ untuk masyarakat itu sendiri supaya mereka sedar zina ini adalah gejala yang merosakkan masyarakat.


Kerajaan juga turut berusaha untuk membasmi gejala ini. Kempen, pertujukan, denda seperti penjara 20 tahun kepada sesiapa yang didapati bersalah melakukan jenayah ini juga telah dijalankan, namun usaha ini belum menampakkan hasil malah ianya semakin menjadi-jadi sehingga tidak dapat dibendung lagi.

Yang lelaki, budak-budak muda pakai seluar ketat,
Semua nak tunjuk kuat,
Yang perempuan pakai mini sekerat,
Suka pakai baju ketat,
Silap gaya jadi gawat, bohsia bohjan lagi hebat,
Duduk jauh berkirim surat,
Bila berjumpa, tangan berjabat,
Kemudian pakat lawan peluk siapa erat,
Masa tu nafas naik sampai tersekat-sekat.
Akhirnya perut kempis dah jadi bulat,
Apabila perut kempis dah jadi bulat,
 Maka lahirlah pula anak-anak yang tak cukup sifat.
Bila anak-anak tak cukup sifat,
Masa  tu kita tengok banyak bayi dibuang di merata tempat.
(petikan dari ucapan Ustaz Akil Hayy Rawa).


*Dari Lajnah Kebajikan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia(PMFPI UKM)


~ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI~

BERAKHIRNYA LIGA PIALA DEKAN 2011/2012..TAHNIAH KEPADA SEMUA YANG TERLIBAT!

Alhamdulillah, syukur kepada Allah dengan izinnya sempurna sudah Majlis Perasmian Penutup Liga Piala Dekan sesi  berlangsung di Stadium UKM malam tadi. Alhamdulillah segala yang dirancang berjalan dengan lancar tanpa sebarang kesulitan, bahkan keadaan dilihat sangat baik dari jangkaan awal. terima kasih kepada semua warga FPI dari kalangan pensyarah dan para pelajar yang sudi memeriahkan majlis tersebut. Dengan berakhirnya majlis perasmian penutup tersebut, maka Program Liga Piala Dekan sesi 2011/2012  anjuran Lajnah Sukan dan Rekreasi Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam(PMFPI) dengan kerjasama Lajnah Sukan Kelab-kelab Jabatan FPI telah selamat melabuhkan tirainya setelah seminggu berlangsung. 

Setinggi-tinggi penghargaan buat seluruh warga FPI atas kerjasama yang cukup baik dalam menjayakan Liga Piala Dekan kali ini. Khususnya jutaan terima kasih yang tak terhingga buat semua exco sukan setiap kelab jabatan kerana memberikan komitmen yang cukup baik bagi melancarkan perjalanan LPD yang berlangsung dari 8-14 Oktober 2011. jasa baik kalian hanya Allah yang mampu membalasnya. Juga terima kasih buat semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam menjayakan LPD kali ini. 

Mohon maaf jika ada sebarang kekurangan dan kekhilafan sepanjang berlangsungnya LPD ini. Dan TAHNIAH buat semua atlet yang mengambil bahagian. Semoga penyertaan kita dalam LPD ini diterima oleh Allah sebagai satu ibadah dalam usaha mendekatkan diri kepada Allah.


Keputusan Penuh Liga Piala Dekan 2011/2012

Bola Sepak
Emas : Nahdhah         
Perak : Hujjah
Gangsa : Jannah

Sepak Takraw :
Emas : Jannah
Perak : Jakma
Gangsa : Nahdhah

Bola Jaring :
Emas : Nahdhah
Perak : Hujjah
Gangsa : Kufah

Bola Tampar Lelaki :
Emas : Kufah
Perak : Kufah
Gangsa : Jannah

Bola Tampar Muslimat :
Emas : Jakma 
Perak : Nahdhah
Gangsa : Kufah

Badminton Lelaki :
Emas : Jannah
Perak : Kufah
Gangsa : Jakma

Badminton Muslimat :
Emas : Jakma
Perak : Nahdhah
Gangsa : Kufah

Pingpong Lelaki :
Emas : Jakma
Perak : Hujjah
Gangsa : Kufah

Pingpong Muslimat :
Emas : Nahdhah
Perak : Hujjah
Gangsa : Jannah

Pertandingan Perarakan :
1. Hujjah
2. Nahdhah
3. Jakma

Keputusan Keseluruhan : 
1.Johan - Nahdhah (3 Emas, 2 Perak, 1 Gangsa)
2.Naib Johan -Jakma (3 Emas, 1 Perak, 1 Gangsa)
3.Ketiga - Jannah (2 Emas, 0 Perak, 3 Gangsa)
4.Keempat - Kufah (1 Emas, 2 Perak, 4 Gangsa)
5.Kelima - Hujjah (0 Emas, 4 Perak, 0 Gangsa)

*tidak termasuk Perarakan

Jumpa lagi tahun hadapan!!! :)


~ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI~

Saturday, October 15, 2011

Ulasan CITRA SISWI 1: "Tautan Hati"

Citra siswi pada kali ini mebawakan tajuk yang menarik iaitu “Tautan Hati”  yang dapat kita fahami secara umumnya merujuk kepada ukhwah. Namun setelah mendengar ceramah yang telah disampaikan oleh  Ustazah Nur Hanisah Afandi tadi, dapat dirumuskan bahawa tajuk ini juga  sangat berkait rapat dengan kehidupan kita seharian iaitu sebagai khalifah Allah serta Da’i di atas  muka bumi ini sebagai hamba Allah iaitu berkaitan dengan peranan kita sebagai seorang musliamah, peranan sebagai mahasiswa muslimah dan peranan kita sebagai seorang mahasiswa Fakulti Pengajian Islam yang pada masa yang sama membawa imej Islam itu sendiri. Bagi melaksanakan peranan ini kita hendaklah mempersiapkan diri sebagai seorang muslimah yang solehah dengan mempertingkatkan amalan serta mendalalmi ilmu-ilmu agama yang hendaklah dicermin dan dipamerkan melalui tingkah laku iaitu bersungguh-sungguh dalam belajar dan mendalami ilmu dengan menggunakan dan manfaatkan masa dan peluang yang ada sebaik mungkin.
            
             Dalam masa yang sama kita juga hendaklah bersyukur kepada Allah kerana telah menempatkan kita di Fakulti Pengajian Islam dan menjadikan kita insan pilihan-Nya yang telah ditautkan hati disini untuk mendalami ilmu agama dan mananamkan minat dan semangat yang tinggi dalam menuntut ilmu. Selain itu, kita hendaklah sedar bahawa peranan muslimah sangat penting dalam masyarakat sebagai seorang pendidik yang bertanggungjawab untuik menyampaikan Islam kepada masyakat jadilah seorang yang betul-betul bersemangat untuk menjadi bakal penyelamat ummah deangan membuka minda dan menyedarkan diri kita tentang tanggungjawab kita masuk dan bergaul dalam masyarakat untuk menyampaikan Islam dan tidak perlu takut kerana kita tidak keseorangan dalam melaksanakan tugas ini.
            
             Justeru itu, kita haruslah berjiwa besar dan buka minda kita serta sedar tanggungjawab kita sebagai seorang muslimah iaitu dengan menjaga diri kita, maruah, hati dan sahabat-sahabat kerana semua akan membuatkan kita dapat merasa kemanisan daripadanya. Saya berharap agar Program Citra Siswi akan terus disokong oleh siswi-siswi Universiti Kebangsaan Malaysia sama ada dari Fakulti Pengajian Islam dan fakulti-fakulti lain dan semoga yang akan datang akan lebih menarik lagi insyaAllah..

~ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI~

Ulasan NUR QALBI 2: "Anjakan Paradigma Merealisasikan Impian"

Dengan nama Allah, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..Alhamdulillah, segala puji dan pujian ditujukan kepada Allah s.w.t  di atas nikmat Iman dan Islam yang dianugerahkan kepada kita, sekalian hambanya. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan para sahabat. Salam pertemuan buat sahabat-sahabat yang dikasihi Allah s.w.t.

Alhamdulillah, Siri Kedua Nur Qalbi  telah berlangsung pada hari Khamis (13 Oktober) di Masjid UKM yang bertajuk ANJAKAN PARADIGMA MEREALISASIKAN IMPIAN telah berjaya dijalankan dengan menampilkan Ustaz Khairuzaman bin Kadir (Pensyarah Unit Bahasa, FPI) sebagai penceramah. Tajuk ini berfokuskan tentang usaha yang perlu dilakukan umat Islam amnya dan pelejar UKM khasnya untuk merubah sikap dalam diri untuk mencapai impian yang dihajati.
Penceramah memulakan pengenalan dengan menyebut tentang elemen yang terdapat didalam diri manusia yang terdiri daripada jasad , roh, akal, dan nafsu. Menurutnya lagi dalam diri manusia terdapat unsur lahir (jasad) dan batin. Unsur batin manusia ini terdiri dari akal, roh dan nafsu. Akal kerjanya adalah berpikir, mencari ilmu, mengkaji ilmu, menerima informasi dan pengalaman. Kemudian dari situ dibuatlah berbagai penilaian dan kesimpulan. Roh mampu merasakan berbagai perasaan, seperti marah, suka takut, sedih, gembira, senang, sayang, cinta, simpati, jijik, dengki, lega dan sebagainya. Nafsu itu adalah berkeinginan, ada keinginan yang baik , ada pula yang jahat. Namun demikian sifat asal nafsu adalah mengajak kepada kejahatan. Jika nafsu ini tidak dididik, maka nafsu ini akan mengantarkan manusia untuk selalu berbuat kejahatan.
Sebagai muslim yang taat kepada Allah , kita perlu mengetahui siapakah musuh umat Islam yang akan menjatuhkan islam. Terdapat 5  musuh islam yang sentiasa dihadapi dan perlu diawasi oleh kita. Allah melalui Al Quran dan Hadis telah memberitahu kita siapa musuh umat Islam; iaitu:



1. Nafsu
2. Syaitan
3. Orang munafiq
4. Yahudi dan Nasrani serta orang kafir lainnya
5. Orang Islam yang hasad dengki.
Diantara musuh-musuh tersebut, jihad melawan nafsu adalah yan g paling utama dan paling susah. Nafsu itulah yang lebih jahat dari syaitan. Syaitan tidak dapat mempengaruhi seseorang kalau tidak meniti di atas nafsu. Dengan kata lain, nafsu adalah 'highway' atau jalan bebas hambatan untuk syaitan. Kalau nafsu dibiarkan, akan membesar, maka semakin luaslah 'highway' syaitan. Kalaulah nafsu dapat diperangi, maka tertutuplah jalan syaitan dan tidak dapat mempengaruhi jiwa kita. Sedangkan nafsu ini sebagaimana yang digambarkan oleh ALLAH sangat jahat. Mungkin kalau nafsu itu ada di luar jasad kita dan bisa kita pegang, mudahlah kita menekan dan membunuhnya sampai mati. Tetapi nafsu kita itu ada di dalam diri kita, mengalir bersama aliran darah dan menguasai seluruh tubuh kita. Karena itu tanpa kesedaran dan kemahuan yang sungguh-sungguh kita pasti dikalahkan untuk diperalat sekehendaknya.
sabda Rasulullah; "Musuh yang paling memusuhi kamu adalah nafsu yang ada di antara dua lambungmu ".
Nafsu inilah yang menjadi penghalang utama dan pertama, kemudian barulah syaitan dan golongan-golongan yang lain. Memerangi hawa nafsu lebih hebat daripada memerangi Yahudi dan Nasrani atau orang kafir. Sebab berperang dengan orang kafir cuma sekali-sekali.
            Salah satu cara yang berekesan untuk untuk menundukkan nafsu adalah dengan berpuasa seperti mana hadis Nabi Muhammad, “Hadith: “sesungguhnya syaitan mempunyai akses terhadap manusia melalui aliran darah dalam badan, maka sempitkan (halang) perjalanannya dengan berlapar (puasa)…” HR: Bukhari.
Perlu kita semua tahu bahawa nafsu juga merupakan makhluk Allah yang telah diciptakan. Allah mencipta makhluk dengan 3 keadaan, yang pertama Allah menciptakan malaikat dan dimasukkan akal kedalamnya. Yang kedua Allah menciptakan binatang, kemudian dimasukkan nafsu dan yang ketiga Allah menciptakan manusia dengan memasukkan akal dan nafsu. Jika manusia menggunakan akal melebihi daripada nafsu, manusia itu akan menjadi lebih baik daripada malaikat. Namun begitu, jika nafsu yang digunakan melebihi akal, manusia tersebut akan menjadi lebih teruk daripada binatang.
Secara kesimpulannya, nafsu merupakan penghalang dan musuh utama umat islam dalam menempuh arena kehidupan. Jika nafsu berjaya ditundukkan, maka mudahlah bagi seseorang mencapai apa yang dihajati tanpa mengabaikan Allah sebagai Tuhan. Dan secara lazimnya kekuatan kita terletak kepada amalan kita. Oleh itu, lakukanlah anjakan paradigm dalam hidup dalam mendapatkan “mardhotillah”.

~ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI~

Friday, October 14, 2011

CITRA SISWI : TAUTAN HATI

-->

Sukacitanya, PMFPI menjemput semua kaum HAWA untuk sama-sama kita mendengar dan memperoleh manfaat dari kupasan CITRA SISWI bertajuk TAUTAN HATI  kali ini. JOM KITA MERIAHKAN CITRA SISWI !!!




Kehidupan di dunia merupakan satu kembara yang seringkali menemukan kita dengan pelbagai peristiwa. Ibarat roda yang berputar, adakalanya kita berada di atas dan adakalanya kita seolah tersungkur ke bawah. Dalam susah mahupun senang, seorang muslim itu tidak pernah berputus harap pada Allah yang Maha Berkuasa. Ada harap dalam doa tulusnya, ada ikatan antara harap dan yakinnya pada Allah. Hatinya tertaut kepada  Allah, Pencipta Yang Memiliki segala-galanya. 
 
Indah pentarbiyahan Ilahi. Susah mahupun senang, ketika itu dekat atau jauhkah diri kita pada Allah? Sejauh mana perhatian dan Rahmat Allah yang kita cari? Bertaut rapatkah kasih kita pada-Nya?? Citra Siswi  kali ini tampil dengan kupasan : TAUTAN HATI.  Satu kupasan yang cukup menarik khusus buat anda semua.

CITRA SISWI ~ISLAM DIPANGKU SISWI CEMERLANG

Thursday, October 13, 2011

L.I.F.E : SEKUNTUM CINTA RABITHAH


Love Islam For Eternity (L.I.F.E)…Join Us to share  The Love – Knowledge - Friendship –Experience

Sekuntum Cinta Rabithah…
Cinta yang dicari, bukanlah cinta picisan. Bahkan cinta abadi kepada Pencipta, Allah s.w.t Yang Maha Agung.  Cinta kepada risalah yang dibawa Rasul junjungan, Nabi Muhammad s.a.w. Mencintai Islam sebagai satu cara hidup yang syumul.
Dulu, Kini dan selamanya,
Dalam sebuah doa dipohonkan
Agar berkekalan nikmat Iman dan Islam..
Dengan penuh ukhuwwah, PMFPI menyokong penuh sahabat-sahabat  mahasiswa/ i untuk menyertai program Love Islam For Eternity (L.I.F.E) anjuran ISIUKM yang akan berlangsung pada 14-16 Oktober 2011 di Masjid Putrajaya. Pelbagai pengisian dan aktiviti menarik menanti anda yang pastinya memberi manfaat positif dalam kehidupan. InsyaAllah.Istimewa buat semua, yuran pendaftaran hanya RM1. Bukan mudah untuk kalian mencari sebuah program pembinaan diri dengan hanya perlu melabur sebanyak RM1. Apa tunggu lagi, sila hubungi AJK yang tertera di di atas untuk mendaftar dan kita bersama-sama bergerak mencipta sebuah sejarah. Jangan lepaskan peluang untuk merasai kelainannya.ISIUKM..Laain Sikit..!!

Sekuntum Cinta Rabitah, hanya jauhari mengenal manikam. Kalian tentu bijak menilai antara kaca atau permata!

~ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI

Wednesday, October 12, 2011

NUR QALBI SIRI KEDUA





Siri Kedua Nur Qalbi  akan berlangsung pada hari Khamis (13 Oktober) dengan menampilkan  kupasan menarik : ANJAKAN PARADIGMA MEREALISASIKAN IMPIAN oleh penceramah jemputan kali ini, Ustaz Khairuzaman bin Kadir (Pensyarah Unit Bahasa, FPI). Merealisasikan impian hidup mungkin satu kepuasan dalam hidup kita. Sanggup berubah serta bertindak dengan cara berbeza dan luar biasa merupakan langkah yang terbaik. Sejauh manakah anjakan paradigma kita mampu merealisasikan impian?

Nur Qalbi wadah pengisian rohani dan keintelektualan buat semua. PMFPI dengan sukacitanya menjemput seluruh warga UKM memeriahkan majlis ilmu ini. Jom kita ikuti kupasan menarik  ini!! Jangan lepaskan peluang! Ayuh beramai-ramai turun ke majlis ilmu yang diberkati Allah. Moga-moga dengan usaha kita yang sedikit ini, dapat keberkatan dan keredhaan ALLAH..
 ~ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI~