Friday, December 30, 2011

Ulasan Citra Siswi~ Kanser : Dia Datang Tanpa Diduga


Program Citra Siswi terakhir bagi semester ini tampil dengan tajuk “Kanser Dia Datang Tanpa Diduga” dengan kupasan oleh penceramah yang sangat berpengalaman dalam bidang ini iaitu Cik Norazimah Binti Norman ( usahawan Syarikat Avail Beauty Sdn.Bhd). Kupasan kali ini adalah berkaitan penjagaan kesihatan wanita sebagai panduan dalam kehidupan. Apa yang dapat kita gambarkan berkaitan tajuk ini pada awalnya ialah ia berkaitan dengan kanser yang merupakan salah satu penyakit yang sangat merbahaya pada hari ini. Sebagaimana yang kita maklum, kanser menyerang sesetengah wanita serta merupakan salah satu punca yang menyebabkan kematian wanita pada hari ini.



Penceramah telah memberi penjelasan tiga jenis penyakit kanser iaitu kanser servik atau pangkal rahim, kanser payudara dan kanser usus. Kanser payudara merupakan kanser pertama yang membunuh wanita pada hari ini manakala pembunuh wanita yang kedua di Malaysia ialah kanser servik atau pangkal rahim. Sebagai wanita kita harus sedar bahawa kita telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T suatu anugerah yang sangat istimewa dan berharga dalam kehidupan kita iaitu Rahim. Persoalannya disini adakah anugerah istimewa ini disyukuri, dihargai atau dipersiakan? Penceramah telah menjelaskan beberapa aspek penting yang perlu diambil berat dalam usaha mencegah penyakit ini. Antara aspek penting yang dimaksudkan ialah berkaitan dengan perkara-perkara yang berlaku kepada wanita normal iaitu seperti kitaran haid, keputihan, senggugut dan sebagainya.



Perkara-perkara diatas sangat penting dan perlu diambil berat dan tidak boleh dipandang remeh oleh setiap wanita kerana ia sangat berkait rapat dengan kanser pangkal rahim. Hal ini kerana contohnya berkaitan dengan keputihan yang berlaku kepada wanita normal, walaupun begitu setiap wanita perlu mengambil tahu mengenainya kerana keputihan berbeza-beza berlaku kepada wanita iaitu salah satunya dapat dikenalpasti melalui warna iaitu keputihan yang sebenarnya adalah berwarna putih jernih dan tidak berbau serta tidak menyebabkan kegatalan. Namun melalui penerangan dalam ceramah yang disampaikan oleh Cik Norazimah, jelaslah kepada kita semua bahawa keputihan ini boleh berubah melalui perubahan yang berlaku pada diri seseorang wanita iaitu seperti perubahan hormon, mental, jangkitan kuman, pengamalan ubat-ubatan, penyakit dalaman dan sebagainya. Perubahan-perubahan ini dapat kita kenal pasti melalui warna keputihan yang akan berubah daripada warna asalnya putih jernih kepada warna kuning, hijau dan coklat yang biasanya kelihatan seakan-akan bercampur dengan darah. Sesiapa yang mengalami masalah keputihan yang berwarna selain daripada warnanya yang sebenar, mereka haruslah berwaspada kerana kemungkinan ia dijangkiti kulat atau ia merupakan tanda-tanda awal kepada penyakit-penyakit tertentu.



Selain itu, penceramah juga menyentuh berkaitan dengan senggugut yang merupakan salah satu penyakit yang biasa dialami oleh kebanyakan wanita apabila datang haid, menurut penceramah senggugut ini terbahagi kepada dua jenis iaitu yang pertama dikenali sebagai Dismenorea prima yang kebanyakannya berlaku kepada mereka yang permulaan datang haid lebih awal iaitu pada sekitar umur 12 tahun, dan dipercayai senggugut ini kebiasaannya akan hilang apabila seseorang wanita itu berkahwin. Manakala senggugut yang kedua pula dikenali sebagai Dismenorea Sekunder yang dikatakan dialami oleh wanita selepas dua tahun daripada period yang pertama dan senggugut jenis ini sukar sedikit untuk diubati. Dalam hal ini penceramah juga turut mengingatkan tentang pengambilan ubat tahan sakit yang tidak boleh dijadikan tabiat apabila mengalami senggugut kerana ia akan menyebabkan kesan sampingan seperti gangguan terhadap hormon lain dan pengambilannya secara kerap dan berterusan juga boleh menyebabkan seseorang mandul.



Di samping itu, setiap wanita juga perlu menyedari perubahan-perubahan lain yang berlaku kepada mereka seperti sering terjadi persoalan kenapa haid sedikit, kenapa haid datang terlalu kerap dan sebagainya yang kadangkala berlaku kepada wanita, dan hal ini hendaklah diambil tindakan segera iaitu mengenal pasti apakah puncanya, seterusnya mencari rawatan yang sesuai atau mendapatkan nasihat doktor untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.



Sebagai wanita, kita juga harus peka kepada isu-isu semasa seperti mengenali penyakit-penyakit terkini yang berlaku kepada wanita, mengetahui punca-puncanya serta cara-cara dan teknik mencegah dan merawatnya. Antara penyakit terkini wanita yang patut kita ketahui ialah seperti penyakit Fiberoid iaitu sejenis ketumbuhan dan ia bukan sejenis kanser tetapi ia boleh memberi kesan kepada sesetengah organ dalam tubuh badan seseorang dan berlakunya masalah seperti gangguan pundi kencing, rahim turun, kekurangan darah, ketidaksuburan, gangguan haid dan ia juga merupakan salah satu punca kepada kemandulan seseorang wanita.



Selain fiberoid, penyakit yang lain sering terjadi kepada wanita pada masa kini ialah Endometriosis iaitu ketulan-ketulan darah beku yang terdapat dikawasan ovari. Penyakit ini boleh dikatakan penyakit yang merbahaya kerana ia juga boleh menyebabkan kemandulan dan disamping itu, wanita yang mengalaminya akan mengalami senggugut yang teruk, haid yang terlalu panjang sehinggakan sesetengah yang mengalaminya juga terpaksa dibuang ovari dan sekiranya yang mengalami penyakit ini hamil, maka peratus keguguran bayi amat tinggi. Oleh itu, sekiranya kita belum tahu tentang penyakit-penyakit ini, kita sebagai wanita sepatut dan seharusnya mengambil tahu mengenainya, dan sekiranya kita telah tahu, kita hendaklah mengambil langkah pencegahannya.



Menurut penceramah, kanser servik atau kanser pangkal rahim ini biasanya pada peringkat awal tiada sebarang tanda atau kesakitan berlaku yang menunjukkan seseorang menghidapinya, tetapi ia kebiasaannya dapat dikenal pasti apabila berada pada tahap yang parah dan teruk dan kesan yang dapat diketahui ialah dengan berlakunya pendarahan ketika bukan waktu haid, discharge (benda yang keluar selain air kencing dan darah haid) menjadi lebih banyak dan mengalami kesakitan pada pinggang dan pinggul ketika bersama. Antara golongan wanita yang berisiko mengalami penyakit ini ialah golongan yang berumur 40-50 tahun.



Penceramah dalam pengisian ceramahnya juga turut menerangkan tentang kajian-kajian terhadap punca-punca berlakunya kanser iaitu antaranya ialah:



❀ ܓ Amalan pemakanan yang tidak sihat seperti makanan yang mengandungi bahan berkarsinogen dan mekanan yang dimasak menggunakan microwave oven.



❀ ܓ Gaya hidup iaitu penggunaan produk tertentu dalam kehidupan seharian, tekanan atau stress, kurangnya aktiviti bersenam dan sebagainya.



❀ ܓ Aliran sekutan iaitu seperti dalam penggunaan telefon bimbit, pencawang eletrik, gelombang mikro dan lain-lain lagi.



Penceramah turut menjelaskan mengenai punca masalah haid dan sakit puan yanga boleh dikatakan berlaku kepada 1/10 wanita pada masa kini iaitu disebabkan penggunaan tuala wanita berkualiti rendah, hal ini kerana tuala wanita yang berkualiti rendah ini kalau dilihat daripada proses penghasilannya sangatlah tidak selamat digunakan kerana ada sesetengah daripadanya diperbuat daripada pulpa kayu (serbuk kayu), sampah, bahan kitar semula seperti kertas dan sebagainya yang telah diproses untuk dijadikan tuala wanita.



Setelah kita ketahui punca-punca atau bahan yang digunakan dalam penghasilan tuala wanita berkualiti rendah ini kita dapat gambarkan pelbagai virus, kuman dan sebagainya akan terdapat didalamnya dan sebenarnya tuala wanita yang dihasilkan melalui proses tersebut mengandungi sejenis bahan yang dikenali sebagai Dioxsin yang sangat berbahaya kepada wanita dan boleh menyebabkan penyakit dan masalah seperti kanser, sakit puan, kemandulan, keguguran, gangguan janin dalam kandungan, kecacatan bayi dan lain-lain lagi. Justeru itu, pemilihan tuala wanita yang bermutu tinggi dan berasal daripada kapas amatlah perlu untuk menjaga kesihatan dan mencegah daripada berlakunya penyakit-penyakit yang tidak diingini seperti kanser servik.



Selain menjelaskan berkaitan kanser payudara dan kanser servik, penceramah turut menyentuh berkaitan dengan kanser usus (raktom) yang dikatakan pembunuh ketiga penduduk Malaysia. Kanser usus ini dikatakan berpunca daripada pemakanan yang tidak seimbang yang menyebabkan toksin berlebihan dalam badan. Antara tanda-tanda toksin berlebihan dalam badan ialah berlakunya masalah gangguan tidur, perasaan sering tersinggung, penyakit kulit dan sebagainya. Menurut penceramah bagi mencegah daripada kanser usus ini satu perkara yang perlu sentiasa kita ingat iaitu “ Kita Adalah Apa yang Kita Makan”.



Kesimpulannya, kupasan kali ini sangat memberi manfaat dan memberi maklumat-maklumat yang baru kepada kita khususnya golongan mahasiswi berkaitan dengan kanser dan penjagaan kesihatan sebagai wanita. Adalah amat diharapkan perkongsian ini dapat membuka minda dan kesedaran kita semua untuk menjaga dan menitikberatkan kesihatan agar penyakit berbahaya dapat dicegah. InsyaAllah. Perkongsian ini khusus ditujukan buat mahasiswi kerana dirimu begitu berharga. Maka, peliharalah apa yang dianugerahkan Allah kepada kita. Akhir kalam, jaga diri serta hiasi peribadi dengan akhlak Islam yang indah buat penyuluh jalan ke Syurga.

ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI









Friday, December 23, 2011

Pengisian Ceramah Motivasi Exam



Pada 22/12/11 telah berlangsung Majlis Solat Hajat & Ceramah Motivasi Sempena Exam di Masjid UKM anjuran Lajnah Akademik Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) dengan kerjasama Pusat Islam UKM menampilkan penceramah jemputan, iaitu Dr. Abdul Rahman bin Mahmood (Pensyarah di Jabatan Usuluddin & Falsafah, FPI,UKM).  

Dengan tema “ Doa Dipanjatkan, Usaha Diteruskan” , majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah, bacaan yasin,  solat hajat seterusnya  ceramah motivasi oleh Dr. Abdul Rahman sebagai satu suntikan semangat bagi mahasiswa/ i yang akan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Penceramah telah mengupas mengenai adab-adab dalam menuntut ilmu bagi mencapai kecemerlangan.

-->
Adab Menuntut Ilmu :
1.Niat. Niat adalah azam yang sungguh-sungguh. Niat juga merupakan titik mula bagi menentukan hala tuju seterusnya dalam menuntut ilmu. Justeru itu, kita perlu mengikhlaskan niat menuntut ilmu semata-mata kerana Allah s.w.t di samping juga berniat menuntut ilmu untuk  menghilangkan kejahilan diri dan  orang lain.

2.Penjagaan Ilmu. 
Ilmu adalah cahaya dan cahaya itu tidak menyinari hati yang kotor.Diceritakan para ulama’ ketika mana menghadapi kesukaran dalam ilmu, mereka akan menuju ke masjid untuk mendapatkan kekuatan dan ketenangan. Justeru itu, apabila kita ingin mencari ketenangan, carilah ia di dalam rumah Allah, masjid dengan bermunajat kepadaNya. Sesungguhnya pertolongan Allah itu melalui sabar dan solat sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah al Baqarah :153:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اسْتَعِينُواْ بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.

3.Memelihara amalan fardhu dan sunat.
Penuntut ilmu mestilah memelihara amalan fardhu dan sunat. Dari sudut aplikasinya, ialah tidak meninggalkan kewajipan amalan fardhu, bahkan menambah amalan-amalan sunat dalam kehidupan seharian. Dengan melakukan ketaatan, keimanan kepada Allah semakin meningkatkan bahkan menjadi sumber kekuatan dan benteng dari melakukan kemaksiatan kepadaNya. Menghidupkan amalan memberi dan menyebarkan salam, memberi bantuan kepada orang yang memerlukan serta sentiasa mendoakan orang-orang di sekeliling kita juga merupakan pintu untuk memperoleh keberkatan.

4.Merendah diri dengan ilmu.
Ilmu tidak dapat dicapai melalui sifat sombong dan ego. Ilmu mampu diperoleh apabila wujudnya sifat merendah diri  pada penuntut ilmu iaitu  dengan menghormati guru serta mengamalkan adab-adab dalam menuntut ilmu. Bahkan seorang guru juga dituntut menghormati penuntut ilmu dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

5.Berakhlak mulia, baik tingkah laku.
Ilmu hanya mampu bertapak di dalam hati yang bersih. Justeru itu, penuntut ilmu mestilah berakhlak mulia serta baik tingkah lakunya hasil ilmu yang dipelajari. Akhlak penuntut ilmu seringkali mencerminkan guru yang mengajar, maka berdoalah dan carilah guru yang benar untuk hidup beradab dan bersopan. Ini kerana pelaksanaan itu teramat berbeza dengan hanya berteori, maka guru merupakan qudwah yang boleh dicontohi dari sudut realiti dan praktikal. 
  
6.Pengurusan masa untuk belajar.
Penuntut ilmu mestilah meluangkan masa untuk belajar. Pengurusan masa yang baik amat penting bahkan jangan disia-siakan masa walaupun sedikit. Sekiranya merasa malas, ambillah inspirasi dari kegigihan para ulama’ dalam menuntut ilmu. Bacalah dan  dengarlah kisah mereka, maka ambillah pengajaran darinya. Sesungguhnya kegigihan yang disertai taufik dari Allah mampu menghasilkan kefahaman yang luarbiasa.

7.Memilih sahabat yang baik. 
Ini kerana pemilihan sahabat juga berperanan dalam menghidupkan keilmuan dalam diri kita.

Akhir kalam, buat semua penuntut ilmu, ayuh kita amalkan adab-adab mulia dalam menuntut ilmu agar ilmu  yang diperoleh diberkati Allah.  Ilmu itu cahaya, dan cahaya itu perlu kita pelihara agar sinarannya tidak padam. Berazamlah untuk berjaya dan buktikanlah ia dengan kegigihan dan kesungguhan. Semoga kita menjadi ahli ilmu yang benar serta mengabdikan diri kepada Allah..InsyaAllah.

ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI

Thursday, December 22, 2011

Panjatkan Doa & Teruskan Kesungguhan


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani..
Assalamualaikum w.b.t..
Apa khabar, sahabat-sahabat mahasiswa/i? Pejam celik, pejam celik rupanya sudah hampir tamat pengkuliahan bagi semester ini. Tinggal beberapa hari lagi sebelum menjelangnya study week menandakan  peperiksaan akhir semester semakin hampir. Bahangnya juga semakin terasa. Setelah menjalani pengkuliahan selama 14 minggu, kita akan menghadapi peperiksaan akhir sebagai  penanda aras kefahaman hasil pembelajaran selama ini. Seawal semester, kita datang dengan matlamat. Tidak ketinggalan untuk menggapai kecemerlangan dalam pembelajaran. Sahabat-sahabat, ayuh bermuhasabah, menghalusi dan mentajdid niat. Sesungguhnya kita menuntut ilmu kerana Allah. Bukan hanya untuk mendapat segulung ijazah, tetapi lebih dari itu. Kita menuntut ilmu untuk mendekatkan diri kepadaNya serta membina taqwa, mengikuti dan mencintai sunnah Rasulullah s.a.w, untuk menghilangkan kejahilan, beramal dengannya serta menyampaikannya kepada manusia sebagai bekalan di dunia dan akhirat.

PMFPI mengucapkan selamat menjalani peperiksaan akhir semester dengan penuh keazaman dan kesungguhan. Dengan penuh ukhuwwah, PMFPI menjemput semua warga UKM mengimarahkan solat hajat & ceramah motivasi exam di Masjid UKM esok (Khamis, 22/12/11) bermula pada 7.30 malam. Ayuh, dapatkan suntikan semangat dari pengisian yang akan disampaikan oleh Dr.Abdul Rahman Mahmood

Dengan penuh optimis, doa kita panjatkan ke hadrat Ilahi dan usaha diteruskan dengan penuh kesungguhan. Sematkan di hati, ilmu merupakan penyuluh kehidupan dari gelapnya kejahilan, menjulang Islam ke persada dunia demi menggapai bahagia hakiki di dunia dan akhirat.

❀ ܓDedikasi optimis buat sahabat mahasiswa/i :
Jika sahabat fikirkan boleh, sahabat hampir boleh melakukan..
Jika sahabat fikirkan ragu-ragu, usaha jadi tidak menentu
Sahabat adalah apa yang difikirkan, terkandung dalam pemikiran
Berfikir boleh melakukan..
InsyaAllah BOLEH!!
~SELAMAT MAJU JAYA DARI PMFPI~

ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI

Tuesday, December 13, 2011

Ulasan CITRA SISWI : Puteri Bulan Bersiram

-->
Citra Siswi kali ini tampil dengan tajuk yang sangat menarik iaitu ‘’Puteri Bulan Bersiram”  disampaikan oleh Ustazah Qurrotul Aien Binti Fatah Yassin, didatangkan khas dari UIA Gombak. “ Puteri Bulan Bersiram” berkaitan dengan kehidupan muslimat yang dikurniakan Allah dengan kedatangan haid setiap bulan. Ia topik yang sangat wajar dikupas kerana manfaatnya dalam kehidupan muslimat.
❀ ܓDefinisi..

Haid adalah sesuatu yang terjadi kepada setiap wanita pada umumnya menandakan seseorang wanita itu normal dan sihat, namun tidak dinafikan terdapat  juga sesetengah wanita yang mengalami haid sekali sahaja dalam hidupnya dan ada juga yang tidak langsung mengalami haid dalam hidup. Hal ini sebagaimana yang telah kita ketahui melalui kisah Maryam al-Muqadasah, ibu kepada Nabi Isa a.s  tidak pernah datang haid dalam hidupnya. Kitab Fiqh al-Manhaji (Mazhab Syafi’I) sebagai panduan dalam mengupas dan membincangkan tajuk ini.  Pengertian haid menurut mazhab Syafi’e ialah as-sailan iaitu bermaksud sesuatu yang mengalir yang merujuk kepada darah haid yang keluar dari rahim setiap wanita. Haid juga adalah darah yang semulajadi  menunjukkan seseorang wanita itu sihat dan normal. Ia menandakan mereka telah baligh. Manakala haid menurut pengertian syara’ ialah darah yang keluar dari rahim wanita secara semulajadi, bukan kerana suatu sebab, pada waktu tertentu.


❀ ܓ Bila..
Haid ini berlaku dalam masa yang tertentu dan berbeza antara setiap wanita mengikut keadaan. Haid ialah tanda seseorang wanita itu baligh iaitu yang paling awal terjadi ialah seawal umur 9 tahun sehingga 15 tahun. Melalui ceramah yang disampaikan, kita dapat mengetahui bahawa ada juga sesetengah wanita yang bermimpi sehingga  keluar air mani dan ini juga dikatakan sebagai tanda seseorang itu baligh. Justeru itu, walaupun  seseorang wanita tidak datang haid dan tidak bermimpi setelah mencapai umur 15 tahun, dia dianggap telah baligh. Umur 15 tahun yang dimaksudkan ini ialah dikira berdasarkan bulan qamariah kerana kitaran haid berlaku berdasarkan bulan qamariah dan menurut penceramah mengikut bulan qamariah umur kita akan lebih tua setahun daripada umur kita sekarang.


❀ ܓ Tempoh Haid..
Tempoh haid yang paling singkat ialah selama 24 jam (sehari semalam) dan yang paling lama ialah selama 15 hari dan sekiranya seseorang wanita itu mengalami pendarahan lagi selepas tempoh 15 hari, darah yang keluar itu dikenali sebagai darah istihadhah. Manakala sekiranya darah yang keluar dan mengalir tidak sampai 24 jam ia tidak dikategorikan sebagai darah haid. Mengikut Mazhab Syafi’e darah yang keluar selepas tempoh hari ke 15, ia dikira sebagai darah istihadhah iaitu darah penyakit dan ketika ini kita wajib melaksanakan solat.


❀ ܓHikmah..
Hikmah di sebalik haid yang telah ditentukan Allah merupakan masa cuti yang Allah S.W.T berikan kepada wanita kerana tugas dan tanggungjawab wanita yang sangat banyak berbanding kudrat dan tenaganya. Kedatangan haid yang Allah tetapkan kepada wanita adalah sebagai waktu rehat kepada wanita daripada melakukan perkara-perkara tertentu iaitu perkara-perkara yang haram dilakukan semasa haid seperti solat, puasa dan sebagainya. Namun menurut penceramah, apabila kita meninggalkan solat ketika haid hendaklah memasang niat di dalam hati kita bahawa kita meninggalkan solat pada waktu tersebut ialah kerana mentaati Allah, dan dengan niat kita ini dikatakan kita akan memperolehi pahala sebagaimana kita solat walaupun kita tidak solat. Tetapi dengan syarat orang yang berniat ini hendaklah orang yang tidak pernah meninggalkan solat semasa sucinya dari haid.


❀ ܓKewajipan..
Haid suatu perkara yang mewajibkan seseorang wanita mandi untuk bersuci daripadanya apabila suci kerana dalam tempoh haid ini sesorang wanita itu dalam keadaan kotor. Hal ini sebagaiman yang telah dijelaskan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah : “Haid itu adalah suatu kotoran”. Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid, dan janganlah kamu mendekatkan mereka, sebelum mereka suci …”.
Dalam ayat ini, yang dijadikan Allah sebagai batas akhir larangan adalah kesucian, bukan  berlalunya sehari semalam, ataupun tiga hari, ataupun lima belas hari. Hal ini menunjukkan bahwa illat hukumnya adalah haid, yakni ada atau tidaknya. Jadi, jika ada haid berlakulah hukum itu dan jika telah suci tidak berlaku lagi hukum-hukum haid tersebut.


❀ ܓWarna..
Terdapat lima warna darah haid iaitu pada awal datang haid, darah yang keluar adalah berwarna hitam dan bersamanya ketulan dinding uterus, kemudiannya warna merah, coklat, kuning dan seterusnya putih iaitu yang telah hampir untuk bersuci daripada haid. Untuk memastikan kita telah suci daripada haid ini, kita hendaklah memeriksanya dengan  menggunakan kapas. Setelah diyakini telah suci daripada haid, hendaklah mempercepatkan mandi wajib. Manakala sekiranya dalam bulan ramadhan seseorang yang hendak bersuci dan dia telah berniat puasa tetapi tidak sempat mandi sebelum subuh, maka dalam keadaan ini dia dibolehkan berpuasa dan dia hendaklah mandi wajib sebelum matahari terbit. 


Cecair selain haid yang keluar bukan ketika dalam keadaan haid ialah  mazi, wadi dan mani. Mazi ialah sejenis cecair (najis) yang keluar dalam dua keadaan iaitu pertama semasa seseorang bernafsu dan ketika seseorang itu dalam keadaan terlalu letih dan apabila keluar mazi, seseorang itu wajib mencucinya serta memperbaharui wudu’. Sementara wadi dikenali juga sebagai keputihan, manakala mani ialah cecair yang keluar apabila bermimpi dengan mimpi-mimpi  tertentu yang menyebabkan keluarnya mani. Mani bukan najis, tetapi wajib mandi untuk mensucikannya. Selain itu, terdapat juga sejenis cecair putih yang jernih keluar menandakan seseorang dalam keadaan subur apabila mengalaminya.
        

❀ ܓPerkara-perkara yang diharamkan semasa haid..
 Sama keadaannya dengan perkara yang tidak boleh dilakukan semasa tiada wudu’ iaitu tidak boleh mengerjakan solat, namun apa perkara yang lebih khusus diharamkan ketika dalam haid ialah tidak boleh membaca dan memegang kitab al-Quran, tidak boleh berpuasa, tidak boleh masuk ke dalam masjid, bersetubuh dan sebagainya. Semasa dalam keadaan haid seseorang wanita tidak boleh membaca ayat-ayat al-Quran kecuali dibolehkan membaca ayat-ayat al-Quran yang selalu diamalkan dalam hidupnya sebagai doa dan golongan yang dibolehkan membaca al-Quran semasa haid ialah hafizah yang sentiasa menghafal al-Quran. Masuk ke dalam masjid tanpa tujuan  juga merupakan larangan kepada orang yang berhaid.



❀ ܓAkhir kalam, memahami fiqh wanita seperti haid sangat penting dan bermanfaat kepada golongan muslimat. Penjagaan penyucian (taharah) hendaklah diberi penekanan oleh golongan muslimat kerana  penyucian (taharah) penting sebelum kita melakukan ibadat dan kebanyakan orang menerima azab kubur kerana tidak menitikberatkan perkara ini. 
Allahu a'lam..
 
~ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI


         
           

Wednesday, December 7, 2011

Kunjungan Muhibbah


Lawatan dari Pertubuhan anak-anak  yatim Islam Daerah Jasin, Melaka.
Pada 6 Disember 2011 (Selasa), Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) dengan kerjasama pentadbiran Fakulti Pengajian Islam telah  menerima kunjungan dari pertubuhan anak-anak  yatim  daerah Jasin, Melaka. Seramai 30 orang terlibat di dalam lawatan ini. Kehadiran adik-adik kecil ini disambut meriah di Fakulti Pengajian Islam bermula pada 10.30 pagi hingga 4.00 petang.  Sepanjang berada di sini, mereka telah melawat sekitar universiti, Perpustakaan Tun Seri Lanang(PTSL) serta Fakulti Pengajian Islam (FPI). Selain itu, mereka turut mendengar taklimat dari fakulti serta interaksi bersama PMFPI bertempat di bilik mesyuarat Fakulti Pengajian Islam. Kunjungan muhibbah ini memberi motivasi kepada adik-adik kecil ini untuk menjejakkan kaki ke universiti pada masa akan datang di samping menjalin ikatan mesra antara mereka dan PMFPI.

Mereka begitu gembira dapat berkunjung perbukitan ilmu, UKM. Keceriaan, keramahan dan kegembiraan mereka sungguh mencuit hati. Memandang mereka, menerbitkan rasa kasih di hati. Sememangnya anak- anak kecil ini memerlukan kasih sayang. Berbahagialah orang-orang yang melakukan kebaikan kepada anak –anak yatim kerana amalan itu amat disukai Allah. Anak-anak kecil ini  begitu tabah mengharungi kehidupan.Membuat hati jadi terharu.  

Akhir kalam, PMFPI menyeru agar kita sentiasa memelihara hubungan sesama insan terutama terhadap anak -anak yatim dengan mengasihi mereka serta terhadap kedua ibu bapa kita dengan sentiasa menghargai pengorbanan mereka terhadap kita. Kasihi dan hargailah kedua ibu bapa selagi hayatnya dan sekiranya telah tiada, perbanyakkanlah mendoakan kesejahteraan mereka. Moga-moga sentiasa dalam pemeliharaan Allah s.w.t, amiin ya Rabbal ‘Alamiin.



 Sekitar Kunjungan Muhibbah:




Sunday, December 4, 2011

LARAS ' 11


 

Biro Hal Ehwal Siswi (BHES) PMFPI telah mengadakan Lawatan Ke Raudhatus Sakinah (LARAS '11) pada hari Sabtu( 3 Disember 2011). Lawatan ini bertujuan mendekati golongan remaja -remaja wanita yang berada di Raudhatus Sakinah. Ia merupakan satu program  dakwah bagi mahasiswi Fakulti Pengajian Islam khususnya bersama golongan remaja masa kini.


Raudhatus Sakinah (RS) diwujudkan sebagai sebuah institusi yang memberi perlindungan dan bimbingan kepada remaja puteri yang menjadi mangsa gejala sosial. RS berusaha membantu remaja-remaja yang terlibat meningkatkan keyakinan dan keupayaan diri agar menjadi individu yang berguna kepada masyarakat dan agama. Di antara objektif penubuhan Raudhatus Sakinah (RS) ialah : 


❀ ܓMembimbing remaja menghayati Islam sebagai cara hidup.
❀ ܓMembantu remaja membina semula keyakinan diri.
❀ ܓMembantu remaja meneruskan kehidupan yang sihat dan memberi manfaat kepada masyarakat.


Pelbagai program dijalankan di Raudhatus Sakinah (RS) untuk pembangunan remaja di sini.Antaranya ialah bimbingan rohani, bimbingan bina diri, riadah dan rekreasi serta kemahiran diri. sepanjang berada di sana, remaja ini dididik dengan jadual yang sistematik serta menekankan nilai- nilai Islam. Masa yang ada diisi dengan pengisian mendidik jiwa seperti bacaan al- Quran, mathurat, zikir asma ul husna serta solat berjemaah merupakan satu kemestian bagi mereka.


Lantaran itu, remaja -remaja ini kembali merasakan keindahan kehidupan berpandukan ajaran Allah s.w.t. Bagi urusetia serta peserta LARAS '11 merasa sangat tersentuh dengan usaha dakwah yang dijalankan serta mengambil iktibar sepanjang berkenalan dan menyelami jiwa remaja- remaja yang terlibat dalam masalah gejala sosial ini. Mereka kembali dekat kepada Allah, membuatkan rasa keinsafan bertandang di hati kami yang menziarahi.


 Adalah amat diharapkan, program seperti ini mampu membentuk jiwa mahasiswa yang cinta kepada ummah dalam menyebarkan dakwah Islam dengan menggunakan pelbagai pendekatan berhikmah kepada golongan sasaran (mad'u). 
Dengan bertemakan mahasiswa prihatin, masyarakat harmoni, sebar-sebarkan kasih dalam berdakwah..  Akhir kalam, sekudus doa :
Ya Allah, ya Tuhan kami bantulah kami untuk sentiasa mengingatiMu, mensyukuriMu serta memperbaik amalan kami. Ya Allah, wahai Tuhan yang membolak- balikkan hati manusia, tetapkanlah hati-hati kami dalam agamaMu dan ketaatan kepadaMu..Amiin ya Rabbal 'Alamiin.

~ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI~

Ulasan CITRA SISWI ~Wanita : Anak, Isteri, Ibu DAN Bos..?

-->
          
 

Dewasa ini, kebanyakan wanita  bekerjaya serta pada masa yang sama memikul tanggungjawab sebagai anak, isteri dan ibu. Justeru itu, tugas dan tanggungjawab wanita pada hari ini semakin mencabar  dalam memenuhi tuntutan tanggungjawab yang tergalas di bahu mereka.

ܓBagaimanakah kesemua tuntutan ini mampu dilaksanakan oleh golongan wanita?
Bertitik tolak dari persoalan ini, pengurusan masa yang baik dan teratur mampu membantu  wanita mengimbangkan tugas dan tanggungjawab mereka.Sesungguhnya masa itu merupakan anugerah iaitu nikmat yang berharga dikurniakan Allah S.W.T kepada seluruh manusia untuk beribadat kepadaNya (ubudiyyah). Masa perlu digunakan sebaiknya untuk mengimbangkan antara pelbagai tuntutan dan peranan serta mengamalkan dan gaya hidup yang produktif  dan diberkati Allah S.W.T dengan menggunakan masa yang sama dengan orang lain tetapi menghasilkan kesudahan yang terbaik dari segi kualiti dan kuantitinya dan mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T.

Oleh itu kesempatan dan masa kehidupan di dunia ini hendaklah digunakan sebaik mungkin sebagai hamba dengan mentaati segala perintah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah S.W.T untuk memperolehi kejayaan untuk meneruskan kehidupan di akhirat yang kekal abadi. Antara dalil dalam al-Quran yang menjelaskan tentang kepentingan masa dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah ialah dapat kita lihat melalui firman Allah S.W.T dalam surah al-‘Asr yang bermaksud :
1. Demi Masa! 2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian -3. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

            Melalui ayat diatas dapat kita fahami bahawa kunci kejayaan adalah terletak pada cara mengisi dan menguruskan masa. Antara tindakan bijak dalam menguruskan masa ialah dengan mengutamakan yang lebih utama dalam kehidupan. Wanita hendaklah  bijak meluangkan masa dengan keluarga iaitu dengan suami dan anak-anak walaupun mereka ini sibuk dengan kerjaya masing-masing demi kebahagiaan keluarga.Contohnya, sekali sekala meluangkan masa bersama keluarga dengan aktiviti yang dapat mengeratkan lagi hubungan dan kasih sayang seperti melancong, beriadah dan berkelah. Sekiranya seseorang wanita dapat membahagikan masa mereka untuk semua ini sebaik mungkin, mereka mampu membahagiakan semua pihak, seperti mana kata-kata hikmat yang pernah kita dengar iaitu “ orang yang bahagia ialah orang yang membahagiakan orang lain”. 

            Faktor penting dalam menentukan pola penyusunan masa ialah mengetahui kepentingan waktu dalam kehidupan kita. Setiap detik dan masa yang berlalu ada perhitungannya di hadapan Allah S.W.T. dan pada masa yang sama kita juga hendaklah memahami konsep hidup yang hakiki mengikut ajaran islam serta memahami hakikat ibadat kepada Allah yang merupakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah. Penyusunan waktu yang sistematik dalam kehidupan amat penting  agar segala apa yang kita lakukan mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah S.W.T.. Rasulullah S.A.W telah bersabda dalanm hadis baginda berkaitan dengan kepentingan masa ini iaitu: Daripada Ibnu Abbas r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda: Dua nikmat yang kebanyakan manusia selalu abaikan (rugi): iaitu nikmat sihat dan waktu lapang.

            Beberapa persediaan perlu ada pada  seseorang wanita yang bergelar sebagai anak, isteri, bos dan ibu mereka dalam aspek pengurusan masa ini ialah :
ܓKeseimbangan antara kegiatan mendidik dan mengisi rohani, hati, akal, emosi dan jasmani
ܓSentiasa menyedari hakikat hidup kita sebagai hamba Allah dan dunia ini hanyalah sementara sahaja
ܓMengoptimumkan waktu yang ada dengan perkara-perkara yang berfaedah kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
ܓSentiasa menepati janji
ܓMenjaga hubungan dengan Allah dan sentiasa disuburkan menerusi keimanan, ketaqwaan dan ketaatan kepada-Nya. 
            Pengurusan masa yang baik membantu wanita memenuhi tuntutan dan tanggungjawab kehidupan mereka. Sebagai individu muslim, wanita perlu  bijak memperuntukkan masa untuk melaksanakan tanggungjawab kepada Allah iaitu melaksanakan perintah-Nya seperti solat, puasa, zakat, berdoa dan sebagainya. Manakala dalam kerjaya pula, wanita perlu melaksanakan tugasan kerja yang dipertanggungjawabkan sebaik serta sebagai ibu dan isteri, wanita perlu, memperuntukkan masa bersama keluarga seperti makan bersama, sembahyang berjemaah dan menjadi pendengar yang baik kepada keluarga iaitu kepada suami dan anak-anak. 

            Akhir kalam, apa yang dapat disimpulkan dari perkongsian  Ustazah Nur Atiqah Abdullah (pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan) dalam Citra Siswi kali ini ialah, pengurusan masa yang baik sangat penting bagi memenuhi setiap tuntutan dan tanggungjawab wanita sebagai anak, isteri, ibu dan juga bos. Moga-moga, apa yang dilakukan mendapat keberkatan serta rahmat daripada Allah S.W.T. Amiin ya Rabbal 'Alamiin.

~ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI~