Friday, September 30, 2011

PERKONGSIAN ~NuR QaLBi 1 : TiMe MaNaGeMent



Dengan nama Allah, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..Alhamdulillah, segala puji dan pujian ditujukan kepada Allah s.w.t  di atas nikmat Iman dan Islam yang dianugerahkan kepada kita, sekalian hambanya. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan para sahabat r.anhum. Salam pertemuan buat sahabat-sahabat yang dikasihi Allah s.w.t.

Alhamdulillah, pada 29 September 2011 telah berlangsung Nur Qalbi musim pertama yang merupakan program berkala dari Lajnah Tarbiah dan Kepimpinan PMFPI. Nur Qalbi kali ini tampil dengan kupasan mengenai  isu pengurusan masa yang merupakan aspek penting dalam pembinaan keterampilan mahasiswa/I di perbukitan ilmu UKM ini.

Bagaimanakah kita berusaha membentuk sikap dan keperibadian kita? Inilah persoalan yang dilontarkan oleh penceramah jemputan, iaitu Ustaz Mohd Faisal Ash’ari. Menurut beliau, medan yang paling utama adalah diri sendiri. Sekiranya kita mampu menguruskan diri sendiri, nescaya kita akan mampu untuk mengurus selain itu. Mahasiswa/I Islam mestilah sentiasa berusaha untuk menjadi pengurus yang baik kepada diri sendiri. Peluang dan kesempatan menuntut ilmu di perbukitan ilmu UKM ini perlu digunakan semaksimum mungkin. Fikirkanlah matlamat anda, apa yang hendak dicapai bahkan apa yang telah pun dicapai.

Kupasan mengenai pengurusan masa (time management) diperincikan lagi dengan satu kata kunci penting iaitu KEUTAMAAN. Dalam hidup ini, kita sering kali berdepan dengan pelbagai PILIHAN. Justeru itu, kebijaksanaan dalam menentukan sesuatu keutamaan amatlah penting agar pilihan yang dibuat tepat dan sesuai mengikut situasi dan kondisi kita.  Pemilihan perkara utama/ prioriti perlulah dipertimbangkan berdasarkan keutamaan atau fiqh awlawiyyat. Fiqh awlawiyyat ini  meliputi tiga perkara iaitu dharuriyyat yang bersifat utama, hajiyyat (keperluan) serta tahsiniyyat (pelengkap). Ketiga-tiga perkara ini perlu diperhalusi dalam membuat sesuatu pilihan. Antara bahan bacaan yang boleh dirujuk ialah Fiqh Awlawiyyat karangan Dr. Majdi al Hilali serta karangan Dr.Yusuf al-Qardhawi.

Antara aspek lain dalam pengurusan masa yang perlu diberikan penekanan ialah pengurusan tidur iaitu tidur dan bangun pada masa yang sepatutnya. Dengan ini, insyaAllah permasalahan pengurusan masa yang lain akan mampu ditangani dengan baik. Kewajipan jauh lebih banyak dari waktu. Justeru itu, gunakanlah masa dengan sebaiknya agar mampu menjadi individu yang bertanggungjawab kepada diri, keluarga dan agama. Paling penting, meneruskan tanggungjawab dakwah Islam kepada ummah.

Penglibatan aktif di dalam aktiviti keilmuan (kuliah, majlis ilmu) serta kegiatan berpersatuan memberi pendedahan serta pengalaman kepada mahasiswa/I untuk berhadapan dengan cabaran serta masalah. Dengan ini, terhasillah hikmah yang mampu membentuk pengurusan diri yang baik dalam diri mahasiswa/i. Pengurusan diri meliputi pengurusan masa, kewangan mahupun gerak kerja berpersatuan merupakan satu nilai tambah yang bernilai bagi mahasiswa/ I demi mencapai kecemerlangan. Tuntasnya, kesemua ini menuntut pembudayaan ilmu yang terhasil dari penghayatan, amalan, pemerhatian serta pengalaman dalam kehidupan.

ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI~





Tuesday, September 27, 2011

NILAI SEBUAH KEIKHLASAN

“Ustaz-ustaz, apa itu ikhlas?” Tanya seorang murid kepada ustaz kesayangannya. Tergaru-garu ustaz dek persoalan yang ditimbulkan oleh salah seorang muridnya. “Ikhlas itu, kita melakukan sesuatu perkara hanya kerana Allah, bukan kerana manusia”. Jelas sang ustaz. Kelihatan murid-murid mengangguk-angguk kepala tanda setuju dengan penjelasan yang diberi.
“Ikhlas merupakan suatu sifat yang sukar dicapai oleh manusia, tidak diukur melalui banyaknya melakukan amalan, bukan sekadar lafaz dilaungkan atau sebesar perkataan “ikhlas” diberikan. Ikhlas ialah setiap perkara yang disusuli dengan hati yang suci dan bersih tanpa    dibuat-buat”.



Sejauh Mana Pentingnya Keikhlasan?


Banyak sekali nas yang menunjukkan kepentingan ikhlas dalam sesuatu amalan. Antaranya ialah:
“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan Ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid..” (Al-Bayyinah : 5)




“Sesungguhnya setiap amalan itu dinilai berdasarkan niat” (Al-Bukhari, KItab Badaa al-Wahyu, Bab Kaifa Kana Bada al-Wahy)
“Allah tidak melihat rupa paras dan hartamu, tetapi Dia melihat hati dan amalan kamu” (Muslim, Kitab al-Bir wa al-Salah wa al-Adab)


Resipi Mudah Menyediakan Keikhlasan?

 Sediakan semangkuk penuh air pengharapan pahala atau syurga dari Allah.
 Cincang lumat serta singkirkan kotoran-kotoran yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah
 Masukkan ramuan tersebut ke dalam mangkuk iman, gaul hingga sebati serta hiaskannya dengan buah keredhaan.
 Perhatian : Sila ulangi langkah di atas untuk menghasilkan hasil yang maksimum.


Kesan Daripada Sifat Ikhlas

Seorang yang ikhlas dapat dikesan melalui perkataan serta tindakan yang diambil. Antara ciri orang yang ikhlas ialah melakukan sesuatu perkara dengan tekun dan bersungguh-sungguh tanpa mempedulikan apa yang akan dikatakan oleh orang lain.
Orang yang ikhlas juga tidak mudah berputus asa dalam hidup walaupun menerima banyak ujian dan halangan. Mereka tidak pernah mengharapkan ganjaran daripada makhluk, sebaliknya sentiasa optimis dalam mengharapkan ganjaran daripada Allah.
Marilah sama-sama kita berusaha menjadikan ikhlas sebagai pakaian kita serta menjadikannya sebagai mutiara yang tidak ternilai harganya…

~Nukilan Ikhlas Daripada Lajnah Tarbiah Dan Kepimpinan PMFPI~

Sunday, September 25, 2011

BeRaKhiRnya M3P BeRmuLanya PeLuaNg MaHaSisWa MemBina PeRsOnaliTi KepimpiNan DaLaM OrGaNiSaSi

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Alhamdulillah, segala puji dan pujian ditujukan ke hadrat Allah .sw.t dengan nikmat Iman dan Islam yang dianugerahkan kepada kita, sekalian hambaNya. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan para sahabat r.anhum.

Alhamdulillah, minggu pengenalan persatuan telah berlangsung dengan jayanya bermula 19 -23 September 2011. Ruang pendaftaran berpersatuan telah dibuka seluas-luasnya buat seluruh mahasiswa/ I perbukitan ilmu yang kita cintai, Universiti Kebangsaan Malaysia. Terima kasih kepada seluruh Mahasiswa/I Fakulti Pengajian Islam yang sama-sama memberi sokongan kepada Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) serta persatuan-persatuan di Jabatan Fakulti Pengajian Islam.

Selaku mahasiswa, kecemerlangan yang perlu digapai bukan hanya di bidang akademik, bahkan mahasiswa perlu melengkapkan diri dengan kemahiran-kemahiran yang bersifat semasa seperti kepimpinan dan pengurusan dalam mendepani arus zaman yang kian mencabar. Mahasiswa yang unggul bukan hanya dibentuk dalam dewan kuliah mahupun bilik tutorial, bahkan personalitinya turut dibentuk melalui kegiatan berpersatuan yg mampu memberi pengajaran berbentuk pengalaman dan kemahiran kendiri mahupun berorganisasi untuk turun bersama-sama masyarakat.

Semoga ukhuwah yang terjalin antara kita semua sentiasa berkekalan. Nantikan dan sertai program-program menarik dari kami. Bersama kita meriahkan keintelektualan dengan berpersatuan. Akhir kalam dari kami,ayuh teruskan perjuangan membina syiar Islam dalam diri & kehidupan.


~Suasana di booth PMFPI~





~Booth JAKMA~

~Booth JANNAH~

~Booth HUJJAH~

~Booth NAHDHAH~

~Booth KUFFAH~
















~Islam menerajui kepimpinan madani

Saturday, September 17, 2011

Minggu Pengenalan Persatuan Pelajar



Assalamualaikum. Salam Mahasiswa.

Masa berlalu begitu pantas sehingga tanpa kita sedari, telah seminggu berlalu hari perkuliahan bagi sesi 2011/2012. Barisan pimpinan PMFPI ingin sekali lagi mengucapkan Selamat Datang, Ahlan wa Sahlan wa marhaban bikum kepada semua mahasiswa FPI UKM, terutamanya kepada Pelajar Tahun 1 FPI.

Sebagaimana yang kita sedia maklum,pada setiap tahun akan diadakan Minggu Pengenalan Persatuan Pelajar (M3P) pada awal sesi. Untuk pengetahuan sahabat-sahabat, M3P pada sesi ini akan berlangsung pada 19-23 September 2011. Ayuh, marilah kita sama-sama mendaftar sebagai ahli dalam persatuan-persatuan yang berdaftar di UKM.

Bergelar sebagai seorang mahasiswa, perhatian kita tidaklah hanya tertumpu kepada sesi perkuliahan semata-mata tetapi turut melibatkan aktiviti berpersatuan. Jadilah kita mahasiswa yang benar-benar terdidik bukan sahaja dari segi keintelektualnya, malah dari segi sahsiah, keperibadian dan kepimpinan.

Bersama kita memeriahkan Minggu Pengenalan Persatuan Pelajar (M3P)!!! JOm, jom, jom Sertai!!!


((ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI))

Thursday, September 15, 2011

Alu-aluan MPP FPI Tahun1/2



Alhamdulillah wabihi nasta’in wa ‘alaihi tawakkalna wahua Rabbul ‘arsyil ‘azim.

Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum kepada semua mahasiswa/i baru bagi sesi pengajian 2011/2012 dan mahasiswa yang berjaya meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Mahasiswa-mahasiswi Tahun Satu kerana berjaya terpilih memasuki Fakulti Pengajian Islam,Universiti Kebangsaan Malaysia, universiti perbukitan ilmu yang kita cintai ini.

Selaku mahasiswa dan mahasiswi Islam, kita seharusnya mempunyai integriti diri yang tinggi terhadap agama kita. Ketahuilah, bahawa tidak semua orang yang terpilih untuk meneruskan pengajian di dalam bidang agama. Mahasiswa islam seharusnya mempunyai personaliti yang tinggi dan bersahsiah mulia di dalam menuntut ilmu. Marilah kita terus beriman dengan aqidah perjuangan ini dan sepenuhnya yakin dengan janji Allah untuk kemenangan dunia dan akhirat, walaupun banyak dan susahnya cabaran serta jauhnya perjalanan.

Maka, faham mengenai tujuan menuntut ilmu dan kemahiran secara menyeluruh dan mengikut pandang Islami perlu menjadi keutamaan kepada kita. Masalah yang kita hadapi di sini bukan setakat kekeliruan mengenai tujuan menuntut ilmu khususnya di dalam bidang agama ini. Ketahuilah sahabat-sahabat, masalah kebejatan akidah dalam agama kita yang berlaku di dunia pada hari ini memerlukan jiwa-jiwa muda untuk merubahnya. Peranan kitalah selaku mahasiswa islam untuk merubahnya. Ini kerana mereka memiliki dua sikap yang membantu iaitu ikhlas dan jujur dalam menuntut ilmu kemahiran dan ada kesungguhan yang luar biasa.

Akhir kalam, saya selaku MPP Fakulti Pengajian Islam Tahun 1 dan 2 serta mewakili Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), berharap agar mahasiswa dan mahasiswi dapat menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran Fakulti Pengajian Islam, UKM dan berjaya menempuh alam pengajian yang penuh dengan mehnah dan tribulasi yang kian mencabar buat mahasiswa/i pengajian Islam kini. Semoga mahasiswa dan mahasiswi dapat mengikuti semua program-program yang akan dijalankan oleh pihak pentabiran fakulti dan Persatuan Mahasiswa Fakulti serta program PMUKM . Gunakanlah peluang yang ada ini untuk menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Buat renungan mahasiswa dan mahasiswi untuk sama-sama kita ambil ‘ibrah daripada kata-kata oleh Muhammad Abduh, tokoh reformis, ”Jika pelaburan besar dalam pendidikan dibuat, maka kita tidak akan bersusah payah memikirkan banyak perkara, dan inilah jalan yang terbaik”.

Muhammad Ikram Bin Darus
Naib Presiden 4 PMUKM merangkap
Majlis Perwakilan Pelajar FPI tahun 1 dan 2

“BERSAMA MAHASISWA MEREALISASI VARSITI”

Alu-aluan Pengerusi Majlis Eksekutif


بسم الله الرحمن الرحيم

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. Alhamdulilah atas kemurahan rezeki yang diberikan olehNya, masih lagi kita dapat memenuhi tuntutan kehidupan. Pertama kalinya marilah kita rafakkan kesyukuran terhadap terhadap Ilahi di atas nikmat islam dan Iman. Selawat dan salam ke atas junjungan kita, Nabi Muhammad S.A.W kerana dengan perjuangan dan kesabaran bagindalah kita semua dapat merasai nikmat islam pada hari ini.


Saya sebagai wakil dari pihak Majlis Eksekutif PMFPI mengucapkan tahniah dan ahlam wasahlam kepada mahasiswa/i tahun 1 sesi 2011/2012.


Sebagai seorang Mahasiswa/i pengajian islam, akhlak dan perilaku mestilah dipelihara, ikhtilat sesama kita mestilah dijaga dan menjadi kewajipan kepada kita semua mengerjakan yang baik, serta menolak perkara mungkar disamping kita dijadikan qudwah hasanah bagi Mahasiswa/i yang lain.
Untuk pengetahuan Mahasiswa/i sekalian, Majlis Eksekutif dipengerusikan oleh TYDP PMFPI dan dianggotai oleh YDP 5 kelab jabatan iaitu kelab hujjah, kuffah, nahdah, jannah dan jakma .

Sebagai makluman mahasiswa/wi sekalian, tujuan penubuhan Majlis Eksekutif PMFPI adalah untuk merapatkan hubungan silaturahim mahasiswa/wi antara sesama kelab jabatan disamping melicinkan dan menyelaraskan segala program yang dianjurkan oleh kelab jabatan dan juga PMFPI.

Sehubungan dengan itu, di pihak Majlis Eksekutif memerlukan sokongan dan juga komitmen daripada mahasiswa/wi khususnya untuk sesi 2011/2012 supaya segala program yang disusun dan yang dilaksanakan dapat berjalan dengan lancar dan sempurna.
Sekian, Wassalam.

Alu-aluan YDP PMFPI



بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته .....
الحمدلله رب العالمين, الصلاة والسلام على إمام المتقين والمجاهدين, رسولنا محمد صلى الله عليه وسلم, وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين


Firman Allah s.w.t :
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang Yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.
(Surah Al-Anfal: 2-4)


Pertama kalinya marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kita kepada Allah s.w.t di atas segala kurniaanNya termasuklah dua nikmatNya yang paling besar iaitu nikmat Iman dan Islam.
Sesungguhnya beriman kepada Allah s.w.t dan kesejahteraan i’tiqad adalah teras kepada segala-galanya, yang mana tanpanya segala amalan yang di laksanakan tiada nilai sedikit pun disisi Allah s.w.t walaupun ianya kelihatan besar, banyak dan mulia. Ini kerana segala amalan yang dibangunkan adalah di atas asas yang kosong, yang menghala kearah kesesatan. Berkata al-Syahid Imam Hasan al-Banna “sesungguhnya kewajipan seorang muslim itu ialah berusaha untuk berakhlak dengan semua cabang iman, yang menghimpunkan semua amalan, sama ada amalan hati mahupun amalan anggota”.


Berdasarkan firman Allah di atas, Allah s.w.t memerintahkan kita agar bertawakkal serta takut kepadanya, dan diperintahkan juga untuk mendirikan solat, mengeluarkan zakat serta berzikir. Akan tetapi kesemua perintah dan arahan itu mestilah didasari dengan asas keimanan yang kukuh.
Oleh itu, sebagai mahasiswa/i Fakulti Pengajian Islam, mestilah menjadi contoh yang terbaik kepada mahasiswa/i yang lain sama ada dari segi amalan, pembelajaran, pengurusan dan sebagainya, supaya kecantikan dan kehebatan Islam terserlah.


Akhir kalam, tahniah diucapkan kepada semua pimpinan PMFPI yang baru, serta tidak lupa juga kepada pimpinan kelab-kelab jabatan, semoga semuanya dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan baik dan cemerlang.
Sekian, Wassalam



(WAN MUHAMMAD NAIF BIN MOHD NORDIN)
Yang Dipertua,
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.