Wednesday, March 28, 2012

Citra Siswi ~Katalog Permaisuri Dari Kacamata Sunnah Nabawi

 
-->

Buat semua siswi,

Bermula 30 hb Mac ini, Citra Siswi tampil dengan kelainan, istimewa buat anda semua. Jom, ikuti bedah kitab ''Katalog Permaisuri Dari Kacamata Sunnah Nabawi'' bersama Ustazah Qurrotul Aien bt Fatah Yasin, membicarakan  pesanan-pesanan Rasulullah saw kepada para wanita untuk menjadi permaisuri dunia dan akhirat, ratu bagi segala bidadari yang berada di syurga. Menarik serta penuh dengan ilmu disertai hadith-hadith Rasulullah s.a.w bagi memandu seorang muslimah untuk membentuk keperibadian unggul sebagai muslimah sejati. Ayuh, teruskan langkah ke arah lebih baik, mengikuti panduan Illahi dalam kehidupan dengan suluhan ilmu.
Ingat, temu janji kita :
Setiap Hari Jumaat, 12.15 hingga 1.45 Ptg, DK 2 FPI
 30 Mac 2012  
 20 April 2012  
   4 Mei 2012    
 18 Mei 2012  
   1 Jun 2012  
-->
-->
''Dunia ini  adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah,'' (H.R Muslim, Nasa'i, Ibn Majah dan Ahmad). Jom hiasi peribadi, agar Allah semakin sayang.  
~ ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI

Saturday, March 17, 2012

Suburnya Keilmuan di UKM

Suasana keilmuan di UKM semakin terasa kini. Setiap minggu, pasti ada program-program keilmuan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada persatuan umum, persatuan fakulti mahupun di kolej-kolej kediaman. Suasana ini dilihat merancakkan perkembangan intelektual di perbukitan ilmu UKM khususnya. PMFPI melihat perkembangan ini sebagai satu usaha positif dari semua pihak terutamanya dalam membentuk mahasiswa yang berkualiti.
 
Pelbagai pihak memainkan peranan dalam menghidupkan suasana seumpama ini. Di peringkat PMUKM telah berjaya menganjurkan Suara Kampus dan pelbagai program lainnya yang menyaksikan kehadiran ramai mahasiswa UKM bagi mendapatkan pencerahan dan perkongsian ilmu dengan topik yang pelbagai. Demikian juga di peringkat Ikatan Studi Islam (ISIUKM) telah menganjurkan Ummah Talk dan Sembang Santai Siswi yang turut mendapat sambutan baik dari mahasiswa/i UKM. Baru- baru ini, Kolej Kediaman Antarabangsa Ibu Zain turut sama memeriahkan suasana keilmuan di UKM melalui penganjuran Minggu Hak Asasi Manusia yang memberi kesedaran mengenai saudara seislam kita di Palestin.    
     Di peringkat PMFPI turut sama memeriahkan keilmuan di UKM melalui penganjuran Nur Qalbi dan Citra Siswi. Di samping itu, kelab-kelab jabatan di FPI turut menganjurkan pelbagai program. Sepanjang minggu ini iaitu pada 12-16 Mac, terdapat dua program yang dianjurkan oleh kelab jabatan iaitu Minggu Mahasiswa Dinamik (MMD) oleh Kelab Mahasiswa Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan ( JAKMA)  dan Festival Kebudayaan Timur Tengah oleh Kelab Mahasiswa Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam (NAHDHAH) .  
   Selanjutnya, diteruskan dengan  program UKM Berselawat yang akan diadakan pada hari Sabtu ini, 17 Mac 2012 dan Pengajian Kitab : Adab Menuntut Ilmu oleh Sheikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki anjuran Kelab Mahasiswa Jabatan Usuluddin dan Falsafah  dan Pusat Islam. PMFPI menjemput seluruh warga UKM untuk turut sama memenuhi ruang masjid UKM dan memeriahkan program yang dianjurkan ini. Jangan ketinggalan, peluang menimba ilmu dan tingkatkan thaqafah!   
 Akhir kalam, PMFPI mengharapkan ruang keilmuan yang terbuka luas ini digunakan secara maksimum oleh mahasiswa/ i sebagai nilai tambah dalam mengharungi liku-liku kehidupan sebagai penuntut ilmu. Suburnya keilmuan diharapkan menjadi suluhan bagi menambah keimanan kepada Allah dan memandu kecemerlangan akhlak, sahsiah dan keilmuan mahasiswa/I di perbukitan ilmu ini.
ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI

Monday, March 5, 2012

Citra Siswi : Pohon yang Indah, Akarnya Teguh



Sepertimana semester lepas, program Citra Siswi diteruskan lagi untuk semester ini dengan tajuk yang sangat menarik iaitu “Pokok Yang Indah, Akarnya Teguh” oleh penceramah yang tidak asing lagi iaitu Ustazah Qurratul Aien Binti Fatah Yasin. Apa yang kita difahami berhubung dengan tajuk ini setelah ia dihuraikan secara jelas oleh penceramah ialah ia merupakan salah satu tajuk yang berkaitan dengan akidah kita sebagai seorang muslim.



Dalam menjelaskan tajuk ini, penceramah telah menggambarkan kehidupan manusia ini dengan sebatang pokok iaitu sebatang pokok mestilah memiliki akar untuk hidup dan pokok yang indah mestilah memiliki akar yang teguh. Bagi seorang muslim, yang meneguhkan dirinya ialah akidah. Akidah adalah suatu aspek penting dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim dan akidah yang teguh adalah satu bukti seseorang itu sangat yakin dan percaya serta beriman kepada Allah. Penceramah juga telah memberi gambaran seorang muslim berdasarkan sebatang pokok iaitu akarnya umpama akidah, manakala batangnya adalah ibadat asas, daunnya pula adalah ibadah sunat, manakala buahnya adalah akhlak. Gambaran yang diberikan ini adalah untuk menunjukkan bahawa sebatang pokok yang lengkap adalah pokok yang indah disokong oleh  akarnya yang teguh. Begitu juga seorang manusia, sekiranya ia memiliki aspek-aspek berikut maka ia merupakan seorang mukmin yang benar-benar beriman dan percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah.

Seorang muslim yang beriman hendaklah sentiasa meneguhkan akidahnya dengan melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Penceramah juga telah menjelaskan bahawa untuk mencapai akidah yang teguh seseorang itu hendaklah melaksanakan ibadah dengan ikhlas kerana Allah serta khusyuk dalam solat. Kekhusyukan solat melambangkan seseorang itu telah percaya dan yakin bahawa Allah itu ada dan Maha Berkuasa terhadap makhluk ciptaan-Nya dan segala yang ada dilangit dan di bumi ini. Kekhusyukan dalam ibadat khususnya solat adalah suatu perkara yang susah untuk dicapai dan untuk mencapai kesempurnaannya, hendaklah mengambil kira setiap perkara yang berkaitan dengan sebelum atau selepas melaksanakannya, contohnya perkara sebelum melaksanakannya iaitu wudhuk iaitu kita hendaklah mengambil kira dari mana punca air yang kita gunakan untuk mengambil wuduk dan sebagainya. Sebagai seorang muslim kita perlu ingat dan tanamkan dalam diri kita bahawa ibadah yang sempurna akan menguatkan pegangan serta meneguhkan akidah kita serta jalan bagi menilai seseorang dari segi luaran.




Ustazah Qurratul Aien juga menjelaskan tentang beberapa persoalan penting yang berkaitan dengan akidah antaranya ialah takrifan akidah, apa itu akidah? Menerusi persoalan ini beliau telah menghuraikan maksud akidah dari segi bahasa dan istilah. Akidah dari segi bahasa bermaksud ikatan atau simpulan manakala dari sudut istilah ia bermaksud kepercayaan yang teguh terhadap Allah S.W.T. Di samping itu, beliau juga telah menjelaskan tentang rukun akidah iaitu rukun Iman yang merupakan sesuatu yang perlu dipenuhi oleh seorang muslim yang teguh akidahnya iaitu percaya dan yakin serta beriman kepada enam perkara iaitu beriman kepada Allah, beriman kepada Malaikat, beriman Kitab, beriman kepada Rasul, beriman kepada Hari Akhirat dan beriman kepada Qada’ dan Qadar. Kepercayaan dan keyakinan bahawa Allah itu wujud dan ada adalah tapak asas kepada keteguhan dan kekuatan.

Selain itu, menurut ceramah yang disampaikan antara perkara lain yang perlu kita titikberatkan dalam mengukuhkan akidah ialah kita hendaklah sentiasa menyedari dosa-dosa yang kita lakukan dalam kehidupan seharian, dan tanpa kita sedari kadang-kadang setiap detik kita membuat dosa. Bagi mengelakkan kita daripada terlalai dan leka terhadap dosa-dosa yang telah kita lakukan dalam kehidupan, kita hendaklah sentiasa muhasabah diri dan segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah S.W.T atas dosa-dosa yang telah kita lakukan itu supaya akidah kita tidak terpesong serta berada dalam keadaan lalai dan leka kepada perkara-perkara duniawi sahaja.

Penceramah turut mengupas mengenai ujian hidup.  Kita hendaklah yakin bahawa sesuatu yang berlaku ada hikmah disebaliknya dan janganlah kita mengeluh atau berputus asa sekiranya kita diberikan sesuatu musibah atau ujian daripada Allah S.W.T. Sesungguhnya sesuatu ujian yang diberikan oleh Allah baik berupa musibah atau sebagainya perlu kita ingat bahawa ianya adalah suatu cara supaya kita dapat mendekatkan diri kita kepada Allah dan ia juga menunjukkan bahawasanya Allah sayang dan peduli kepada kita. Setiap ujian dan dugaan yang diberikan oleh Allah juga akan mendekatkan lagi darjat kita kepada-Nya asalkan kita dapat menerimanya dengan hati yang terbuka, ikhlas dan redha dengan segala ketentuan yang datang daripada-Nya. Melalui ujian dan dugaan yang diberikan Allah juga ia akan dapat menambahkan ilmu kepada kita iaitu melalui pelbagai cara dan situasi yang kita hadapi dalam menyelesaikannya yang akan mengajar kita dalam kehidupan yang sebenar sebagai seorang hamba Allah dimuka bumi ini.

Persoalan seterusnya yang diungkap dan diperjelaskan oleh penceramah berkaitan tajuk ini ialah berkaitan dengan mengapa perlunya akidah dalam kehidupan kita, dan persoalan ini telah terjawab sepertimana yang kita dapat lihat iaitu menerusi firman Allah S.W.T dalam al-Quran dalam surah al-Fatr ayat 24:
Maksudnya: Dan tiada suatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.
Menerusi firman Allah diatas dapat kita fahami bahawa fitrah manusia itu memerlukan pegangan iaitu akidah. Allah telah mengutuskan Nabi dan Rasul kepada setiap manusia untuk menjadi pembimbing dan memberi peringatan kepada setiap umat manusia supaya beriman kepada Allah yang telah menciptakan segala makhluk yang berada di alam ini. Selain itu kita juga dapat mengetahui bahawa fitrah manusia itu ada pegangan seperti mana yang kita dapat lihat bahawa sejak dalam kandungan ibu lagi manusia sudah mempunyai satu pegangan iaitu bayi dalam kandungan telah dibekalkan satu pegangan iaitu tali pusat yang merupakan bukti kepada fitrah manusia itu adalah mempunyai pegangan. Akidah atau pegangan juga menjadi sumber motivasi kepada manusia untuk yakin dan percaya kepada Allah dan akidah yang teguh akan menjadikan seseorang individu patuh kepada Allah dan berakhlak mulia.




Selain itu, penceramah juga telah menjelaskan persoalan berkaitan bagaimana cara untuk mengukuhkan akidah. Perkara ini  diperjelaskan oleh beliau secara terperinci dimana kita perlu ketahui terlebih dahulu bahawa akidah itu terletak dalam al-Qalbu dalam bahasa arab yang bermaksud jantung yang telah digambarkan oleh beliau sebagai tanah dimana tertanamnya akar iaitu akidah didalamnya dan untuk mengukuhkan dan menguatkan akar, langkah utama yang perlu dilakukan ialah menyuburkannya. Sepertimana yang telah kita ketahui cara terbaik untuk menyuburkan tanah ialah dengan menggunakan air dan baja. Begitu juga dengan al-Qalbu, untuk mengukuhkan akidah yang terdapat didalamnya, ia mestilah disuburkan dengan ilmu dan amal.

Langkah seterusnya yang perlu dilakukan setelah ia subur maka hendaklah dikukuhkan lagi. Sebagaimana untuk mengukuhkan akar kita hendaklah menyemai zat dan mencantas parasit, begitu juga untuk mengukuhkan akidah kita hendaklah menyemai makruf dan mencantas kemungkaran iaitu membuat amal makruf dan meninggalkan yang mungkar. Sekiranya langkah ini dilaksanakan, insyaAllah ia akan menjadi sebatang pokok yang indah dan akarnya teguh dan akan mengeluarkan buah yang cantik iaitu akhlak yang mulia.




Setelah  memiliki akidah dan pegangan yang teguh kemudiannya akan terpancarlah hidayah  di dalam hati seseorang iaitu hidayat dinniyah iaitu hidayah agama dan hidayat akliah iaitu petunjuk akal yang terdiri daripada tiga hukum iaitu hukum sebab dan akibat, hukum kenescayaan (wajib, harus dan makhruh) dan hukum keteraturan (ada yang mengatur).
Menerusi ceramah yang disampaikan kita dapat fahami bahawa akidah yang teguh adalah merupakan suatu perkara asas yang sangat penting dalam kehidupan kita sebagai seorang manusia yang memegang tanggungjawab sebagai Khalifah Allah dimuka bumi ini bagi memimpin diri, keluarga, masyarakat ke arah jalan yang di redhai Allah S.W.T.

Makluman buat semua mahasiswi, insyaAllah pada semester ini program Citra Siswi akan tampil dengan pembelajaran secara bedah buku iaitu yang turut disampaikan oleh ustazah Qurratul Aien dengan menggunakan sebuah buku yang bertajuk “ 111 Wasiat Rasulullah S.A.W kepada wanita Solehah”.  Akhir kalam, PMFPI mengalu-alukan kedatangan seluruh mahasiswi UKM ke Program Citra Siswi yang akan datang.

Semaikan Islam Di hati,
Tanamkan Iman nan Suci,
Bajai Taqwa Setiap Hari,
Berbuah Bahagia Hakiki.

Sekitar program Citra Siswi ~


         
           

ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI

Saturday, March 3, 2012

Citra Siswi : Pohon yang Indah, Akarnya Teguh


Program Citra Siswi anjuran Biro Hal Ehwal Siswi PMFPI kembali diteruskan bagi semester ini. Perkongsian kali ini bertajuk Pohon yang indah, Akarnya Teguh disampaikan oleh Ustazah Qurratul Aien Fatah Yasin. Pohon yang indah, akarnya teguh adalah satu anologi menarik yang dibawakan bagi mengupas hubungan antara akidah dan akhlak seseorang muslim.

Akar merupakan asas dan tunjang bagi sebatang pokok. Demikianlah juga akidah merupakan asas dan tunjang bagi seorang muslim. Apabila teguh asasnya, maka akan lahirlah individu yang berkualiti, tinggi keimanannya kepada Allah. Ibadah pula diumpamakan sebagai  batang yang tertegak melalui akar. Manakala akhlak pula diumpamakan sebagai buah yang dihasilkan.

Sebatang pokok adakalanya menghasilkan buah yang berbeza bentuk dan rasanya. Demikianlah juga tarbiah terhadap individu melahirkan hasil yang berbeza. Akidah yang kukuh menghasilkan ibadah dan akhlak yang baik. Akidah adalah simpulan / ikatan yang teguh kepada Allah. Akidah dalam Islam terangkum dalam rukun iman iaitu beriman kepada Allah, beriman kepada malaikat, beriman kepada rasul, beriman kepada kitab, beriman kepada hari kiamat dan beriman kepada qada’ dan qadar.

Keyakinan kepada Allah menyebabkan seseorang muslim tidak melakukan dosa mahupun maksiat ketika mana bersendirian. Ini kerana dia menyakini bahawa Allah Maha Mengetahui segala perbuatannya bertepatan dengan martabat ihsan sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah s.a.w, ‘’ Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Allah, jika engkau tidak melihat Allah, nescaya Allah melihatmu. Seorang muslim juga dianjurkan agar sentiasa beristighfar memohon keampunan dari Allah kerana lumrah, manusia tidak lari dari melakukan kesalahan/ dosa dalam kehidupannya.

Keimanan kepada qada’ dan qadar Allah mendorong seorang muslim yakin bahawa segala yang berlaku dalam kehidupannya telah ditentukan oleh Allah dan pasti ada kebaikan sama ada baik mahupun buruk pada pandangan manusia. Penceramah memberi anologi, hubungan seorang muslim dengan Allah ibarat seorang anak dengan ibunya. Ibu ingin memberi yang terbaik kepada anaknya sebagai contoh makanan berkhasiat. Ibu mengetahui kebaikannya meskipun ditolak oleh anak yang tidak menggemari makanan tersebut. Ujian sama ada susah mahupun senang  dalam kehidupan seorang muslim mampu meningkatkan iman dan mendekatkan dirinya kepada Allah dengan syarat dia mampu menerima ujian tersebut dengan redha. Demikianlah, ketentuan Allah adalah yang terbaik buat hamba-hambaNya.

BAGAIMANA CARA KUKUHKAN AKIDAH?
Berdasarkan analogi pokok, sebatang pokok perlu disuburkan dengan air dan baja yang mencukupi. Demikian juga hati seorang muslim (qalbun) perlu disuburkan dengan ilmu dan amal. Hati menjadi subur dengan ilmu yang bermanfaat, yang mendekatkan diri kepada Allah. Penting bagi seorang muslim menuntut ilmu dengan bersungguh- sungguh untuk membebaskan diri dari kejahilan terutamanya ilmu fardhu ain yang berkait dengan agama. Di samping itu, mestilah berniat untuk mengamalkan apa yang dipelajari. Dengan ilmu, ibadah  dan amal yang dilakukan bukan hanya ala kadar, bahkan memenuhi tuntutan-tuntutan sebagaimana yang digariskan oleh syarak. Sebagai contoh, ibadah solat perlu dipelihara pelaksanaannya bermula dengan niat yang betul, mengambil wuduk dengan baik untuk menghadap Allah di samping memperhatikan dan mengelak dari melakukan perkara-perkara yang makruh. Akidah yang teguh kepada Allah, akan melahirkan ibadah yang khusyuk.

Pokok perlu dikukuhkan dengan menyemai zat dan mencantas parasit. Demikianlah juga, untuk mengukuhkan akidah, kebaikan (makruf) mesti disemai dan mencantas segala yang mungkar. Mudah-mudahan, sebagaimana indahnya pohon dan manisnya buah yang dihasilkan begitulah juga indahnya akhlak seorang muslim hasil keteguhan akidahnya kepada Allah s.w.t.

ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI






Syria : Isu Ummah Sejagat




Sumber cbnews
Saat dan ketika rakyat Malaysia berada dalam pergelutan isu-isu menjelang pilihan raya umum 13, saudara kita di Syria juga turut berada dalam kemelut politik yang kian menyiksa jiwa rakyat Syria. Bashar al-Assad yang bertindak seperti diktator bertopengkan demokrasi terus berpegang teguh untuk mengekalkan kedudukan sebagai Presiden Syria hampir 11 tahun. Sebelum pemerintahan Bashar al-Assad, ayahnya Hafez al-Assad mencatatkan zaman pemerintahan selama 29 tahun.
Kebangkitan yang menggolakkan arus perubahan itu disebabkan oleh tempoh pemerintahan yang lama tanpa diberi kebebasan kepada rakyat. Sudah pasti, perkara ini sememangnya tidak dapat dinafikan, namun apa yang jelas Syria bukan seperti negara-negara arab yang sudah pun mengalami keruntuhan pemimpin yang sudah lama memerintah.
Syria berpendirian untuk tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara serta tidak mempunyai kerjasama dengan negara tersebut. Syria menyambut baik perjuangan gerakan-gerakan Islam seperti Hamas dan Hizbullah, bukti yang jelas adalah Syria membenarkan tanahnya untuk menjadi pangkalan atau kubu kepada gerakan Islam tersebut. Malah, gerakan Islam tersebut berbeza pendapat dan pandangan terhadap mazhab yang dipegang kerana Hamas adalah gerakan aliran  mazhab Sunni dan Bashar al-Assad pula berpegang kepada mazhab Alawi. Persamaan antara mereka adalah perjuangan menentang musuh yang sama iaitu Israel.
Soal Pendekatan
Jika di zaman Hafez al-Assad corak pemerintahan bercorakkan ketenteraan, kebangkitan rakyat mula dirasai di era tersebut. Namun, ketika tampuk pemerintahan bertukar tangan kepada Bashar al-Assad, pendekatan yang digunakan menjadi longgar atau mesra di mata rakyat. Bashar al-Assad dipanggil oleh ayahandanya, Hafez al-Assad untuk kembali menyertai ketenteraan Syria selepas berita kematian abang kepada Bashar al Assad, Bassel al Assad meninggal dunia akibat sebuah kemalangan jalan raya.
Bassel al Assad sebelum itu sudah pun dicorakkan oleh Hafez al Assad untuk mewarisi kepimpinan Syria ketika itu, namun kematian mengejut yang tidak disangkakan oleh Hafez al Assad mendesak beliau melakukan sesuatu. Pada tahun 1994, Hafez al Assad mula mencari pengganti yang akan menerajui pentadbiran Syria kelak, maka calon yang sesuai ketika itu adalah Bashar al Assad yang ketika itu sedang melanjutkan pengajiannya di United Kingdom dalam bidang Optomologi. Seorang doktor yang bakal menerajui pentadbiran ketenteraan.
Usia Bashar al Assad ketika itu dikatakan terlalu muda untuk memegang tampuk pemerintahan, usia setahun jagung mengikut perumpamaan Melayu. Satu faktor kuat yang menyokong idea ketahanan kerajaan Syria ketika itu adalah faktor pentadbiran Syria yang dikuasai oleh tentera. Tidak dapat tidak, segala kebangkitan rakyat pasti dipatahkan.
Maka, lahir pemimpin muda, Bashar al Assad dalam lipatan sejarah Syria. Semakin sukar kerajaan yang diwarisi oleh keluarga al Assad untuk ditumbangkan, atas faktor usia Bashar al Assad yang muda dikatakan mesra dengan masyarakat Syria. Perubahan demi perubahan dilaksanakan pada zaman Bashar al Assad.
Punca Kebangkitan
Hanya kerana sekumpulan kanak-kanak yang menconteng dinding “Rakyat mahu jatuhkan kerajaan” dan pengorbanan jiwa berlaku, maka kebangkitan rakyat semakin berkobar-kobar semangatnya. Situasi di Syria jika di kaji dengan teliti sangat rumit. Hal ini kerana keadaan di Syria sangat berlainan berbanding di negara sekitarnya, kerana penguasanya adalah tentera. Malah, tindakan Bashar al Assad untuk mesra dengan beberapa gerakan Islam seperti Hamas dan Hizbullah juga merumitkan keadaan di sana.
Tindakan ini menyebabkan gerakan-gerakan tersebut turut mendokong rejim Bashar al Assad kerana mereka punya persamaan dari sudut fahaman sosialis yang hampir dengan komunis. Mereka adalah penentang blok kapitalis yang dipimpin oleh Amerika dan Zionis. Maka, atas faktor zionis mereka bersatu dan bukan kerana nilai agama Islam secara umumnya.
Bukan pertembungan Syiah dan Sunni di Syria yang ditekankan saat ini, tetapi soal kezaliman rejim Bashar al Assad yang menindas rakyat. Sejak kebangkitan rakyat di Syria pada Mac 2011, Bashar al Assad telah membunuh lebih 8,500 orang rakyatnya sendiri (lebih 6,000 menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu), dan ribuan lagi yang cedera. Bahkan, lebih memeranjatkan lagi adalah, dalam kalangan yang terbunuh itu pula adalah mereka yang berfahaman Ahlus-Sunnah Wal Jama’ah.
“Faktor pelbagai aliran madrasah yang wujud di Syria dan tekanan kerajaan terhadap ulama’ menyebabkan pertembungan pandangan dalam menghadapi revolusi di Syria”
Sdr. Hazuanuddin Sofuan kumpulan pelajar Malaysia terakhir yang dihantar pulang
Situasi begini sangat merumitkan apabila soal Syiah dan Sunni bukan perkara yang menjadi asbab berlakunya ombak kebangkitan rakyat. Kebanyakan Ulama seluruh dunia, kesatuan ulama sedunia bersama ulama terkenal, Syeikh Yusuf al-Qardawi menyokong revolusi di Syria. Namun, isu revolusi ini tidak mendapat sambutan oleh segelintir ulama tempatan Syria yang mendiami di negara tersebut, antaranya Syeikh Ramadhan al Buthi yang secara jelas menolak untuk memberi sokongan kepada evolusi di Syria.
Peranan kita
Maka, ISIUKM menyeru agar sahabat-sahabat, mengambil sikap prihatin terhadap isu semasa yang giat dimainkan oleh media, baik media tempatan mahu pun antarabangsa. Perkara ini sangat perlu dihadamkan. Bahkan, sebagai mahasiswa dan anak muda, aspek nasional dan antarabangsa perlu menjadi bahan perbualan kita.
Berkongsi maklumat yang kita dapati tentang kezaliman di Syria dengan masyarakat  setempat sangat diharapkan. Hal ini kerana berita-berita kezaliman di Syria telah pun ditapis oleh penguasa Syria, segala urusan kecemasan, perubatan, serta media luar yang ingin memasuki Syria akan dipantau. Ayuh kita bersama-sama dengan gerakan-gerakan Islam untuk turut serta menjadi agen penerangan mengenai isu Syria ini.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan sahabat-sahabat yang seakidah dengan kita di sana agar terus bersabar dan dikuatkan semangatnya untuk terus berjuang.
“Bersama Melangkah Menginspirasi Ummah”
“GAMIS, Inspirasi Anak Muda”
Muhammad Hafizan bin Abd Hamid
Presiden ISIUKM merangkap Setiausaha Agong GAMIS