Friday, November 30, 2012

Fekah: Wanita, tudung dan perhiasan


Rata-rata kita mengetahui bahawa hukum bertudung itu adalah wajib, namun dari segi praktikalnya, muslimah kita masih belum dapat memahami secara tepat bagaimana cara pemakaian tudung yang dikehendaki oleh agama islam. Bahkan, lebih menyedihkan lagi, muslimah yang kita harapkan menjadi contoh wanita di dunia ini telah gagal menjadikan pemakaian tudung sebagai tanda ketaatan kepada perintahan syarak bahkan mereka menjadikan tudung hanya semata-mata tuntutan fesyen dan gaya terkini.
Apabila kefahaman terhadap isu tudung tidak berjaya dikuasai oleh muslimah, maka su tabarajjuj (make-up/berhias diri) juga akan terbias. Ini dapat dilihat di sekeliling kita, apabila wanita muslimah dapat diketogerikan kepada tiga golongan utama ;
1-    Bertudung dan bijak berhias diri
2-    Bertudung tetapi tidak mengikut panduan syarak
3-    Tidak bertudung
Kategori pertama adalah golongan yang terbaik sekali, mereka telah menuruti perintah hukum seperti yang akan dinyatakan selepas ini.
Manakala katogeri kedua dan ketiga dianggap gagal kerana mereka tidak berjaya memahami kehendak syarak dalam isu bertudung dan menutup aurat.
Bila ditanya, mengapa memakai tudung tetapi masih berpakaian ketat, sendat dan mengiurkan? Mereka menjawab dengan mudah "untuk menutup aurat", subhanaallah.. niat yang baik namun praktikal yang kurang tepat.

Hukum bertudung menurut Al-Quran dan As-Sunnah?
Siapa sahaja dari kalangan umat islam pastinya mengetahui hukum kewajipan bertudung dan menutup aurat, namun apakah pula yang disebutkan oleh Al-quran tentang isu ini?
Firman Allah s.w.t. dalam Surah An-Nur, ayat 31 bermaksud;
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak- anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Sabda Nabi Muhammad SAW: “Bahawa anak perempuan apabila cukup umurnya, maka mereka tidak boleh dilihat akan dia, melainkan mukanya dan dua tapak tangannya hingga pergelangan.” (H.R Abu Daud)
Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi yang telanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk surga dan tidak akan mencium baunya“ (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Etika bertudung dan berhias diri
Secara ringkasnya, pemakaian tudung dan menutup aurat itu perlu dipenuhi oleh beberapa etika penting :
1-    Menutup seluruh tubuh badan kecuali muka dan telapak tangan
2-    Memakai pakaian yang longgar dan tidak ketat
3-    Tidak terlalu menarik perhatian orang
4-    Tidak menampakkan susuk badan apabila bergerak

Imej Muslimah
Bertudung dan berhias diri dengan menuruti tuntutan syarak itu dapat memberikan imej yang baik dan murni kepada wanita islam, mengapa? Kenapa?
Wanita di dunia kini telah dirosakkan oleh masyarakat dunia, maruah mereka dikorbankan, watak mereka digondolkan sehinggakan wanita dijadikan simbol yang tidak baik oleh beberapa golongan manusia berotak kuning dan berfikiran hedonisme.
Lihat sahaja masyarakat barat, wanita mereka dibogelkan, menjadi lambang seks, diperagakan disana-sini, menjatuhkan maruah wanita!!. Oleh itu, mereka bukanlah masyarakat yang dapat dijadikan contoh tauladan.
Justeru , Islam memberikan panduan yang praktikal dan terbaik bagi menjaga maruah wanitanya. Wanita dijaga seperti barangan asli yang disimpan didalam balang kaca beralaskan baldu merah lembut dan mahal. Oleh itu, wanita islam harus berbangga dengan kemuliaan sebegini.
Tuntasnya, menutup aurat dan berhias diri menurut kefahaman syarak itu adalah kewajipan yang penting untuk difahami dan dipraktikkan oleh seluruh umat islam, semoga dengan usaha kita mentaati perintah Allah SWT, kita akan digolongkan dalam golongan yang menunjukkan imej peribadi muslim muslimah contoh bagi ummat manusia yang semakin hari kian rosak.

Tuesday, November 20, 2012

Solat berjamaah perintis segala kebaikan


Pada hari ini kita sering berkata mengenai biah solehah yang mana ianya memang tidak dapat disangkal lagi sebagai sesuatu yang amat penting di dalam memainkan peranan membentuk akhlak islamiah. Maka perlu kita sedari di sana terdapat satu perkara yang perlu kita ambil berat kerana ianya merupakan perintis segala kabaikan. Jika baik ianya maka baiklah segala amalan yang kita lakukan. Justeru, perkara tersebut adalah solat.

 Sabda nabi junjungan SAW,
   “Perkara pertama yang akan dipersoalkan di hadapan Allah pada hari kiamat kelak adalah solat, jika baik solatnya maka baiklah seluruh amalannya dan jika rosak solatnya maka rosaklah sekalian amalannya”. (Hadis riwayat atTabrani.)

Maka sudah tentu menjadi muhasabah buat kita semua bahawa jika ujian yang paling awal yang dikenakan oleh Allah SWT terhadap kita sudah tidak dapat dilalui dengan jayanya maka apakah mungkin kita akan berjaya untuk menempuh persoalan-persoalan yang seterusnya. Justeru, akan ramailah mereka yang akan gagal di hadapan Allah nanti dek khalal mereka terhadap solat.

Seterusnya kita sering terdengar persoalan mengenai firman Allah SWT,
   “Bacakanlah wahai Muhammad apa yang diwahyukan oleh Tuhanmu yang terdapat di dalam Al-Quran dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada berlakunya perkara fahsya’ dan mungkar, dan mengingati Allah itu adalah satu perkara yang teramat besar dan Allah maha mengetahui apa yang kamu lakukan”. ( Surah al-Ankabut ayat 45).

Persolan yang timbul adalah mengapa tetap ada mereka yang melakukan maksiat seperti berikhtilat, menyalahgunakan teknologi serta bermusuh-musuhan antara satu sama lain sedangkan mereka telah mendirikan solat?.

Maka al-‘Allamah as-Syeikh Muhammad Ali as-Sobuni hafizahullah telah menafsirkan ‘solat’ di dalam ayat di atas adalah solat yang sempurna syarat dan rukun serta adabnya. Maka apabila kita sempurna dan lengkap dengan semua syarat-syarat ini akan timbullah tiga perkara yang disebut oleh Abu ‘Aliah (di dalam kitab Sofwatut tafasir) iaitu al-Ikhlas, al-khasyyah(takut) dan zikrullah. Seterusnya bagi mereka yang tidak sempurna solat mereka maka akan berlakulah sebaliknya. Oleh kerana itu ramai yang mendirikan solat tetapi masih melakukan maksiat yang nyata.

Maka al-ikhlas itulah yang menyerunya kepada ma’ruf, dan al-khasyyah menghalang dirinya dari melakukan mungkar seterusnya zikrullah mengarahkannya kepada kebaikan dan menghalang dari kemungkaran.
Seterusnya haruslah kita ingati bahawa di dalam solat terdapat dua natijah yang perlu kita gapai iaitu sah di sisi hukum feqah dan maqbul di sisi Allah. Maka untuk menjadikan solat kita sah di sisi hukum feqah maka haruslah didirikan solat sesempurna yang mungkin mengikut segala syarat (sebelum solat) dan rukun (dalam solat). Tetapi untuk mendapat maqbul daripada Allah maka harus ditambah dengan satu perkara lagi iaitu khusyu’ dan hadir hati kita ketika menghadap Allah.

 Firman Allah SWT,
     “Sesungguhnya telah berjaya orang beriman yang khusyu’ di dalam solatnya”.
Maka apabila kita solat sendirian penerimaan daripada Allah akan kita dapat hanya apabila kita khusyuk. Tetapi bagi mereka yang melakukannya secara berjemaah maka penerimaan oleh Allah telah dijamin olehya.

Sabda nabi Muhammad SAW,
     “Solat berjamaah itu afdhal daripada solat secara sendirian dengan gandaan 27 darjat”.
(Hadis riwayat as-syaikhan).

Tambahan lagi bagi mereka yang bersolat jemaah dan sempat takbiratul ula dengan imam. Maka lebih besarlah ganjarannya di sisi Allah.

Sabda nabi Muhammad SAW,
      “Barangsiapa yang solat secara jemaah dan mendapat takbiratul ula selama 40 hari secara berturut-turut maka akan diberi dua pelepasan oleh Allah iaitu pelepasan daripada api neraka dan sifat munafiq”.

Begitulah peri pentingnya solat berjamaah di dalam hidup kita. Bahkan solat tidak hanya mengajar kita menjadi hamba di dalam solat akan tetapi falsafah daripada solat itu harus terus dibawa ke luar solat. Di dalam solat jemaah kita mempunyai imam dan makmum yang memainkan peranan masing-masing. Di dalam solat jemaah juga terdapat lelaki dan perempuan lalu Islam mengajar agar ianya diasingkan kerana dua jenis manusia yang saling bertarikan ini tidak boleh dicampuradukkan.

Imam perlulah mengikut kriteria yang ditetapkan sebagaimana yang disebut di dalam kitab-kitab feqah seperti kitab ‘Umdatus Salik Wa ‘Uddatun Nasik oleh Syeikh Ibnu Naqib al-Misri hafizahullah. Beliau menyebut 11 ciri mereka yang perlu diutamakan untuk menjadi imam dan ciri yang pertama adalah ‘afqah’ iaitu mereka yang lebih faqih dalam agama. Maka begitulah juga di luar solat kita mesti memilih pemimpin yang faham tentang Islam dan membawa dasar Islam.

Makmum pula wajib mengikut imam selagi imam tidak melakukan kesalahan. Jika imam melakukan kesalahan maka wajib ditegur dan sekiranya tiba keadaan wajib mufaraqah maka wajib mufaraqah. Begitulah juga di luar solat, kita wajib mentaati pemimpin selagi mana tidak bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

 Firman Allah SWT,
     “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul (secara mutlak) dan pemimpin dalam kalangan kamu”.

Dan firmannya lagi,
      “ Pada hari dibalikkan wajah mereka ke dalam api neraka mereka berkata kami berharap agar dapat (balik semula) untuk mentaati Allah dan rasul kami. Dan mereka berkata sesungguhnya kami dulunya telah mentaati pemimpin-pemimpin kami (yang salah) maka kami disesatkan jalan olehnya”.

Maka dua ayat ini mengajar kita supaya mentaati pemimpin akan tetapi apabila bertembung dengan perintah dan larangan Allah maka wajib kita utamakan Allah dan rasul.

Begitulah juga dengan hikmah yang Allah ajar kepada kita di dalam solat iaitu pengasingan di antara lelaki dan perempuan di dalam solat dengan pakaian yang menutup aurat. Justeru, begitulah sepatutnya yang kita amalkan di luar solat dalam erti kata tidak berikhtilat dengan golongan ajnabi seperti berdua-duaan, melembutkan suara yang boleh memberi fitnah kepada lelaki, tidak menjaga pandangan, ber‘chatting’ perkara yang tidak penting serta banyak lagi.

Firman Allah SWT,
    “Dihiasi seorang manusia itu dengan kasih (syahawat) kepada wanita”.

Maka dua jantina yang saling mempunyai daya tarikan ini haram untuk kita campuradukkan urusan mereka seperti pergaulan bebas diantara mereka. Oleh kerana itu digunakan tabir untuk mengasingkan diantara lelaki dan perempuan di dalam solat. Mengapa? Kerana fitnah perempuan itu besar sehinggakan wanita lebih pahalanya untuk bersembahyang di rumah.

 Sabda nabi SAW,
     “Seorang perempuan itu apabila ia lebih tersembunyi maka dialah yang afdhal”.

Walaupun nabi tidak melarang wanita untuk ke masjid, namun yang terlebih pahalanya adalah wanita yang sembahyang di rumah.

Kesimpulan daripada contoh yang terhad yang dapat kita lihat di atas, segala perbuatan baik dan buruk bergantung kepada khusyuk atau tidak kita dalam sembahyang. Jika buruk sembahyang kita pada hari itu maka buruklah segala amalan yang kita lakukan pada hari tersebut. Justeru, marilah kita sama-sama menghidupkan suasana solat berjemaah kerana di sana ada janji Allah buat mereka yang lakukan yang terbaik untuk Allah. Kita perteguhkan lagi akhlak islamiah kita dengan memulakannya dengan solat secara berjemaah.

Friday, November 9, 2012

Hadith : Aurat Wanita



Jelas daripada dalil Al-Quran dan Al-Hadith bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang membentuk dan nipis sehingga memperlihatkan kulitnya. Termasuk diantaranya ialah pakaian yang dapat mempamerkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat yang membawa fitnah, seperti buah dada, peha, dan sebagainya.


Dalam hadith Rasulullah saw yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah aku lihat keduanya itu: pertama ialah kaum  yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam), kedua ialah Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)


Mereka dikatakan berpakaian, karena memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat, karena itu mereka dikatakan telanjang, karena pakaiannya terlalu tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradawi

Tuesday, November 6, 2012

Tanggungjawab Bersama


Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pengajian Islam (MPPFPI) berhasrat untuk mewujudkan suasana pembelajaran kondusif di sekitar Fakulti Pengajian Islam FPI. Sehubungan dengan itu, kemudahan dan keselesaan kawasan pembelajaran menjadi aspek utama yang ingin diwujudkan di sekitar FPI. Walaubagaimanapun, ia memerlukan kerjasama semua pihak untuk merealisasikannya. 

Oleh itu, apa yang penting bagi kita sebagai penggunanya adalah supaya berkerjasama menjaga kemudahan yang disediakan dengan tidak membiarkan kemudahan yang digunakan dalam keadaan bersepah dan tidak tersusun. Peringatan kepada semua pengguna yang menggunakan Singgahan Ilmu untuk sebarang urusan, SILA SUSUN KEMBALI MEJA ATAU KERUSI yang digunakan ke tempat asal yang ditetapkan. Janganlah biarkan kemudahan yang kita gunakan tidak terjaga. 


Dalam kita menggunakan sesuatu untuk kesenangan kita, kita harus beringat supaya kita tidak lupa tentang tanggungjawab kita supaya ia tidak menyusahkan orang lain. Kita harus mempunyai sikap “sekiranya kita tidak suka melihat orang menyusahkan diri kita, pekara yang sama kita jangan lakukan kepada orang lain”.


Semoga apa yang kita lakukan bersama ini dapat memberi manfaat dan keselesaan kepada orang lain. Dengan secara tidak langsung dapat mewujudkan suasana biah solehah di kawasan yang kita diami. Ia bukan saja memberi keselesaan kepada kita malahan akan memberi keselesaan kepada orang lain. Inilah yang menjadi harapan semua khususnya warga FPI sendiri.

Andalah Pencorak Biah Solehah.




"ISLAM PEMANGKIN GENERASI TARBAWI" 

Tahniah dan Syabas

Assalamualaikum w.b.t

Ucapan tahniah kepada saudara Muhamad Azan bin Safar kerana telah dilantik menjadi Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) baru-baru ini. Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) melahirkan rasa gembira dan bangga atas perlantikan beliau sebagai Presiden Gamis yang baru. Hal ini kerana, beliau sendiri adalah merupakan salah seorang contoh terbaik
mahasiswa yang dilahirkan dari Fakulti Pengajian Islam.

Turut dilantik sebagai Timbalan Setiausaha GAMIS ialah saudari Hamiza Hani bt. Omar yang juga merupakan pelajar dari Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Perlantikan ini adalah satu penghargaan buat Mahasiswa/i Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia. Mereka adalah contoh bi'ah solehah yang wajar dicontohi seluruh mahasiswa/i dari aspek penglibatan kepimpinan mahasiswa di peringkat nasional.

Semoga dengan perlantikan ini, mereka dapat memaknakan peranan dan tanggungjawab sebagai seorang Mahasiswa Islam. Sebagai pemimpin yang telah dilantik, mereka hendaklah melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan yang paling penting ialah meletakkan Islam itu di hadapan bukannya Islam yang menurut kemahuan kita..

Jadi, sekali lagi PMFPI mengucapkan Tahniah dan Syabas di atas Perlantikan Barisan Kepimpinan baru GAMIS. Semoga Islam terus didaulatkan. Terima Kasih.

Semoga Allah s.w.t memimpin dan memandu gerak kerja kalian serta memudahkan dan memberi pertolongan dalam segala perkara...aamin.:)

"ISLAM PEMANGKIN GENERASI TARBAWI"