Karikatur hina Nabi: Malaysia kutuk, mahu Sweden bertindak
KUALA LUMPUR, 13 Mac 2010 — Kerajaan Malaysia mendesak kerajaan Sweden bertindak terhadap tiga akhbar negara itu kerana menerbit dan menyiarkan semula karikatur Nabi Muhammad s.a.w. pada Rabu lepas.
Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya penyiaran karikatur itu.
“Malaysia memandang berat perbuatan yang amat menghina itu yang tidak menghiraukan sensitiviti dunia Islam, konon atas nama kebebasan bersuara.”
“Perbuatan tidak bertanggungjawab sedemikian adalah bersifat provokatif dan menghina, oleh itu tidak dapat diterima sama sekali,” kata beliau dalam kenyataannya hari ini.
Beliau mendesak kerajaan Sweden agar bertindak terhadap penerbitan seumpama itu bagi mengelakkan perbuatan tidak bertanggungjawab itu dari berulang pada masa depan.
Lakaran karikatur yang menggambarkan kepala Nabi Muhammad s.a.w. pada badan anjing, direka oleh pelukis Sweden Lars Vilks, 63, dan dikemukakan sebagai bahan pameran ke sebuah pusat warisan budaya Sweden.Bagaimanapun, lakaran itu ditolak atas sebab-sebab keselamatan.
Namun, sebuah akhbar Sweden kemudian menyiarkannya bersama sebuah editorial yang mempertahankan kebebasan bersuara yang membawa kepada bantahan negara-negara Islam dan Vilks menerima beberapa ancaman bunuh.Rabu lepas,10 Mac 2010, tiga akhbar Sweden menyiarkan semula karikatur itu.
http://www.themalaysianinsider.com/index.php/bahasa/56150-karikatur-hina-nabi-malaysia-kutuk-mahu-sweden-bertindak
Penghinaan terhadap Nabi Muhammad s.a.w. bererti menghina agama Islam dan umat Islam keseluruhannya. Kerajaan Sweden patut mengambil pengajaran dari Denmark yang pernah membuat penghinaan yang sama terhadap Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 2008 yang lalu. Akibatnya umat Islam seluruh dunia bangkit membantah dan memberi ancaman keras terhadap Denmark. Kini Sweden mengulangi kesilapan yang sama, dan seakan-akan sengaja mahu membangkitkan kemarahan umat Islam sekaligus melabelkan Islam sebagai pengganas.
Justeru, bagi membuktikan keimanan dan kecintaan kita terhadap junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w. serta menzahirkan sensitiviti kita terhadap tindakan tiga akhbar negara itu menyiarkan lakaran karikatur menghina Nabi Muhammad s.a.w., kita digesa agar membantah dan memboikot produk keluaran Sweden yang nampaknya begitu memusuhi Islam.
Sabda Rasulullah SAW.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api". (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain)
No comments:
Post a Comment