Showing posts with label BIAH SOLEHAH. Show all posts
Showing posts with label BIAH SOLEHAH. Show all posts

Monday, August 26, 2013

Terima warga baru Fakulti Pengajian Islam, mahasiswa/i UKM 13/14 .

Assalamualaikum wrh. wbt. ⁀ ‿ ⁀ 

Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W..

Alhamdulillah atas nikmat dan hikmat yang dikurnia Allah SWT kepada hambaNYa.

PMFPI mengharapkan semoga sahabat sekalian berada dalam keadaan sihat dan diredhai Allah.

....dalam hidup setiap mukmin, tujuan hidupnya ialah untuk mendapat REDHA Ilah... ('',)


Lebih kurang seminggu sahaja lagi, kita akan menerima warga FPI yang baru atau lebih mesra dgn adik-adik baru. Ucapan kami ikhwah dan akhowat, ahlan wa sahlan dan tahniah kerana dipilih untuk menjadi pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia. 




Untuk antum (adik-adik),

Setelah menjejakkan kaki ke universiti, antum secara rasminya bergelar seorang mahasiswa. Maka, antum hendaklah mempunyai keperibadian sebagai mahasiswa. :)

☂Antum perlulah menjadi seorang yang berpendirian , dan  berprinsip supaya antum tidak mudah terpengaruh dengan pujukan, rayuan, pujian, ajakan orang. Pendirian dan prinsip ini wajiblah dipacak dengan Iman, selari dengan al-quran dan al-sunnah.

☂Antum juga perlulah menjaga adab dan tata susila sebagai pelajar Islam, antum lah ikon Islam. Jadi, haruslah bagi antum untuk menjadi contoh tauladan kepada teman-teman dan orang sekeliling dengan adab sopan yang telah digariskan oleh Islam. Hormati yang tua, kasihi yang muda. 

☂Sebagai pelajar Islam. Sudah pastilah antum fasih dengan hukum-hukum dan syariat Islam. Maka, amalinya supaya "biah solehah" akan wujud walau di mana antum berada. 


 ✿Menutup aurat bagi lelaki dan perempuan. (berpakaian sunnah) 

 >Perempuan: menutup seluruh badan kecuali muka dan tangan(tapak tangan), longgar dan tebal. 

>Lelaki: Menutup aurat dan pakain yang longgar. 

 ✿Sampaikan salam,senyum dan sapa apabila bertemu dengan sesiapa.

 ✿Menjaga hubungan dan pergaulan serta menjaga pandangan. ingatlah adik-adik, kita ini pelajar Islam yang mana kita telah ditarbiyahkan oleh ibu bapa, guru-guru di sekolah tentang pergaulan menurut Islam. Jadilah orang yang tidak melampaui batas dalam berhubung dengan rakan ajnabi, berhubung dengan mereka apabila mempunyai urusan sahaja.{menjaga ikhltilat}



☂ Adik-adik juga perlu mempersiapkan dari segi mental dan fizikal, badan sihat serta otak yang cergas supaya antum dapat menerima pengajian, aktiviti di kampus dengan baik. Niat Ikhlas kerana Allah SWT untuk menuntut ilmu, semoga dengan kita menuntut ilmu ini, kita dapat meningkatkan rasa takut (perhambaan) kepada Allah. semoga dengan ilmu ini, kita dapat menggunakannya dan berkongsi kebaikan kepada keluarga dan masyarakat.

☂Mohon restu dari ibu dan ayah serta ahli keluarga, supaya antum datang berjihad menuntut ilmu direstui dan disenangi oleh mereka. Ucaplah terima kasih dan berilah penghargaan kepada ibu bapa antum yang banyak bekoran harta dan masa untuk antum (kita semua).


Khotaman, Akhir sekali, kami mengingatkan supaya adik-adik persiapkan barang-barang untuk dibawa ke universiti, pastikan ianya cukup. bawalah barang keperluan dan jangan berlebih-lebihan.

Kami berdoa  semoga antum dipermudahkan urusan untuk menuntut ilmu di bumi UKM ini. Seandainya adik-adik mempunyai persoalan, silalah bertanya kepada akhawat dan ikhwah. Kami gembira menerima kedatangan antum. :)


Buat sahabat-sahabat tahun 2 dan 3 FPI, tunjukkan contoh yang baik untuk semua, beri tunjuk ajar kepada adik-adik. jom, insyaAllah.


Sekian sahaja celoteh kami (wakil PMFPI).. 

Siiru 'ala barokatillah...



.:: Islam Pemangkin Generasi Tarbawi ::.
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam 13/14




Tuesday, April 2, 2013

Jadilah yang cantik di sisi Allah s.w.t

Kempen Pakaian Taqwa

"Wahai anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menurunkan kepada kamu pakaian untuk menutup aurat (keaiban) kamu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa ialah pakaian yang terbaik".
(Al A'raf: ayat 26).

Pakaian adalah sesuatu yang Allah rezekikan pada kita, lelaki dan perempuan dengan tujuan untuk menutup aurat (keaiban) kita dan juga sebagai pakaian perhiasan badan. Dan pada akhir ayat ini, Allah menekankan bahawa PAKAIAN TAQWA itu pakaian terbaik, iaitu pakaian yang menunjukkan iman kita pada Allah. Jadi, setiap kali nak keluar bilik, pandanglah cermin dan tanya pada diri, "Adakah pakaian aku ini tunjukkan iman pada Allah?", "Andainya Rasulullah ada bersama sekarang ni, apa yang patut aku pakai? Sesuai ke aku pakai macam ni?" 

InsyaAllah, jika pakaian kita mengikut syari'at, setiap saat kita berpakaian itu dikira ibadah kerana ia salah satu suruhan Allah. Berfesyenlah ikut acuan Allah, Pasti selamat dunia akhirat.

“Sesungguhnya jalan hidup di sisi Allah itu hanyalah Islam.” Surah Ali Imran ayat 19.


Andalah Penentu Corak Biah Solehah
"Islam Pemangkin Generasi Tarbawi"

.

Monday, April 1, 2013

"Ikhtilat di Alam Maya"

Citra Siswi Edisi Biah Solehah

Sesungguhnya menjadi kewajipan bagi seseorang muslimin dan muslimat yang beriman kepada Allah dan Rasul itu menjauhi ikhtilat yang haram antara lelaki dan perempuan. Hendaklah seorang wanita itu apabila telah cukup ilmu dan fahamnya dan terlibatnya di dalam dakwah untuk memastikan dirinya jauh dari ikhtilat yang bukan mahramnya.



Ikhtilat ialah percampuran/pergaulan manakala alam maya ialah laman sosial untuk kita berinteraksi tanpa face to face. Sebenarnya, alam maya lagi banyak fitnah kerana kita susah nak kawal dan berhadapan dengan ramai orang yang kita tak kenal dan alam maya juga adalah wasilah terbaik yang cukup besar sebagai medan untuk kita menyampaikan dakwah.


Persoalan mungkin, Bagaimana kita ingin menjadi wanita @ lelaki yang diredhai Allah di alam maya?


Apa sahaja yang kita tulis, rakaman itu adalah bukti apa yang kita lakukan. Pastinya kita akan dipertanggungjwabkan dengan apa yang telah kita lakukan. Kita adalah duta agama! Duta Islam! Takut-takut susun atur perkataan, persoalan-persoalan yang bermain di fikiran rakan-rakan kita akhirnya di jawab oleh syaitan jadi fitnah kepada diri kita dan agama. Ya, kadangkala kita alpa, leka! Tanpa kita sedar, kita tidak bersedia dengan ujian yang Allah berikan natijah daripada apa yang telah kita lakukan.

JAGA PENYEBARAN POSTER @ BERITA.
Sebelum kita menyebarkan sesuatu perkara, selidiklah dahulu. Jangan bila ditanya tentang perkara itu kita menjawab tidak tahu. Takut-takut perkara itu tidak benar dan natijahnya kita telah menyebarkan fitnah.

JAGA GAYA BAHASA PENULISAN
Kerana melalui penulisan orang dapat kenal diri kita bagaimana. Bila kita tulis sesutu, kita telah beniat dan itulah diri kita. Tulisan mencerminkan adalah kita ini muslimat yang hebat atau sebaliknya. Perlu kita tahu sebelum menulis, siapa yang kana baca? Berapa umur mereka? Bagaimana latarbelakang pendidikan mereka?



PENGGUNAAN GAMBAR-GAMBAR YANG SESUAI
Andalah Pencorak Biah Solehah
Di laman sosial terutamanya di fb. Profile picture kita juga melambangkan diri kita, apa yang ada di fb kita, seumuanya terzahir di situ.


HIPOKRIT DI ALAM MAYA @ DI LUAR.
Hanya kita yang boleh menilai sebab kita yang tahu apa yang ada di hati kita selain Allah. Kita baik di alam maya tetapi di luar bagimana?



JAGA KARISAMA DIRI.
Tanpa sedar, ramai yang sedang memerhatikan kita di alam maya. Tanpa sedar, mungkin juga kita ini menjadi qudwah buat mereka. Tanpa sedar, kita telah menyebarkan dakwah kepada mereka.

KAWAL APA YANG KITA NAK CERITA. 

Tidak semua perkara perlu kita ceritakan dan kongsikan dengan semua. Fikirkan juga apa orang lain kata takut-takut ianya menjadi fitnah kepada kita dan yang paling dikhuatiri menjadi fitnah pada agama.


Buat sahabat-sahabat semua, 
Kalian adalah duta agama Islam!
Kalian penyambung rantai perjuangan Rasulullah!
Kalian adalah penggerak Biah Solehah!
Kalian penegak daulah Islamiah!
Kalian muslimat hebat yang dicintai Allah!

InsyaAllah, biiznillah.
"Be An Excellent Muslimah"

Kupasan Citra Siswi BIAH SOLEHAH
Ustazah Sarah Azizul
Finali Rancangan Solehah TV Alhijrah

Islam Pemangkin Generasi Tarbawi



Friday, November 30, 2012

Fekah: Wanita, tudung dan perhiasan


Rata-rata kita mengetahui bahawa hukum bertudung itu adalah wajib, namun dari segi praktikalnya, muslimah kita masih belum dapat memahami secara tepat bagaimana cara pemakaian tudung yang dikehendaki oleh agama islam. Bahkan, lebih menyedihkan lagi, muslimah yang kita harapkan menjadi contoh wanita di dunia ini telah gagal menjadikan pemakaian tudung sebagai tanda ketaatan kepada perintahan syarak bahkan mereka menjadikan tudung hanya semata-mata tuntutan fesyen dan gaya terkini.
Apabila kefahaman terhadap isu tudung tidak berjaya dikuasai oleh muslimah, maka su tabarajjuj (make-up/berhias diri) juga akan terbias. Ini dapat dilihat di sekeliling kita, apabila wanita muslimah dapat diketogerikan kepada tiga golongan utama ;
1-    Bertudung dan bijak berhias diri
2-    Bertudung tetapi tidak mengikut panduan syarak
3-    Tidak bertudung
Kategori pertama adalah golongan yang terbaik sekali, mereka telah menuruti perintah hukum seperti yang akan dinyatakan selepas ini.
Manakala katogeri kedua dan ketiga dianggap gagal kerana mereka tidak berjaya memahami kehendak syarak dalam isu bertudung dan menutup aurat.
Bila ditanya, mengapa memakai tudung tetapi masih berpakaian ketat, sendat dan mengiurkan? Mereka menjawab dengan mudah "untuk menutup aurat", subhanaallah.. niat yang baik namun praktikal yang kurang tepat.

Hukum bertudung menurut Al-Quran dan As-Sunnah?
Siapa sahaja dari kalangan umat islam pastinya mengetahui hukum kewajipan bertudung dan menutup aurat, namun apakah pula yang disebutkan oleh Al-quran tentang isu ini?
Firman Allah s.w.t. dalam Surah An-Nur, ayat 31 bermaksud;
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak- anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”
Sabda Nabi Muhammad SAW: “Bahawa anak perempuan apabila cukup umurnya, maka mereka tidak boleh dilihat akan dia, melainkan mukanya dan dua tapak tangannya hingga pergelangan.” (H.R Abu Daud)
“Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi yang telanjang yang condong kepada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk surga dan tidak akan mencium baunya“ (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Etika bertudung dan berhias diri
Secara ringkasnya, pemakaian tudung dan menutup aurat itu perlu dipenuhi oleh beberapa etika penting :
1-    Menutup seluruh tubuh badan kecuali muka dan telapak tangan
2-    Memakai pakaian yang longgar dan tidak ketat
3-    Tidak terlalu menarik perhatian orang
4-    Tidak menampakkan susuk badan apabila bergerak

Imej Muslimah
Bertudung dan berhias diri dengan menuruti tuntutan syarak itu dapat memberikan imej yang baik dan murni kepada wanita islam, mengapa? Kenapa?
Wanita di dunia kini telah dirosakkan oleh masyarakat dunia, maruah mereka dikorbankan, watak mereka digondolkan sehinggakan wanita dijadikan simbol yang tidak baik oleh beberapa golongan manusia berotak kuning dan berfikiran hedonisme.
Lihat sahaja masyarakat barat, wanita mereka dibogelkan, menjadi lambang seks, diperagakan disana-sini, menjatuhkan maruah wanita!!. Oleh itu, mereka bukanlah masyarakat yang dapat dijadikan contoh tauladan.
Justeru , Islam memberikan panduan yang praktikal dan terbaik bagi menjaga maruah wanitanya. Wanita dijaga seperti barangan asli yang disimpan didalam balang kaca beralaskan baldu merah lembut dan mahal. Oleh itu, wanita islam harus berbangga dengan kemuliaan sebegini.
Tuntasnya, menutup aurat dan berhias diri menurut kefahaman syarak itu adalah kewajipan yang penting untuk difahami dan dipraktikkan oleh seluruh umat islam, semoga dengan usaha kita mentaati perintah Allah SWT, kita akan digolongkan dalam golongan yang menunjukkan imej peribadi muslim muslimah contoh bagi ummat manusia yang semakin hari kian rosak.

Tuesday, November 20, 2012

Solat berjamaah perintis segala kebaikan


Pada hari ini kita sering berkata mengenai biah solehah yang mana ianya memang tidak dapat disangkal lagi sebagai sesuatu yang amat penting di dalam memainkan peranan membentuk akhlak islamiah. Maka perlu kita sedari di sana terdapat satu perkara yang perlu kita ambil berat kerana ianya merupakan perintis segala kabaikan. Jika baik ianya maka baiklah segala amalan yang kita lakukan. Justeru, perkara tersebut adalah solat.

 Sabda nabi junjungan SAW,
   “Perkara pertama yang akan dipersoalkan di hadapan Allah pada hari kiamat kelak adalah solat, jika baik solatnya maka baiklah seluruh amalannya dan jika rosak solatnya maka rosaklah sekalian amalannya”. (Hadis riwayat atTabrani.)

Maka sudah tentu menjadi muhasabah buat kita semua bahawa jika ujian yang paling awal yang dikenakan oleh Allah SWT terhadap kita sudah tidak dapat dilalui dengan jayanya maka apakah mungkin kita akan berjaya untuk menempuh persoalan-persoalan yang seterusnya. Justeru, akan ramailah mereka yang akan gagal di hadapan Allah nanti dek khalal mereka terhadap solat.

Seterusnya kita sering terdengar persoalan mengenai firman Allah SWT,
   “Bacakanlah wahai Muhammad apa yang diwahyukan oleh Tuhanmu yang terdapat di dalam Al-Quran dan dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu dapat mencegah daripada berlakunya perkara fahsya’ dan mungkar, dan mengingati Allah itu adalah satu perkara yang teramat besar dan Allah maha mengetahui apa yang kamu lakukan”. ( Surah al-Ankabut ayat 45).

Persolan yang timbul adalah mengapa tetap ada mereka yang melakukan maksiat seperti berikhtilat, menyalahgunakan teknologi serta bermusuh-musuhan antara satu sama lain sedangkan mereka telah mendirikan solat?.

Maka al-‘Allamah as-Syeikh Muhammad Ali as-Sobuni hafizahullah telah menafsirkan ‘solat’ di dalam ayat di atas adalah solat yang sempurna syarat dan rukun serta adabnya. Maka apabila kita sempurna dan lengkap dengan semua syarat-syarat ini akan timbullah tiga perkara yang disebut oleh Abu ‘Aliah (di dalam kitab Sofwatut tafasir) iaitu al-Ikhlas, al-khasyyah(takut) dan zikrullah. Seterusnya bagi mereka yang tidak sempurna solat mereka maka akan berlakulah sebaliknya. Oleh kerana itu ramai yang mendirikan solat tetapi masih melakukan maksiat yang nyata.

Maka al-ikhlas itulah yang menyerunya kepada ma’ruf, dan al-khasyyah menghalang dirinya dari melakukan mungkar seterusnya zikrullah mengarahkannya kepada kebaikan dan menghalang dari kemungkaran.
Seterusnya haruslah kita ingati bahawa di dalam solat terdapat dua natijah yang perlu kita gapai iaitu sah di sisi hukum feqah dan maqbul di sisi Allah. Maka untuk menjadikan solat kita sah di sisi hukum feqah maka haruslah didirikan solat sesempurna yang mungkin mengikut segala syarat (sebelum solat) dan rukun (dalam solat). Tetapi untuk mendapat maqbul daripada Allah maka harus ditambah dengan satu perkara lagi iaitu khusyu’ dan hadir hati kita ketika menghadap Allah.

 Firman Allah SWT,
     “Sesungguhnya telah berjaya orang beriman yang khusyu’ di dalam solatnya”.
Maka apabila kita solat sendirian penerimaan daripada Allah akan kita dapat hanya apabila kita khusyuk. Tetapi bagi mereka yang melakukannya secara berjemaah maka penerimaan oleh Allah telah dijamin olehya.

Sabda nabi Muhammad SAW,
     “Solat berjamaah itu afdhal daripada solat secara sendirian dengan gandaan 27 darjat”.
(Hadis riwayat as-syaikhan).

Tambahan lagi bagi mereka yang bersolat jemaah dan sempat takbiratul ula dengan imam. Maka lebih besarlah ganjarannya di sisi Allah.

Sabda nabi Muhammad SAW,
      “Barangsiapa yang solat secara jemaah dan mendapat takbiratul ula selama 40 hari secara berturut-turut maka akan diberi dua pelepasan oleh Allah iaitu pelepasan daripada api neraka dan sifat munafiq”.

Begitulah peri pentingnya solat berjamaah di dalam hidup kita. Bahkan solat tidak hanya mengajar kita menjadi hamba di dalam solat akan tetapi falsafah daripada solat itu harus terus dibawa ke luar solat. Di dalam solat jemaah kita mempunyai imam dan makmum yang memainkan peranan masing-masing. Di dalam solat jemaah juga terdapat lelaki dan perempuan lalu Islam mengajar agar ianya diasingkan kerana dua jenis manusia yang saling bertarikan ini tidak boleh dicampuradukkan.

Imam perlulah mengikut kriteria yang ditetapkan sebagaimana yang disebut di dalam kitab-kitab feqah seperti kitab ‘Umdatus Salik Wa ‘Uddatun Nasik oleh Syeikh Ibnu Naqib al-Misri hafizahullah. Beliau menyebut 11 ciri mereka yang perlu diutamakan untuk menjadi imam dan ciri yang pertama adalah ‘afqah’ iaitu mereka yang lebih faqih dalam agama. Maka begitulah juga di luar solat kita mesti memilih pemimpin yang faham tentang Islam dan membawa dasar Islam.

Makmum pula wajib mengikut imam selagi imam tidak melakukan kesalahan. Jika imam melakukan kesalahan maka wajib ditegur dan sekiranya tiba keadaan wajib mufaraqah maka wajib mufaraqah. Begitulah juga di luar solat, kita wajib mentaati pemimpin selagi mana tidak bercanggah dengan Al-Quran dan As-Sunnah.

 Firman Allah SWT,
     “Taatlah kamu kepada Allah dan Rasul (secara mutlak) dan pemimpin dalam kalangan kamu”.

Dan firmannya lagi,
      “ Pada hari dibalikkan wajah mereka ke dalam api neraka mereka berkata kami berharap agar dapat (balik semula) untuk mentaati Allah dan rasul kami. Dan mereka berkata sesungguhnya kami dulunya telah mentaati pemimpin-pemimpin kami (yang salah) maka kami disesatkan jalan olehnya”.

Maka dua ayat ini mengajar kita supaya mentaati pemimpin akan tetapi apabila bertembung dengan perintah dan larangan Allah maka wajib kita utamakan Allah dan rasul.

Begitulah juga dengan hikmah yang Allah ajar kepada kita di dalam solat iaitu pengasingan di antara lelaki dan perempuan di dalam solat dengan pakaian yang menutup aurat. Justeru, begitulah sepatutnya yang kita amalkan di luar solat dalam erti kata tidak berikhtilat dengan golongan ajnabi seperti berdua-duaan, melembutkan suara yang boleh memberi fitnah kepada lelaki, tidak menjaga pandangan, ber‘chatting’ perkara yang tidak penting serta banyak lagi.

Firman Allah SWT,
    “Dihiasi seorang manusia itu dengan kasih (syahawat) kepada wanita”.

Maka dua jantina yang saling mempunyai daya tarikan ini haram untuk kita campuradukkan urusan mereka seperti pergaulan bebas diantara mereka. Oleh kerana itu digunakan tabir untuk mengasingkan diantara lelaki dan perempuan di dalam solat. Mengapa? Kerana fitnah perempuan itu besar sehinggakan wanita lebih pahalanya untuk bersembahyang di rumah.

 Sabda nabi SAW,
     “Seorang perempuan itu apabila ia lebih tersembunyi maka dialah yang afdhal”.

Walaupun nabi tidak melarang wanita untuk ke masjid, namun yang terlebih pahalanya adalah wanita yang sembahyang di rumah.

Kesimpulan daripada contoh yang terhad yang dapat kita lihat di atas, segala perbuatan baik dan buruk bergantung kepada khusyuk atau tidak kita dalam sembahyang. Jika buruk sembahyang kita pada hari itu maka buruklah segala amalan yang kita lakukan pada hari tersebut. Justeru, marilah kita sama-sama menghidupkan suasana solat berjemaah kerana di sana ada janji Allah buat mereka yang lakukan yang terbaik untuk Allah. Kita perteguhkan lagi akhlak islamiah kita dengan memulakannya dengan solat secara berjemaah.

Friday, November 9, 2012

Hadith : Aurat Wanita



Jelas daripada dalil Al-Quran dan Al-Hadith bahawa Islam mengharamkan perempuan memakai pakaian yang membentuk dan nipis sehingga memperlihatkan kulitnya. Termasuk diantaranya ialah pakaian yang dapat mempamerkan bahagian-bahagian tubuh, khususnya tempat-tempat yang membawa fitnah, seperti buah dada, peha, dan sebagainya.


Dalam hadith Rasulullah saw yang
diriwayatkan oleh Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda:
"Ada dua golongan dari ahli neraka yang belum pernah aku lihat keduanya itu: pertama ialah kaum  yang membawa cambuk seperti ekor sapi yang mereka pakai buat memukul orang (penguasa yang kejam), kedua ialah Perempuan-perempuan yang berpakaian tetapi telanjang, yang cenderung kepada perbuatan maksiat dan mencenderungkan orang lain kepada perbuatan maksiat, rambutnya sebesar punuk unta. Mereka ini tidak akan boleh masuk syurga, serta tidak dapat akan mencium bau syurga, padahal bau syurga itu tercium sejauh perjalanan demikian dan demikian." (Riwayat Muslim)


Mereka dikatakan berpakaian, karena memang mereka itu melilitkan pakaian pada tubuhnya, tetapi pada hakikatnya pakaiannya itu tidak berfungsi menutup aurat, karena itu mereka dikatakan telanjang, karena pakaiannya terlalu tipis sehingga dapat memperlihatkan kulit tubuh, seperti kebanyakan pakaian perempuan sekarang ini. ( Al-Halal Wal Haram Fil Islam, Dr Yusof Al-Qaradawi

Tuesday, November 6, 2012

Tanggungjawab Bersama


Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Pengajian Islam (MPPFPI) berhasrat untuk mewujudkan suasana pembelajaran kondusif di sekitar Fakulti Pengajian Islam FPI. Sehubungan dengan itu, kemudahan dan keselesaan kawasan pembelajaran menjadi aspek utama yang ingin diwujudkan di sekitar FPI. Walaubagaimanapun, ia memerlukan kerjasama semua pihak untuk merealisasikannya. 

Oleh itu, apa yang penting bagi kita sebagai penggunanya adalah supaya berkerjasama menjaga kemudahan yang disediakan dengan tidak membiarkan kemudahan yang digunakan dalam keadaan bersepah dan tidak tersusun. Peringatan kepada semua pengguna yang menggunakan Singgahan Ilmu untuk sebarang urusan, SILA SUSUN KEMBALI MEJA ATAU KERUSI yang digunakan ke tempat asal yang ditetapkan. Janganlah biarkan kemudahan yang kita gunakan tidak terjaga. 


Dalam kita menggunakan sesuatu untuk kesenangan kita, kita harus beringat supaya kita tidak lupa tentang tanggungjawab kita supaya ia tidak menyusahkan orang lain. Kita harus mempunyai sikap “sekiranya kita tidak suka melihat orang menyusahkan diri kita, pekara yang sama kita jangan lakukan kepada orang lain”.


Semoga apa yang kita lakukan bersama ini dapat memberi manfaat dan keselesaan kepada orang lain. Dengan secara tidak langsung dapat mewujudkan suasana biah solehah di kawasan yang kita diami. Ia bukan saja memberi keselesaan kepada kita malahan akan memberi keselesaan kepada orang lain. Inilah yang menjadi harapan semua khususnya warga FPI sendiri.

Andalah Pencorak Biah Solehah.




"ISLAM PEMANGKIN GENERASI TARBAWI" 

Thursday, September 20, 2012

MUZIK MENURUT PANDANGAN ISLAM


MUZIK MENURUT PANDANGAN ISLAM

Nyanyian yang lunak adalah santapan jiwa manusia,menyegarkan otak dan disukai oleh pendengaran. Ia adalah kelazatan bagi telinga sepertimana makanan yang menjadi kelazatan bagi mulut dan perut. Pandangan yang menjadi kelazatan bagi mata. Bau yang harum menjadi kelazatan bagi hidung dan sebagainya. Adakah perkara-perkara yang baik ini haram di sisi ISLAM??!

     Nyanyian adalah harus tetapi dalam acuan Islam ia termasuk dalam acuan tabi’i(asasi) disisi fitrah manusia. Malangnya muzik pada masa kini kebanyakannya diterajui oleh barat yang mana mereka mempunyai muslihat yang tersendiri terutamanya kepada remaja. Ini kerana unsur-unsur yang diketengahkan oleh barat adalah bertujuan untuk melalaikan manusia serta menjatuhkan mereka kepada maksiat dan menjurus kepada meninggalkan kehidupan beragama. Hiburan yang melampau seperti heavy,mental,rock,rap,super dance dan banyak lagi adalah haram apabila bertentangan dengan islam dan fitrah manusia.

    Nyayian menurut fuqaha’ mazhab syafie’ adalah makruh sekiranya tanpa alat kerana berpandukan hadis Ibnu Mas’ud r.a tetapi tidak menjadi haram kerana berpandukan hadis Aishah r.a yang menunujukkan Rasulullah s.a.w tidak menegah nyayian dua orang hamba wanita Ansar dirumah baginda. Tetapi isi nyayian yang ingin dipersembahkan mestilah bertepatan dengan kehendak-kehendak islam. Oleh yang demikian segala bentuk lirik nyayian yang menyalahi syariat Allah Taala adalah haram.

    Seluruh ulama’ telah bersependapat mengharamkan segala bentuk nyayian yang mengandungi unsur-unsur maksiat dan kederhakaan kepada Allah. Sabda Nabi s.a.w dalam hadisnya yang bermaksud: “Sesungguhnya nyayian menimbulkan sifat nifaq didalam hati sebagaimana  air menumbuhkan daripada sayur-sayurannya.”
    Penyampaian nyayian hendaklah bertepatan dengan Islam. Jelasnya Islam mengharamkan segala bentuk nyayian apabila sipenyanyi mendedahkan aurat,melakukan gerak badan yang memberahikan ataupun sipenyayi mempersembahkan nyayian dengan suara yang lucah yang boleh menyebabkan fitnah serta rangsangan nafsu yang kotor dikalanagan penonton sekalipun lagu yang dinyayikan adalah lagu-lagu yang baik. Diriwayatkan oleh thabrani  yang membawa maksud: “Barangsiapa yang duduk bersama-sama penyayi wanita dan mendengar nyayian  mereka,Allah akan menuangkan timah cair kedalam kedua-dua telinga mereka pada  hari kiamat.”

     Kesimpulanya muzik merupakan satu fitrah yang dianugerahkan oleh Allah kepada manusia selaku khalifah diatas muka bumi ini. Sewajarnya kita selaku mahasiswa Islam mampu untuk meletakkan syariat Allah yang Maha Agung dan ilmu yang jelas berada dihadapan tanpa menjadikan muzik sebagai kayu ukur untuk hiburan. Islam tidak datang untuk memerangi fitrah tetapi islam datang untuk memimpin dan menuntun fitrah agar tidak lari dari landasan dan manhaj islam.

Tuesday, August 21, 2012

BIAH SOLEHAH ATAU BIAH TOLEHAH?


Tajuk di atas sengaja dipilih pada kali ini untuk sama-sama dinilai dan difikir oleh teman-teman sekelian selaku manusia-manusia yang bertaraf hamba kepada tuhan-Nya, ingin hidup di dalam satu biah atau suasana yang dipayungi oleh rahmat Allah s.w.t.


Selain itu, ia merupakan langkah berterusan ke arah dakwah melalui media elektronik seperti blog dan sebagainya untuk memberi kesedaran kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan mewujudkan biah solehah di tempat masing-masing.

Persoalan biah yang berada di tempat kita sudah betul-betul solehah atau tidak perlu dilontarkan ke dalam benak hati kita untuk dinilai, diteliti dan dimuhasabah. Mungkinkah apa yang berada di persekitaran kita telah mampu membentuk peribadi kita selaku penuntut-penuntut ilmu Allah s.w.t ataupun di dalam apa jua lapangan bidang yang dahagakan sebuah suasana yang diredhai dan diberkati oleh Allah s.w.t. ataupun tidak.

Sebenarnya, proses pembentukan sesebuah masyarakat madani yang bersifat rabbani perlukan sebuah biah yang mempunyai ciri-ciri tersebut.

Sirah al-nabawiyyah telah membawa kita menyelusuri kisah perjuangan Rasulullah s.a.w. yang mana baginda telah ditarbiyyah oleh Allah s.w.t. di dalam suasana yang dijaga dan dipelihara oleh Allah s.w.t.. Oleh kerana itulah, baginda telah lahir sebagai manusia 'Mukhtarah' (pilihan) sepanjang zaman.

Begitu juga, baginda telah mendidik para sahabat baginda hingga mereka semua yang lahir sebagai manusia yang sangat tinggi sifat tanggungjawabnya terhadap amanah Islam serta
tersangat tinggi pengabdiannya kepada Allah s.w.t inilah hasil suasana yang dibina oleh Rasulullah s.a.w secara iltizam dan istiqamah hingga mampu melahirkan figure-figure yang sangat hebat di dalam memartabatkan kesyumulan Islam di atas muka bumi ini.

Pernahkah kita mengimpikan suasana biah usrah yang sentiasa mekar di sekeliling kita, ataupun suasana di mana rakan-rakan kita sentiasa dengan senyuman dan salam di saat berjumpa, bermuamalah di dalam suasana yang muhibbah dengan penuh adab yang dijaga, menjaga akhlak-akhlak Islam dengan penuh istiqamah, serta tidak melampaui batas di dalam apa jua yang mereka lakukan. Tidakkah ini menjadi satu impian kita?

Aristotle, seorang ahli falsafah Yunani pernah mengambarkan suatu kepincangan yang berlaku di dalam kehidupan makhluk tuhan bernama manusia baik perpecahan, ketidakadilan dan sebagainya dengan katanya: "Di dalam masyarakat binatang tiada manusia jalang, tetapi di dalam masyarakat manusia ada binatang jalang". Golongan yang dilabelkan inilah menjadi perosak kepada suasana yang ingin kita capai dan realisasikan!.

Teman-teman…apakah tidak ada kekuatan di dalam diri kita untuk mengubah semua itu…kita punyai potensi dan kekuatan sebenarnya untuk membina biah yang kita impikan dengan kesatuan yang kita ada sekarang. Gunalah kesempatan yang kita ada bersama PMRAM untuk terus membina paradigma, Qudwah dan himmah agar masyarakat yang kita impikan dapat kita realisasikan.

Kita umpama benih-benih yang subur, namun apakah yang mampu kita lakukan untuk memastikan benih ini tumbuh mekar menjadi bunga-bunga yang indah dan cantik untuk merasai keindahan dan keadilan Islam itu sendiri tanpa tanah/bumi yang juga subur untuk kita Tanami dan bajai benih itu.

Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud: "Sebarkanlah salam, Berilah makanan kepada (orang yang memerlukan), teguhkanlah silaturrahim, dan bersolatlah pada waktu malam ketika manusia sedang tidur"

Akhirnya, semoga kita yang berada di bumi Ardul Kinanah ini khususnya dan sesipa juga yang cintakan Islam di seluruh dunia, agar terus menyemarakkan obor semangat berteraskan kefahaman untuk memperkasakan biah solehah semampu kita. Biarlah orang memandng ia remeh, tetapi bagi kita, walaupun hanya sekadar memberi seekor anjing yang kehausan minum itupun,ia tetap dikira sebagai satu amal kebajikan yang akan dihitung oleh Allah s.w.t. insyaAllah.

Pak Hamka pernah berkata: "Tujuan agama yang benar dan ilmu yang benar hanyalah satu iaitu menjuju kebenaran yang mutlak. Ilmu untuk mengetahui dan agama untuk merasai. Ilmu untuk bendanya dan agama untuk jiwanya".

Salam Perjuangan, salam ukhuwwah, dan selamat merealisasikan biah solehah!

Sunday, May 27, 2012

~Kempen BIAH SOLEHAH Pmfpi~

Assalamua'laikum.

Alhamdulillah, masih diberi peluang untuk kita sama-sama meneruskan kehidupan hingga ke saat ini. Segala puji dan syukur hanyalah untuk DIA, tuhan sekalian alam.

InsyaAllah, Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) akan menganjurkan sebuah program 
"Pengajian Kitab Minhajul 'Abidin (Jalan Para 'Abid)".

Terdapat 7 peringkat jalan yang perlu ditempuhi untuk melakukan ketaatan kepada Allah. Apakah peringkat-peringkat ini boleh dirasai sendiri oleh setiap orang yang mahu berbuat ibadat dan kebajikan kepada Allah S.W.T ??

Persoalan bakal dirungkai dan dijawab oleh Duta BIAH SOLEHAH Pmfpi, 
Al-Fadhil Ustaz Abdull Rahman Mahmood, Pensyarah Jabatan Usuludin dan Falsafah, FPI melalui siri Pengajian Kitab Minhajul 'Abidin.

Pengajian akan berlangsung seperti berikut :

Tempat : Bilik Seminar 2, Masjid UKM
Masa     : Setiap Selasa dan Rabu (3-4ptg)
              Setiap Khamis             (5-6 ptg)


Jemput HADIR beramai-ramai memeriahkan majlis ilmu. Semoga dirahmati ALLAH hendaknya. 

Jangan lupa ajak kawan-kawan ya. (^_~)

Jumpa di sana, wassalam.

Friday, April 20, 2012

BIAH SOLEHAH'S CAMPAIGN

PMFPI mengucapkan selamat datang kepada seluruh mahasiswa/i perbukitan ilmu UKM. Moga- moga sekembalinya dari percutian kali ini, sahabat mahasiswa/i sekalian  dapat meneruskan perjuangan di medan ilmu ini dengan lebih cemerlang, gemilang dan terbilang, insyaAllah.

PMFPI juga ingin menebarkan rasa cinta dan kasih kepada penyebaran dakwah di UKM dan FPI khususnya melalui kempen biah solehah yang telah pun bermula sekembalinya warga kampus dari percutian baru -baru ini.

Biah solehah yang ingin digarap ialah suasana keislaman yang syumul dalam warga kampus khususnya  dalam kalangan mahasiswa/i FPI. Ayuh, hidupkan sunnah dalam kehidupan kita, mudah-mudahan dikurniakan barakah dari Allah s.w.t dalam pelbagai sudut kehidupan kita di dunia ini. Mulakan pentarbiahan diri meliputi aspek ruhiyyah, jasadiyyah dan thaqafiyyah ke arah muslim sejati akidah, ibadah dan akhlak. INSYAALLAH. Istimewa, kempen Biah Solehah ini turut dimeriahkan dengan kehadiran duta-duta biah solehah yang turut sama menyokong dan membantu dalam menjayakan hasrat murni ini. PMFPI optimis untuk menyemai nilai -nilai Islam melalui wasilah kempen biah solehah ini.  


Jom, sahabat-sahabat..Tambah nilai hidup dengan pancaran Iman kepada Allah.Ayuh teladani keunggulan Rasulullah s.a.w yang merupakan qudwah utama kehidupan kita. Sesungguhnya kesempurnaan keperibadian baginda s.a.w hasil tarbiah Illahi dan perutusan baginda adalah untuk mentauhidkan Allah sebagai satu-satunya Tuhan yang wajib disembah dan menyempurnakan akhlak manusia.

Jangan Lupa,

SATU HARI SATU SUNNAH..
Sebarkan Salam dan maniskan senyuman
Tingkatkan Pembacaan dan hadiri majlis ilmu
Solat Dhuha dan Puasa Isnin dan Khamis
Pelihara Aurat, Pelihara Akhlak 
Moga Allah redha..


ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI

Saturday, August 15, 2009

PERUTUSAN NYDP II (BI'AH SOLEHAH)


Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh..
Alhamdulillah segala pujian serta kesyukuran dirafa’kan kepada Allah S.W.T , selawat dan salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, para Ahlul-Bait, para sahabat, para tabi’in dan kepada semua mujahid Islam yang mengikut jejak langkah baginda hingga ke hari kiamat.

Di kesempatan yang dikurniakan ini, saya ingin menyeru kepada sahabat-sahabat khususnya serikandi-serikandi Islam yang berada di Fakulti Pengajian Islam ini agar sama-sama kita menyahut seruan Kempen Biah Solehah yang telah dijalankan oleh pihak Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam( PMFPI). Antara agenda yang ingin dibawa di sepanjang kempen ini dijalankan adalah untuk mengajak muslimah-muslimah FPI di dalam memperkasakan diri menjalankan perintah Allah di dalam menutup aurat. Saya pasti, semua sahabat-sahabat sudah maklum akan hukum menutup aurat bagi wanita. Namun kita sebagai manusia perlu diberi peringatan selalu agar kita tidak lalai didalam memenuhi tuntutan syariat. Sesuai dengan sabda Baginda Rasulullah s.a.w yang bersabda “ Sampaikanlah apa yang kau ketahui walau sepotong ayat”.

Sahabat-sahabat yang saya kasihi sekalian,

Tercetusnya idea untuk mengadakan kempen biah solehah ini adalah hasil daripada kesedaran sahabat-sahabat kita akan berleluasanya muslimat Fakulti Pengajian Islam ini tidak menutup aurat dengan selengkapnya semasa di fakulti mahupun di luar fakulti. Sedarlah sahabat-sahabat sekalian, kita sebagai role model kepada mahasiswa-mahasiswi lain perlulah menunjukkan sikap dan contoh teladan yang baik setiap hari. Kita selaku pelajar yang mepelajari ilmu agama mempunyai tuntutan yang besar untuk berdakwah kepada mahasiswa-mahasiswi yang lain. Ini kerana kita di pandang tinggi dengan membawa title Islam di dalam kehidupan kita.

Marilah kita sama-sama menghidupkan kembali budaya amar ma’ruf nahi mungkar di dalam diri kita yang kian terhakis dipupuk di dalam diri. Inilah sunnah yang di tinggalkan oleh rasul junjungan kita yang kita perlu ikuti. Aplikasikan semua ilmu-ilmu agama yang telah kita pelajari sekian lama. Sudah tibanya masa kita merubah kembali segala kemungkaran-kemungkaran yang berlaku di bumi universiti yang kita cintai ini. Letakkan di dalam diri “kita jika bukan kita siapa lagi yang akan melakukannya”??. Sesuai dengan firman Allah s.w.t,

Mafhumnya :-
Hendaklah ada dari kalangan kamu satu kumpulan yang ( berterusan )menyeru (berdakwah)kepada kebaikan dan menguatkuasakan dengan makruf dan menegahkan kemungkaran ( Ali-Imran 3:104).

Akhir kalam, semoga seruan Kempen Biah Solehah ini di sahut oleh semua sahabat-sahabat kerana inilah kewajipan kita terhadap Islam. Semoga sinar-sinar penghayatan Islam yang syumul kembali bersinar di bumi fakulti yang kita cintai ini seterusnya menjadi qudwah hasanah kepada mahasiswa-mahasiswi yang fakulti yang lain. Semoga usaha kita ini di berkati dan di redhai oleh Allah s.w.t.
wallah hua’alam.

Ikhlas dari,
SYIFAK BT MOHD RODZI
NYDP II
PERSATUAN MAHASISWA FAKULTI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA.