Thursday, August 18, 2011

Ramadan kian berakhir...

Sedar atau tidak, setiap detik dan saat tetap berlalu meninggalkan kita. Setiap detik dan ketika akan menjadikan kita semakin hari semakin tua dan hal ini akan berlaku secara berterusan tanpa menghiraukan seseorang samada menggunakan waktu tersebut sebaik mungkin atau sebaliknya.
Umat Islam sepatutnya bergembira dan bersyukur dengan kedatangan Ramadhan kerana telah menjanjikan seribu satu kelebihan dan keistimewaan untuk direbut. Muslim Mukmin yang berjaya akan terus berusaha merebut serta menggunakan segenap peluang yang ada untuk menghidupkan Ramadhan dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Firman Allah yang bermaksud :



 “Wahai orang-orang Yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (Al-Baqarah : 183).

Nabi SAW telah bersabda dalam satu hadith :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ وَمَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa dibulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan (untuk mendapat pahala), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. Dan barang siapa yang bangun (mengerjakan ibadah) pada malam qadr dengan penuh keimanan dan pengharapan, diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu”. (Hadith riwayat al-Bukhari, Kitab Solat al-Tarawih, Bab Fadh Laillat al-Qadr).
Puasa ialah menahan diri daripada makan dan minum serta perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit matahari sehingga terbenam matahari disertai dengan niat. Antara perkara yang perlu dilakukan sepanjang bulan Ramadhan ialah :
1. Banyakkan membaca Al-Quran, bertadarus serta tadabbur maknanya.
2. Mengerjakan solat samada fardhu atau sunat secara berjemaah di masjid
3. Bersedekah dan memberi makan kepada kerabat, sahabat, jiran, fakir miskin dan sebagainya
أَنَّ ابْنَ عَبَّاسٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ : كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ بِالْخَيْرِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ
Maksudnya : “Adalah Nabi SAW itu manusia yang paling baik (pemurah) dengan membuat kebajikan. Dan baginda paling pemurah pada bulan Ramadhan” (Hadith riwayat Al-Bukhari, Kitab Al-Saum, Bab Ajwada Ma Kana al-Nabi SAW Yakunu Fi Ramadhan)
4. Beriktikaf di dalam masjid terutamanya sepuluh malam terakhir
5. Tidak berbual kosong
6. Menjaga tutur kata
7. Melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah
8. Mengingati Allah
9. Berselawat keatas Nabi SAW
Janganlah kita rosakkan pahala puasa kita dengan melakukan perkara-perkara yang di tegah seperti mengumpat, memfitnah, memburuk-burukkan orang lain dan sebagainya. Nabi SAW bersabda :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَمْ يَدَعْ قَوْلَ الزُّورِ وَالْعَمَلَ بِهِ فَلَيْسَ لِلَّهِ حَاجَةٌ فِي أَنْ يَدَعَ طَعَامَهُ وَشَرَابَهُ

Maksudnya : “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk serta beramal dengannya, Allah tidak berhajat kepada puasa mereka” (Hadith riwayat Al-Bukhari, Kitab Al-Saum, Bab Man Lam Yada’ Qaul Al-Zur)

Rasulullah SAW bersabda :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ رُبَّ صَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ صِيَامِهِ إِلَّا الْجُوعُ وَرُبَّ قَائِمٍ لَيْسَ لَهُ مِنْ قِيَامِهِ إِلَّا السَّهَرُ

Maksudnya : “Berapa ramai orang yang berpuasa tetapi tidak mendapat apa-apa kebaikan daripada puasa tersebut kecuali lapar. Berapa ramai orang yang bangun malam tetapi tidak mendapat apa-apa daripada bangun tersebut kecuali letih” (Hadith riwayat Ibn Majah, Kitab Al-Siyam, Bab Ma Jaa fi al-Ghibah wa al-Rafasa li al-Siyam. Hadith Hasan Saheh)

No comments:

Post a Comment