Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej
kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa
cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada
haram, malah berganda-ganda haramnya.
Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh
mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan
enam perkara, iaitu :-
1) Mendedah keaiban
suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau
tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah
terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga
melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai
dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh,
ada yang secara terbuka mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk,
perabot, pakaian dan sebegainya
melalui status mereka. Tertekanlah suami serba salah.
Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam
bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan
mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung.
Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula
untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu
hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.
Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam
mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak
boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara
terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya.
Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan
untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa,
mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan
berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup
kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah
atau Kaunselor Rumahtangga.
Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan
isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia
dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan
pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara
tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga
yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat
kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah
amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password
facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar
kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam
(delete) mana yang perlu jika dimasukkan
secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.
2) Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook,
mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan
pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan
gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau
seorang diri). Ditambah pula lagi dengan
gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.
Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan
kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar
sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih
merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan
pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.
Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu
mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja
lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah bersuami)
tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.
Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah
beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya,
hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia
tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori
larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.
Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek
kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna)
ditayang sehabisnya di facebook. Baca
perihal ciri lelaki dayus di sini .
3) Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan
seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki
berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si
lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut.
Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi
wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah
tertebaran di interent, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki
ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan
berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.
Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan
dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang
orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend
untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan
terjaga.
4) Download gambar
untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang
terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun
gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana
wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai
sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada
lebih daripada mereka yang lain.
Malangnya, golongan sebegini kelihatan lebih ghairah menjaja
gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan
sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami.
Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak
perlulah tamakkan pujian manusia luar.
Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga
nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin
menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh
wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan
isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham dosa.
5) Tagging gambar
tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.
Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan
satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri
kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak
juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh beberapa penulis lain seperti
Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin menegaskan lagi tulisan mereka.
Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan
gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam
gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh
dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh
menontonnya.
Ini boleh menjadi dosa, kerana :-
- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.
- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.
- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.
6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan
Adakalanya
terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra
caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah
masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan
make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal
dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi.
Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat
untuk menegur dan menasihat.
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang
berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rkana
lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri
sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu
innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah
tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.
Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri,
apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi
solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus seolah mengutuk
pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah
atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia
sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang
kurang baik.
KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna
dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan
limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah
dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan
senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan
mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga.
Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk berbuat dosa.
Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada
ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah
al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan
mukmin.
Sekian
sumber: Zaharuddin Abd Rahman
No comments:
Post a Comment