Dagang bukan sebarang dagang,
Dagang membawa bekalan rohani,
Datang bukan sebarang datang,
Datang membina generasi rabbani..
Segala puji bagi Allah yang menjadikan langit dan bumi
serta apa yang berada di antara keduanya. Alhamdulillah, sekali lagi Persatuan
Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) telah diberikan kesempatan untuk
membawa rakan-rakan mahasiswa ke bumi Jelebu untuk mensyukuri dan menginsafi
nikmat dan amanah sebagai seorang hamba kepada sang Pencipta.
Bermula 8 hingga 10 Mac 2013, seramai 57 orang mahasiswa/i
FPI telah mengikuti program Kem Generasi Penghubung Rabbani (GHURABA’)
di bawah anjuran Pusat Pemantapan Akidah, JAKIM dengan kerjasama daripada
Fakulti Pengajian Islam, UKM. Kem yang berjalan selama tiga hari dua malam ini telah
membawa kesemua peserta untuk menghayati makna sebenar kalimah rabbani
di samping menyedarkan mereka untuk berlumba-lumba menjadi generasi ghuraba’.
Kesungguhan peserta untuk mengislah iman di pergunungan ilmu ini telah mendapat
suntikan daripada sepotong hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :
Sesungguhnya Islam datang
dalam keadaan asing, dan akan kembali pula dalam keadaan asing. Maka
beruntunglah orang yang asing. Para sahabat bertanya :Wahai Rasulullah, siapakah
orang asing itu? Rasulullah SAW menjawab : Orang yang melakukan pembaikan
(islah) ketika rosaknya manusia, tidak bersengketa dalam agama Allah dan tidak
mengkafirkan orang yang berada pada tauhid disebabkan dosa… (H.R Muslim)
Suasana ceria sewaktu sesi pendaftaran peserta |
Berbekalkan semangat yang tercetus daripada laungan ‘SAHABAT
AKIDAH’, kesemua peserta telah memulakan kem ini dengan sesi ice breaking yang
berjalan di dalam Dewan Al-Ghazali. Layanan istimewa daripada para fasilitator telah
menambahkan lagi keseronokan peserta dalam memahami erti sebuah ukhuwah yang
dibina berdasarkan falsafah ‘sang semut’. Kesemua peserta juga telah
diterangkan berkenaan prinsip kepimpinan dan kepentingan jama’ah berdasarkan
wahyu al-Qur’an, as-Sunnah dan qaulu sahabah. Dalam masa yang sama, peserta
turut diberikan sedikit tugasan berkumpulan bagi menilai sejauh mana kemampuan
mereka untuk berfikiran secara kreatif, kritis dan inovatif dalam waktu yang
singkat.
Mendengar arahan daripada pemimpin dalah penting dalam membina ‘sebuah jamaah’ |
Peserta muslimat berjaya membina ‘bunyanun marsus’
|
Menghayati falsafah ‘salam sang semut’ dalam slot ta’aruf |
Barisan pimpinan KEM GHURABA’ bersama Ustaz Jamal (penghulu, penghuluwati dan ketua-ketua kumpulan) |
Murabbi kami yang sentiasa tenang dan ceria – Ustaz Azlim |
Seusai solat subuh secara berjamaah, setiap peserta
muslimin telah dilatih untuk menyampaikan KULIM (kuliah lim minit) kepada semua
peserta kem. Walaupun kuliah hanya disampaikan dalam tempoh masa yang ‘sangat
terhad’, namun perkongsian dan peringatan ini sedikit sebanyak dapat
mengingatkan manusia yang sering lupa dan lalai dalam mengingati tuhannya. Firman
Allah SWT di dalam al-Qur’an, surah adz-Dzaariyaat, ayat ke 55 yang bermaksud :
Maka berilah peringatan, maka
sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman..
Penghulu menjadi’ the first man’ yang menyampaikan kuliah pada pagi hari kedua program |
Alhamdulillah, tepat jam 8.30 pagi, kem diteruskan lagi
dengan aktiviti yang ‘dinanti-nantikan’ oleh kesemua peserta. Pada pagi yang
dingin itu, kami akan bertolak ke Jeram Lesong untuk melakukan aktiviti KEMBARA HIJRAH yang merangkumi
‘jungle tracking’ dan ‘caving’ (menerokai gua) di Bukit Batu Pala
sambil diiringi oleh pasukan yang berpengalaman. Kembara pada kali ini
mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Kesemua peserta dikhendaki meredah
paya, mengharungi sungai dan kawasan berlumpur, berpaut pada akar-akar kayu dan
rotan untuk mendaki bukit, menuruni cerun yang licin, menyelusuri jalan yang
sempit dan berliku ditengah-tengah kegelapan gua sebelum mereka mengakhiri kembara
yang berjalan hampir 3 jam ini. Para peserta juga tidak melepaskan peluang
untuk mempelajari pelbagai ilmu berkenaan rahsia hutan dan gua, di samping
merakamkan pengalaman dan detik-detik indah mereka dalam kehijauan hutan sama
ada bersama manusia dan mahupun ‘serangga’.
Sungguh, aktiviti pada kali
ini merupakan satu bentuk tarbiyyah jasadiyyah dan ruhiyyah
yang lengkap bagi melahirkan generasi ghuraba’ suatu hari nanti. Para peserta
telah dilatih untuk menunaikan solat ditengah-tengah hutan dan turut berpeluang
untuk merasai pengalaman berwuduk di sungai. Setelah penat menjalankan aktiviti
lasak, kesemua peserta bukan sahaja disajikan dengan santapan jasmani, malah
mereka turut mendapat sentuhan qalbu melalui tazkirah yang disampaikan oleh
Ustaz Fazlim. Penceramah telah berjaya menarik perhatian para peserta dengan
memperingatkan mereka tentang hubungkait di antara kembara yang telah dilalui
pada hari ini dengan peristiwa hijrah Nabi SAW dan kisah golongan Ashabul Kahfi
yang mana kedua-duanya terkandung seribu satu hikmah dan bukti kekuasaan Allah
SWT khususnya apabila melibatkan gua.
Pada sebelah petangnya, semua
peserta dikhendaki mengikuti aktiviti lukisan dalam slot ‘Melukis Dengan
Telinga’. Dalam slot ini, kesemua peserta diminta untuk melukiskan susunan
objek seperti mana arahan yang dikeluarkan oleh fasilitator. Modul ini
bertujuan untuk melatih para peserta supaya peka mendengar arahan dan
berfikiran kritikal semasa menyelesaikan arahan yang diberi.
Aktiviti indoor yang memecah kebosanan peserta di tengah hari |
Selepas selesai menunaikan
solat asar secara berjamaah, para peserta telah diminta untuk berkumpul di dataran
Muhammad al-Fateh bagi menjalankan aktiviti riadah berkonsep. Dalam aktiviti
riadah kali ini, elemen kepimpinan dan kerjasama sangat dititikberatkan oleh
fasilitator. Riadah yang berkonsepkan permainan ini telah berjaya mencetuskan
semangat berpasukan dan kemahiran mendengar arahan daripada seorang ketua. Maka
benarlah kata-kata Saiyidina Umar al-Khattab bahawa :
Tidak
ada Islam melainkan dengan Jama’ah, tidak ada Jama’ah melainkan dengan Imam,
tidak ada Imam melainkan dengan Ketaatan..
Sinaran keceriaan yang
terukir di wajah setiap peserta telah dipadamkan dengan siraman muhasabah pada
sebelah malamnya. Titisan demi titisan air mata keinsafan jatuh membasahi pipi
para peserta apabila nurani mereka mula disentuh dengan peringatan-peringatan
yang mendidik jiwa. Alhamdulillah peringatan yang diberikan sedikit sebanyak
mampu menyedarkan manusia yang semakin jauh dengan penciptanya.
Lihatlah, mana mungkin
pengalaman ini akan dapat kita perolehi ketika berada di dewan kuliah mentelah
ditengah-tengah kesibukkan kota. Penulis yakin dan percaya ini adalah
pengalaman pertama yang sangat berharga dan tidak akan dapat dilupakan oleh kesemua
peserta kem pada kali ini.
Peserta Kem GHURABA’ bersama-sama dengan Timbalan Dekan FPI dan penguasa Pusat Pemantapan Aqidah, JAKIM. |
Akhir
kalam, tahniah dan syabas diucapkan kepada kesemua peserta di atas kerjasama
dan peartisipasi yang sangat baik sepanjang kem ini berlangsung. Di harapkan
kem seperti ini dapat dianjurkan sekali lagi pada sesi yang akan datang dengan
penglibatan peserta yang lebih ramai lagi. InsyaAllah, sama-sama kita nantikan
KEM GHURABA’ 2.0. Wallahu ‘alam..
ISLAM PEMANGKIN GENERASI TARBAWI
Tahniah kepada PMFPI. Program sebegini seharusnya diteruskan untuk masa akan datang. Kadang kala kita terleka dengan urusan dunia. Akan tetapi dengan medium ini sedikit sebanyak mampu mengembalikan diri kita untuk menyedari hakikat sebenar dan tujuan kita dilahirkan di dunia ini. Syabas sekali lagi.
ReplyDelete