Program Citra Siswi anjuran Biro Hal Ehwal Siswi PMFPI kembali diteruskan bagi semester ini. Perkongsian kali ini bertajuk Pohon yang indah, Akarnya Teguh disampaikan oleh Ustazah Qurratul Aien Fatah Yasin. Pohon yang indah, akarnya teguh adalah satu anologi menarik yang dibawakan bagi mengupas hubungan antara akidah dan akhlak seseorang muslim.
Akar merupakan asas dan tunjang bagi sebatang pokok. Demikianlah juga akidah merupakan asas dan tunjang bagi seorang muslim. Apabila teguh asasnya, maka akan lahirlah individu yang berkualiti, tinggi keimanannya kepada Allah. Ibadah pula diumpamakan sebagai batang yang tertegak melalui akar. Manakala akhlak pula diumpamakan sebagai buah yang dihasilkan.
Sebatang pokok adakalanya menghasilkan buah yang berbeza bentuk dan rasanya. Demikianlah juga tarbiah terhadap individu melahirkan hasil yang berbeza. Akidah yang kukuh menghasilkan ibadah dan akhlak yang baik. Akidah adalah simpulan / ikatan yang teguh kepada Allah. Akidah dalam Islam terangkum dalam rukun iman iaitu beriman kepada Allah, beriman kepada malaikat, beriman kepada rasul, beriman kepada kitab, beriman kepada hari kiamat dan beriman kepada qada’ dan qadar.
Keyakinan kepada Allah menyebabkan seseorang muslim tidak melakukan dosa mahupun maksiat ketika mana bersendirian. Ini kerana dia menyakini bahawa Allah Maha Mengetahui segala perbuatannya bertepatan dengan martabat ihsan sebagaimana yang disebut oleh Rasulullah s.a.w, ‘’ Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat Allah, jika engkau tidak melihat Allah, nescaya Allah melihatmu. Seorang muslim juga dianjurkan agar sentiasa beristighfar memohon keampunan dari Allah kerana lumrah, manusia tidak lari dari melakukan kesalahan/ dosa dalam kehidupannya.
Keimanan kepada qada’ dan qadar Allah mendorong seorang muslim yakin bahawa segala yang berlaku dalam kehidupannya telah ditentukan oleh Allah dan pasti ada kebaikan sama ada baik mahupun buruk pada pandangan manusia. Penceramah memberi anologi, hubungan seorang muslim dengan Allah ibarat seorang anak dengan ibunya. Ibu ingin memberi yang terbaik kepada anaknya sebagai contoh makanan berkhasiat. Ibu mengetahui kebaikannya meskipun ditolak oleh anak yang tidak menggemari makanan tersebut. Ujian sama ada susah mahupun senang dalam kehidupan seorang muslim mampu meningkatkan iman dan mendekatkan dirinya kepada Allah dengan syarat dia mampu menerima ujian tersebut dengan redha. Demikianlah, ketentuan Allah adalah yang terbaik buat hamba-hambaNya.
BAGAIMANA CARA KUKUHKAN AKIDAH?
Berdasarkan analogi pokok, sebatang pokok perlu disuburkan dengan air dan baja yang mencukupi. Demikian juga hati seorang muslim (qalbun) perlu disuburkan dengan ilmu dan amal. Hati menjadi subur dengan ilmu yang bermanfaat, yang mendekatkan diri kepada Allah. Penting bagi seorang muslim menuntut ilmu dengan bersungguh- sungguh untuk membebaskan diri dari kejahilan terutamanya ilmu fardhu ain yang berkait dengan agama. Di samping itu, mestilah berniat untuk mengamalkan apa yang dipelajari. Dengan ilmu, ibadah dan amal yang dilakukan bukan hanya ala kadar, bahkan memenuhi tuntutan-tuntutan sebagaimana yang digariskan oleh syarak. Sebagai contoh, ibadah solat perlu dipelihara pelaksanaannya bermula dengan niat yang betul, mengambil wuduk dengan baik untuk menghadap Allah di samping memperhatikan dan mengelak dari melakukan perkara-perkara yang makruh. Akidah yang teguh kepada Allah, akan melahirkan ibadah yang khusyuk.
Pokok perlu dikukuhkan dengan menyemai zat dan mencantas parasit. Demikianlah juga, untuk mengukuhkan akidah, kebaikan (makruf) mesti disemai dan mencantas segala yang mungkar. Mudah-mudahan, sebagaimana indahnya pohon dan manisnya buah yang dihasilkan begitulah juga indahnya akhlak seorang muslim hasil keteguhan akidahnya kepada Allah s.w.t.
ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI
No comments:
Post a Comment