Monday, March 5, 2012

Citra Siswi : Pohon yang Indah, Akarnya Teguh



Sepertimana semester lepas, program Citra Siswi diteruskan lagi untuk semester ini dengan tajuk yang sangat menarik iaitu “Pokok Yang Indah, Akarnya Teguh” oleh penceramah yang tidak asing lagi iaitu Ustazah Qurratul Aien Binti Fatah Yasin. Apa yang kita difahami berhubung dengan tajuk ini setelah ia dihuraikan secara jelas oleh penceramah ialah ia merupakan salah satu tajuk yang berkaitan dengan akidah kita sebagai seorang muslim.



Dalam menjelaskan tajuk ini, penceramah telah menggambarkan kehidupan manusia ini dengan sebatang pokok iaitu sebatang pokok mestilah memiliki akar untuk hidup dan pokok yang indah mestilah memiliki akar yang teguh. Bagi seorang muslim, yang meneguhkan dirinya ialah akidah. Akidah adalah suatu aspek penting dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim dan akidah yang teguh adalah satu bukti seseorang itu sangat yakin dan percaya serta beriman kepada Allah. Penceramah juga telah memberi gambaran seorang muslim berdasarkan sebatang pokok iaitu akarnya umpama akidah, manakala batangnya adalah ibadat asas, daunnya pula adalah ibadah sunat, manakala buahnya adalah akhlak. Gambaran yang diberikan ini adalah untuk menunjukkan bahawa sebatang pokok yang lengkap adalah pokok yang indah disokong oleh  akarnya yang teguh. Begitu juga seorang manusia, sekiranya ia memiliki aspek-aspek berikut maka ia merupakan seorang mukmin yang benar-benar beriman dan percaya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad itu adalah pesuruh Allah.

Seorang muslim yang beriman hendaklah sentiasa meneguhkan akidahnya dengan melaksanakan segala perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya. Penceramah juga telah menjelaskan bahawa untuk mencapai akidah yang teguh seseorang itu hendaklah melaksanakan ibadah dengan ikhlas kerana Allah serta khusyuk dalam solat. Kekhusyukan solat melambangkan seseorang itu telah percaya dan yakin bahawa Allah itu ada dan Maha Berkuasa terhadap makhluk ciptaan-Nya dan segala yang ada dilangit dan di bumi ini. Kekhusyukan dalam ibadat khususnya solat adalah suatu perkara yang susah untuk dicapai dan untuk mencapai kesempurnaannya, hendaklah mengambil kira setiap perkara yang berkaitan dengan sebelum atau selepas melaksanakannya, contohnya perkara sebelum melaksanakannya iaitu wudhuk iaitu kita hendaklah mengambil kira dari mana punca air yang kita gunakan untuk mengambil wuduk dan sebagainya. Sebagai seorang muslim kita perlu ingat dan tanamkan dalam diri kita bahawa ibadah yang sempurna akan menguatkan pegangan serta meneguhkan akidah kita serta jalan bagi menilai seseorang dari segi luaran.




Ustazah Qurratul Aien juga menjelaskan tentang beberapa persoalan penting yang berkaitan dengan akidah antaranya ialah takrifan akidah, apa itu akidah? Menerusi persoalan ini beliau telah menghuraikan maksud akidah dari segi bahasa dan istilah. Akidah dari segi bahasa bermaksud ikatan atau simpulan manakala dari sudut istilah ia bermaksud kepercayaan yang teguh terhadap Allah S.W.T. Di samping itu, beliau juga telah menjelaskan tentang rukun akidah iaitu rukun Iman yang merupakan sesuatu yang perlu dipenuhi oleh seorang muslim yang teguh akidahnya iaitu percaya dan yakin serta beriman kepada enam perkara iaitu beriman kepada Allah, beriman kepada Malaikat, beriman Kitab, beriman kepada Rasul, beriman kepada Hari Akhirat dan beriman kepada Qada’ dan Qadar. Kepercayaan dan keyakinan bahawa Allah itu wujud dan ada adalah tapak asas kepada keteguhan dan kekuatan.

Selain itu, menurut ceramah yang disampaikan antara perkara lain yang perlu kita titikberatkan dalam mengukuhkan akidah ialah kita hendaklah sentiasa menyedari dosa-dosa yang kita lakukan dalam kehidupan seharian, dan tanpa kita sedari kadang-kadang setiap detik kita membuat dosa. Bagi mengelakkan kita daripada terlalai dan leka terhadap dosa-dosa yang telah kita lakukan dalam kehidupan, kita hendaklah sentiasa muhasabah diri dan segera bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah S.W.T atas dosa-dosa yang telah kita lakukan itu supaya akidah kita tidak terpesong serta berada dalam keadaan lalai dan leka kepada perkara-perkara duniawi sahaja.

Penceramah turut mengupas mengenai ujian hidup.  Kita hendaklah yakin bahawa sesuatu yang berlaku ada hikmah disebaliknya dan janganlah kita mengeluh atau berputus asa sekiranya kita diberikan sesuatu musibah atau ujian daripada Allah S.W.T. Sesungguhnya sesuatu ujian yang diberikan oleh Allah baik berupa musibah atau sebagainya perlu kita ingat bahawa ianya adalah suatu cara supaya kita dapat mendekatkan diri kita kepada Allah dan ia juga menunjukkan bahawasanya Allah sayang dan peduli kepada kita. Setiap ujian dan dugaan yang diberikan oleh Allah juga akan mendekatkan lagi darjat kita kepada-Nya asalkan kita dapat menerimanya dengan hati yang terbuka, ikhlas dan redha dengan segala ketentuan yang datang daripada-Nya. Melalui ujian dan dugaan yang diberikan Allah juga ia akan dapat menambahkan ilmu kepada kita iaitu melalui pelbagai cara dan situasi yang kita hadapi dalam menyelesaikannya yang akan mengajar kita dalam kehidupan yang sebenar sebagai seorang hamba Allah dimuka bumi ini.

Persoalan seterusnya yang diungkap dan diperjelaskan oleh penceramah berkaitan tajuk ini ialah berkaitan dengan mengapa perlunya akidah dalam kehidupan kita, dan persoalan ini telah terjawab sepertimana yang kita dapat lihat iaitu menerusi firman Allah S.W.T dalam al-Quran dalam surah al-Fatr ayat 24:
Maksudnya: Dan tiada suatu umat pun melainkan telah ada dalam kalangannya dahulu seorang Rasul pemberi ingatan dan amaran.
Menerusi firman Allah diatas dapat kita fahami bahawa fitrah manusia itu memerlukan pegangan iaitu akidah. Allah telah mengutuskan Nabi dan Rasul kepada setiap manusia untuk menjadi pembimbing dan memberi peringatan kepada setiap umat manusia supaya beriman kepada Allah yang telah menciptakan segala makhluk yang berada di alam ini. Selain itu kita juga dapat mengetahui bahawa fitrah manusia itu ada pegangan seperti mana yang kita dapat lihat bahawa sejak dalam kandungan ibu lagi manusia sudah mempunyai satu pegangan iaitu bayi dalam kandungan telah dibekalkan satu pegangan iaitu tali pusat yang merupakan bukti kepada fitrah manusia itu adalah mempunyai pegangan. Akidah atau pegangan juga menjadi sumber motivasi kepada manusia untuk yakin dan percaya kepada Allah dan akidah yang teguh akan menjadikan seseorang individu patuh kepada Allah dan berakhlak mulia.




Selain itu, penceramah juga telah menjelaskan persoalan berkaitan bagaimana cara untuk mengukuhkan akidah. Perkara ini  diperjelaskan oleh beliau secara terperinci dimana kita perlu ketahui terlebih dahulu bahawa akidah itu terletak dalam al-Qalbu dalam bahasa arab yang bermaksud jantung yang telah digambarkan oleh beliau sebagai tanah dimana tertanamnya akar iaitu akidah didalamnya dan untuk mengukuhkan dan menguatkan akar, langkah utama yang perlu dilakukan ialah menyuburkannya. Sepertimana yang telah kita ketahui cara terbaik untuk menyuburkan tanah ialah dengan menggunakan air dan baja. Begitu juga dengan al-Qalbu, untuk mengukuhkan akidah yang terdapat didalamnya, ia mestilah disuburkan dengan ilmu dan amal.

Langkah seterusnya yang perlu dilakukan setelah ia subur maka hendaklah dikukuhkan lagi. Sebagaimana untuk mengukuhkan akar kita hendaklah menyemai zat dan mencantas parasit, begitu juga untuk mengukuhkan akidah kita hendaklah menyemai makruf dan mencantas kemungkaran iaitu membuat amal makruf dan meninggalkan yang mungkar. Sekiranya langkah ini dilaksanakan, insyaAllah ia akan menjadi sebatang pokok yang indah dan akarnya teguh dan akan mengeluarkan buah yang cantik iaitu akhlak yang mulia.




Setelah  memiliki akidah dan pegangan yang teguh kemudiannya akan terpancarlah hidayah  di dalam hati seseorang iaitu hidayat dinniyah iaitu hidayah agama dan hidayat akliah iaitu petunjuk akal yang terdiri daripada tiga hukum iaitu hukum sebab dan akibat, hukum kenescayaan (wajib, harus dan makhruh) dan hukum keteraturan (ada yang mengatur).
Menerusi ceramah yang disampaikan kita dapat fahami bahawa akidah yang teguh adalah merupakan suatu perkara asas yang sangat penting dalam kehidupan kita sebagai seorang manusia yang memegang tanggungjawab sebagai Khalifah Allah dimuka bumi ini bagi memimpin diri, keluarga, masyarakat ke arah jalan yang di redhai Allah S.W.T.

Makluman buat semua mahasiswi, insyaAllah pada semester ini program Citra Siswi akan tampil dengan pembelajaran secara bedah buku iaitu yang turut disampaikan oleh ustazah Qurratul Aien dengan menggunakan sebuah buku yang bertajuk “ 111 Wasiat Rasulullah S.A.W kepada wanita Solehah”.  Akhir kalam, PMFPI mengalu-alukan kedatangan seluruh mahasiswi UKM ke Program Citra Siswi yang akan datang.

Semaikan Islam Di hati,
Tanamkan Iman nan Suci,
Bajai Taqwa Setiap Hari,
Berbuah Bahagia Hakiki.

Sekitar program Citra Siswi ~


         
           

ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI

No comments:

Post a Comment