Saturday, March 3, 2012

Syria : Isu Ummah Sejagat




Sumber cbnews
Saat dan ketika rakyat Malaysia berada dalam pergelutan isu-isu menjelang pilihan raya umum 13, saudara kita di Syria juga turut berada dalam kemelut politik yang kian menyiksa jiwa rakyat Syria. Bashar al-Assad yang bertindak seperti diktator bertopengkan demokrasi terus berpegang teguh untuk mengekalkan kedudukan sebagai Presiden Syria hampir 11 tahun. Sebelum pemerintahan Bashar al-Assad, ayahnya Hafez al-Assad mencatatkan zaman pemerintahan selama 29 tahun.
Kebangkitan yang menggolakkan arus perubahan itu disebabkan oleh tempoh pemerintahan yang lama tanpa diberi kebebasan kepada rakyat. Sudah pasti, perkara ini sememangnya tidak dapat dinafikan, namun apa yang jelas Syria bukan seperti negara-negara arab yang sudah pun mengalami keruntuhan pemimpin yang sudah lama memerintah.
Syria berpendirian untuk tidak mengiktiraf Israel sebagai sebuah negara serta tidak mempunyai kerjasama dengan negara tersebut. Syria menyambut baik perjuangan gerakan-gerakan Islam seperti Hamas dan Hizbullah, bukti yang jelas adalah Syria membenarkan tanahnya untuk menjadi pangkalan atau kubu kepada gerakan Islam tersebut. Malah, gerakan Islam tersebut berbeza pendapat dan pandangan terhadap mazhab yang dipegang kerana Hamas adalah gerakan aliran  mazhab Sunni dan Bashar al-Assad pula berpegang kepada mazhab Alawi. Persamaan antara mereka adalah perjuangan menentang musuh yang sama iaitu Israel.
Soal Pendekatan
Jika di zaman Hafez al-Assad corak pemerintahan bercorakkan ketenteraan, kebangkitan rakyat mula dirasai di era tersebut. Namun, ketika tampuk pemerintahan bertukar tangan kepada Bashar al-Assad, pendekatan yang digunakan menjadi longgar atau mesra di mata rakyat. Bashar al-Assad dipanggil oleh ayahandanya, Hafez al-Assad untuk kembali menyertai ketenteraan Syria selepas berita kematian abang kepada Bashar al Assad, Bassel al Assad meninggal dunia akibat sebuah kemalangan jalan raya.
Bassel al Assad sebelum itu sudah pun dicorakkan oleh Hafez al Assad untuk mewarisi kepimpinan Syria ketika itu, namun kematian mengejut yang tidak disangkakan oleh Hafez al Assad mendesak beliau melakukan sesuatu. Pada tahun 1994, Hafez al Assad mula mencari pengganti yang akan menerajui pentadbiran Syria kelak, maka calon yang sesuai ketika itu adalah Bashar al Assad yang ketika itu sedang melanjutkan pengajiannya di United Kingdom dalam bidang Optomologi. Seorang doktor yang bakal menerajui pentadbiran ketenteraan.
Usia Bashar al Assad ketika itu dikatakan terlalu muda untuk memegang tampuk pemerintahan, usia setahun jagung mengikut perumpamaan Melayu. Satu faktor kuat yang menyokong idea ketahanan kerajaan Syria ketika itu adalah faktor pentadbiran Syria yang dikuasai oleh tentera. Tidak dapat tidak, segala kebangkitan rakyat pasti dipatahkan.
Maka, lahir pemimpin muda, Bashar al Assad dalam lipatan sejarah Syria. Semakin sukar kerajaan yang diwarisi oleh keluarga al Assad untuk ditumbangkan, atas faktor usia Bashar al Assad yang muda dikatakan mesra dengan masyarakat Syria. Perubahan demi perubahan dilaksanakan pada zaman Bashar al Assad.
Punca Kebangkitan
Hanya kerana sekumpulan kanak-kanak yang menconteng dinding “Rakyat mahu jatuhkan kerajaan” dan pengorbanan jiwa berlaku, maka kebangkitan rakyat semakin berkobar-kobar semangatnya. Situasi di Syria jika di kaji dengan teliti sangat rumit. Hal ini kerana keadaan di Syria sangat berlainan berbanding di negara sekitarnya, kerana penguasanya adalah tentera. Malah, tindakan Bashar al Assad untuk mesra dengan beberapa gerakan Islam seperti Hamas dan Hizbullah juga merumitkan keadaan di sana.
Tindakan ini menyebabkan gerakan-gerakan tersebut turut mendokong rejim Bashar al Assad kerana mereka punya persamaan dari sudut fahaman sosialis yang hampir dengan komunis. Mereka adalah penentang blok kapitalis yang dipimpin oleh Amerika dan Zionis. Maka, atas faktor zionis mereka bersatu dan bukan kerana nilai agama Islam secara umumnya.
Bukan pertembungan Syiah dan Sunni di Syria yang ditekankan saat ini, tetapi soal kezaliman rejim Bashar al Assad yang menindas rakyat. Sejak kebangkitan rakyat di Syria pada Mac 2011, Bashar al Assad telah membunuh lebih 8,500 orang rakyatnya sendiri (lebih 6,000 menurut Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu), dan ribuan lagi yang cedera. Bahkan, lebih memeranjatkan lagi adalah, dalam kalangan yang terbunuh itu pula adalah mereka yang berfahaman Ahlus-Sunnah Wal Jama’ah.
“Faktor pelbagai aliran madrasah yang wujud di Syria dan tekanan kerajaan terhadap ulama’ menyebabkan pertembungan pandangan dalam menghadapi revolusi di Syria”
Sdr. Hazuanuddin Sofuan kumpulan pelajar Malaysia terakhir yang dihantar pulang
Situasi begini sangat merumitkan apabila soal Syiah dan Sunni bukan perkara yang menjadi asbab berlakunya ombak kebangkitan rakyat. Kebanyakan Ulama seluruh dunia, kesatuan ulama sedunia bersama ulama terkenal, Syeikh Yusuf al-Qardawi menyokong revolusi di Syria. Namun, isu revolusi ini tidak mendapat sambutan oleh segelintir ulama tempatan Syria yang mendiami di negara tersebut, antaranya Syeikh Ramadhan al Buthi yang secara jelas menolak untuk memberi sokongan kepada evolusi di Syria.
Peranan kita
Maka, ISIUKM menyeru agar sahabat-sahabat, mengambil sikap prihatin terhadap isu semasa yang giat dimainkan oleh media, baik media tempatan mahu pun antarabangsa. Perkara ini sangat perlu dihadamkan. Bahkan, sebagai mahasiswa dan anak muda, aspek nasional dan antarabangsa perlu menjadi bahan perbualan kita.
Berkongsi maklumat yang kita dapati tentang kezaliman di Syria dengan masyarakat  setempat sangat diharapkan. Hal ini kerana berita-berita kezaliman di Syria telah pun ditapis oleh penguasa Syria, segala urusan kecemasan, perubatan, serta media luar yang ingin memasuki Syria akan dipantau. Ayuh kita bersama-sama dengan gerakan-gerakan Islam untuk turut serta menjadi agen penerangan mengenai isu Syria ini.
Akhir kata, marilah kita bersama-sama mendoakan kesejahteraan sahabat-sahabat yang seakidah dengan kita di sana agar terus bersabar dan dikuatkan semangatnya untuk terus berjuang.
“Bersama Melangkah Menginspirasi Ummah”
“GAMIS, Inspirasi Anak Muda”
Muhammad Hafizan bin Abd Hamid
Presiden ISIUKM merangkap Setiausaha Agong GAMIS



No comments:

Post a Comment