Monday, February 20, 2012

Aluan Semester Baru

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah, Lagi Maha Mengasihani..

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Ilahi. Selawat dan salam buat junjungan mulia, Nabi Muhammad s.a.w. Ahlan wa sahlan kepada mahasiswa/i yang akan kembali meneruskan pengajian bagi semester baru bermula pada 20 Februari ini.  PMFPI mengalu-alukan kedatangan sahabat mahasiswa/i ke perbukitan ilmu UKM yang kita cintai ini. Ayuh, sahabat mahasiswa/i, kita mulakan perjuangan kita di medan ilmu ini dengan memperbaharui niat, semata-mata kerana Allah.  Ilmu itu cahaya, memberikan sinaran bagi hati-hati yang bersih serta jauh dari kemaksiatan. Moga-moga kita dipilih sebagai penuntut ilmu yang diredhai Allah dan ilmu yang diperoleh mampu dimanfaatkan untuk kebaikan di dunia serta akhirat.

Mahasiswa merupakan golongan terpilih untuk mendalami ilmu di peringkat pengajian tinggi. Sewajarnya mahasiswa menyedari peranan dan tanggungjawab mereka kepada ummah. Bukanlah dikatakan hebat seseorang mahasiswa itu, dengan hanya melihat kepada penilaian pencapaiannya dalam peperiksaan. Bahkan seorang mahasiswa itu juga perlu melengkapkan diri dengan keilmuan serta kemahiran untuk dimanfaatkan kepada ummah mengikut apa jua posisi, supaya keberadaan dan kewujudan mahasiswa dalam masyarakat dapat dirasai, bahkan mampu menebarkan dakwah Islam.

Mahasiswa/i juga berperanan sebagai qudwah hasanah kepada masyarakat di sekeliling. Menyedari peranan sebagai hamba, khalifah dan daie ilallah, mahasiswa/i perlu menggabungjalin ilmu dengan akhlak yang tinggi serta keluhuran budi. Ayuh kita kembali kepada ajaran Islam sebagai satu cara hidup yang sempurna, merujuk panduan dari al-Quran dan Sunnah serta meneladani perjalanan sirah junjungan mulia, Rasulullah s.a.w serta para sahabat dalam menempuh pancaroba dalam kehidupan. Suburkan cinta kepada Allah dan Rasul serta teruskanlah meningkatkan iman serta mengerjakan amal soleh sebagaimana yang dianjurkan oleh Allah dan Rasul serta menjauhi kemungkaran dan kemaksiatan sebagaimana yang dilarang oleh Allah dan RasulNya.

Akhir kalam, PMFPI mengucapkan selamat  meneruskan pengajian buat seluruh mahasiswa/i. InsyaAllah, dengan niat serta keazaman yang tinggi untuk mencapai kecemerlangan. Semoga rahmat Allah sentiasa mengiringi.


ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI