Biah Solehah Fakulti Pengajian Islam


Pengenalan Biah Solehah :-
Projek Biah Solehah dijalankan di bawah pengelolaan/kendalian Majlis Tertinggi Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) untuk memastikan seluruh warga Fakulti Pengajian Islam sentiasa berada dalam suasana Islamik. Bagi memastikan projek ini berjalan lancar, satu team biah solehah telah ditubuhkan pada sesi kepimpinan PMFPI 2013/2014 yang bertujuan melaksanakan agenda-agenda yang telah dirancang di peringkat organisasi ahli jawatankuasa pelaksana.

Visi Biah Solehah :-
Membudayakan masyarakat kampus khususnya mahasiswa/i FPI dengan suasana islamik.

Misi Biah Solehah :-
  1. Memperkasakan kefahaman Islam berlandaskan al-Quran dan Sunnah
  2. Membentuk sahsiah berkeperibadian muslim
  3. Membumikan agenda dakwah di UKM
  4. Memperkukuhkan ukhwah dalam kalangan warga FPI

Objektif Biah Solehah :-
  1. Berusaha menyebarluaskan kefahaman Islam ke seluruh bumi UKM
  2. Bertindak sebagai skuad Amar Makruf Nahi Mungkar
  3. Menjadikan media sebagai medium menyebarkan dakwah
  4. Melatih mahasiswa/I FPI menjadi duta Islam

SEJARAH BIAH SOLEHAH

Agenda Biah Solehah secara tidak rasminya telah wujud di Fakulti Pengajian Islam (FPI) sejak tahun 2008/2009 iaitu pada sesi kepimpinan Saudara Mahfuzan Gaddafi bin Mahmud, Jabatan Syariah. Usaha tersebut diteruskan pada pada sesi kepimpinan 2009/2010 yang diketuai oleh Saudara Zaid bin Sabran. Oleh kerana Biah Solehah merupakan tunjang pembawakan kepimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI), pada tahun 2010/2011, di bawah kepimpinan Saudara Amir Hakimi, agenda tersebut tetap diteruskan bagi menghidupkan biah solehah di FPI.

  Usaha yang jitu dalam agenda Biah Solehah ini juga masih terus dilaksanakan pada sesi kepimpinan 2011/2012 yang diketuai oleh Saudara Wan Muhammad Naif Bin Mohd Nordin, Jabatan Syariah dengan mewujudkan Duta Biah Solehah bagi menonjolkan figure yang mampu menjadi ikon atau contoh yang baik terutamanya dari sudut peribadi, akhlak dan sumbangannya kepada masyarakat. Kempen Biah Solehah ini telah dilancarkan secara rasminya oleh Prof. Madya Dr. Amir Husin Mohd Nor, Timb. Dekan Prasiswazah, Alumni dan Hubungan Masyarakat pada malam Majlis Perasmian Hari Apresiasi Bakat FPI 2012. Pada sesi 2012/2013, di bawah kepimpinan Saudara Muhammad Rasyid bin Ismail, Jabatan Syariah, satu Sahifah Biah Solehah telah dirangka untuk menjadi garis panduan kepada PMFPI dalam menggerakkan dan membumikan agenda biah solehah di FPI.

  Pada sesi kepimpinan PMFPI 2013/2014 yang diterajui oleh Saudara Muhammad 'Ammar bin Azlan, Jabatan Usuludin dan Falsafah, penggunaan Sahifah Biah Solehah masih diteruskan dengan membuat penambahbaikan bagi menyesuaikannya dengan waqi’ mahasiswa/i FPI. Terdapat empat aspek utama yang disentuh dalam sahifah yang baru iaitu fikrah, sahsiah, dakwah dan ukhwah. Aspek-aspek yang disentuh secara menyeluruh ini diharapkan mampu menghidupkan kembali biah solehah yang semakin hilang dan tidak dapat dirasai oleh seluruh warga FPI. Selain itu, Team Biah Solehah juga turut ditubuhkan bagi memudahkan pelaksanaan agenda-agenda yang telah dirancang di peringkat organisasi ahli jawatankuasa pelaksana. Bertemakan ‘Bersama Mengizzahkan Islam’, kami barisan kepimpinan PMFPI berharap agar seluruh warga FPI dapat memberikan kerjasama yang dan kami amat memerlukan penggerak-penggerak yang komited dan bersungguh-sungguh dalam membawa agenda dakwah ke seluruh warga kampus Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) juga masyarakat luar. 

  Tidak dapat dinafikan, setiap insan di setiap peringkat mudah terpengaruh dengan persekitarannya atau teman rapatnya. Nabi SAW menyebut dalam sebuah hadith: "Seseorang berada atas agama sahabat baiknya. Maka hendaklah seseorang kamu memerhatikan siapakah dia jadikan teman rapatnya". (Riwayat Ahmad).


  Justeru itu, betapa pentingnya kami di peringkat kepimpinan berusaha untuk membentuk suasana persekitaran yang baik walau di mana sahaja kita berada. Maka tidak hairanlah jika Allah menegaskan antara tanggungjawab para pemimpin masyarakat dan keluarga ialah memelihara diri dan ahli keluarga atau masyarakat dari azab api neraka. WaAllahu'alam.


~Ayuh! Bersama Mengizzahkan Islam~


:: Islam Pemangkin Generasi Tarbawi ::

***************************************************





27 Februari maka bermulalah Kejohanan Piala Dekan.Sedikit Ucapan dari Yang Di-Pertua PMFPI


KEJOHANAN PIALA DEKAN MEDAN TERBAIK MEMPROMOSIKAN BIAH SOLEHAH


Beberapa hari lagi kejohanan Piala Dekan Fakulti Pengajian Islam akan berlangsung. KPD merupakan satu acara tahunan yang telah dijalankan oleh Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam(PMFPI) selaku persatuan induk di Fakulti Pengajian IslamUKM. Alhamdulillah, dengan perancangan dan usaha yang telah dilakukan oleh Exco Sukan PMFPI selaku exco yang bertanggungjawab dalam menjayakan agenda ini.

Islam sangat terbuka kepada penganutnya dalam melakukan sesuatu namun dalam keterbukaan itu ada ketetapan yang telah ditetapakan oleh Allah SWT. Sebagai contoh dalam aspek bersukan. Kita bebas melakukan aktiviti dalam bentuk kesukanan namun mestilah mematuhi apa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Dalam perncangan PMFPI untuk mempromosikan biah solehah, pada pandanagan saya KPD merupakan satu medium yang sangat sesuai dalam mempromosikan agenda ini. Terutama sekali dari segi aspek pemakaian ketika bersukan. Aspek ini sering dipandang remeh oleh segelintir masyarakat kita pada hari ini.

Saya mengharapakan semoga KPD pada sesi kali ini berlangsung dengan penuh kemeriahan disamping dapat mengeratkan lagi hubungan dikalangan pelajar FPI. Kepada Mahasiswa/I FPI jagalah adab ketika bersukan dan jadilah KPD sebagai satu wadah dalam menyampaikn dakwah kepada warga UKM.

Akhir kalam selamat maju jaya saya ucapkan kepada seluruh pasukan yang bertanding pada Kejohanan Piala Dekan pada sesi kali ini.

“Islam Pemangkin Generasi Tarbawi”

Muhammad 'Ammar bin Azlan
YDP Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam sesi 2013/2014

***************************************************



Assalamualaikum w.b.t.


Bagi membentuk sahsiah berkeperibadian muslim, antara perkara yang perlu diberi penekanan adalah dalam membentuk etika pergaulan syar'ie. Terdapat tiga perkara utama yang ditekankan dalam sahifah biah solehah iaitu : Pertama, mahasiswa/i dilarangnya berdua-duaan di dalam bilik tutorial. Kedua, menjaga adab sebagai seorang muslim ketika berkomunikasi. Ketiga, sedaya upaya menjaga ikhtilat di alam maya.

Oleh itu, pembentukan sahsiah ini sangat penting apatah lagi kita ini merupakan mahasiswa/i Fakulti Pengajian Islam yang sememangnya perlu menjadi contoh kepada sahabat-sahabat kita daripada fakulti-fakulti lain. Perlu kita sedar, banyak tuntutan agama yang perlu kita lakukan.

Bagaimanakah kita ingin gerakkan biah solehah jikalau tindakan kita sendiri boleh menyumbangkan fitnah. Apabila kita cuba untuk menjaga, InsyaAllah, Allah akan jaga segala tindakan kita daripada sebarang fitnah.

Akhir kalam, saya ingin mengucapkan tahniah kepada mahasiswa/i yang telah mendaftar sebagai ahli team biah solehah. InsyaAllah, moga kebersamaan kalian ini dapat membumikan lagi gerakan dakwah kepada seluruh masyarakat kampus di UKM yang tercinta. Sahabat-sahabat, kalian adalah pencorak biah solehah.

Ayuh!
Bersama Mengizzahkan Islam.

Husna Binti Mohmad Sakawi
Naib Yang Dipertua
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam 2013/2014.

***************************************************



TEAM BIAH SOLEHAH


Selaku badan induk pelajar bagi Fakulti Pengajian Islam ( PMFPI ) telah berusaha untuk mengembalikan suasana Islamik yang dilihat semakin pudar dan lusuh ditelan masa. Oleh hal yang demikian, PMFPI sekali lagi tampil dengan usaha yang lebih praktikal dalam memastikan suasana Islamik itu kembali mewarnai bumi ilmu ini iaitu dengan merangka projek yang dinamakan sebagai Sahifah Biah Solehah.
    
Projek Biah Solehah dijalankan di bawah pengelolaan atau kendalian Majlis Tertinggi Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) untuk memastikan seluruh warga Fakulti Pengajian Islam sentiasa berada dalam suasana Islamik. Bagi memastikan projek ini berjalan lancar, satu team biah solehah telah ditubuhkan pada sesi kepimpinan PMFPI 2013/2014 yang bertujuan melaksanakan agenda-agenda yang telah dirancang di peringkat organisasi ahli jawatankuasa pelaksana.


Bagi menggerakkan Sahifah Biah Solehah ini, Pimpinan PMFPI telah membuka tawaran dan peluang bagi sesiapa sahaja yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada Team Biah Solehah. Ini adalah sebagai suatu usaha daripada kalangan para mahasiswa agar bumi UKM ini sentiasa disinari dengan suasana Islamik dan dijauhkan daripada budaya yang tidak sihat serta bercanggah dengan syariat.

Diharapkan usaha ini mendapat sokongan dan perhatian pelbagai pihak khususnya warga UKM sendiri di samping meraih keberkatan dari yang maha Esa.InsyaAllah.

“Bersama Mengizzahkan Islam"

Exco Lajnah Tarbiyah dan Kepimpinan

Merangkap Ketua Pengarah Projek Biah Solehah.
 


:: Islam Pemangkin Generasi Tarbawi ::

***************************************************



b.i.a.h s.o.l.e.h.a.h ................................"Sayang Jika ia Hilang"


Suasana yang baik andai kita tidak pelihara, ianya pasti akan hilang jua.
Takut andai satu hari nanti,
biah itu benar-benar hilang dan tidak dapat lagi dirasai oleh seluruh penghuninya.
Mungkin ada sahabat-sahabat kita di luar yang masih keliru dan bertanya,
masih relevankah untuk kita bawa usul tersebut?
Menghidupkan suasana Islamik di bumi UKM khususnya di FPI yang amat istimewa di hati ini.
Takutkah kalian jika ia dikatakan terlalu syadid?
Tak berfikiran terbuka dan tak profesional?

Sahabat-sahabat,
Usaha mendidik manusia tidak sama dengan mencetak kertas.
Mendidik perlukan hati yang benar-benar ikhlas agar usaha itu dapat menyentuh hati sasarannya.
Mendidik juga memerlukan jiwa-jiwa segar supaya kita tidak cepat menyerah kalah.
Membawa perkara yang baik tidaklah mudah seperti yang disangka.
Namun, andai hati sudah tekad, insyaAllah kami akan terus mengorak langkah.

Kerana apa?
Kerana kami rindukan Islam diamalkan secara menyeluruh oleh penganutnya.

Kami hanya insan biasa yang berusaha kerja lebih masa untuk Islam.
Moga Allah redha.

“Islam Pemangkin Generasi Tarbawi”

Siti Khadijah binti Kamarudin
Setiausaha Agung
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam 2013/2014
Universiti Kebangsaan Malaysia


***************************************************



:: Ukhuwah ::


Jagalah hubungan dengan Allah dan Hubungan dengan Manusia. Nampak mudah tapi amat sukar. Dosa dengan Allah boleh dihapuskan dengan jalan taubat nasuha tetapi dosa sesama manusia selagi tidak diampunkan selagi itu dosa kita tidak terangkat.Ingatlah setiap perkara yang sukar ganjarannya besar disisi Allah.Bersama-samalah kita membina Ukhwah dengan menjaga hati dan perasaan setiap sahabat-sahabat kita dan kita sebarkan ukhwah kita secara meluas lagi kerana asas berdakwah adalah berkenal-kenalan dan berkasih sayang.

::Bersama Mengizzahkan Islam::

Zidni Nuran Noordin,
Setiausaha
Kempen Biah Solehah.
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam.


:: Islam Pemangkin Generasi Tarbawi ::

***************************************************



:: Berhiburlah dengan hiburan yang dibatasi Syara' ::


Secara fitrahnya, manusia mahukan hiburan. Berhibur merupakan tuntutan fitrah. Firman Allah:

Maksudnya; “Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama Allah (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui” (Surah al-Rum, ayat 30)

Nyanyian dan muzik merupakan salah satu daripada cabang seni yang utama. Ia dikenali sebagai suatu seni yang indah dan unik jika dibandingkan dengan seni-seni yang lain. Ulama berselisih pendapat berhubung hukum nyanyian dan muzik menurut syarak. Terdapat khilaf ataupun perselisihan pendapat dalam menentukan hukum bagi nyanyian dan muzik. Setiap ulama mempunyai ijtihad masing-masing berdasarkan kepada dalil-dalil serta autoriti yang dibawa dari Al-Quran dan Hadith.

Ulama kontemporari Syeikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi berpendapat bahawa nyanyian dan muzik adalah boleh secara mutlak sama ada dengan menggunakan alat muzik atau tidak kerana asal segala sesuatu adalah halal selama tidak ada nas sahih yang mengharamkannya. Walaupun adakalanya dalil itu sarih (jelas) tetapi tidak sahih atau sebaliknya sahih tetapi tidak sarih. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa keharusan nyanyian dan muzik itu selagi mana tidak melalaikan dan bukan bertujuan maksiat.

Khazanah kesenian Islam sangat luas. Hal itu wajar kerana fitrah manusia yang cenderung kepada keindahan. Islam tidak menghalang untuk berhibur. Berhiburlah selagi mana ianya dibatasi batas syarak dalam garis panduan yang dibenarkan Islam.

Muhammad Akmal Bin R.Azmi
Unit Kesenian
Kempen Biah Solehah.
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam

:: Islam Pemangkin Generasi Tarbawi ::

***************************************************



:: Biah Solehah ::


Umat Islam perlu membuat satu transformasi dengan menjadi penguasa media massa dunia. Media massa yang selama ini dicanang menjadi sebab utama kemunduran umat Islam ditransformasikan sebagai senjata utama kebangkitan umat Islam. Jika mereka boleh menggunakan media massa sebagai medium penyebaran kefahaman mereka,kenapa tidak kita? Kenapa tidak umat Islam menangkis semula seranganpemikiran ini dengan mengggunakan medium yang sama? Tambahan pula, medium ini tidak bertentangan dengan ketetapan syara’.

Zaman moden ini, dakwah melalui medium ini sangat diperlukan untuk membendung segala masalah keruntuhan akhlak yang semakin mengganas. Kalaulah konsep dakwah ini tidak digunakan dengan penuh hikmah dan halus maka kemungkinan besar, belum tentu masalah ini dapat dibendung.

Manfaatkan media massa sebagai medium dakwah termasuklah akhbar, radio, televisyen, majalah, buku, laman sosial seperti facebook, Youtube, twitter, blog,Instagram dan whatsapp kerana media massa mempunyai pengaruh yang luar biasa hebat kerana maklumat mudah diperoleh dihujung jari,

Ayuh,semarakkan,budayakan suasana yang baik,di alam nyata mahupun di media massa.

Biah Solehah 
Bersama Mengizzahkan Islam.

AFIQ GHALI
EXCO LAJNAH INFORMASI &PUBLISITI
merangkap UNIT MEDIA BIAH SOLEHAH


PERSATUAN MAHASISWA FAKULTI PENGAJIAN ISLAM.
 

No comments:

Post a Comment