Sunday, January 31, 2010

Majlis Perwakilan Pelajar FPI sesi 09/10


SEKALUNG TAHNIAH…!!!



Tahniah buat MPP Fakulti Pengajian Islam bagi Tahun 3 sesi 09/10
Saudara Nik Ahmad Shafie bin Raja Daud
Mahasiswa Tahun 3, Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan,
Fakulti Pengajian Islam.



Tahniah buat MPP Fakulti Pengajian Islam bagi Tahun 1 dan 2 sesi 09/10
Saudara Mohd. Zaim Juwaidi bin Jamaluddin
Mahasiswa Tahun 2, Jabatan Usuluddin dan Falsafah,
Fakulti Pengajian Islam.

Saturday, January 30, 2010

Syafaat penyelamat di akhirat

Perkara-perkara yang menyebabkan datangnya syafaat

1. Berpegang pada tauhid dan ikhlas beribadat kepada Allah s.w.t

Sabda rasulullah s.a.w : Orang yang paling bahagia dengan syafaatku pada hari kiamat ialah orang yang mengucapkan : La ilaha illallah dengan tulus ikhlas dari hatinya atau jiwanya.
(H.R Bukhari)

2. Membaca Al-Quran

Sabda Rasulullah s.a.w : Bacalah al-Quran kerana sesungguhnya ia akan datang pada hari kiamat sebagai syafaat kepada para pembacanya.
(H.R Muslim)

3. Berpuasa

Sabda rasulullah s.a.w : Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan (pahala daripada allah), maka diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.
(H.R Ahmad)

4. Membaca doa setelah azan

Sabda Rasulullah s.a.w : Tidak akan ditolak doa antara azan dan iqamat.
(H.R. Ibnus suni)

5. Bersabar tinggal di Madinah dan meninggal dunia di dalamnya.

Terdapat syafaat bagi mereka yang menetap di Madinah al –Munawwarah dan bersabar dengan ujian sewaktu berada di sana.

6. Berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w

Sabda Rasulullah s.a.w : Manusia yang paling berhak dengan (syafaat)ku pada hari kiamat adalah mereka yang paling banyak berselawat ke atasku.
(H.R.At-Tarmidzi)

7. Jenazah orang yang disolatkan oleh 40 orang jemaah

Sabda Rasulullah s.a.w : Tiada seorang mayat pun yang disolatkan oleh kaum muslimin yang mencapai jumlahnya sehingga 100 orang, kesemua mereka memberikan syafaat kepadanya, melainkan syafaat mereka diterima untuknya.
(H.R. Muslim daripada Aisyah)

8. Banyak bersujud

Abu hurairah berkata : Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda : Bagaimana pendapatmu jika ada sebuah sungai mengalir berhampiran pintu salah seorang kamu. Kamu mandi daripadanya setiap hari lima kali. Adakah sesuatu kotoran yang masih tersisa? Mereka menjawab : Tidak ada suatu kotoran pun yang tersisa padanya. Baginda bersabda : begitulah perumpamaan solat lima waktu. Allah menghapuskan kesalahan-kesalahan dengan solat lima waktu itu.
(H.R. Bukhari dan Muslim)

9. Berbaik-baik dengan sesama muslim

Firman allah s.w.t : Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan dalam membuat kebajikan dan janganlah kamu bertolong-tolongan dalam membuat dosa dan permusuhan.
(Al-maidah : 2)

Sumber : Syafaat Penyelamat Umat Di Akhirat
susunan Ahmad Muhammad

Wednesday, January 27, 2010

Fa'tabiruu ya uli al-absor

"Aduh..letihnya!" ungkapan yang paling banyak meniti di bibir para peserta larian satu malaysia yang diadakan pada 24 januari 2010. Setelah berlari menaiki bukit dan menuruni cerun,dan adakalanya berjalan kaki sahaja,akhirnya berjaya juga para peserta menamatkan larian tersebut.

Larian sejauh itu memanglah payah untuk ditamatkan. Jika berlari seorang diri pastinya kita tak sanggup.Namun memandangkan larian tersebut adalah secara beramai-ramai,maka kita akan terdorong untuk turut berlari. Ini adalah signifikan kepada perjuangan kita dalam hidup ini. Samaada perjuangan sebagai khalifah Allah di muka bumi,sebagai anak yang taat,mahupun sebagai seorang penuntut ilmu yang setia. Walau sesukar mana pun perjuangan ini, selagimana kita berada dalam satu barisan yang teguh,maka kita perlu terus berjuang.Kita sebenarnya adalah menjadi penguat dan pendorong antara satu sama lain dalam berjuang sepertimana pesan junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w bahawa orang-orang Islam itu adalah umpama satu bangunan yang mana sebahagiannya adalah menjadi penguat kepada sebahagian yang lain. Oleh itu, kekalkanlah dan teguhkanlah saff kita. Ayuh bersama kita bergerak ke hadapan demi mencapai matlamat perjuangan kita yang satu dan jitu.

Kita terasa amat payah untuk melangkah menaiki bukit sepanjang larian tadi, ini adalah kerana kita bergerak melawan tekanan dari atas. Ini mengingatkan kita pada rentak perjuangan kita dalam hidup ini, adakalanya kita terasa amat sukar dan terbeban dalam usaha kita mendaki puncak kejayaan. Namun,itulah hakikat hidup. Kita perlu melalui segala kepayahan dan kesukaran dalam berjuang.Berbekalkan kesungguhan dan sifat Ar-Rahman Allah s.w.t,insyaallah kita akan mampu mendaki puncak kejayaan.

Apabila menuruni cerun bukit pula kita terasa amat mudah.Seolah-olah dengan sendirinya kita tertolak ke bawah. Ini menyifatkan bahawa sebenarnya amat mudah untuk kita terjatuh ke bawah setelah kita berada di atas. Dalam kata lain,sekiranya kita alpa dan leka,maka kejayaan yang kita genggam pada hari ini akan hilang sekelip mata. Oleh itu,apabila memperolehi kejayaan kita seharusnya bersyukur dan tetap berasa rendah diri serta meningkatkan lagi ibadah kita kepadanya. Kita khuatir jika kejayaan yang kita kecapi pada hari ini adalah satu Istidraj kepada kita.Nauzubillah.

Apa yang boleh dirumuskan di sini,ialah:

1. Kita selaku umat islam mestilah bersatu dan bergerak seiringan dalam merealisasikan matlamat kita. Sikap mementingkan diri tanpa membimbing sahabat-sahabat yang lain ke arah kejayaan dunia akhirat adalah tidak wajar. Semoga kita tergolong dalam golongan yang beruntung iaitu yang beriman,beramal soleh dan saling berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran.Di sinilah sebenarnya kunci kekuatan kita.

2. Kita harus sedar bahawa perjuangan atau perjalanan kita untuk menjadi khalifah di muka bumi Allah ini bukanlah mudah. Terlalu banyak onak duri yang perlu kita tempuh. Namun, teruskanlah berusaha dan mohon pertolongan Allah s.w.t. yang Maha Kuasa dan Maha Menentukan setiap sesuatu.

3. Apabila mencapai atau mendapat sesuatu kejayaan,kita perlu bersyukur disamping menginsafi diri kita. Kita tidak seharusnya terlalu mudah menjadi alpa dan membangga diri. Kelebihan yang kita miliki perlulah dikongsi dan dicurah untuk manfaat bersama.

Semoga kita semua menjadi pejuang-pejuang Allah yang sentiasa diberi petunjuk dan kekuatan dalam misi kita untuk menegakkan agama Allah di muka bumi.Insyaallah.

Monday, January 25, 2010

ANNUAL GRAND MEETING PMFPI

Dewan Kuliah 3F 202 FSSK, 14 Jan - Satu persidangan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (AGM PMFPI) kali yang ke- 36 telah berlangsung dengan kehadiran seramai lebih kurang 100 orang untuk menghangatkan lagi persidangan. Mesyuarat agung tahunan telah dirasmikan oleh ayahanda penasihat, YBhg. Prof. Idris Zakaria.

Selepas ucapan perasmian, majlis diteruskan lagi dengan sesi sidang mesyuarat yang dipengerusikan oleh sdr Mahfuzan Gaddafi Mahmud. Kemudian pembentangan laporan Majlis Tertinggi dan Pejabat Setiausaha PMFPI 08/09 yang dibentangkan oleh sdri Norshahrina Abd Rahim selaku setiausaha agung PMFPI sesi 08/09. Kemudian diteruskan lagi dengan pembentangan laporan bendahari agung PMFPI oleh sdri Halimatus Saadiah Kariya.

Akhirnya, bermulalah sesi pembubaran dan perlantikan pimpinan baru untuk meneruskan lagi perjuangan PMFPI . Taklifan pimpinan 08/09 telah pun berakhir dan diganti dengan tampuk pimpinan yang baru. Moga Allah permudahkan setiap urusan pimpinan baru. Kabinet baru bagi PMFPI untuk sesi 2009/2010 ialah :

Yang DiPertua : Amir Hakimi bin Awang Bakar ( Q/S 2 )

Timb.YDP : Mohd Syafid Bin Abu Bakar ( USUL 2 )

NYDP 1 : Ahmad Saharudin bin Abdullah (SYA 1 )


NYDP 2 : Noor Hiluani Bt Shafie ( DAK 2 )


Setiausaha : Fairuz bt Abdul Rasid ( DAK 2 )


Timb.setiausaha : Maisya Azila bt Ismaon ( SYA 1 )


Bendahari : Mohd Syafiq bin Akmal ( SYA 2 )


Timb.Bendahari : Nik Norimah bt Tuan Mat ( JPATI 1 )


Exco Tarbiyah dan Kepimpinan : Mohd Khalis bin Mohd Arifin ( DAK 2 )


Timb.exco Tarbiyah dan Kepimpinan : Suhazlinda bt Ghazali ( JPATI 1 )


Exco Akademik : Mohd Anasrul bin Mohd Izazi ( DAK 1 )


Timb.exco akademik : Noor Faeza bt Abd Rahman ( USUL 2 )


Exco Kebajikan : Anaz Fahmi bin Md Isa ( USUL 1 )


Timb.exco Kebajikan : Rohanizan bt Abd Ghani ( JPATI 1 )


Exco BHES : Nurul Asyikin bt Mohd Basir ( SYA 2 )


Timb.exco BHES : Tg Farah Nadia bt Tg Zakaria ( JPATI 1 )


Exco Hubungan Luar & Pengintegrasian : Mohd Hamdi bin Husin ( USUL 1 )


Timb.exco Hubungan Luar : Siti Naimah Farhanah bt Yunus ( SYA 2 )


Timb.exco Ekonomi & Kerjaya : Noor Hazwani bt Mohd Azmi ( DAK 1 )


Exco Informasi & Penerbitan : Muhammad Mustafa 'Adil bin Zainol Azhar( JPATI 1 )


Timb.exco Informasi & Penerbitan : Adie' Herryzieyantie bt Abd Gair ( SYA 1 )


Exco Kesenian & Kebudayaan : Abd Khalil bin Ferdos ( Q/S 2 )


Timb.exco Kesenian & Kebudayaan : Atikah bt Salleh ( DAK 1 )


Exco Sukan & Rekreasi : Redzuan bin Ramli ( USUL 1 )


Timb.exco Sukan & Rekreasi : Nur Azizah bt Najib ( DAK 1 )

Untuk sesi 09/10 ini, pimpinan PMFPI akan membawakan 3 usul yang telah dipersetujui oleh semua ahli yang hadir pada malam itu iaitu :

1) memperkasakan Majlis Eksekutif PMFPI

2) membentuk skuad amar makruf nahi mungkar

3) mewujudkan speach corner di FPI.

Semoga pimpinan dapat melaksanakan amanat yang telah diberikan dengan sebaik mungkin dan 3 usul yang telah dikemukakan dapat dilaksanakan.

MAKLUMAN PENTING!!!

"Buat seluruh Mahasiswa/wi FPI...selamat PILIHANRAYA KAMPUS..moga sahabat2 dpt membuat pilihan yang tepat dan terbaik..

Sunday, January 24, 2010

MENYELAMI ALAM CIPTAAN TUHAN


Kita sememangnya yakin alam yang maha luas dan besar ini bukanlah terjadi dengan sendirinya. Mustahil sesuatu itu terjadi dengan sendirinya melainkan ada yang menciptanya. Dan pencipta alam seluruhnya ini ialah ALLAH Tuhan bagi mereka yang bertaqwa.

Kita meyakini bahawa Allah s.w.t. bukan sahaja semata-mata mencipta bahkan mengatur pula perjalanan alam seluruhnya. Allah lah yang memutarkan bumi dan bulan pada paksi dan orbitnya, menjadikan matahari bersinar, bulan bercahaya dan sebagainya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Katakanlah: Siapakah yang memberi rezeki kepadamu dari langit dan bumi, atau siapakah yang kuasa (menciptakan) pendengaran dan penglihatan, dan siapakah yang mengeluarkan yang hidup dari yang mati dan mengeluarkan yang mati dari yang hidup, siapakah yang mengatur segala urusan? Maka mereka akan menjawab: Allah. Maka katakanlah: Mengapa kamu tidak bertaqwa (kepada-Nya)?(Yunus : 31)

PERLINDUNGAN ALLAH

Allah s.w.t. bukan sahaja mencipta dan mengatur alam sahaja, malah melindunginya juga. Tanpa perlindungan-Nya maka alam tidak mungkin dapat bertahan selama berjuta abad sebagaimana yang kita dapat saksikan pada hari ini. Tanpa perlindungan Allah, tidak mungkin ada kehidupan di atas muka bumi ini.

Untuk mengetahui betapa hebatnya perlindungan Allah maka mari kita perhatikan perkara berikut:

Putaran bumi

Kita semua dapat hidup di atas muka bumi ini kerana bumi berputar di atas paksinya dalam tempoh 24 jam sehari. Cuba bayangkan sekiranya bumi ini tidak berputar, mustahil kita dapat hidup dengan aman dan sentosa di permukaan bumi.

Dari putaran inilah terjadinya siang dan malam. Permukaannya yang menghadap matahari akan mengalami siang manakala permukaan yang membelakangkan matahari akan menjadi malam. Seandainya bumi tidak berputar maka sudah tentu bahagian yang menghadap matahari akan menjadi siang selama-lamanya hingga hari kiamat dan begitulah sebaliknya.

Apakah yang akan terjadi sekiranya siang berlaku terus menerus? Sudah pasti keadaan udara dan hawa dari saat ke saat, dari minit ke minit dan dari jam ke jam akan menjadi bertambah panas. Dalam tempoh 100 jam sahaja udara akan mencapai takat didih 100ºC sehingga lautan, tasik, danau, sungai dan sebagainya akan mendidih dan menggelegak. Cuba anda bayangkan apa yang akan terjadi sekiranya seluruh sungai, danau dan samudera mendidih airnya? Begitu juga darah yang mengalir di dalam tubuh kita juga turut mendidih. Dalam keadaan sedemikian, tidak ada satu pun makhluk yang dapat hidup. Semuanya akan mati dan musnah menjadi debu-debu yang berterbangan.

Apa pula yang akan terjadi sesudah 100 jam atau 1000 jam berikutnya? Bukan sahaja semua ini akan mendidih, bahkan semua permukaan bumi ini sama ada benda-benda pepejal atau sebagainya, akan menjadi bara api yang tersangat panas. Ketika itu, bukan setakat manusia sahaja akan mati terbakar malahan bumi ini sendiri akan terbakar menjadi debu dalam sekelip mata sahaja.

Kemudian apa pula yang akan terjadi sekiranya waktu malam berlaku terus menerus sehingga hari kiamat? Hawa dan udara dari saat ke saat dan seterusnya dari jam ke jam akan terus bertambah dingin sehingga dalam tempoh 100 jam sahaja akan mencapai takat 0ºC sehingga seluruh air dan benda yang cair akan membeku menjadi ais yang pejal dan keras. Mungkin di saat itu, manusia dan binatang-binatang masih dapat hidup seperti keadaan di Kutub Utara dan Selatan. Namun begitu, bagaimana pula keadaannya sesudah 100 jam atau 1000 jam berikutnya? Apabila udara dan suhu menjunam turun ke bawah paras 0ºC maka sudah pasti akan lenyaplah segala kehidupan di muka bumi ini.

Kedua-dua ibarat ini harus kita fikirkan sedalam-dalamnya untuk melihat betapa hebatnya kekuasaan Allah dan juga perlindungan-Nya yang diberikan untuk kehidupan setiap makhluk khasnya kita sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran yang sempurna. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Katakan pula, bagaimanakah pendapat kamu sekiranya Allah menjadikan siang terus menerus sampai hari kiamat? Siapakah selain Allah yang akan mendatang malam kepadamu yang kamu dapat beristirehat padanya? Maka apakah kamu tidak memperhatikannya? Dan kerana rahmatnya-Nya, Dia jadikan untuk kamu malam dan siang supaya kamu beritirehat pada malam itu dan supaya kamu mencari sebahagian dari kurniaan-Nya (pada siang hari) dan agar kamu bersyukur kepada-Nya. (Al-Qasas: 72-73)

Dengan adanya putaran bumi siang dan malam maka keadaan hawa di permukaan bumi ini menjadi seimbang dan sederhana iaitu tidak terlalu panas dan tidak terlalu dingin. Sehingga manusia, haiwan-haiwan dan tumbuh-tumbuhan dapat hidup dengan selesa di permukaan bumi ini.

Ya... semamangnya kita harus renungkan siapakah lagi selain Allah yang dapat memutarkan bumi sebesar ini? Iaitu planet yang berukur lilit 40,003 km dan beratnya beribu-ibu juta tan itu. Perkara ini hendaklah kita fikirkan sedalam-dalamnya. Seterusnya hendaklah kita selalu mengingati dan berterima kasih kepada Allah s.w.t. Janganlah kita sekali-kali menjadi orang-orang yang seakan-akan tidak mendengar dan melihatnya sedangkan kita mempunyai telinga, mata dan akal untuk bersyukur memuji-Nya.

Peredaran Bumi Mengelilingi Matahari

Selain daripada berputar atas paksinya, bumi juga berputar mengelilingi matahari dalam lingkaran orbitnya yang amat luas. Ingatlah bahawa jarak antara bumi dengan matahari adalah 149,000,000 km dan putarannya mengambil masa selama 365¼ hari iaitu setahun mengikut perkiraan kita.

Semasa beredar mengelilingi matahari, bumi akan berputar di atas paksinya dalam berkeadaan condong. Maka sesetengah negara yang terletak jauh dari garisan khatulistiwa akan lebih terdedah kepada cahaya matahari lalu jadilah musim panas ataupun kurang menerima cahaya matahari lalu jadikan musim sejuk. Sebagai akibat daripada pergantian musim ini terjadilah pelbagai jenis tumbuhan dan buah-buahan di permukaan bumi ini yang menjadi nikmat dan hikmah yang amat besar kepada seluruh kehidupan di muka bumi.

Begitulah keadaannya dari semasa ke semasa dan silih berganti tanpa henti-henti sehingga hari kiamat... akibat peredaran bumi di sekeliling matahari. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

... Dan engkau lihat bumi ini kering tetapi setelah kami turunkan air (hujan) padanya, ia menjadi lembut dan subur dan menumbuhkan pelbagai macam tumbuhan dan buah-buahan yang cantik dan lazat. (Al-Hajj: 5)

Firmannya lagi yang bermaksud:

Dan kami hamparkan bumi itu dan kami letakkan padanya gunung-ganang yang kukuh dan kami tumbuhkan padanya segala macam tanaman yang indah dipandang mata. (Qaaf: 7)

Jarak Di Antara Bumi Dengan Planet-Planet Lain

Kita sudah pun mengetahui jarak di antara bumi dengan matahari dan semamangnya telah dapat dibuktikan menerusi sains dan nas-nas Al-Quran bahawa jika jarak itu berubah sedikit sahaja maka terjadilah kerosakan yang amat dahsyat di bumi.

Sekiranya bumi mendekati matahari dengan kadar lebih atau kurang dari jarak yang sedia ada sekarang maka sudah pasti akan berlaku mala petaka dan bencana-bencana alam yang tidak terkira dahsyatnya. Begitulah juga bulan dan planet-planet lain, sekiranya terkeluar sedikit dari orbitnya sama ada terlebih atau terkurang nescaya akan berlanggaran antara satu sama lain.

Jarak tertentu yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. bagi bumi di tengah-tengah angkasa raya dan cakerawala-cakerawala ini merupakan perlindungan-Nya yang sangat besar faedah dan manfaatnya kepada seluruh kehidupan di muka bumi. Lebih-lebih lagi untuk kehidupan dan kesejahteraan hidup manusia. Semuanya ini harus kita renungkan. Jangan sekali-kali kita gunakan akal dan fikiran semata-mata untuk perkara-perkara yang kecil dan remeh sahaja seperti soal makan, pakaian, perhiasan dan sebagainya. Mengapa kita tidak gunakan keupayaan sebenar akal yang dikurniakan Tuhan iaitu untuk merenung alam ciptaan-Nya seterusnya mendatangkan kesedaran, keyakinan dan kegerunan kepada kebesaran Allah s.w.t. Ini selanjutnya dapat membina sikap dan akhlak yang sentiasa bertunjangkan ajaran Islam dan syariatnya. Menggunakan akal sedemikian barulah memberi faedah yang sebenar-benarnya kepada manusia yang membawa kepada kebahagiaan hidup dan jauh daripada amalan atau perbuatan yang merosakkan. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Ketahuilah bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak... Dan kehidupan dunia ini tidak lain hanyalah kesenangan yang menipu. (Al-Hadid : 20)

Jika kita renungkan sedalam-dalamnya bahawa setiap bintang dan palnet itu bebas bergerak di angkasa raya, bergerak dan berputar dari abad ke abad, masing-masing tetap pada jaraknya yang tertentu maka sedarilah betapa hebatnya kukuasaan Allah s.w.t. dalam mengatur segalanya sehingga saling tidak berlanggaran. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Matahari berjalan di tempat yang ditetapkan baginya. Demikianlah Allah Yang Maha Gagah Lagi Maha Mengetahui. Sedangkan bulan kami tentukan baginya tempat yang tertentu sehingga ia kembali berbentuk seperti pelepah kurma yang kering (bulan sabit). Tiadalah matahari mendekati bulan dan tidak pula malam mendahului siang sedang semuanya beredar pada garis edarannya (orbit). (Yassin : 38-40)

Air Laut Yang Masin

Hampir ¾ bumi ini diliputi air. Di mana 97% daripadanya merupakan samudera yang luas dipenuhi air dengan rasanya yang masin. Pada waktu siang dan malam, berjuta-juta tan bahan buangan dan kotoran dibuang dan dilemparkan ke dalam laut. Jika sekiranya air laut itu tidak masin, sudah tentu kotoran itu akan mengeluarkan bau yang amat busuk sehingga dalam beberapa waktu sahaja air laut akan menjadi tersangat busuk. Bagaimanakah keadaan ketika itu? Kita tidak mampu menggambarkan apa yang bakal terjadi, hanya Allah-lah Yang Maha Mengetahui. Sekurang-kurangnya tertentu ia akan merosakkan kesihatan penghuni bumi ini.

Terciptanya air yang masin ini akan menjadi bukti betapa Allah s.w.t. melindungi segala kehidupan di permukaan bumi ini. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan Dialah yang membiarkan dua laut mengalir (berdampingan), laut yang tawar lagi segar dan laut yang masin lagi pahit. Dan Dia jadikan diantara kedua-duanya dinding dan batas yang menghalangi. (Al-Furqan : 53)

Laut (air) tawar yang dinyatakan di dalam ayat di atas adalah terdiri daripada sungai, danau, tasik dan sebagainya yang sekalipun berdekatan dengan laut namun ia tetap tidak bercampur dengan air masin. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Maka terangkanlah kepada-Ku tentang air yang kamu minum. Kamukah yang menurunkannya dari awan ataukah Kami yang menurunkan? Kalau kami kehendaki nescaya Kami jadikannya masin, maka mengapakah kamu tidak bersyukur? (Al-Waqiah: 68-70)

Andainya perlindungan Allah s.w.t. kepada makhluk-Nya kita selidiki, kaji, ulas dan bahas maka sudah pasti ianya tidak akan tamat malahan jika ditulis ia akan menjadi jilidan buku yang tebalnya melebihi tinggi langit dan bumi.

Manusia yang celik mata hatinya dan peka pancainderanya akan mengakui bahawa walau secerdik mana manusia dan setinggi mana ilmu pengetahuannya, mereka tetap tidak mampu menlindungi diri mereka sendiri tanpa bantuan dan perlindungan Allah, lebih-lebih lagi apabila berhadapan dengan bencana alam seperti letupan gunung berapi, taufan, ombak besar (tsunami), gempa bumi dan banyak lagi Maha Suci Allah betapa kerdilnya manusia dan betapa perkasanya Engkau.

KETERBATASAN ILMU MANUSIA


Bagaimana hebatnya ilmu pengetahuan yang telah dicapai dan yang akan dicapai oleh manusia, namun ianya masih sedikit sekali jika dibandingkan dengan besar dan luasnya alam semesta yang masih belum banyak diketahui dan diterokai oleh manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
Dan tidaklah kamu diberi ilmu pengetahuan kecuali sedikit. (Al-Isra :85)

Tidak perlu kita perhatikan terlalu jauh, cukup dalam diri kita sendiri. Ada sesetengah pihak yang mengkaji tentang nyawa tetapi sehingga sekarang masih belum juga ditemui apakah hakikat nyawa itu. Bagaimana bentuk dan rupanya? Adakah ia seperti air, udara atau... hanya Allah sahaja Yang Maha Mengetahui. Sedangkan tentang diri sendiri pun banyak lagi yang kita tidak ketahui, inikan pula tentang bumi, planet-planet dan ruang angkasa, sekalipun ilmu pengetahuan manusia pada zaman teknologi maklumat ini lebih maju dan terkehadapan berbanding ilmu pengetahuan di zaman silam.

Apabila kita melihat langit, kita dapati ia kelihatan begitu dekat seolah-olah beberapa kilometer sahaja. Akan tetapi setelah ada manusia naik ke bulan maka didapatinya langit itu masih juga jauh. Sehinggakan planet yang terjatuh dari kelompok matahari iaitu Pluto, di sana juga masih terdapat langit. Ya... betapa luasnya alam maya ciptaan Tuhan.

Sejauhmana tinggi sekalipun ilmu pengetahuan seseorang namun ia tidak mampu menerangkan atau akalnya tidak memahami bagaimana sebenarnya rahsia perkembangan sebuah sel yang begitu halus yang bercantum sehingga menjadi makhluk berbentuk manusia, binatang atau tumbuhan. Ilmu yang dikurniakan Allah kepada manusia adalah sangat sedikit diibaratkan jika kita ambil sebatang jarum lalu kita celupkan ke dalam laut lantas diangkat semula maka air yang terlekat di jarum itulah umpamanya pengetahuan manusia, sedangkan air laut yang masih tinggal di samudera luas adalah umpama luasnya pengetahuan Allah.

Bagi mengelakkan hati kita daripada mati, mata daripada buta dan telinga daripada tuli maka marilah kita menyelami alam semesta ciptaan Tuhan supaya kita tergolong ke dalam golongan yang disebut oleh Allah melalui firman-Nya yang bermaksud:

Allah telah mengunci mati hati dan pendengaran mereka (dari petunjuk dan nasihat), dan penglihatan mereka ditutup (daripada mendapat pengajaran dari al-Quran dan alam semesta). Dan bagi mereka seksa yang amat berat. (Al-Baqarah : 7)

Seluruh alam yang dapat kita lihat dengan mata kasar adalah terdiri dari kelompok matahari kerana mataharilah yang menjadi induk dan terpenting. Marilah kita renungkan saban hari apabila sang suria memancarkan sinarnya, alam semesta akan menjadi terang benderang. Apabila sang suria beradu di ufuk barat, pada mulanya cahaya kelihatan samar-samar kemudian seluruh alam gelap gelita. Apabila malam terus merangkak, sang bulan pula muncul dan bercahaya dengan dihiasi bintang-bintang yang berkelipan, namun ia tetap tidak dapat menyamai siang yang terangnya diberikan oleh matahari.

Apabila kita pada suatu malam berkunjung ke tepi pantai dengan langit yang cerah dan melihat ke lautan yang luas, kita akan dapat menyaksikan sendiri betapa hebat dan luasnya alam semesta raya ini. Lautan terdampar luas di hadapan kita dengan riak dan gelombangnya yang tidak pernah membosankan, sedang di angkasa raya bertaburan berjuta-juta bintang kecil dan besar dengan sinarnya yang berkedip-kedipan sampai ke mata kita. Ketika dan saat itu, kita dapat rasakan betapa tenangnya jiwa dan perasaan kita tambahan pula diiringi oleh hembusan bayu malam yang dingin. Tiada seorang pun yang tidak merasai kagum dan terpesona melihat keindahan alam di waktu malam yang indah dan permai itu.

Apabila kita melihat ke angkasa dengan kasar, kita hanya dapat menyaksikan sebahagian kecil sahaja alam semesta kerana keupayaan mata kita terbatas. Apabila kita memandang ke angkasa raya dengan menggunakan teleskop maka kita akan menjadi lebih kagum. Angkasa raya terbukti seribu kali lebih hebat dari apa yang dapat kita saksikan dengan mata kasar.

Sememangnya kita sebagai manusia haruslah memikirkan kejadian dan keadaan alam cakerawala yang maha luas ini. Sudah pasti manusia yang merasa kagum terhadap kehebatan dan keluasan alam semesta ini, akan merasai lebih kagum lagi tentang kebesaran Allah yang menciptakannya. Jika masih ada lagi manusia yang kagum dengan alam semesta tetapi tidak kagum langsung terhadap penciptanya maka itulah manusia yang disifatkan Allah lebih hina daripada haiwan lantaran mensia-siakan akal fikiran kurniaan Tuhan.

Ini baru setakat perbicaraan tentang luas dan jarak planet di antara planet-planet yang lain, belum lagi membicarakan susunan dan peredaran bintang-bintang di angkasa raya. Sekiranya kita benar-benar mengkaji dan menyelidik kemudian mencatatkan segalanya tanpa tertinggal walau satu pun nescaya tidak akan cukup samudera yang luas pada pandangan kita ini sebagai dakwat dan tidak cukup seluruh ranting dan dahan kayu untuk dijadikan pena. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat (ilmu) Tuhanku, maka akan habislah lautan ini sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula). (Al-Kahfi: 109)

Jika di bandingkan dengan alam cakerawala yang maha luas ini, bumi adalah ibarat debu yang halus sahaja. Jika bumi merupakan debu, maka air laut yang ada di muka bumi ini hanyalah berupa ¾ debu, tentu sahaja tidak cukup untuk mencatat alam semesta yang luas dan banyak itu. Inilah kekaguman terhadap kehebatan dan luasnya alam semesta ciptaan Tuhan yang tidak dapat dinafikan oleh setiap manusia yang mempunyai akal.

Manusia yang merupakan satu unit daripada alam semesta ini tidak kurang juga keajaibannya tersendiri. Jika kita mengkaji sel-sel dalam tubuh badan manusia seperti kromosom maka kita akan dapati bahawa di dalam kromosom terdapat pula gen yang tersangat halus yang akan membawa perwarisan sesuatu keturunan kepada generasi yang akan datang. Untuk melihat sel ini kita perlu menggunakan mikroskop atau mikroskop elektron. Cuba anda bayangkan betapa telitinya Allah s.w.t. mengatur segala kejadian di alam ini. Kesemuanya ini menimbulkan kehairanan dan pertanyaan kepada setiap sarjana-sarjana sains. Apakah yang sebenarnya ada di sebalik keanehan dan keajaiban itu? Mungkinkah keanehan itu sendiri yang melahirkan keanehan tersebut? Walau apa sekalipun, pasti ada pencipta segala keanehan itu. Ya... sudah pasti. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan di bumi itu terdapat tanda-tanda (kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang yakin, dan (juga) pada dirimu sendiri. Maka apakah kamu tidak memperhatikan? (Az-Zariyat: 20-21)

Cuba kita perhatikan bakteria pula. Bukan sahaja ia merupakan makhluk yang sangat halus, malahan mempunyai pelbagai bentuk pula. Ada yang berbentuk bulat (coccus), ada yang leper (becillus), ada yang panjang (spirillium) dan bermacam-macam lagi, hanya orang-orang yang mengkaji sahaja yang mengetahui. Rasanya jika ahli-ahli sains itu insaf terhadap kejadian-kejadian seumpama ini, maka tentunya mereka akan beriman dan iman mereka pasti lebih kukuh terhadap Allah s.w.t. berbanding orang lain.

KEJADIAN MANUSIA ADALAH NIKMAT

Lazimnya, sesudah memikirkan segala kejadian alam semesta dan keagungan Allah yang menciptakannya, akhirnya kita akan kembali memikirkan kejadian diri kita sendiri. Kita tercipta daripada ibu bapa kita dan sekiranya ibu bapa tiada atau salah seorangnya tiada, tentu sahaja kita tidak mungkin dilahirkan ke dunia ini.

Cuba kita renung dan fikirkan, bagaimana kiranya kita tidak ada, tidak pernah ada, tidak tertulis di Loh Mahfuz atau tidak pernah dilahirkan ke dunia. Jika tidak mencipta kita sudah pasti kita tidak ada. Jika kita tidak ada, sudah tentu kita tidak mengetahui adanya alam semesta yang luas ini. Tentu kita tidak kenal matahari dan bulan, tidak kenal manisnya gula, lazatnya makanan dan hidangan. Kita juga tentunya tidak dapat merasakan indahnya rasa kasih sayang, cinta dan tentunya saat-saat bahagia tidak mungkin kita rasai.

Syukur, alhamdulillah, kini kita telah ada dan wujud. Kita sudah dapat menyaksikan keindahan alam maya, dapat melihat pelbagai warna dan pemandangan, melihat sang suria, bulan dan bintang-bintang yang menghiasai segala ruang angkasa. Kita sudah dapat menikmati pelbagai makanan dan hidangan yang lazat dan enak. Kita juga telah dapat merasai betapa indahnya belaian kasih sayang, cinta dan saat-saat kebahagiaan. Seterusnya kita dapat mengenali siapa pencipta kepada semuanya ini termasuk alam yang maha luas ini. Lalu kita dapat menikmati kasih dan sayang-Nya serta bernaung di bawah lindungan dan rahmat-Nya. Inilah sebenarnya nikmat terbesar yang telah Allah kurniakan kepada kita. Kita seharusnya menggandakan rasa kesyukuran dan berterima kasih kepada Allah kerana bukan sahaja telah menjadikan kita, bahkan telah memilih kita menjadi umat-nya yang beriman dan diberikan petunjuk dan hidayah-Nya. Sehingga kita dapat mengenali Pencipta kepada alam semesta ini yang begitu indah dan teliti sekali.

KESIMPULAN

Oleh itu, kita sebagai insan yang telah diberi panduan hidup iaitu ajaran Islam yang berasaskan al-Quran dan sunnah, haruslah memikirkan dengan sedalam-dalamnya di dalam hati dan sanubari kita tentang kekuasaan Allah dan sifat Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang-Nya yang amat luas ini. Kita hendaklah selalu mengingati dan berterima kasih kepada-Nya. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan terhadap nikmat Tuhanmu maka hendaklah kamu menyebut-nyebutnya (dengan bersyukur). (Ad-Dhuha:11)

Janganlah kita termasuk di dalam golongan mereka yang lalai dan langsung tidak bersyukur kepada Penciptanya yang Maha Agung. Segala pujian hanya bagi Allah Tuhan semesta alam. Dari Allah kita datang dan kepadanya-Nya jua kita kembali.



Susunan: Mohd Zamir bin Bahall

Tuesday, January 12, 2010

AGM PMFPI

p/s : sahabat2 FPI tahun 1,2,&3 FPI diwajibkan hadir untuk bersama2 menjayakan mesyuarat tersebut

Wednesday, January 6, 2010

Membetulkan niat menuntut ilmu

Oleh : Ustaz Mohd Asri Zainul Abidin

Sabda Nabi SAW:

عَنْ كَعْبِ بْنِ مَالِكٍ t قَالَ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ r يَقُولُ: مَنْ طَلَبَ الْعِلْمَ لِيُجَارِيَ بِهِ الْعُلَمَاءَ أَوْ لِيُمَارِيَ بِهِ السُّفَهَاءَ أَوْ يَصْرِفَ بِهِ وُجُوهَ النَّاسِ إِلَيْهِ أَدْخَلَهُ اللَّهُ النَّارَ.

Maksudnya :

"Daripada Ka'ab bin Malik r.a, katanya : Aku mendengar RasululLah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang menuntut ilmu (agama) untuk menyaingi ulama, atau berbahas dengan orang jahil, atau supaya dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya, maka Allah masukkan dia ke dalam neraka." (Riwayat al-Tirmizi, Ibn Majah daripada Ibn 'Umar, al-Hakim daripada Jabir bin 'Abdillah. Al-Hakim mensahehkannya dan disetujui oleh al-Zahabi. Lihat : Al-Mustadrak 1/272, cetakan Dar al-Ma'rifah, Beirut. Ada perselisihan dalam menentukan kedudukan hadith ini, namun hadith ini mempunyai syahid (pembuktian daripada riwayat lain) yang menjadikannya pada darjah sahih.)

Tujuan menuntut ilmu agama adalah untuk keluar dari kejahilan demi mencari kebenaran dan berpegang kepadanya. Juga untuk menegakkan kebenaran dan membelanya. demikian tugasan dan tanggungjawab taalib al-'Ilm dan ulama' (ahl al-'Ilm). Menuntut ilmu adalah ibadah dan ianya membawa insane muslim ke syurga. Namun ada di kalangan manusia golongan yang ingin bermegah-megah dengan ilmu agamanya, bukan untuk kebenaran tetapi sekadar untuk menaikan diri dan kedudukannya sahaja. Dalam hadith ini disebut tiga niat buruk yang menyebabkan penuntut ilmu agama dihumban ke dalam neraka.

Pertama : Liyujaariya bihi al-'Ulama' - iaitu untuk bersaing dengan ulama.

Kata al-Imam Ibn Athir (wafat 606H) : "maksudnya ialah untuk dia bersama ulama di dalam perbahasan dan perdebatan bagi menzahirkan ilmunya kepada orang ramai dengan tujuan riya' dan sum'ah (inginkan kemasyhuran). (Ibn al-Athir, al-Nihayah fi gharib al-Hadith wa al-Athar, 1/256, cetakan Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut.)

Turut berbincang dan berbahas dalam majlis ulama atau dengan para ulama bukanlah satu kesalahan. Apatah lagi jika seseorang itu bernar-benar berkemampuan. Islam menggalakkan kebangkitan ilmu dan generasi intektual yang baru.

Islam mengalu-alukan ijtihad yang baik dan memenuhi tuntutan. Namun yang salah ialah pada niatnya yang ingin menjadikan ilmu sebagai jambatan kesombongan dan ketakburan. Ilmu yang sepatutnya membawa dirinya kepada syukur dan insaf dijadikan sebagai punca sikap bangga diri dan menunjuk-nunjuk.

Kesan niat yang sangat buruk sangat bahaya; orang yang seperti ini hanya mementingkan dirinya sahaja bukan kebenaran fakta. Dia hanya ingin menegakkan hujahnya untuk menaikkan namanya bukan untuk kebenaran yang Allah redhai. Jika dia melihat kebenaran di pihak lain dia akan menolak dan mencari dalih yang baru demi menjaga kemasyhuran namanya. Maka tempat orang seperti ini di dalam neraka.

Kata al-Imam al-Tibi (wafat 743H) : "Maksud hadith ini ialah dia tidak menuntut ilmu kerana Allah, sebaliknya untuk dia berkata kepada para ulama : "aku ini berilmu seperti kamu", kemudiannya dia takabur dan meninggikan diri pada orang ramai. Ini semuanya (sifat) yang tercela dan azab siksa akan dikenakan kepadanya."
(Al-Tibi, Syarh al-Tibi 'ala al-Miskah al-Masabih, 1/420, cetakan Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, Beirut.)

Kedua : Liyumaariya bihi as-Sufahaa' - untuk bertengkar dengan orang jahil.

Kata Imam al-Munawi (meninggal 1031H) : "Maksudnya ialah untuk dia berhujjah dan bertengkar dengan mereka secara sombong dan membanggakan diri." (Al-Munawi, Faidh al-Qadir, 6/176, cetakan al-Maktabah al-Tijariyah al-kubra, Mesir)

Niat buruk kedua dalam menuntut ilmu agama ialah menuntut ilmu dengan tujuan untuk bertengkar dengan orang yang jahil kerana ingin menunjukkan kehebatannya. Sedangkan antara tujuan ilmu ialah untuk menyelamatkan orang jahil agar menemui kebenaran. Ini kerana akal golongan yang jahil sangat terhad dan memerlukan bimbingan. Namun ada golongan yang menuntut ilmu untuk bertengkar dengan golongan jahil ini dan menunjukkan kehebatannya kepada mereka. Orang jahil yang terhad ilmu dan akalnya pasti menyangka dia hebat. Mungkin hal ini tidak dapat dilakukan di hadapan ulama maka dia mencari ruang di kalangan orang jahil.

Sebenarnya berbahas, atau berhujjah, atau berdebat itu sendiri bukanlah perkara yang terlarang dalam syariat, tetapi ianya mestilah dengan cara yang baik dan membawa kesan yang positif. Bukan untuk kesombongan dan ketakburan tetapi untuk membimbing manusia kembali kepada hidayah. Firman Allah dalam surah al-Nahl ayat 125 yang bermaksud : "Serulah ke jalan tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmah (kebijaksanaan ) dan nasihat pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka (yang endkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya tuhan mu Dia lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalanNya, dan Dia lebih mengetahui siapa yang mendapat hidayah petunjuk."

Kata al-Tibi : "Maksud : berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik ialah dengan cara yang terbaik dalam perdebatan, iaitu dengan lunak dan berlemah lembut tanpa bersikap kasar dan keras. Ini kerana golongan yang jahil itu kurang pertimbangannya." (Al-Tibi, op.cit. 1/420.)

Ketiga : Yasrifa bihi wujuuha an-Naasi ilaihi - agar dengan ilmu tersebut wajah orang ramai tertumpu kepadanya.

Ini niat buruk yang ketiga iaitu menuntut ilmu agar mendapat habuan, harta dan pangkat. Dia menjadikan pengetahuan agama untuk mencari popularity atau mendapat kedudukan dan jawatan. Menjadikan orang ramai tertarik kepadanya. Orang yang seperti ini sebenarnya bersedia untuk menjual agamanya untuk habuan dunia yang dia buru.

Kesalahannya bukan kerana dia mendapat habuan dunia atau kemasyhuran tetapi niatnya yang memburu dunia dengan mempergunakan agama itu adalah suatu kesalahan.

Jika menjelmanya tiga niat buruk ini dalam jiwa pemegang amanah ilmu maka ilmu tidak lagi menjadi cahaya yang menerangi kegelapan, sebaliknya ilmu akan dijadikan jualan untuk mendapatkan habuan. Oleh itu Nabi s.a.w. menjanjikan tiga niat buruk ini dengan neraka. Dalam hadith yang lain baginda menyebut : maksudnya : "Daripada Abu Hurairah ; Sabda RasululLah s.a.w. : " Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang dengannya dicari redha Allah Azza wa Jalla, tetapi dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat." (riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Al-Nawawi mensahihkannya dalam Riyadh al-Solihin - lihat Ibn 'Allan, Dalil al-Falihin, 4/191 cetakan Dar al-Fikr, Beirut)

Pengajaran Semasa

1.Semua para penuntut ilmu syarak pada zaman ini disemua peringkat hendaklah membersihkan niat asal mereka dalam menuntut ilmu. Jika golongan ilmuan Islam dapat dipulihkan niat mereka agar bersi dan mencari redha Allah s.w.t. pastinya Islam akan terbela dan setiap yang mempermain-mainkannya akan terjawab.

2- Kemunculan individu dan NGO tertentu yang cuba menjadikan nas-nas agama sebagai sendaan adalah terbit daripada salah satu dari tiga niat di atas. Mereka ini bukan sahaja tidak mencukupi ilmu pengetahuan agamanya sebaliknya mereka gagal membersihkan niat mereka dalam menuntut ilmu syarak atau ketika membaca bahan agama.

3- Kelahiran tokoh agama 'segera' yang mengajar agama di surau, masjid dan sebagainya tanpa mendalami ilmu-ilmu Islam dan disiplin setiap ilmu adalah berpunca dari niat ingin menzahirkan diri sekalipun mereka tidak layak. Sebahagian mereka sememangnya mempunyai sedikit pengajian agama. Namun niat ingin segera muncul di khalayak ramai menjadikan mereka tergesa-gesa menjadi guru orang ramai sebelum mereka menguasai ilmu. Maka lahir fatwa-fatwa yang menyanggahi kitab Allah dan sunnah RasululLah s.a.w.

4- Orientalis telah memperdayakan umat Islam dalam persoalan niat menuntut ilmu ini. Maka kita dapati pada hari ini ramai yang memiliki sijil agama sehingga ke peringkat kedoktoran falsafah dari dunia barat dengan 'berguru' kepada Yahudi dan Kristian. Sikap tidak mementingkan ilmu dan ingin segera memeliki sijil segera dan memperolehi habuan dunia menjadikan sebahagian mereka mengambil jalan pintas dengan berguru kepada musuh-musuh agama dalam bidang agama. Kebanyakan mereka pulang ke dunia Umat Islam dengan membawa pemikiran yang beracun. Secara sedar atau tidak mereka ini hari demi hari hanya menambahkan keraguan jiwa mereka terhadap agama, demikian juga mereka sebarkan kepada umat Islam.

Sebab itu seorang tabi' besar Muhammad bin Sirin (wafat 110H) menyebut : maksudnya : "Sesungguhnya ilmu ini (mengenai al-Quran dan as-Sunnah) adalah Deen (agama). Oleh itu perhatikanlah daripada siapa kamu semua mengambil agama kamu." (riwayat Muslim pada muqaddimah sahihnya)

Bayangkan bagaimana dipelajari aqidah Islamiyyah daripada guru yang kafir yang tidak percayakan Islam, bagaimana dipelajari tafsir daripada guru yang tidak percayakan al-Quran, bagaimana dipelajari hadith daripada guru yang tidak beriman dengan Muhammad sebagai Rasul, bagaimana dipelajari fekah daripada guru yang tidak pernah mengamalkan hukum hakam syarak. Namun hanya kepada Allah kita mengadu betapa ramai anak-anak umat Islam yang mendapat kelulusan agama dengan panduan mereka yang tidak beriman kepada Islam. mereka pulang dengan membawa gelaran-gelaran ilmu, namun sebenarnya sebahagian mereka hanya membawa racun kepada umat Islam.

BERWUDHU' (WUDUK)

Sabda Rasulullah (s.a.w)

"Apabila seseorang hamba muslim atau mukmin berwuduk, lalu ia mencuci wajahnya, maka akan keluar dari wajahnya setiap dosa yang ia lihat(yg haram) bersamaan dengan air atau bersama titisan air terakhir, bila ia mencuci kedua tangannya, keluar dosa2 yang dilakukan kedua kakinya bersamaan dengan air atau bersamaan dengan titisan air terakhir hingga ia keluar dlm keadaan bersih dari dosa"

Hadith Riwayat Muslim

Beberapa Penemuan Saintifik Melalui Berwuduk:

1.Apabila air dingin melalui tubuh yg letih ia mampu melancarkan peredaran darah membuatkan tubuh lebih segar.

2.Air dingin meningkatkan keupayaan sel darah putih dalam tubuh serta meningkatkan sistem pertahanan tubuh melawan virus.

3.Berwuduk di waktu pagi meningkatkan produktivit hormon estrogen sekaligus meningkatkan tahap kesuburan.

4.Boleh memperbaiki jaringan kulit dan buat kuku lebih sihat dan kuat..

5.Air dingin pada waktu pagi mampu menghasilkan ion2 negatif yang boleh meneutralkan darah dan membantu menyerap oksigen dengan lebih optimal sehingga wajah kelihatan lebih cerah dan berseri