Thursday, July 9, 2009

PERUTUSAN PRESIDEN
PERSATUAN MAHASISWA FAKULTI PENGAJIAN ISLAM
Bismillahirrahmanirrahim.....
Pertama dan selamanya marilah kita bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan keizinanNYA jualah dapat kita meneruskan hari-hari kita sampai ke saat ini. Alhamdulillah wabihi nasta’in wa ‘alaihi tawakkalna wahua Rabbul ‘arsyil ‘azim. Dengan Izin Allah juga, dapat lagi kita menempuhi satu lagi cabaran yang kecil dalam kehidupan kita ini. Cabaran dan ujian ini yang menguji sejauh manakah kita telah berusaha seterusnya bertawakal dalam mencari ilmu pengetahuan untuk kegunaan kehidupan di dunia dan di akhirat kelak.

Ahlan wa sahlan wa marhaban bikum kepada semua mahasiswa/i baru bagi sesi pengajian 2009/2010 dan mahasiswa yang berjaya meneruskan pengajian ke peringkat seterusnya. Tahniah dan syabas diucapkan kepada Mahasiswa-mahasiswi Tahun Satu kerana berjaya terpilih memasuki Fakulti Pengajian Islam,Universiti Kebangsaan Malaysia, universiti perbukitan ilmu yang kita cintai ini.

Selaku mahasiswa Islam, kita seharusnya mempunyai integriti diri yang tinggi terhadap agama kita. Ketahuilah, bahawa tidak semua orang yang terpilih untuk meneruskan pengajian di dalam bidang agama. Mahasiswa islam seharusnya mempunyai personaliti yang tinggi dan bersahsiah mulia di dalam menuntut ilmu. Marilah kita terus beriman dengan aqidah perjuangan ini dan sepenuhnya yakin dengan janji Allah untuk kemenangan dunia dan akhirat, walaupun banyak dan susahnya cabaran serta jauhnya perjalanan.

Maka, faham mengenai tujuan menuntut ilmu dan kemahiran secara menyeluruh dan mengikut pandang Islami perlu menjadi keutamaan kepada kita. Masalah yang kita hadapi di sini bukan setakat kekeliruan mengenai tujuan menuntut ilmu khususnya di dalam bidang agama ini. Ketahuilah sahabat-sahabat, masalah kebejatan akidah dalam agama kita yang berlaku di dunia pada hari ini memerlukan jiwa-jiwa muda untuk merubahnya. Peranan kitalah selaku mahasiswa islam untuk merubahnya. Ini kerana mereka memiliki dua sikap yang membantu iaitu ikhlas dan jujur dalam menuntut ilmu kemahiran dan ada kesungguhan yang luar biasa. Seharusnya inilah contoh tauladan yang perlu dimiliki oleh mahasiswa kita di kampus. Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah sekalian, Apabila kita mencermati gelodak perubahan masyarakat di negara kita, satu isyarat yang jelas bahawa mereka memerlukan generasi muda yang berilmu untuk memimpin mereka ke arah kehidupan yang lebih bermakna.

Akhir kalam, saya mewakili Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam, berharap agar adik-adik dapat menyesuaikan diri dengan suasana persekitaran Fakulti Pengajian Islam, UKM dan berjaya menempuh alam pengajian yang penuh dengan mehnah dan tribulasi yang kian mencabar buat mahasiswa/i pengajian Islam kini. Semoga adik-adik dapat mengikuti semua program-program yang akan dijalankan oleh pihak pentabiran fakulti dan Persatuan Mahasiswa Fakulti ini sendiri. Gunakanlah peluang yang ada ini untuk menimba ilmu pengetahuan dan kemahiran untuk menjadi pelajar yang cemerlang. Buat renungan adik-adik dan sahabat-sahabat untuk sama-sama kita ambil ‘ibrah daripada kata-kata oleh Muhammad Abduh, tokoh reformis, ”Jika pelaburan besar dalam pendidikan dibuat, maka kita tidak akan bersusah payah memikirkan banyak perkara, dan inilah jalan yang terbaik”. Selamat bermujahadah.
“GENERASI BARU HARAPAN PENGISLAH UMMAH”
MUHAMMAD ZAID B. SABRAN
PRESIDEN PERSATUAN MAHASISWA PENGAJIAN ISLAM
SESI 2009/2010
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA

No comments:

Post a Comment