Thursday, March 31, 2011

PePeRaNgAn PeN dAn KeRtAs


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.Segala puji dan sanjungan hanya untuk Allah, mudah-mudahan selawat dan salam dilimpahkan kepada hamba Allah dan Rasulnya, Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan para sahabatnya sekalian.

Perang Pen dan Kertas!!! Bersediakah Anda??Minggu ini merupakan minggu terakhir pengkuliahan bagi semester ini. Peperiksaan akhir semester 2010/2011 telah semakin hampir dan akan bermula 11 April 2011 ini. Bagaimana sahabat-sahabat? Sudah bersedia? Insyaallah, mudah-mudahan diberi Allah ketenangan dan kekuatan untuk mengharungi saat-saat akhir yang sangat bermakna dalam kehidupan sebagai mahasiswa di perbukitan ilmu UKM ini.

Terlebih dahulu, marilah kita sama-sama memperbaharui niat dalam menuntut ilmu agar diniatkan semata-mata kerana Allah. Kita kembalikan segala urusan kita kepadaNya. Imam al-Ghazali di dalam karangannya, Bidayatul Hidayah ada menukilkan mengenai penuntut ilmu yang paling beruntung. Menurut beliau,’’ Orang yang mencari ilmu untuk menjadikannya sebagai bekalan ke negeri akhirat maka, dia tidak berniat dalam mencari ilmu kecuali hanya untuk mendapat keredhaan Allah dan negeri akhirat. Maka orang ini termasuk dalam golongan yang beruntung''.

Menuntut ilmu merupakan satu wasilah untuk kita mendalami dan memahami agama Islam yang tercinta agar kebenaran tertegak. Selaku mahasiswa dan mahasiswi di perbukitan ilmu UKM ini, kita mempunyai misi untuk kembali kepada masyarakat, menyedarkan serta menyampaikan ilmu-ilmu Islam. Tuntutan dakwah itu menuntut persediaan yang rapi dan tanggungjawab itu perlu diteruskan sebagai kesinambungan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w.

Justeru itu, seseorang penuntut ilmu dalam bidang apapun akan merasakan dorongan untuk sukses yang luar biasa apabila ia menjadikan perintah agama sebagai motivasi utamanya. Dengan itu, dia akan menjadikan masa-masa sukarnya dalam menuntut ilmu sebagai perjuangan suci (jihad) untuk meninggikan kalimah Allah.

PMFPI menyeru agar seluruh mahasiswa dan mahasiswi bersama-sama meneruskan usaha dan momentum persediaan untuk menghadapi peperiksaan akhir yang bakal menjengah tidak lama lagi. Teruskan usaha, tingkatkan pergantungan dan pengharapan kepada Allah Yang Maha Mengetahui. Perbanyakkan jua memohon keampunan dari Allah dan bantuan dariNya. Sentiasalah juga berfikiran positif agar sentiasa bermotivasi untuk melakukan yang terbaik di dalam peperiksaan nanti.

اَللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزَنَ الصَّعْبَ إِنْ شِئْتَ سَهْلاً
Maksudnya : Ya Allah, tiada yang mudah melainkan Engkau menjadikannya mudah. Dan tiada kedukaan melainkan Engkau yang menghilangkannya.

Akhir kalam, kami di barisan pimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) mendoakan kecemerlangan buat sahabat-sahabat mahasiswa dan mahasiswi. Buatlah yang terbaik, insyaallah ada ganjarannya di sebalik kesukaran yang dihadapi.Bittaufiq wan najah, selamat menempuh peperiksaan. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan orang yang berjaya di dunia dan akhirat.Amiin.

3 comments: