Saturday, April 9, 2011

AHLAN WASAHLAN IMTIHAN



WAN MUHAMMAD NAIF BIN MOHD NORDIN
YANG DIPERTUA
PERSATUAN MAHASISWA
FAKULTI PENGAJIAN ISLAM

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Pertama sekali marilah kita menzahirkan rasa kesyukuran kita kepada Allah s.w.t kerana dengan keizinanNya jualah kita masih mampu meneruskan misi kekhalifahan kita di muka bumi sehinggalah ke hari ini. Selawat dan salam juga pada junjungan kita Rasulullah s.a.w. Semoga kita beroleh syafaatnya di akhirat kelak.

Sempena peperiksaan yang akan tiba tidak lama lagi, saya mewakili Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI), ingin mengucapkan selamat menjalani peperiksaan akhir tahun bagi sesi 2010/2011. Setelah selesai 14 minggu kita mengorbankan masa dan kudrat, hari yang dinantikan bakal menjelma. Mungkin terdapat sedikit kegelisahan dalam hati kita semua, namun ia telah menjadi lumrah dalam kehidupan kita semua.

Menjelang peperiksaan yang hampir tiba, pastikan kita sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t dan memohon restu daripada ibu bapa kita, serta memohon maaf kepada pensyarah-pensyarah agar menghalalkan segala ilmu yang telah mereka ajarkan selama ini. Tidak lupa juga kita memohon maaf kepada rakan-rakan seperjuangan kita sepanjang perkenalan yang telah dilalui bersama. Insya’allah dengan restu daripada semua pihak, kita akan mendapat keyakinan dan keberkatan serta dapat melakukan yang terbaik dalam menghadapi peperiksaan itu.

Sebagai mahasiswa/i islam juga, perlu kita ingat, peperiksaan ini hanyalah jalan dan salah satu cabang untuk kita cemerlang nanti. Apa yang lebih penting bagi kita semua agar segala ilmu yang kita perolehi ini mendapat keberkatan daripada Allah s.w.t di dunia mahupun di akhirat. Akhir kalam, sekali lagi, saya mewakili PMFPI mengucapkan selamat menduduki peperiksaan dan semoga anda semua beroleh kejayaan.

“ SASAR, USAHA , SABAR “

No comments:

Post a Comment