Saturday, March 17, 2012

Suburnya Keilmuan di UKM

Suasana keilmuan di UKM semakin terasa kini. Setiap minggu, pasti ada program-program keilmuan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak sama ada persatuan umum, persatuan fakulti mahupun di kolej-kolej kediaman. Suasana ini dilihat merancakkan perkembangan intelektual di perbukitan ilmu UKM khususnya. PMFPI melihat perkembangan ini sebagai satu usaha positif dari semua pihak terutamanya dalam membentuk mahasiswa yang berkualiti.
 
Pelbagai pihak memainkan peranan dalam menghidupkan suasana seumpama ini. Di peringkat PMUKM telah berjaya menganjurkan Suara Kampus dan pelbagai program lainnya yang menyaksikan kehadiran ramai mahasiswa UKM bagi mendapatkan pencerahan dan perkongsian ilmu dengan topik yang pelbagai. Demikian juga di peringkat Ikatan Studi Islam (ISIUKM) telah menganjurkan Ummah Talk dan Sembang Santai Siswi yang turut mendapat sambutan baik dari mahasiswa/i UKM. Baru- baru ini, Kolej Kediaman Antarabangsa Ibu Zain turut sama memeriahkan suasana keilmuan di UKM melalui penganjuran Minggu Hak Asasi Manusia yang memberi kesedaran mengenai saudara seislam kita di Palestin.    
     Di peringkat PMFPI turut sama memeriahkan keilmuan di UKM melalui penganjuran Nur Qalbi dan Citra Siswi. Di samping itu, kelab-kelab jabatan di FPI turut menganjurkan pelbagai program. Sepanjang minggu ini iaitu pada 12-16 Mac, terdapat dua program yang dianjurkan oleh kelab jabatan iaitu Minggu Mahasiswa Dinamik (MMD) oleh Kelab Mahasiswa Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan ( JAKMA)  dan Festival Kebudayaan Timur Tengah oleh Kelab Mahasiswa Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam (NAHDHAH) .  
   Selanjutnya, diteruskan dengan  program UKM Berselawat yang akan diadakan pada hari Sabtu ini, 17 Mac 2012 dan Pengajian Kitab : Adab Menuntut Ilmu oleh Sheikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki anjuran Kelab Mahasiswa Jabatan Usuluddin dan Falsafah  dan Pusat Islam. PMFPI menjemput seluruh warga UKM untuk turut sama memenuhi ruang masjid UKM dan memeriahkan program yang dianjurkan ini. Jangan ketinggalan, peluang menimba ilmu dan tingkatkan thaqafah!   
 Akhir kalam, PMFPI mengharapkan ruang keilmuan yang terbuka luas ini digunakan secara maksimum oleh mahasiswa/ i sebagai nilai tambah dalam mengharungi liku-liku kehidupan sebagai penuntut ilmu. Suburnya keilmuan diharapkan menjadi suluhan bagi menambah keimanan kepada Allah dan memandu kecemerlangan akhlak, sahsiah dan keilmuan mahasiswa/I di perbukitan ilmu ini.
ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI

No comments:

Post a Comment