Saturday, February 9, 2013

Mencari Ilmu Dan Ukhuwah Di Dalam ‘KAMUS’


Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Perpecahan kelab harus dibendung, rapatkan ukhuwah satukan pendapat.


Alhamdulillah, buat julung kalinya Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) dengan kerjasama Pihak Kedekanan Fakulti Pengajian Islam telah berjaya menganjurkan Kursus Kepimpinan Islam Dan Pengurusan Organisasi (KAMUS) bagi sesi pimpinan 2012/2013. Berkat kesungguhan dan matlamat yang hendak dicapai oleh pihak penganjur, kursus ini telah berjaya menghimpunkan 63 orang peserta yang kesemuanya terdiri daripada pimpinan kelab-kelab jabatan dan exco-exco PMFPI. Kursus yang berjalan selama dua hari dua malam ini telah bermula pada 15 Febuari 2013 dan berakhir pada 16 Febuari 2013 di Fakulti Pengajian Islam, UKM. Semangat tadhiyyah yang ditunjukkan oleh para peserta kursus ini perlu dipuji dan dihargai, disebabkan mereka sanggup kembali ke bumi UKM beberapa hari lebih awal sebelum semester baru dibuka. Semoga Allah SWT membalas pengorbanan kalian dalam usaha menjadi seorang pemimpin yang baik dan bertanggungjawab.

            Bertemakan “Profesionalisme Asas Kesatuan Ummah”, kursus ini telah menyediakan pelbagai modul yang bermanfaat untuk ditekuni oleh kesemua peserta kursus. Berpaksikan kepada tiga matlamat utama program, pihak penganjur cuba untuk menanamkan sifat profesionalisme dalam diri setiap pimpinan kelab dan persatuan bagi melahirkan seorang pemimpin Islam yang memiliki peribadi yang unggul serta berdisiplin dalam setiap urusan yang dilaksanakan. Selain itu, matlamat lain kursus ini juga ialah memberikan kefahaman yang mendalam tentang hal-hal pengurusan yang melibatkan pelajar dengan pihak pentadbiran di UKM. Di akhir kursus ini, pihak penganjur mengharapkan supaya kesemua peserta yang mewakili setiap kelab jabatan dapat membina sebuah kesatuan melalui wasilah ukhuwah sepanjang kebersamaan mereka di dalam kursus ini.

YDP Rasyid Ismail menyampaikan cenderamata kepad Penceramah
            Seawal hari yang pertama, kesemua peserta telah diuji dengan tugasan yang memerlukan mereka berfikir secara kritis dan berucap di khalayak ramai dalam modul kepimpinan yang dikendalikan sepenuhnya oleh Dr. Muhammad Adib bin Samsudin. Latihan ini sangat penting dalam membina kemahiran insaniah yang sepatutnya dimiliki oleh setiap pimpinan pelajar. Perjalanan kursus ini diteruskan dengan penerangan tentang UKM Dan Kebajikan Pelajar yang telah disampaikan oleh En. Roslan Bin Suliman, Ketua Unit Kebajikan Pelajar UKM (UKP). Para peserta kursus juga turut berpeluang mempelajari cara-cara untuk menguruskan meja setiausaha secara berkesan melalui slot bersama Pn. Sarah Bt Ahmad, pegawai di Pejabat Dekan Fakulti Pengajian Islam. Pada sebelah malamnya, para peserta diberikan kesempatan untuk bersama-sama dengan Pn. Najwa Binti Ahmad, Ketua Penolong Pendaftar JPPEL, bagi sesi dialog dua hala berkenaan isu dan masalah yang kebiasaannya berlaku dalam penganjuran program oleh kelab dan persatuan yang berdaftar di UKM. 

Dekan FPI Bersama Peserta Muslimin
            Bermulanya hari yang kedua, kesemua peserta kursus telah diberikan penerangan tentang Bendahari UKM dan Kewangan Pelajar melalui slot bersama En. Mohamad Yazid Bin Mohamad Sabtu, Pegawai di Unit Penguatkuasaan & Jaminan Kualiti Jabatan Bendahari UKM. Bagi modul yang terakhir, pihak penganjur telah menjemput Cik Wan Mazlina Bt. Wan Mashhor, Pegawai Penyelidik Sosial Pusat Akreditasi Pelajar untuk menyampaikan taklimat berkenaan Sistem Pengurusan Insaniah (SPI). Kursus ini telah melabuhkan tirai pada sebelah petangnya, dengan Majlis Perasmian Penutupan KAMUS yang telah disempurnakan oleh Prof. Dr. Mohd Nasran Bin Mohamad, Dekan FPI, dengan sedikit kata-kata nasihat dan harapan beliau kepada seluruh peserta kursus.

Dekan FPI bersama Peserta Muslimat
            Akhir kalam, setinggi-tinggi tahniah dan syabas diucapkan kepada kesemua peserta yang telah berjaya menamatkan kursus ini dengan berjaya.  Diharapkan segala ilmu dan pengalaman yang ditimba sepanjang kursus ini dapat dikongsi bersama dengan seluruh para pelajar, khususnya di peringkat jabatan masing-masing. Semoga kursus ini dapat dianjurkan lagi pada masa akan datang demi kebaikan dan manfaat kita bersama.

Wallahu ‘alam..

ISLAM PEMANGKIN GENERASI TARBAWI


1 comment: