Thursday, March 14, 2013

MEMBURU MARDHATILLAH DI KEM GHURABA’

Dagang bukan sebarang dagang,
Dagang membawa bekalan rohani,
Datang bukan sebarang datang,
Datang membina generasi rabbani..

            Segala puji bagi Allah yang menjadikan langit dan bumi serta apa yang berada di antara keduanya. Alhamdulillah, sekali lagi Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) telah diberikan kesempatan untuk membawa rakan-rakan mahasiswa ke bumi Jelebu untuk mensyukuri dan menginsafi nikmat dan amanah sebagai seorang hamba kepada sang Pencipta.


            Bermula 8 hingga 10 Mac 2013, seramai 57 orang mahasiswa/i FPI telah mengikuti program Kem Generasi Penghubung Rabbani (GHURABA’) di bawah anjuran Pusat Pemantapan Akidah, JAKIM dengan kerjasama daripada Fakulti Pengajian Islam, UKM. Kem yang berjalan selama tiga hari dua malam ini telah membawa kesemua peserta untuk menghayati makna sebenar kalimah rabbani di samping menyedarkan mereka untuk berlumba-lumba menjadi generasi ghuraba’. Kesungguhan peserta untuk mengislah iman di pergunungan ilmu ini telah mendapat suntikan daripada sepotong hadis Rasulullah SAW yang bermaksud :

Sesungguhnya Islam datang dalam keadaan asing, dan akan kembali pula dalam keadaan asing. Maka beruntunglah orang yang asing. Para sahabat bertanya :Wahai Rasulullah, siapakah orang asing itu? Rasulullah SAW menjawab : Orang yang melakukan pembaikan (islah) ketika rosaknya manusia, tidak bersengketa dalam agama Allah dan tidak mengkafirkan orang yang berada pada tauhid disebabkan dosa… (H.R Muslim)

Suasana ceria sewaktu sesi pendaftaran peserta
            Berbekalkan semangat yang tercetus daripada laungan ‘SAHABAT AKIDAH’, kesemua peserta telah memulakan kem ini dengan sesi ice breaking yang berjalan di dalam Dewan Al-Ghazali. Layanan istimewa daripada para fasilitator telah menambahkan lagi keseronokan peserta dalam memahami erti sebuah ukhuwah yang dibina berdasarkan falsafah ‘sang semut’. Kesemua peserta juga telah diterangkan berkenaan prinsip kepimpinan dan kepentingan jama’ah berdasarkan wahyu al-Qur’an, as-Sunnah dan qaulu sahabah. Dalam masa yang sama, peserta turut diberikan sedikit tugasan berkumpulan bagi menilai sejauh mana kemampuan mereka untuk berfikiran secara kreatif, kritis dan inovatif dalam waktu yang singkat.


Mendengar arahan daripada pemimpin dalah penting dalam membina ‘sebuah jamaah’
Peserta muslimat berjaya membina ‘bunyanun marsus’
Menghayati falsafah ‘salam sang semut’ dalam slot ta’aruf
Barisan pimpinan KEM GHURABA’ bersama Ustaz Jamal
(penghulu, penghuluwati dan ketua-ketua kumpulan)
Murabbi kami yang sentiasa tenang dan ceria  – Ustaz Azlim
            Seusai solat subuh secara berjamaah, setiap peserta muslimin telah dilatih untuk menyampaikan KULIM (kuliah lim minit) kepada semua peserta kem. Walaupun kuliah hanya disampaikan dalam tempoh masa yang ‘sangat terhad’, namun perkongsian dan peringatan ini sedikit sebanyak dapat mengingatkan manusia yang sering lupa dan lalai dalam mengingati tuhannya. Firman Allah SWT di dalam al-Qur’an, surah adz-Dzaariyaat, ayat ke 55 yang bermaksud :
Maka berilah peringatan, maka sesungguhnya peringatan itu bermanfaat bagi orang-orang yang beriman..

Penghulu menjadi’ the first man’ yang menyampaikan kuliah pada pagi hari kedua program
            Alhamdulillah, tepat jam 8.30 pagi, kem diteruskan lagi dengan aktiviti yang ‘dinanti-nantikan’ oleh kesemua peserta. Pada pagi yang dingin itu, kami akan bertolak ke Jeram Lesong  untuk melakukan aktiviti KEMBARA HIJRAH yang merangkumi ‘jungle tracking’ dan ‘caving’ (menerokai gua) di Bukit Batu Pala sambil diiringi oleh pasukan yang berpengalaman. Kembara pada kali ini mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Kesemua peserta dikhendaki meredah paya, mengharungi sungai dan kawasan berlumpur, berpaut pada akar-akar kayu dan rotan untuk mendaki bukit, menuruni cerun yang licin, menyelusuri jalan yang sempit dan berliku ditengah-tengah kegelapan gua sebelum mereka mengakhiri kembara yang berjalan hampir 3 jam ini. Para peserta juga tidak melepaskan peluang untuk mempelajari pelbagai ilmu berkenaan rahsia hutan dan gua, di samping merakamkan pengalaman dan detik-detik indah mereka dalam kehijauan hutan sama ada bersama manusia dan mahupun ‘serangga’.
‘Stretching’ penting sebelum melakukan aktiviti jungle tracking dan caving. 
Berdoa semoga aktiviti pendakian ini berjalan dengan selamat dan mendapat manfaat di sisi Allah.
Kegembiraan sementara sebelum  menempuhi ‘cabaran berat’ yang tersedia menanti
Pengalaman ‘manis’ di awal pengembaraaan
‘Saat indah’ melalui kawasan berlumpur kira-kira 20 meter sebelum mendaki bukit.
Menjadi ‘si bongkok tiga’ semasa meredah hutan belantara
Purdah tidak menghalang seseorang muslimah untuk mendaki bukit
Jalinan ukhuwah yang sempat dirakamkan saat menanti giliran memasuki gua
Peserta muslimat mula melakukan caving
Merasai pengalaman berada di tempat yang sempit dan gelap
Kenangan  sebahagian peserta di ‘check point langsir’
Kumpulan pertama yang berjaya menamatkan pengembaraan 
Masih ceria walaupun keletihan
Di hadapan ‘pintu keluar’ Gua Periuk
Sungguh, aktiviti pada kali ini merupakan satu bentuk tarbiyyah jasadiyyah dan ruhiyyah yang lengkap bagi melahirkan generasi ghuraba’ suatu hari nanti. Para peserta telah dilatih untuk menunaikan solat ditengah-tengah hutan dan turut berpeluang untuk merasai pengalaman berwuduk di sungai. Setelah penat menjalankan aktiviti lasak, kesemua peserta bukan sahaja disajikan dengan santapan jasmani, malah mereka turut mendapat sentuhan qalbu melalui tazkirah yang disampaikan oleh Ustaz Fazlim. Penceramah telah berjaya menarik perhatian para peserta dengan memperingatkan mereka tentang hubungkait di antara kembara yang telah dilalui pada hari ini dengan peristiwa hijrah Nabi SAW dan kisah golongan Ashabul Kahfi yang mana kedua-duanya terkandung seribu satu hikmah dan bukti kekuasaan Allah SWT khususnya apabila melibatkan gua.

Sesi fotografi bersama ‘si gonggok’
Hutan tidak menghalang untuk kita solat berjamaah
Pada sebelah petangnya, semua peserta dikhendaki mengikuti aktiviti lukisan dalam slot ‘Melukis Dengan Telinga’. Dalam slot ini, kesemua peserta diminta untuk melukiskan susunan objek seperti mana arahan yang dikeluarkan oleh fasilitator. Modul ini bertujuan untuk melatih para peserta supaya peka mendengar arahan dan berfikiran kritikal semasa menyelesaikan arahan yang diberi. 


Aktiviti indoor yang memecah kebosanan peserta di tengah hari
Selepas selesai menunaikan solat asar secara berjamaah, para peserta telah diminta untuk berkumpul di dataran Muhammad al-Fateh bagi menjalankan aktiviti riadah berkonsep. Dalam aktiviti riadah kali ini, elemen kepimpinan dan kerjasama sangat dititikberatkan oleh fasilitator. Riadah yang berkonsepkan permainan ini telah berjaya mencetuskan semangat berpasukan dan kemahiran mendengar arahan daripada seorang ketua. Maka benarlah kata-kata Saiyidina Umar al-Khattab bahawa :

Tidak ada Islam melainkan dengan Jama’ah, tidak ada Jama’ah melainkan dengan Imam, tidak ada Imam melainkan dengan Ketaatan..

Telatah sebahagian peserta ketika bermain ‘seven up’
Menguji kreativiti peserta dalam permainan ‘spider web’
Gembira ‘mengebom’ kumpulan lawan
Sinaran keceriaan yang terukir di wajah setiap peserta telah dipadamkan dengan siraman muhasabah pada sebelah malamnya. Titisan demi titisan air mata keinsafan jatuh membasahi pipi para peserta apabila nurani mereka mula disentuh dengan peringatan-peringatan yang mendidik jiwa. Alhamdulillah peringatan yang diberikan sedikit sebanyak mampu menyedarkan manusia yang semakin jauh dengan penciptanya.

La tahzan, innaAllaha ma’ana – Sesi Sentuhan Qalbu
Lihatlah, mana mungkin pengalaman ini akan dapat kita perolehi ketika berada di dewan kuliah mentelah ditengah-tengah kesibukkan kota. Penulis yakin dan percaya ini adalah pengalaman pertama yang sangat berharga dan tidak akan dapat dilupakan oleh kesemua peserta kem pada kali ini.

Peserta Kem GHURABA’ bersama-sama dengan
Timbalan Dekan FPI dan penguasa Pusat Pemantapan Aqidah, JAKIM.
            Akhir kalam, tahniah dan syabas diucapkan kepada kesemua peserta di atas kerjasama dan peartisipasi yang sangat baik sepanjang kem ini berlangsung. Di harapkan kem seperti ini dapat dianjurkan sekali lagi pada sesi yang akan datang dengan penglibatan peserta yang lebih ramai lagi. InsyaAllah, sama-sama kita nantikan KEM GHURABA’ 2.0. Wallahu ‘alam..


ISLAM PEMANGKIN GENERASI TARBAWI

1 comment:

  1. Tahniah kepada PMFPI. Program sebegini seharusnya diteruskan untuk masa akan datang. Kadang kala kita terleka dengan urusan dunia. Akan tetapi dengan medium ini sedikit sebanyak mampu mengembalikan diri kita untuk menyedari hakikat sebenar dan tujuan kita dilahirkan di dunia ini. Syabas sekali lagi.

    ReplyDelete