Wednesday, January 27, 2010

Fa'tabiruu ya uli al-absor

"Aduh..letihnya!" ungkapan yang paling banyak meniti di bibir para peserta larian satu malaysia yang diadakan pada 24 januari 2010. Setelah berlari menaiki bukit dan menuruni cerun,dan adakalanya berjalan kaki sahaja,akhirnya berjaya juga para peserta menamatkan larian tersebut.

Larian sejauh itu memanglah payah untuk ditamatkan. Jika berlari seorang diri pastinya kita tak sanggup.Namun memandangkan larian tersebut adalah secara beramai-ramai,maka kita akan terdorong untuk turut berlari. Ini adalah signifikan kepada perjuangan kita dalam hidup ini. Samaada perjuangan sebagai khalifah Allah di muka bumi,sebagai anak yang taat,mahupun sebagai seorang penuntut ilmu yang setia. Walau sesukar mana pun perjuangan ini, selagimana kita berada dalam satu barisan yang teguh,maka kita perlu terus berjuang.Kita sebenarnya adalah menjadi penguat dan pendorong antara satu sama lain dalam berjuang sepertimana pesan junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w bahawa orang-orang Islam itu adalah umpama satu bangunan yang mana sebahagiannya adalah menjadi penguat kepada sebahagian yang lain. Oleh itu, kekalkanlah dan teguhkanlah saff kita. Ayuh bersama kita bergerak ke hadapan demi mencapai matlamat perjuangan kita yang satu dan jitu.

Kita terasa amat payah untuk melangkah menaiki bukit sepanjang larian tadi, ini adalah kerana kita bergerak melawan tekanan dari atas. Ini mengingatkan kita pada rentak perjuangan kita dalam hidup ini, adakalanya kita terasa amat sukar dan terbeban dalam usaha kita mendaki puncak kejayaan. Namun,itulah hakikat hidup. Kita perlu melalui segala kepayahan dan kesukaran dalam berjuang.Berbekalkan kesungguhan dan sifat Ar-Rahman Allah s.w.t,insyaallah kita akan mampu mendaki puncak kejayaan.

Apabila menuruni cerun bukit pula kita terasa amat mudah.Seolah-olah dengan sendirinya kita tertolak ke bawah. Ini menyifatkan bahawa sebenarnya amat mudah untuk kita terjatuh ke bawah setelah kita berada di atas. Dalam kata lain,sekiranya kita alpa dan leka,maka kejayaan yang kita genggam pada hari ini akan hilang sekelip mata. Oleh itu,apabila memperolehi kejayaan kita seharusnya bersyukur dan tetap berasa rendah diri serta meningkatkan lagi ibadah kita kepadanya. Kita khuatir jika kejayaan yang kita kecapi pada hari ini adalah satu Istidraj kepada kita.Nauzubillah.

Apa yang boleh dirumuskan di sini,ialah:

1. Kita selaku umat islam mestilah bersatu dan bergerak seiringan dalam merealisasikan matlamat kita. Sikap mementingkan diri tanpa membimbing sahabat-sahabat yang lain ke arah kejayaan dunia akhirat adalah tidak wajar. Semoga kita tergolong dalam golongan yang beruntung iaitu yang beriman,beramal soleh dan saling berpesan-pesan pada kebenaran dan kesabaran.Di sinilah sebenarnya kunci kekuatan kita.

2. Kita harus sedar bahawa perjuangan atau perjalanan kita untuk menjadi khalifah di muka bumi Allah ini bukanlah mudah. Terlalu banyak onak duri yang perlu kita tempuh. Namun, teruskanlah berusaha dan mohon pertolongan Allah s.w.t. yang Maha Kuasa dan Maha Menentukan setiap sesuatu.

3. Apabila mencapai atau mendapat sesuatu kejayaan,kita perlu bersyukur disamping menginsafi diri kita. Kita tidak seharusnya terlalu mudah menjadi alpa dan membangga diri. Kelebihan yang kita miliki perlulah dikongsi dan dicurah untuk manfaat bersama.

Semoga kita semua menjadi pejuang-pejuang Allah yang sentiasa diberi petunjuk dan kekuatan dalam misi kita untuk menegakkan agama Allah di muka bumi.Insyaallah.

No comments:

Post a Comment