Thursday, April 28, 2011

SeMarakkAn Cuti Semester DeNgAn PenGisiaN BerMaKna




Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani. Segala puji dan sanjungan hanya untuk Allah, mudah-mudahan selawat dan salam dilimpahkan kepada hamba Allah dan Rasulnya, Nabi Muhammad s.a.w, keluarga dan para sahabatnya sekalian.

Minggu ini merupakan minggu terakhir bagi semester ini. Peperiksaan akhir semester 2010/2011 semakin tiba ke penghujungnya. Alhamdulillah kita diberi Allah kesempatan untuk menamatkan sesi pengajian semester ini dengan jayanya.Mudah-mudahan segala perkongsian ilmu yang diperoleh dari pensyarah-pensyarah yang kita kasihi tersemat teguh di ingatan dan menjadi amalan dalam kehidupan seharian kita.

Kami di barisan pimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam(PMFPI) mengucapkan selamat bercuti kepada semua sahabat mahasiswa/mahasiswi perbukitan ilmu yang kita cintai ini. Semoga cuti semester ini dapat kita gunakan sebaik-baiknya dengan pengisian yang bermanfaat. Sekadar perkongsian bersama, antara aktiviti bermanfaat yang boleh kita lakukan ialah mengaktifkan diri dengan membaca. Menurut Dr Aidh Al-Qarni, dalam bukunya ‘Asyiq, Aku, Buku dan Cinta,membaca adalah pintu masuk kepada keilmuan. Ilmu adalah sesuatu yang selalu dicari oleh para pahlawan, pencinta kejayaan, pengagum karya. Ia tidak pernah menolak cinta seseorang, tidak menjauh ketika di dekati. Ia terlalu akrab, selalu dekat. Bersamanya, anda akan diajak ke puncak kejayaan, meniti tangga kemuliaan dan naik menuju tangga kejayaan.

Ayuh kita selusuri kitab-kitab sirah perjuangan Rasulullah s.a.w,para sahabat dan golongan mukmin dalam menyebarkan dakwah Islam ke serata pelusuk dunia. Bantulah jua kedua ibu bapa dalam ruang kesempatan cuti ini dan eratkanlah hubungan silaturrahim sesama ahli keluarga dan sanak saudara. Bagi sahabat-sahabat yang mengambil kesempatan bekerja sewaktu cuti ini, semoga dapat menjalankan kerja dengan tekun kerana sesungguhnya Allah menyukai individu yang tekun dalam melaksanakan kerjanya. Bagi sahabat-sahabat yang mengambil short sem, teruskan perjuangan antum semua menuntut ilmu dengan semangat dan keazaman yang tinggi.

Akhir kalam, kami di barisan pimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) mengucapkan selamat bercuti kepada semua sahabat mahasiswa/mahasiswi. Hingga bertemu lagi pada sesi pengajian yang akan datang dengan izin Allah. InsyaAllah.~Salam ukhuwwah sekencang dakwah dari kami~

2 comments: