Monday, January 2, 2012

Salam Imtihan Nihaie

Semester hampir tersisa, bahang peperiksaan makin terasa
Kami dari saff barisan PMFPI mengucapkan selamat menempuh peperiksaan kepada semua mahasiswa/wi UKM khasnya kepada para penuntut ilmu di Fakulti Pengajian Islam. Sempena musim peperiksaan yang sedang menjengah tiba ini, sukacita kami mengajak sahabat-sahabat semua untuk bermuhasabah kembali mengenai tanggungjawab kita sebagai seorang pelajar dan penuntut yang sentiasa akan menempuh cabaran dan rintangan dalam dunia keilmuan ini.  Sebagai seorang mahasiswa, kami menyeru diri dan para sahabat semua untuk sama-sama mengutip ilmu Allah sebanyak mungkin di perbukitan ilmu ini kerana ilmu itu ibarat cahaya daripada Ilahi, memancar keluar membuahkan amal, memancar ke dalam hati sanubari insan yang seterusnya menambahkan iman di dalam dada dan amal soleh. Ilmu itu diibaratkan sebagai penghias lidah, bersuaranya orang yang berilmu itu umpama nukilan kata-kata indah yang penuh hikmah. Diamnya adalah fikir dan suaranya adalah zikir. Marilah sejenak kita merenung mutiara kata di bawah ini sebagai tauladan dan motivasi dalam menempuh hari muka.

Saidina Ali pernah berkata:
Pencari ilmu bagaikan mujahid di medan jihad, tinta ulama setimbang darah syuhada.
Jika pedang mujahid memancung kemungkaran dan kebatilan,
Pena ulama membanteras kejahilan!
Pena itu lebih tajam daripada mata pedang

Si miskin jadi mulia dengan ilmu, si kaya jatuh dengan ketandusan ilmu
Harta akan habis jika dibelanjakan tapi ilmu akan bertambah jika diamalkan
Mencari ilmu ibadat paling lama, tiada batas masa dan usia sempadan belajar
Seseorang akan tetap menjadi orang alim selama terus-menerus belajar
Apabila ia tertipu dalam sangkaan dia telah pandai, hakikatnya dia adalah BODOH

Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah semua…

Peperiksaan yang datang bukanlah untuk menyusahkan tetapi lebih kepada menguji kefahaman kita mengenai ilmu yang telah kita timba di dewan-dewan kuliah. Hadirnya peperiksaan adalah dengan bermatlamat. Matlamatnya adalah menguji sejauh mana kita boleh mengaplikasikan ilmu yang dipelajari dan di manakah pengukuran sebuah kejayaan. Oleh itu, bisikkan pada hati. Apa itu kejayaan? Kejayaan itu adalah apabila tujuan hidup yang digariskan itu tercapai. Lalu apa tujuan hidup kita sebenarnya sebagai seorang mahasiswa, anak, dan insan yang kerdil ini ? Tujuan hidup adalah menjadi hamba kepada ALLAH. Seringkali tujuan dibayangi keperluan. Tujuan ialah merasai kehambaan-takut,cinta,harap,taat hamba kepada ALLAH manakala keperluan itu harta, pakaian, kenderaan, pengajian dan termasuklah peperiksaan.
Malang sekali jika sekiranya kita merasakan kejayaan itu diperolehi apabila tercapainya keperluan. Sedangkan, pada hakikatnya hati dan diri masih jauh dari ALLAH. Jiwa masih liar, nafsu masih buas.Tanpa sedar, keperluan sering menjadi tujuan. Hati kecil pasti tersiksa apabila ukuran kejayaan adalah keperluan bukan tujuan! Adakah ini sebenarnya yang dimaksudkan dengan erti sebuah kejayaan yang sebenar??

Akhir sekali, ingin kami mengingatkan kembali diri dan para sahabat dan sahabiah semua bahawa orang yang paling kuat adalah orang mengaku lemah dihadapan ALLAH. Cara mengaku lemah adalah dengan sering berdoa kepadaNYA. Orang yang kurang berdoa hakikatnya adalah sombong, seolah-olah kuat berhadapan pancaroba hidup. Lantaran itu dekatkan diri kepadaNya, berusaha dan bertawakallah kepada Allah. Kejayaan adalah milik setiap insan yang berusaha!

Man Jadda Wa Jada…

Semoga kalian beroleh rahmat, dan keberkatan hidup di dunia. Semoga kejayaan mengiringi setiap langkah perjalanan hidup kita semua!

Ikhlas dari Saff Kepimpinan PMFPI




No comments:

Post a Comment