Sunday, January 1, 2012

Coretan Tahun Baru

Kehadiran tahun baru dilihat sebagai satu hari perayaan yang disambut dengan pelbagai upacara atau aktiviti-aktiviti yang kebiasaannya menelan perbelanjaan yang besar. Orang ramai diajak berkumpul di tempat-tempat yang tertentu sama ada secara terbuka mahu pun tertutup dan mereka disajikan dengan pelbagai program hiburan yang mengasyikkan serta bertentangan dengan Islam.

Bahkan ada sesetengah sambutan tahun baru itu dicemari dengan aksi-aksi pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan, pesta tari-menari, pakaian yang menjolok mata bahkan adakalanya  minuman keras turut disajikan sambil masing-masing menunggu detik jam 12 malam yang menunjukkan masuknya tahun baru. Maka sorakan serta jerit-pekik beserta tiupan trompet kegembiraan bergema apabila jam tepat 12 malam.

Akan tetapi kita dapat melihat kelainan pada sambutan  tahun baru kali ini, yang mana pelbagai corak sambutan yang dibuat, ada yang berunsurkan Islam dan ada yang berunsurkan maksiat dengan kata lain bercanggah dengan Islam. Di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, tahun baru disambut dengan aktiviti-aktiviti ilmiah yang penuh dengan pengisian-pengisian agama serta tidak bercanggah dengan Islam.

 Sembang Santai antara Ustaz Azhar Idrus & Zizan Raja Lawak di Dataran Kemerdekaan Shah Alam

Hampir 60,000 Anak Muda membanjiri Dataran Kemerdekaan Shah Alam

Berbeza pula di bandar i-City Shah Alam dan Dataran Merdeka, Kuala Lumpur yang disambut dengan pelbagai persembahan, berlaku pergaulan bebas antara laki dan perempuan yang jelas bertentangan dengan Islam.

Hindari Serangan Ideologi Musuh Islam

Sebagai umat Islam lebih-lebih lagi kita yang bergelar mahasiswa Fakulti Pengajian Islam mesti menghadiri sambutan yang berunsur Islamik bukannya sambutan yang melalaikan bahkan bercanggah dengan Islam.

Kita perlu ingat bahawa budaya-budaya yang tidak baik giat di propagandakan di negara-negara Islam melalui serangan ideologi musuh-musuh Islam agar umat Islam terpesong daripada peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Hakikatnya, kita telah di peringatkan oleh Allah s.w.t mengenai niat buruk golongan ini melalui firmannya yang bermaksud :
“ Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (Wahai Muhammad) sehingga Engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (agama Islam itulah petunjuk yang benar". dan Demi Sesungguhnya jika Engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah Engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu.”

Allah s.w.t telah menjanjikan azab yang pedih bagi mereka yang berpesta diatas muka bumi ini dengan pesta-pesta yang berunsur maksiat.
Tidaklah menjadi kesalahan sekiranya setiap kali datangnya tahun baru, seseorang muslim itu melakukan muhasabah terhadap apa yang telah berlaku dalam hidupnya dan berusaha untuk membuat perancangan dalam memperbaiki apa jua kelemahan yang ada dalam diri masing-masing.

Azam Baru Perlu Selari dengan Syariat Islam


Apabila tiba tahun baru, maka tidaklah dilarang untuk seseorang itu menanamkan azam baru yang selari dengan syarak dan hendaklah pula dia bersungguh-sungguh untuk memastikan azam tersebut menjadi realiti dan bukan sekadar angan-angan.

Apa yang lebih baik, umat Islam mengutamakan sambutan tahun baru mengikut taqwim Islam. Ini kerana penggunaan taqwim Islam lebih wajar untuk diperluaskan dalam urusan-urusan harian di kalangan umat Islam sendiri. Mereka perlu merasa bangga terhadap agama Islam yang dianutinya serta syiar-syiar yang berkaitan dengannya.

Janganlah kita menjadi umat yang tidak mempunyai pegangan, lantas mudah terikut-ikut dengan budaya-budaya asing yang cuba ditanamkan dalam masyarakat kita dengan tujuan untuk menjauhkan kita daripada jalan yang lurus lagi diredhai Allah s.w.t.

Hindarkan diri kita daripada menjadi agen-agen yang mempopularkan gaya hidup musuh-musuh Islam serta memasyhurkan budaya-budaya kuning mereka sehingga ia mengalahkan atau menggantikan cara hidup dan akhlak-akhlak yang lebih Islamik.  Wallahua’lam.


 "Islam Menerajui Kepimpinan Madani"


Wan Muhammad Naif Bin Mohd Nordin
Yang Dipertua PMFPI UKM

No comments:

Post a Comment