Wednesday, August 1, 2012

Perutusan Ramadhan Ydp PMFPI

Assalamu’alaikum W.B.T…
      
           Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita rafa’kan kepada Allah swt, kerana masih lagi diberikan keberkatan umur untuk bertemu dengan Ramadhan yang mulia pada tahun ini. Selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad  saw yang menjadi contoh ikutan buat seluruh umat dalam melaksanakan segala bentuk ibadah kepada Allah swt.
                 
Sesungguhnya, Ramadhan merupakan bulan yang dikurniakan kepada kita untuk melaksanakan usaha-usaha ke arah perubahan, tajdid dan islah terhadap diri, keluarga, masyarakat dan negara khususnya dari aspek ruhiyyah dan jasadiyyah. Maqasid disyariatkan kita berpuasa pada bulan yang mulia ini tidak lain hanyalah untuk melahirkan seorang hamba yang benar-benar bertaqwa kepada Allah swt. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah swt di dalam surah surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud :

 “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” 

                Di kesempatan ini juga , saya mewakili barisan pimpinan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI), ingin mengucapkan selamat menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak kepada seluruh warga Fakulti Pengajian Islam. Rebutlah peluang yang ada dalam bulan barakah ini, dengan melipat gandakan amal ibadah beserta hati yang tulus ikhlas kerana Allah swt. Manfaatkan setiap hari di dalam bulan ini dengan memperbanyakkan amal soleh seperti membaca al-Qur’an, berzikir, berselawat, bersedekah, serta memelihara setiap anggota daripada melakukan perkara yang lagha dan maksiat. Sesungguhnya kesempatan yang hanya dikurniakan sekali dalam setahun ini belum tentu untuk kita rasai lagi pada tahun yang akan datang. 

                Akhir kalam, saya mendoakan agar seluruh warga Fakulti Pengajian Islam dikurniakan kesihatan dan kesungguhan untuk menjalani ibadah puasa dengan penuh keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt. Jadikanlah bulan Ramadhan ini sebagai varsiti untuk kita sama-sama mentarbiyyah nafsu dan hati agar sentiasa istiqamah dalam melaksanakan segala ibadah pada bulan-bulan yang lain.
Wallahualam.. 

 Ramadhan Kareem.....

Islam Pemangkin Generasi Tarbawi



MUHAMMAD RASYID BIN ISMAIL
Yang Dipertua,
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam
Universiti Kebangsaan Malaysia

No comments:

Post a Comment