Friday, August 31, 2012

AGAMA ITU NASIHAT

Firman Allah Ta'ala melalui surah (al-Hujurat,10)
"Bahawasanya orang-orang beriman itu bersaudara Maka damaikanlah kedua saudaramu (yg berselisih) dan bertaqwalah kepada Allah agar kamu mendapat rahmat."

Allah SWT berfirman sebagai pemberitahuan tentang keadaan Nabi Nuh a.s.:
"Aku menyampaikan amanat tuhanku, memberi nasihat kepada kamu…" (al-A'raf,62)
Dan tentang Nabi Hud a.s. firmanNya:
"Aku menyampaikan amanat tuhanku dan memberi nasihat terpecaya kepada kamu." (al-A'raf,68)

Dari Abu Ruqayyah Tamim bin Aus ad-Dari r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda: "الدين النصيحة ", Agama itu adalah merupakan nasihat.
Kita bertanya: "Untuk siapa? Baginda SAW. menjawab: "Bagi Allah, bagi kitabNya, bagi rasulNya, bagi pemimpin-pemimpin kaum muslimin serta bagi segenap umumnya ummat Islam." (Riwayat Muslim)

Keterangan:

Tunjang pokok dan tiang utama dalam Agama Islam adalah
nasihat. Kata "nasihat" itu merangkumi keseluruhan maksud dan pengertian yang bertujuan adalah untuk mendapatkan kebahagiaan bagi orang yang dinasihati.
Dalam Hadis diatas menjelaskan tentang pengertian nasihat itu, iaitu: Bagi Allah bahawasanya dengan beriman kepadanya dan mempercayai tanda-tanda kemuliaan Allah, bagi kitab Allah bahawasanya dengan mengamati dan menghayati setiap ertinya serta mengamalkan kesemua isi kandngannya. Bila sudah diamalkan, maka kita akan terkesan dengan jiwa sendiri. Bagi Rasul Allah ialah dengan mengikuti segala perintahnya dan menjauhi larangannya. Bagi pemimpin-pemimpin Islam, dengan meminta nasihat dan dorongan mereka mengenai hukum-hakam agama yang semuanya itu diambil dari al-Quran dan Hadis, dan bagi segenap ummat Islam dengan memimpin mereka kepada jalan yang benar serta diredhai Allah, serta menunjukkan kepada mereka apa yang baik (benar) dan apa yang buruk (salah).

Dari Jarir bin Abdullah r.a., katanya:
بايعت رسول الله عليه وسلم على اقام الصلاة وايتاء الزكاة والنصح لكل مسلم
"Aku membai’ah kepada Rasulullah s.a.w. untuk mendirikan solat, memberikan zakat dan memberi nasihat kepada semua orang Islam." (Muttafaq 'alaih)

Ketiga: Dari Anas r.a. dari Nabi s.a.w. sabdanya:
"Tidak sempurna imana seseorang itu sehingga ia mencintai saudaranya - sesama (muslimin) perihal apa-apa yang ia mencintai untuk dirinya sendiri." (Muttafaq 'alaih)

Keterangan:

Saudara yang dimaksud di sini ialah, menurut huraian Ibn 'Imaad ialah bukan hanya sesama Islam sahaja, tetapi menyeluruh, sehingga orang kafir pun termasuk di dalamnya, iaitu harus kita mengasihi mereka, sebagaimana kasihnya kita akan diri sendiri. Cinta kepada saudara yang kafir ialah dengan mengajak dan menceritakan tentang islam kepadanya, moga-moga dia mendapat hidayah daripada Allah dan masuk Islam. Kerana itu disunnahkan mendoakan orang kafir itu agar mendapat petunjuk. Adapun cinta kepada saudara muslimin ialah dengan terus-menerus berkasih sayang agar ia sentiasa tetap dalam keIslamannya.



Terjemahan daripada :
Kitab Riyadus Sholihin oleh Imam Nawawi r.a, Bab 22.

No comments:

Post a Comment