Friday, December 6, 2013

PMFPI UCAP TAHNIAH : UPM, UKM tersenarai dalam 100 universiti terbaik negara membangun


December 05, 2013
Dua universiti Malaysia berjaya memasuki senarai 100 universiti terbaik di negara membangun, seperti dilaporkan dalam The Times Higher Education (THE) hari ini.
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)  menduduki tempat ke-77 manakala Universiti Putra Malaysia (UPM) di tempat ke-95 dalam senarai itu.
Editor THE, Phil Baty, berkata berdasarkan penyenaraian itu, kedua-dua university di Malaysia iaitu UKM dan UPM berjaya bersaing di atas “padang yang sama rata”.
"Tetapi, perjalanan masih jauh untuk kedua-dua universiti terbaik di Malaysia ini untuk bersaing dengan yang terbaik di dunia," katanya.
Senarai itu diambil daripada university di 22 negara membangun dengan menggunakan petunjuk prestasi sama seperti yang digunakan THE untuk ranking universiti di dunia.
Ia adalah senarai pertama seumpamanya untuk membandingkan prestasi universiti antara negara membangun termasuk lima negara baru muncul daripada segi ekonomi iaitu Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan (BRICS).
Malaysia masih gagal mendapatkan tempat dalam kedudukan THE Universiti Sedunia tahun ini, walaupun Kementerian Pelajaran mendapat peruntukan terbesar dalam bajet kerajaan persekutuan untuk disenaraikan.
Kementerian menerima RM38.7 bilion tahun ini dan ia akan menerima RM54 bilion pada 2014.
Walaupun jadual itu menunjukkan dua universiti Malaysia disenaraikan, namun ia masih ketinggalan di belakang Thailand.
Thailand mempunyai lima universiti dalam 100 institusi terbaik dengan Universiti King Mongkut of Technology, Thonburi berada di kedudukan tertinggi iaitu di tempat ke-29.
Bagaimanapun, Malaysian boleh berbangga kerana mengalahkan institusi teratas Indonesia iaitu Universitas Indonesia dan Universiti Filipina, di Filipina apabila kedua-duanya tidak tersenarai.
China menjadi yang terbaik dengan dua universitinya iaitu Universiti Peking dan Universiti Tsinghua menduduki tempat pertama dan kedua.
Negara komunis itu juga menduduki tempat teratas dengan 23 universitinya disenaraikan, dan THE memanggil negara ini sebagai "kuasa besar pendidikan tinggi" .
"Daripada 'BRICS', dominasi China seharusnya menjadi bukti apa yang boleh dicapai jika negara meletakkan pembangunan cemerlang dalam penyelidikan dan pendidikan tinggi di tengah strategi ekonominya," kata Baty.
Taiwan, sebuah pulau kecil, mempunyai 21 institusi dalam senarai 100 terbaik manakala India mempunyai 10 universiti dalam senarai itu.
Malah, Turki lebih baik daripada Malaysia dengan tujuh universitinya termasuk dalam 100 terbaik, termasuk tiga adalah dalam senarai 10 teratas .
Bog Azici Universiti adalah di tempat ke-5, diikuti dengan Universiti Teknikal Istanbul (ke-7) dan Universiti Teknikal  Timur Tengah (ke-9) .
Secara keseluruhannya, 10 institusi teratas adalah dari lima negara iaitu China, Afrika Selatan, Taiwan, Turki dan Rusia.
Kajian universiti yang diterbitkan pada September oleh Quacquarelli Symonds (QS ) itu menyaksikan Universiti Malaya sebagai satu-satunya universiti di Malaysia yang termasuk di kalangan 200 teratas dalam ranking itu. Namun, ia jatuh daripada 156 pada 2012 kepada 167 pada tahun ini.
THE BRICS & Negara Membangun adalah tambahan terkini kepada ranking Times.
Penilaian ranking The Times berdasarkan kepada kekuatan sebuah universiti dengan menggunakan 13 petunjuk bagi mengukur pengajaran, penyelidikan, pemindahan pengetahuan dan wawasan antarabangsa yang diuruskan oleh Thomson Reuters dengan mengumpul data secara bebas, menganalisis dan mengesahkan data. - 5 Disember, 2013

Sumber :
http://www.themalaysianinsider.com/bahasa/article/upm-ukm-tersenarai-dalam-100-universiti-terbaik-negara-membangun


Alhamdulillah, PMFPI mengucapkan Tahniah kepada Universiti Kebangsaan Malaysiakerana tersenarai dalam 100 universiti terbaik Negara Membangun.
Syukuri nikmat menuntut ilmu, kerana ia jalan menuju akhirat yang abadi.
Ketahuilah tujuan sebenara kita berada di sini untuk menuntut ilmu, oleh itu, penuhi peluang ini dengan sebaik mungkin. Isilah masa dengan sistematik. Semoga kita semua tergolong dalam golongan hamba yang mensyukuri nikmat-Nya.



-Exco Lajnah Informasi dan Penerbitan PMFPI sesi 2013/2014

.:: Islam Pemangkin Generasi Tarbawi ::.
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam.

No comments:

Post a Comment