Friday, March 12, 2010

Akhlak seorang hamba

Pakaian manusia adalah akhlak. Indah peribadi kerana akhlak. Akhlak mesti dijaga bukan sahaja sesama manusia tetapi juga akhlak kita kepada Allah, Tuhan pemilik langit dan bumi serta segala apa yang ada di dalamnya. Persoalannya ialah bagaimana cara untuk kita berakhlak terhadap Allah s.w.t.?

Cara berakhlak kepada Allah

Menerima berita-Nya dengan cara membenarkannya.

Berakhlak dengan Allah dengan cara ini bermaksud tidak boleh ada sebarang keraguan pada diri manusia dalam mempercayai berita Allah Taala (al-Quran) kerana berita Allah adalah bersumberkan ilmu dan Allah adalah yang paling benar ucapanNya, sebagaimana Allah berfirman tentang diriNya :
...Siapakah yang lebih benar ucapannya daripada Allah? ” ( an-nisaa’:87)

Oleh itu, manusia mesti membenarkan berita daripada Allah, membelanya serta memperjuangkannya tanpa sebarang keraguan. Apabila seseorang berakhlak dengan akhlak seperti ini ,maka tentunya dia akan menolak semua dakwaan yang disebarkan oleh orang-orang yang tidak senang dengan berita Allah yang disampaikan melalui rasulNya Muhammad s.a.w.

Menerima hukum-hukumNya dengan cara melaksanakannya

Bermaksud manusia wajib menerima , melaksanakannya dan menerapkannya sepenuhnya. Jika seseorang itu menolak sedikit sahaja daripada hukum Allah bermaksud dia telah berakhlak dengan akhlak yang jelek terhadap Allah sama ada dia menolak kerana mengingkari hukum-hukumNya ataupun menolaknya kerana takbur kepada Allah. Terdapat perbezaan antara orang yang menerima dengan redha hukum Allah dengan mereka yang sebaliknya. Contohnya dalam ibadah solat. Sepertimana yang diketahui bahawa solat itu amatlah berat untuk dilakukan melainkan begi mereka yang khusyuk sahaja. Ini bermaksud bagi mereka yang merasakan rendah diri terhadap Allah sahaja yang akan melaksanakan hukum-hukum Nya kerana ibadah itu dirasakan sebagai satu kemanisan kerana dapat berhubung dengan Allah kekasih sejati di hati para mukminin. Berbeza dengan mereka yang tidak redha menerima hukumNya, mereka akan melakukan ibadah dengan rasa terbeban. Malah mereka mungkin mengabaikannya.

Menerima TakdirNya dengan sabar dan redha

Bermaksud manusia hendaklah bersabar dan redha atas apa yang ditakdirkan. Segala kesulitan yang dialami seperti sakit, kemiskinan dan kegelisahan pastinya akan membuat kita berasa sedih. Namun akhlak yang baik terhadap Allah dalam hal ini adalah kita merasa redha dan tenteram dan meyakini bahawa Allah tidak menimpakan ke atas kita dengan ujian sebegitu melainkan ada hikmah di sebaliknya. Allah memuji mereka yang apabila ditimpakan ujian lalu mereka mengatakan ”inna lillah wa inna ilaihi rajiuun”. Allah berfirman :” Dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar” ( al-baqarah : 155)

Oleh itu kita hendaklah menjaga akhlak kita terhadap Allah s.w.t. Semoga ibadah kita diterima olehnya. Semoga kita tabah dan redha terhadap takdir Allah ke atas kita.

No comments:

Post a Comment