Friday, May 7, 2010

Cemerlang dengan Wawasan

Dan antara mereka ada yang berkata, “Wahai Tuhan kami kurniakanlah kepada kami hasanah dari dunia dan hasanah di akhirat dan jauhkan kami dari api neraka”.

Untuk berjaya individu itu perlu mempunyai matlamat dan wawasan. Al-Quran menjelaskan berkenaan wawasan ini dengan indah sekali. Melalui ayat di atas, Tuhan menjelaskan wawasan ini dalam bentuk doa. Doa ini disebut berulang-ulang kali setiap hari oleh umat Islam di dalam dan di luar sembahyang.

Dalam Musnad Imam Ahmad dinyatakan, Imam Qatadah bertanya kepada sahabat nabi, Anas Bin Malik, ”Apakah doa yang paling banyak disebut oleh Nabi?” Anas menjawab, ” Doa itu adalah, ”Wahai tuhan kami, kurniakanlah hasanah bagi kami di dunia dan juga akhirat dan jauhkanlah kami dari azab neraka”.

WAWASAN HASANAH

Wawasan yang terdapat dalam ayat ini boleh dinamakan sebagai ’wawasan hasanah’. Hasanah boleh diertikan sebagai kebaikan dan kebahagiaan. Kebaikan dan kebahagiaan yang dikejar oleh umat Islam adalah di dunia dan akhirat.

Berhubung dengan ayat ini, Imam Ibn Kathir di dalam Tafsir al-Quran al-Azim mengatakan bahawa doa ini menghimpunkan segala kebaikan di dunia di samping mengandungi permintaan supaya dijauhkan daripada segala keburukan. Hasanah di dunia merangkumi segala perkara yang diperlukan di dunia antaranyakesihatan, tempat tinggal yang baik, isteri atau suami yang baik, murah rezeki, ilmu yang bermanfaat, amalan yang salih, kenderaan yang baik, pujian yang baik dan selain itu. Adapun hasanah di akhirat setinggi-tinggi anugerahnya adalah Syurga. Disamping itu , ia juga merangkumi aspek-aspek ukhrawi seperti diamankan daripada kedahsyatan akhirat, dipermudahkan hisab dan seumpamanya.

PELBAGAI HASANAH DI DUNIA

Antara hasanah di dunia yang diperlukan oleh manusia adalah kesihatan. Melaluinya, banyak amal dan kebajikan dapat dilakukan dari semasa ke semasa.

Harta benda yang halal lagi mencukupi juga diperlukan oleh manusia. Ia bukan sahaja dapat membantu kehidupan individu, malah kadangkala ia juga membantu iman individu itu. Menurut Imam Baihaqi dan Abu Muslim al-Laithi, nabi berkata bahawa ”Hampir-hampir kemiskinan itu membawa kepada kekufuran” .

Menurut Imam Bukhari dan Muslim, nabi pernah menasihati sahabat Saad bin Abi Waqqas dengan berkata ” Kamu meninggalkan waris-warismu dalam keadaan kaya raya adalah lebih baik bagimu daripada kamu meninggalkan mereka dalam keadaan miskin sehingga mereka terpaksa meminta-minta kepada orang lain”.

Pasangan hidup yang baik serta keluarga yang harmoni adalah aset penting yang dapat membantu individu mencapai kebahagiaan hidup di dunia. Oleh kerana aspek ini penting, Tuhan mengajar umat Islam sebuah doa yang berkait rapat dengannya. Surah Furqan ayat 74 bermaksud ”(Antara sifat hamba-hamba Allah yang digelar sebagai ibad ar-Rahman) ialah mereka berdoa ’wahai tuhan kami anugerahkanlah kepada kami pasangan-pasangan hidup dan keturunan yang menyenangkan hati-hati kami”.

Ilmu pengetahuan yang luas juga tidak boleh diabaikan. Ia adalah kekuatan yang boleh membawa manusia kepada kejayaan di dunia serta akhirat. Dengan kekuatan ilmu, manusia dapat mengatasi segala makhluk termasuk jin ifrit. Allah menjelaskan dalam surah al-Mujadalah ayat 11 yang bermaksud ”Allah mengangkat orang - orang yang beriman di kalangan kamu dan orang – orang yang berilmu dengan beberapa darjat.

HASANAH DI AKHIRAT LEBIH UTAMA

Dunia bukanlah destinasi terakhir manusia. Sebaliknya ia hanyalah persinggahan bagi mengambil bekalan. Destinasi terakhir yang sepatutnya menjadi fokus semua manusia adalah akhirat. Justeru hasanah di akhirat adalah lebih baik dan lebih wajar diutamakan.

Surah al-Ankabut ayat 64, Allah berfirman ”Dan tiadalah kehidupan dunia ini melainkan senda gurau dan main-main. Dan sesungguhnya akhirat itulah yang sebenarnya kehidupan jika mereka mengetahui.”

Umat islam menganggap dunia sebagai ladang bercucuk tanam dan akhirat sebagai tempat menuai hasilnya. Justeru, mereka tidak sepatutnya menjadi golongan yang hanya mementingkan kejayaan di dunia semata-mata.

Pelbagai bentuk hasanah yang dibicarakan sebelum ini seperti kesihatan, harta benda, pasangan hidup, ilmu dan seumpamanya hanyalah alat yang sepatutnya digunakan bagi membantu pencapaian di akhirat. Namun, ramai manusia yang terpedaya kerana menganggapnya sebagai perkara terpenting dalam hidup. Sebenarnya perkara terpenting dalam hidup adalah berusaha mendapatkan rahmat Allah di akhirat iaitu Syurga.

Di Syurga, kebahagiaan yang dikecapi tidak ada tolok bandingannya. Dalam sebuah hadis Qudsi yang dinyatakan oleh imam bukhari dan muslim, sabda nabi, ” (Allah berfirman) Aku (Allah) telah sediakan bagi hamba-hambaku yang salih (nikmat) yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak pernah dirasai oleh hati manusia”.

Dipetik daripada Cemerlang dengan wawasan, Tip-tip cemerlang daripada Quran, Dr. Danial Zainal Abidin.

No comments:

Post a Comment