Friday, December 30, 2011

Ulasan Citra Siswi~ Kanser : Dia Datang Tanpa Diduga


Program Citra Siswi terakhir bagi semester ini tampil dengan tajuk “Kanser Dia Datang Tanpa Diduga” dengan kupasan oleh penceramah yang sangat berpengalaman dalam bidang ini iaitu Cik Norazimah Binti Norman ( usahawan Syarikat Avail Beauty Sdn.Bhd). Kupasan kali ini adalah berkaitan penjagaan kesihatan wanita sebagai panduan dalam kehidupan. Apa yang dapat kita gambarkan berkaitan tajuk ini pada awalnya ialah ia berkaitan dengan kanser yang merupakan salah satu penyakit yang sangat merbahaya pada hari ini. Sebagaimana yang kita maklum, kanser menyerang sesetengah wanita serta merupakan salah satu punca yang menyebabkan kematian wanita pada hari ini.



Penceramah telah memberi penjelasan tiga jenis penyakit kanser iaitu kanser servik atau pangkal rahim, kanser payudara dan kanser usus. Kanser payudara merupakan kanser pertama yang membunuh wanita pada hari ini manakala pembunuh wanita yang kedua di Malaysia ialah kanser servik atau pangkal rahim. Sebagai wanita kita harus sedar bahawa kita telah dianugerahkan oleh Allah S.W.T suatu anugerah yang sangat istimewa dan berharga dalam kehidupan kita iaitu Rahim. Persoalannya disini adakah anugerah istimewa ini disyukuri, dihargai atau dipersiakan? Penceramah telah menjelaskan beberapa aspek penting yang perlu diambil berat dalam usaha mencegah penyakit ini. Antara aspek penting yang dimaksudkan ialah berkaitan dengan perkara-perkara yang berlaku kepada wanita normal iaitu seperti kitaran haid, keputihan, senggugut dan sebagainya.



Perkara-perkara diatas sangat penting dan perlu diambil berat dan tidak boleh dipandang remeh oleh setiap wanita kerana ia sangat berkait rapat dengan kanser pangkal rahim. Hal ini kerana contohnya berkaitan dengan keputihan yang berlaku kepada wanita normal, walaupun begitu setiap wanita perlu mengambil tahu mengenainya kerana keputihan berbeza-beza berlaku kepada wanita iaitu salah satunya dapat dikenalpasti melalui warna iaitu keputihan yang sebenarnya adalah berwarna putih jernih dan tidak berbau serta tidak menyebabkan kegatalan. Namun melalui penerangan dalam ceramah yang disampaikan oleh Cik Norazimah, jelaslah kepada kita semua bahawa keputihan ini boleh berubah melalui perubahan yang berlaku pada diri seseorang wanita iaitu seperti perubahan hormon, mental, jangkitan kuman, pengamalan ubat-ubatan, penyakit dalaman dan sebagainya. Perubahan-perubahan ini dapat kita kenal pasti melalui warna keputihan yang akan berubah daripada warna asalnya putih jernih kepada warna kuning, hijau dan coklat yang biasanya kelihatan seakan-akan bercampur dengan darah. Sesiapa yang mengalami masalah keputihan yang berwarna selain daripada warnanya yang sebenar, mereka haruslah berwaspada kerana kemungkinan ia dijangkiti kulat atau ia merupakan tanda-tanda awal kepada penyakit-penyakit tertentu.



Selain itu, penceramah juga menyentuh berkaitan dengan senggugut yang merupakan salah satu penyakit yang biasa dialami oleh kebanyakan wanita apabila datang haid, menurut penceramah senggugut ini terbahagi kepada dua jenis iaitu yang pertama dikenali sebagai Dismenorea prima yang kebanyakannya berlaku kepada mereka yang permulaan datang haid lebih awal iaitu pada sekitar umur 12 tahun, dan dipercayai senggugut ini kebiasaannya akan hilang apabila seseorang wanita itu berkahwin. Manakala senggugut yang kedua pula dikenali sebagai Dismenorea Sekunder yang dikatakan dialami oleh wanita selepas dua tahun daripada period yang pertama dan senggugut jenis ini sukar sedikit untuk diubati. Dalam hal ini penceramah juga turut mengingatkan tentang pengambilan ubat tahan sakit yang tidak boleh dijadikan tabiat apabila mengalami senggugut kerana ia akan menyebabkan kesan sampingan seperti gangguan terhadap hormon lain dan pengambilannya secara kerap dan berterusan juga boleh menyebabkan seseorang mandul.



Di samping itu, setiap wanita juga perlu menyedari perubahan-perubahan lain yang berlaku kepada mereka seperti sering terjadi persoalan kenapa haid sedikit, kenapa haid datang terlalu kerap dan sebagainya yang kadangkala berlaku kepada wanita, dan hal ini hendaklah diambil tindakan segera iaitu mengenal pasti apakah puncanya, seterusnya mencari rawatan yang sesuai atau mendapatkan nasihat doktor untuk mengelakkan daripada berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini.



Sebagai wanita, kita juga harus peka kepada isu-isu semasa seperti mengenali penyakit-penyakit terkini yang berlaku kepada wanita, mengetahui punca-puncanya serta cara-cara dan teknik mencegah dan merawatnya. Antara penyakit terkini wanita yang patut kita ketahui ialah seperti penyakit Fiberoid iaitu sejenis ketumbuhan dan ia bukan sejenis kanser tetapi ia boleh memberi kesan kepada sesetengah organ dalam tubuh badan seseorang dan berlakunya masalah seperti gangguan pundi kencing, rahim turun, kekurangan darah, ketidaksuburan, gangguan haid dan ia juga merupakan salah satu punca kepada kemandulan seseorang wanita.



Selain fiberoid, penyakit yang lain sering terjadi kepada wanita pada masa kini ialah Endometriosis iaitu ketulan-ketulan darah beku yang terdapat dikawasan ovari. Penyakit ini boleh dikatakan penyakit yang merbahaya kerana ia juga boleh menyebabkan kemandulan dan disamping itu, wanita yang mengalaminya akan mengalami senggugut yang teruk, haid yang terlalu panjang sehinggakan sesetengah yang mengalaminya juga terpaksa dibuang ovari dan sekiranya yang mengalami penyakit ini hamil, maka peratus keguguran bayi amat tinggi. Oleh itu, sekiranya kita belum tahu tentang penyakit-penyakit ini, kita sebagai wanita sepatut dan seharusnya mengambil tahu mengenainya, dan sekiranya kita telah tahu, kita hendaklah mengambil langkah pencegahannya.



Menurut penceramah, kanser servik atau kanser pangkal rahim ini biasanya pada peringkat awal tiada sebarang tanda atau kesakitan berlaku yang menunjukkan seseorang menghidapinya, tetapi ia kebiasaannya dapat dikenal pasti apabila berada pada tahap yang parah dan teruk dan kesan yang dapat diketahui ialah dengan berlakunya pendarahan ketika bukan waktu haid, discharge (benda yang keluar selain air kencing dan darah haid) menjadi lebih banyak dan mengalami kesakitan pada pinggang dan pinggul ketika bersama. Antara golongan wanita yang berisiko mengalami penyakit ini ialah golongan yang berumur 40-50 tahun.



Penceramah dalam pengisian ceramahnya juga turut menerangkan tentang kajian-kajian terhadap punca-punca berlakunya kanser iaitu antaranya ialah:



❀ ܓ Amalan pemakanan yang tidak sihat seperti makanan yang mengandungi bahan berkarsinogen dan mekanan yang dimasak menggunakan microwave oven.



❀ ܓ Gaya hidup iaitu penggunaan produk tertentu dalam kehidupan seharian, tekanan atau stress, kurangnya aktiviti bersenam dan sebagainya.



❀ ܓ Aliran sekutan iaitu seperti dalam penggunaan telefon bimbit, pencawang eletrik, gelombang mikro dan lain-lain lagi.



Penceramah turut menjelaskan mengenai punca masalah haid dan sakit puan yanga boleh dikatakan berlaku kepada 1/10 wanita pada masa kini iaitu disebabkan penggunaan tuala wanita berkualiti rendah, hal ini kerana tuala wanita yang berkualiti rendah ini kalau dilihat daripada proses penghasilannya sangatlah tidak selamat digunakan kerana ada sesetengah daripadanya diperbuat daripada pulpa kayu (serbuk kayu), sampah, bahan kitar semula seperti kertas dan sebagainya yang telah diproses untuk dijadikan tuala wanita.



Setelah kita ketahui punca-punca atau bahan yang digunakan dalam penghasilan tuala wanita berkualiti rendah ini kita dapat gambarkan pelbagai virus, kuman dan sebagainya akan terdapat didalamnya dan sebenarnya tuala wanita yang dihasilkan melalui proses tersebut mengandungi sejenis bahan yang dikenali sebagai Dioxsin yang sangat berbahaya kepada wanita dan boleh menyebabkan penyakit dan masalah seperti kanser, sakit puan, kemandulan, keguguran, gangguan janin dalam kandungan, kecacatan bayi dan lain-lain lagi. Justeru itu, pemilihan tuala wanita yang bermutu tinggi dan berasal daripada kapas amatlah perlu untuk menjaga kesihatan dan mencegah daripada berlakunya penyakit-penyakit yang tidak diingini seperti kanser servik.



Selain menjelaskan berkaitan kanser payudara dan kanser servik, penceramah turut menyentuh berkaitan dengan kanser usus (raktom) yang dikatakan pembunuh ketiga penduduk Malaysia. Kanser usus ini dikatakan berpunca daripada pemakanan yang tidak seimbang yang menyebabkan toksin berlebihan dalam badan. Antara tanda-tanda toksin berlebihan dalam badan ialah berlakunya masalah gangguan tidur, perasaan sering tersinggung, penyakit kulit dan sebagainya. Menurut penceramah bagi mencegah daripada kanser usus ini satu perkara yang perlu sentiasa kita ingat iaitu “ Kita Adalah Apa yang Kita Makan”.



Kesimpulannya, kupasan kali ini sangat memberi manfaat dan memberi maklumat-maklumat yang baru kepada kita khususnya golongan mahasiswi berkaitan dengan kanser dan penjagaan kesihatan sebagai wanita. Adalah amat diharapkan perkongsian ini dapat membuka minda dan kesedaran kita semua untuk menjaga dan menitikberatkan kesihatan agar penyakit berbahaya dapat dicegah. InsyaAllah. Perkongsian ini khusus ditujukan buat mahasiswi kerana dirimu begitu berharga. Maka, peliharalah apa yang dianugerahkan Allah kepada kita. Akhir kalam, jaga diri serta hiasi peribadi dengan akhlak Islam yang indah buat penyuluh jalan ke Syurga.

ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI









No comments:

Post a Comment