Sunday, August 30, 2009

PERUTUSAN PRESIDEN PERSATUAN MAHASISWA FAKULTI PENGAJIAN ISLAM SESI 2008/2009


Bismillahirrahmanirrahim..
Salam Ramadhan buat mahasiswa mahasiswi dan seluruh warga Fakulti Pengajian Islam. Segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam ini yang masih memberikan kesempatan kepada kita semua untuk bersama-sama menikmati kehidupan ini seterusnya berpeluang beribadah pada Bulan Ramadhan yang mulia ini. Selawat dan salam juga buat Nabi junjungan besar kita, Nabi Muhammad s.a.w di atas pengorbanan baginda, kita masih lagi dapat mengecapi kenikmatan Islam dan Iman.

Ramadhan merupakan satu bulan yang dijanjikan oleh Allah s.w.t dengan pelbagai kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain. Antara kelebihannya,digandakan ganjaran bagi mereka yang beramal ibadah. Pahala amalan-amalan sunat dinaik taraf kepada amalan fardhu dan amalan fardu digandakan sehingga 70 kali ganda. Inilah yang dikatakan penterjemahan sifat ar-Rahim Allah kepada kita semua. Ramadhan memperlihatkan kepada kita suasana umat Islam yang sedikit berbeza. Kita dapat lihat umat Islam beramai-ramai mengimarahkan masjid-masjid. Al-quran dijadikan amalan harian sedangkan perkara-perkara ini tidak berlaku sepertimana di bulan yang lain. Namun itulah yang dikatakan keunikan Ramadhan.

Mengambil pengajaran dari sejarah, diceritakan banyak peristiwa penting yang berlaku atau tercetus di bulan Ramadhan. Antaranya kejayaan umat Islam mengalahkan kaum kafir Quraisy dalam peperangan Badar al-Kubra yang mana kuantiti umat Islam ketika itu amat sedikit berbanding tentera di peringkat musuh. Namun kemenangan tetap dicipta sekalipun jika dinilai akal agak mustahil. Ini membuktikan Allah bersama-sama dengan golongan yang benar dan bersungguh-sungguh untuk membawa Islam. Pengajaran yang boleh kita ambil selaku mahasiswa dari peristiwa ini adalah kesungguhan diperlukan dalam kita melaksanakan segala perkara termasuklah dalam mendalami ilmu.


Selaku mahasiswa FPI, peluang memperoleh syafaat di bulan Ramadhan ini perlu direbut sepenuhnya bagi menambahkan rasa cinta dan taqarrub kita terhadap Pencipta Alam ini berdasarkan pengetahuan yang ditimba di perbukitan ilmu ini. Ilmu yang diperolehi di dewan-dewan kuliah dan bilik-bilik tutorial begitu banyaknya dan amat bernilai untuk menambahkan kefahaman terhadap Islam itu sendiri. Apa yang lebih penting untuk kita semua supaya lebih mengenali Pemilik sebenar segala ilmu tersebut.

Tanggungjawab kita semua terhadap ilmu adalah mempelajari, mengamalkan dan perlu disebarkan kepada insan lain. Sekiranya ketiga-tiga perkara ini terlaksana barulah kita dikatakan mencapai matlamat dalam menuntut ilmu. Bagi membolehkan perkara di atas terlaksana memerlukan kepada niat yang suci dan perlu dituruti dengan adab-adab dalam menuntut ilmu.Sebagai mahasiswa seharusnya kita mengambil berat berkaitan adab sebagai murid kepada guru. Adab pelajar antaranya adab ketika bertanya. Tujuan anak murid bertanya adalah untuk mendapat kepastian atau penerangan yang lebih jelas tentang sesuatu ilmu bukannya untuk menilai tahap keilmuan guru tersebut. Tidak beradap juga murid membanding-bandingkan pandangan gurunya dihadapan guru yang lain kerana mungkin terdapat sedikit perbezaan dalam mereka memberi pandangan. Oleh itu mahasiswa perlu berhati-hati dalam masalah adab ini kerana takut-takut murid menjadi punca perselisihan antara guru-guru mereka.

Di bulan yang mulia ini marilah kita bersama-sama mengambil peluang menyelesaikan permasalahan diantara kita. Saling memaafi kerana kita tetap hamba kepada Allah yang Maha Memaafkan. Semoga Ramadhan kali ini menjadi titik tolak kepada perubahan yang lebih baik. Saya mewakili pimpinan di peringkat Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam mengucapkan Selamat Menyempurnakan Bulan Ramadhan. Diharapkan kita semua dapat mencapai mardhatillah, hati-hati ini lebih telus takut dan cintanya kepada Allah. Salam Ramadhan.
"GENERASI BARU HARAPAN PENGISLAH UMMAH"
Ikhlas dari:
MUHAMMAD ZAID BIN SABRAN,
YANG DIPERTUA,
PERSATUAN MAHASISWA FAKULTI PENGAJIAN ISLAM.


No comments:

Post a Comment