Wednesday, August 12, 2009

TAZKIRAH BUAT SEORANG PEMIMPIN

Mungkin pada orang lain yang tidak memahami, amanah itu bukanlah suatu keinginan, bukan juga suatu wasilah untuk mencari popularity. Namun kita perlu sedar, amanah dan tanggungjawab kita adalah untuk memelihara kelangsungan tarbiyah di bumi ini. Bukan hanya menjadi perbualan dan gelaran yang acapkali disogok kepada bumi ini (bumi tarbiyah), tetapi memastikan ia sungguh menjadi realiti yang tidak pupus dihanyut maksiat dan noda.

Kita jangan sesekali merasa gah dengan kedudukan ini. Jangan sesekali ada sekelumit, jikalau ada cepat-cepat kita menangkisnya kerana pasti itu bisikan syaitan yang selalu ingin menyesatkan kita. Kita semua tahu, kedudukan bukan kebanggaan! Tidak sekali-kali. Jadi jangan meletakkan platform sebagai pimpinan ini adalah untuk dikenali ramai dan yang sebetulnya, kita mesti merasakan diri kita ini adalah penyumbang kepada masyarakat umumnya dan mahasiswa fakulti kita sendiri.

Kita ini adalah pemimpin, maka pemimpin akan dipertanggungjawabkan atas setiap apa yang dipimpinnya. Kita juga perlu sedar, amanah seorang pemimpin ini adalah suatu yang cukup berat dan bebanannya amat tinggi. Sukar bagi kita. Ya lah.. jika dulu kita bersenang lenang tanpa membahagikan masa, tapi kini sudah tidak lagi. Masa yang ada semua dipenuhi dengan amanah yang kita ada. Itulah uniknya pimpinan, lebih hebat lagi jika pimpinan yang pandai bahagikan masa lantas Berjaya dalam peperiksaan dengan baik. Tidak pelik dan bezakah? Pimpinan yang masanya cukup terhad kadangkala lebih hebat dalam pencapaian akademik. Tidak pelikkah? Masa pimpinan lebih dipenuhi dengan amanah, namun disana ada suatu persoalan, pada masa mana pula pimpinan membahagikan masa untuk belajar?

Nah! Jika kalian lihat, inilah janji Allah. Jika kita hayati dan yakini janji Allah itu, pasti kita tidak akan ragui dan merungut sama sekali. Masakan tidak,  Allah sudah janji pada hambaNya “Intan surullaha yansurkum, wa yutsabbit aqdamakum”. Akan tetapi jangan kalian jadikan ayat ini sebagai suatu proksi untuk bermalas-malasan tanpa usaha. Kita mesti ingat juga, Allah akan menilai usaha kita sebelum memberi hasilnya.

Insan-insan jundullah,

Antum lah harapan Ummah, harapan untuk melihat kebangkitan kembali Islam yang sudah lelah ditindas kini. Kita adalah bakal penyumbang kepada revolusi itu, revolusi gelombang hijau yang akan menggegarkan lantas menguasai seluruh dunia. Itulah janji Allah. Hingga tiada lagi fitnah di bumi ini. Sudah pasti indahnya saat itu. Namun perjalanan kita masih jauh berliku batu. Bekalan yang amat-amat penting ialah ilmu dan tarbiyah. Tanpa itu, lumpuhlah kita. Ingat, kita adalha penyambung mata rantai, jika kita yang menghancurkan, siapa lagi yang akan membangunkan?

Ikhwah dan akhwat fillah,

Tidak layak hakikat kita di sini, tetapi dengan pilihan yang Maha Kuasa kita akan tetap di sini walau diganggu gugat, ditekan dan diinjak-injak. Walau diancam kiri dan kanan, walau ditusuk hadapan dan belakang. Dengan izin Tuhan  yang Maha Penyayang, kita akan tetap di sini. Sedar dan yakinlah sahabat-sahabat penggerak Islam, taklifan dan jawatan ini tidak sekali-kali kita cari, apatah lagi meminta, segalanya milik Allah. Dan tiada yang layak mengukur keikhlasan kita selain Allah swt.

Teman-teman,

Sokong dan dokonglah jika Islam yang kita bawa. Jika ternyata yang kita telah engkar dan membawa selain Islam, maka sama-samalah kita sedar akan kesilapan ini. Jangan menjadi tangan-tangan yang menghancurkan tubuh-tubuh yang sedaya upaya membantu dalam menegakkan Islam ini. Besar harapan, kita sama-sama tergolong dalam golongan yang disebut Tuhan kita lah Ansarullah. Amin...

 Ikhlas dari,

SYIFAK BT MOHD RODZI
NYDP II
PERSATUAN MAHASISWA FAKULTI PENGAJIAN ISLAM
UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA. 

No comments:

Post a Comment