Saturday, August 6, 2011

MENDIDIK DIRI MELALUI UNIVERSITI RAMADHAN

Segala kepujian dan kesyukuran di atas segala kenikmatan yang diberikan oleh Allah s.w.t pentadbir seluruh alam.Allah s.w.t mengurniakan kepada seluruh hambaNya terutamanya kita umat Islam 12 bulan mulia,bermula dengan Muharram dan berakhir dengan ZulHijjah.Setiap bulan mempunyai keistimewaan yang tersendiri yang telah Allah tetapkan kepada kita.Di dalam 12 bulan yang Allah s.w.t kurniakan kepada umat Islam terdapat satu bulan yang paling istimewa iaitu bulan Ramadhan.

Secara umumnya telah kita ketahui bahawa bulan Ramadhan kita diwajibkan untuk mengerjakan ibadah puasa .Ada dikalangan umat Islam apabila datangnya bulan ini merasa sedih kerana tidak dapat makan dan minum pada siang hari iaitulah golongan fasik yang sentiasa melakukan kemaksiatan kepada Allah.Terdapat juga umat Islam yang bergembira dengan kedatangan bulan ini iaitulah golongan yang beriman kepada Allah kerana mereka mengetahui kelebihan dan keistimewaan bulan ini dari bulan-bulan yang lain.Allah s.w.t telahmenyebut di dalam Al-Quran tentang bulan Ramadhan sebagaimana firmanNya:

شهر رمضان الذي أنزل فيه القرأن
Bulan Ramadhan adalah bulan yang diturunkan padanya Al-Quran

Nabi Muhammad s.a.w sentiasa mendoakan kedatangan bulan Ramadhan sebagaimana hadis yang disabdakan Baginda:
اللهمّ بارك لنا في رجب و شعبان وبلّغنا رمضان
Ya Allah berilah keberkatan kepada kami dalam bulan Rajab dan Syaaban serta sampaikanlah kepada kami bulan Ramadhan

Doa yang diucapkan Baginda Nabi Muhammad s.a.w menunjukkan betapa istimewanya bulan Ramadhan sehingga ditunggu-tunggu kemunculannya dan ditangisi pemergiannya.Apakah keistimewaan bulan ini?

Persoalan ini sentiasa timbul bagi golongan awam yang hanya berpuasa sekadar menahan diri dari makan dan minum pada siang hari sedangkan perkara-perkara haram lain tetap dilakukan.Maka teramat rugilah golongan ini kerana tiada apa-apa yang diperolehi oleh mereka melainkan lapar dan dahaga sebagaimana disabdakan Nabi Muhammad s.a.w:

كم من صائم ليس له من صيامه إلا الجوع والعطش
Berapa ramai mereka yang berpuasa tetapi tiada apa-apa yang diperolehi melainkan lapar dan dahaga.

Ulamak telah membahagikan peringkat-peringkat puasa kepada tiga bahagian:
Pertama ialah puasa awam iaitu menahan diri dari melakukan perkara-perkara yang membatalkan puasa.
Kedua ialah puasa khusus iaitu menahan diri dari melakukan perkara membatalkan puasa dan menahan pandangan,lidah,telinga,tangan,kaki,kemaluan dan hati dari melakukan maksiat kepada Allah s.w.t.
Ketiga ialah puasa khusul khusus(khusus kepada yang khusus) iaitu menahan diri dari mengingati selain Allah s.w.t,tiada dalam dirinya terpaut dengan sesuatu melainkan hanya Allah sahaja di dalam hati sanubari mereka.

Melihat kepada pembahagian inilah ulamak mengatakan bahawa bulan Ramadhan merupakan bulan latihan kepada umat Islam kerana pada waktu siangnya berpuasa,pada waktu malamnya beribadah kepada Allah s.w.t melalui ibadah tarawikh dan ibadah sunat yang lain yang disunatkan Allah kepada umat Islam melaksanakannya dan ibadah sunat tarawikh ini tiada terdapat pada bulan-bulan yang lain .Umat Islam juga digalakkan melaksanakan segala macam ibadah sunat yang lain kerana pada bulan Ramadhan segala kebaikan digandakan oleh Allah s.w.t lebih dari gandaan pada bulan-bulan selain ramadhan.
Kita sebagai umat Islam sepatutnya melihat dan menilai sejauh mana tahap ibadah kita sebelum kita melangkah masuk ke dalam bulan Ramadhan yang mulia ini agar andai kata tahap ibadah kita masih di takuk lama,kita pertingkatkan dari masa ke masa agar bulan Ramadhan yang bakal menjelma tidak berlalu begitu sahaja tanpa kita mengambil segala macam kebaikan yang terkandung di dalamnya.Oleh sebab itu ulamak mengesyorkan kepada kita untuk melihat sejauh mana kejayaan kita mendidik diri di dalam bulan ramadhan lihatlah amalan kita selepas bulan ramadhan sama ada semakin bertambah atau berkurang,andaikata selepas berlalunya bulan Ramadhan ibadah kita semakin menurun,itu menunjukkan kita gagal mendidik diri sepanjang bulan ramadhan.

Ilmu Untuk Di Amalkan Bukan Untuk Tatapan

No comments:

Post a Comment