Saturday, August 20, 2011

Promosi Hebat!!! Jom Hebohkan!!!



Kita sering mendengar dan melihat promosi-promosi hebat yang ditawarkan oleh syarikat-syarikat atau premis-premis samada di internet, television, radio, surat khabar dan lain-lain. Lebih-lebih lagi ketika hampir menyambut sesuatu perayaan. Pelbagai diskaun, boucer serta hadiah ditawarkan untuk meraih kehadiran pengunjung ke premis-premis mereka. 

Maka, berduyun-duyun manusia mengunjungi premis tersebut untuk mendapatkan ganjaran yang dijanjikan sekalipun mereka tidak mendapat pulangan yang sewajarnya.
Namun, sedarkah kita tentang promosi hebat yang telah tersedia di bulan Ramadhan? Sedarkah kita ganjaran hebat disediakan kepada pengunjung premis ini? Sedarkah kita tentang rahmat serta keampunan Allah terdapat dalam bulan ini?

Sedar tidak sedar, kini kita sudah berada di penghujung bulan Ramadhan. Ada baiknya jika kita renung kembali; adakah kita pasti bahawa ibadah puasa yang telah kita laksanakan diterima oleh Allah? Apakah kita masih melakukan perkara-perkara yang boleh mencacatkan pahala puasa?Apakah puasa kita layak diberi ganjaran oleh Allah, atau sekadar lapar dan dahaga tanpa sebarang pahala?

Persoalan tersebut hanya boleh dinilai oleh diri kita sendiri sahaja. Hal ini demikian kerana ibadah puasa adalah rahsia antara seorang hamba dengan tuhannya.

Nabi Muhammad SAW telah bersabda :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ : عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya : “Sesiapa yang berpuasa dibulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan pengharapan (untuk mendapat ganjaran), diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.”(Hadith riwayat al-Bukhari, Kitab Solat al-Tarawih, Bab Fadh Laillat al-Qadr).
Antara hikmah puasa ialah untuk meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah sepertimana firmanNya :


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya : “Wahai orang-orang Yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa” (Al-Baqarah : 183).
Namun, apakah kita benar-benar bertambah ketakwaan kepada Allah setelah hampir sebulan berpuasa, atau bertambah kebencian kita terhadap agamaNya? Apakah kita masih bersemangat melaksanakan amal ibadah, atau jiwa kita semakin lalai dan malas mengerjakannya? Apakah pada sepuluh malam terakhir ini kita semakin banyak membaca al-Quran, banyak bersedekah, berictikaf, banyak berzikir dan istighfar, atau menghabiskan masa dengan lepak dipusat membeli-belah, membuat persiapan hari raya yang berlebihan, meninggalkan solat terawih,banyak berbual kosong serta kurang membaca al-Quran?

Adalah suatu perancangan yang bijak jika kita menggunakan segala peluang yang ada dibulan Ramadhan ini lebih-lebih lagi pada sepuluh malam terakhir ini untuk merebut peluang yang tidak terdapat pada bulan-bulan lain. Merebut peluang keberkatan dan ganjaran pahala pada malam yang lebih baik daripada seribu bulan.
 
Maksudnya : “Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Surah Al-Qadr : 1-5)
Alangkah baik sekiranya peluang keemasan tersebut digunakan semaksima mungkin. Kerana segala amalan yang dikerjakan pada malam tersebut akan diberi ganjaran berlipat kali ganda… Alangkah bijaknya bagi orang-orang yang merancang mengumpulkan ganjaran-ganjaran yang banyak untuk bertemu Allah di akhirat kelak… Alangkah bertuahnya orang yang meminta, meraih & merintih keampunan daripada Allah pada malam yang terpilih tersebut… Alangkah…

Rasulullah SAW sendiri telah melipatgandakan amalan baginda pada sepuluh malam terakhir dalam bulan Ramadhan, inikan lagi kita sebagai hamba yang banyak melakukan maksiat dan sedikit melaksanakan taat…
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا قَالَتْ : كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا دَخَلَ الْعَشْرُ شَدَّ مِئْزَرَهُ وَأَحْيَا لَيْلَهُ وَأَيْقَظَ أَهْلَهُ
Maksudnya : “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila masuk sepuluh hari terakhir pada bulan Ramadhan, Baginda akan akan mempertingkatkan amal ibadah, menghidupkan malam dan mengejutkan ahli keluarga baginda” (Hadith riwayat Al-Bukhari, Kitab Solat Tarawih, Bab al-cAmal Fi al-cAsyr al-Awakhir min Ramadhan)

Lailat al-Qadr merupakan satu anugerah Allah kepada umat Nabi Muhammad SAW yang tiada siapapun tahu bila berlakunya malam tersebut. Sungguhpun demikian, baginda menasihatkan umatnya supaya sentiasa memperbanyakkan amal ibadah khususnya pada malam-malam ganjil dalam bulan Ramadhan. Sabda Nabi SAW :
عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ تَحَرَّوْا لَيْلَةَ الْقَدْرِ فِي الْوِتْرِ مِنْ الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ مِنْ رَمَضَانَ
Maksudnya : “Carilah malam al-Qadr pada malam ganjil sepuluh terakhir Ramadhan” (Hadith riwayat Al-Bukhari, Kitab Solat Al-Tarawih, Bab Tahri Lailat al-Qadr Fi al-Witr Min al-cAshri al-Awakhir)
Langkah terbaik untuk tidak terlepas peluang keemasan tersebut, kita dikehendaki terus beristiqamah melakukan amal ibadat serta memperbanyakkan lagi pada sepuluh malam terakhir terutamanya pada malam-malam ganjil. Janganlah kita jadikan persiapan untuk menyambut hari raya sebagai alasan untuk tidak membuat persediaan menyambut malam al-Qadr.

Islam tidak melarang kita membuat persediaan bagi memeriahkan sambutan hari raya. Ini kerana hari raya ialah hari kemenangan bagi umat Islam yang telah berjaya menumpaskan hawa nafsu dan syaitan. Namun, janganlah kita mengabaikan nilai dan roh Ramadhan seolah-olah puasa yang telah kita kerjakan langsung tidak memberi kesan baik kepada kita.

Solat Tarawih yang kita kerjakan setiap malam pada bulan Ramadhan sepatutnya dapat membiasakan kita mengamalkan solat-solat sunat pada bulan-bulan lain. Kesabaran menahan lapar dan dahaga sepanjang siang Ramadhan sewajarnya menjadikan diri kita lebih sabar pada bulan-bulan berikutnya. Amalan bersedekah dan memberi makan kepada yang berpuasa pada bulan Ramadhan seharusnya diteruskan pada bulan-bulan yang akan datang. Inilah roh yang perlu diambil oleh orang yang berpuasa pada bulan Ramadhan.

Masih belum terlambat lagi untuk kita kembali memanfaatkan bulan yang mulia ini. Masih belum terlewat lagi untuk kita meminta keampunan kepada Allah atas dosa dan kesalahan kita. Masih belum tamat lagi masa untuk kita meningkatkan amal ibadat dan ketakwaan kita kepada Allah…

No comments:

Post a Comment