Sunday, October 16, 2011

Isu Pembuangan Bayi : APA KAITANNYA DENGAN TAHUN BARU ?

Iklim sosial negara kita kian hari kian teruk dan parah. Nilai maruah dan harga diri telah turun semurah sekeping kad prepaid. Apabila maruah dan harga diri boleh dilelong dan digadai semurah itu, apalagi nilai yang ada pada manusia seperti itu untuk dipertahankan. Mereka akhirnya menjadi hamba nafsu yang tidak lagi mengenal syurga dan neraka atau dosa dan pahala. Hidup mereka diabdikan kepada perut dan apa yang berada di bawah perut. Rosak nilai, hancur maruah dan binasa tamadun.


Isu pembuangan bayi sudah lama diperkatakan tidak kira di media massa mahupun media elektronik. Inilah realiti yang berlaku  pada masyarakat kita pada masa kini. Anak-anak remaja kini terutamanya remaja Melayu yang beragama Islam tidak lagi mengenal dosa atau pahala. Maksiat dan aktivit seksual yang bebas berlaku di mana-mana sahaja.


Masalah sosial di negara kita semakin membimbangkan. Sungguh menakutkan apabila statistik jenayah rogol, zina dan pembuangan bayi semakin berleluasa. Bermula dengan pergaulan bebas, pil ectasy, dadah, arak, pusat pelacuran, filem porno, laman lucah. Tindakan membuat sekatan ke atas majlis agama, sekolah agama rakyat (SAR), mengurangkan subjek Pengajian Islam di Pusat Pengajian Tinggi, mengambil tindakan ke atas khatib yang tidak bertauliah telah menyuburkan lagi perkara-perkara yang mungkar dan maksiat yang sedang berleluasa ini.


Menurut pemerhatian yang dibuat dapat kita perhatikan untuk tempoh beberapa tahun seperti menunjukkan satu trend bahawa bulan Julai, Ogos dan September adalah bulan yang yang cukup banyak berlaku kes pembuangan bayi yang dilaporkan dan ditemui.


Bulan Disember adalah bulan terakhir bagi setiap tahun menurut kalender Masihi. Sudah menjadi adat kebiasaan, negara kita akan menyambut kedatangan Tahun Baru detik 12 a.m pada 1 Januari dan sambutan itu akan disajikan dengan pesta-pesta, konsert hiburan dan tari-menari. Tentunya pula pesta-pesta tersebut akan diserikan lagi dengan minuman arak, pil ectasy, pil kuda dan pelbagai bahan khayal untuk membekalkan tenaga kepada melakukan maksiat semaksima yang mungkin.


Maka natijahnya, dalam bulan Julai atau Ogos atau September kemudian penuhlah di kaca-kaca televisyen dan di dada-dada akhbar dan majalah mengenai kes pembuangan bayi berlaku di merata tempat. Kebanyakannya yang ditemui mati dalam keadaan yang menyedihkan dan ada yang benasib baik ditemui dalam keadaan masih hidup. Tong sampah, tempat pembuangan sampah, lubang tandas, tempat awam seperti di masjid, dalam komuter, tandas awam, dan sebagainya menjadi tempat di mana bayi-bayi malang tersebut dijumpai.


Adakah kita sudah layak digelar masyarakat yang tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan sepertimana yang terjadi pada zaman Jahiliyyah sebelum kedatangan Islam? Kanak-kanak terutamanya bayi perempuan dibunuh dan ditanam hidup-hidup  untuk menutup malu dan hanya untuk mempertahankan maruah keluarga. Tetapi lihatlah apa yang telah terjadi pada zaman sekarang. Bayi-bayi yang baru lahir dilayan sebegitu tanpa rasa belas kasihan dan mereka dibuang merata-rata demi untuk menutup malu dan menjaga maruah orang yang melakukan.


Allah s.w.t. sudah pun menceritakan dua bentuk pembunuhan, yang disandingkan bersama dosa induk yang menjadi puncanya.
Dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takutkan kepapaan; Kamilah yang memberi rezeki kepada mereka dan kepada kamu. Sesungguhnya perbuatan membunuh mereka adalah satu kesalahan yang sangat besar                                                                                                            (surah al-Israa’ 17:31)

Dan janganlah kamu membunuh diri seseorang manusia yang diharamkan oleh Allah membunuhnya kecuali dengan alasan yang benar. Dan sesiapa yang dibunuh secara zalim, maka sesungguhnya Kami telah menjadikan ahli warisannya berkuasa menuntut balas. Dalam pada itu, janganlah dia melampau dalam menuntut balas bunuh itu, kerana sesungguhnya ia adalah mendapat sepenuh-penuh pertolongan (menurut hukum syara’)                                                                                                                                                                (surah al-Israa’ 17:33)

Kes pembuangan bayi semakin meningkat dari hari ke hari. Oleh itu, banyak pihak yang mengambil inisiatif untuk membendung masalah sosial ini misalnya kerajaan negeri Selangor yang sentiasa meletakkan komitmen paling tinggi dalam memerangi masalah gejala sosial terutama masalah pembuangan bayi memandangkan negeri Selangor dilaporkan mempunyai kes yang semakin meningkat saban tahun.


Terdapat banyak program yang dianjurkan melalui Jawatankuasa Pelaksana Program Generasi Idaman Selangor (GeMS)  yang  memberi fokus kepada sambutan hari perayaan yang sering menjadi tumpuan anak muda berhibur. Kempen anti zina berkala pula dilakukan pada malam Merdeka, malam Tahun Baru dan malam sambutan Valentine. Itu adalah ‘wake up call’ untuk masyarakat itu sendiri supaya mereka sedar zina ini adalah gejala yang merosakkan masyarakat.


Kerajaan juga turut berusaha untuk membasmi gejala ini. Kempen, pertujukan, denda seperti penjara 20 tahun kepada sesiapa yang didapati bersalah melakukan jenayah ini juga telah dijalankan, namun usaha ini belum menampakkan hasil malah ianya semakin menjadi-jadi sehingga tidak dapat dibendung lagi.

Yang lelaki, budak-budak muda pakai seluar ketat,
Semua nak tunjuk kuat,
Yang perempuan pakai mini sekerat,
Suka pakai baju ketat,
Silap gaya jadi gawat, bohsia bohjan lagi hebat,
Duduk jauh berkirim surat,
Bila berjumpa, tangan berjabat,
Kemudian pakat lawan peluk siapa erat,
Masa tu nafas naik sampai tersekat-sekat.
Akhirnya perut kempis dah jadi bulat,
Apabila perut kempis dah jadi bulat,
 Maka lahirlah pula anak-anak yang tak cukup sifat.
Bila anak-anak tak cukup sifat,
Masa  tu kita tengok banyak bayi dibuang di merata tempat.
(petikan dari ucapan Ustaz Akil Hayy Rawa).


*Dari Lajnah Kebajikan Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia(PMFPI UKM)


~ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI~

No comments:

Post a Comment