Sunday, April 4, 2010

CIRI-CIRI GLOBAL CHAMPION

1. PRODUK YANG ISTIMEWA

Produk Islam adalah ajarannya dan sistem kehidupannya yang tiada tolok bandingannya. Segala panduan daripada segala aspek kehidupan telah diajarkan dalam Islam. Oleh itu, umat islam adalah jaguh global yang telah diberikan panduan lengkap tentang sistem kehidupan sehari-hari. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk mematuhi segala panduan tersebut agar kita memastikan bahawa kita adalah The Global Champion.

2. BERFIKIR SEBAGAI PEMIMPIN, BUKAN PENGIKUT.

Hal ini memang ditekankan dalam al-Quran. Justeru Tuhan menyuruh umat Islam berdoa dengan sebuah doa : "Tuhan, jadikanlah kami imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa" . Imam (pemimpin) bagi orang-orang yang bertakwa di sini bermaksud pemimpin yang berkualiti tinggi.

3. PERKONGSIAN NILAI

Nilai bersama yang Islam tekankan adalah amanah. Imam Alusi berkata "Amanah adalah tanggungjawab yang berkaitan dengan hak-hak Allah dan hak-hak makhluk sama ada berbentuk perbuatan, perkataan mahupun kepercayaan."

4. MEMBERI FOKUS KEPADA INOVASI, KAJIAN DAN PEMBANGUNAN.

Nabi berkata : "Kamu lebih tahu tentang urusan duniamu". Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Muslim. Di samping itu, umat Islam disuruh mencontohi Zulkarnain kerana beliau tidak menguasai dunia secara semberono sebaliknya berdasarkan perancangan yang rapi. Apabila bercerita tentang Zulkarnain, kalimat yang diulang-ulang sebanyak tiga kali dalam Surah al-Kahfi adalah "faatba'a sababa" yang bermaksud Zulkarnain telah menggunakan pendekatan atau jalan yang pelbagai (untuk mencapai matlamat). ini menunjukkan Zulkarnain adalah individu yang inovatif.

5. MEMENTINGKAN KUALITI

Dalam surah al-Mulk ayat 2, Allah berfirman , "Dialah yang menjadikan kematian dan kehidupan supaya Dia menguji siapakah yang lebih ihsan (baik) amalannya". Bermaksud umat Islam mesti menyempurnakan segala kewajipan dengan penuh kualiti sama ada dalam aspek pekerjaan , pendidikan ataupun sebagainya.

6. TIDAK BERASA INFERIOR ATAU RENDAH DIRI

Allah berfirman dalam surah Ali Imran ayat 139 yang bermaksud " Janganlah kamu berasa lemah dan janganlah berdukacita kerana kamu adalah golongan yang tinggi jika kamu beriman". Melalui ayat ini, umat Islam tidak sepatutnya berasa rendah diri bahkan kita seharusnya berasa yakin dengan diri kita. Yakin untuk memimpin dan yakin untuk mendahului orang lain dalam segala hal yang baik termasuklah aktiviti menuntut ilmu, memberi kerjasama kepada pemimpin, mengajak kepada yang makruf dan mencegah sesuatu kemungkaran.

Dipetik dan diadaptasi daripada Cemerlang dengan menjadi Global Champion, Tip-tip Cemerlang daripada Quran. Dr. Danial Zainal Abidin.

No comments:

Post a Comment