Saturday, April 17, 2010

Kaedah Agama Islam Mendorong Manusia Membina Tamadun

Menuntut Ilmu

Antara kaedah agama Islam dalam mendorong manusia membina tamadun adalah dengan menyuruh manusia supaya menuntut ilmu pengetahuan. Islam meletakkan ilmu pengetahuan sebagai perkara utama dalam kehidupan. Ini terbukti melalui pengiktirafan Allah supaya manusia menuntut ilmu iaitu melalui wahyu pertama yang diturunkan Firman Allah :

”Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (sekalian makhluk).Dia menciptakan manusia dari sebuku darah beku. Bacalah dan Tuhanmu Yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.” (surah al-alak : 1-5 )

Islamlah sebenarnya yang merupakan pemangkin dan pemacu ke arah ledakan maklumat kepada masyarakat Arab yang suatu ketika dahulu merupakan masyarakat jahil, serba kemunduran dan kegelapan dalam segala aspek kehidupan. Islam telah melahirkan satu generasi yang terbaik dan menjadi contoh kepada umat-umat selepasnya dengan penguasaan ilmu yang menyeluruh. Penguasaan ilmu bukan hanya tertumpu kepada ilmu islam atau ukhrawi semata-mata malahan Islam juga menuntut umatnya agar memberikan perhatian kepada ilmu-ilmu duniawi yang membawa manfaat dan faedah ke pada manusia seperti ilmu sains, matematik , sejarah dan sebagainya. Dengan ilmu, masyarakat akan tahu membezakan mana yang baik dan buruk. Apabila kurangnya kadar buta huruf dan masyarakat tahu membaca dan menganalisis sesuatu yang dikhabarkan media dan selainnya, masyarakat akan dapat memilih atau menolak sesuatu yang difikirkan baik atau buruk kepada masyarakat. Masyarakat tidak akan mudah dipengaruhi oleh anasir-anasir luar yang tidak berasas yang cuba meruntuhkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Seterusnya masyarakat akan dapat memajukan taraf hidup masyarakat itu sendiri. Penguasaan terhadap ilmu ekonomi khususnya dapat menaikkan taraf ekonomi masyarakat. Kadar kebuluran dan kemiskinan menurun dan masyarakat hidup selesa. Penguasaan ilmu ketenteraan khususnya akan dapat meningkatkan dan meneguhkan pertahanan negara. Kesimpulannya ilmu adalah mekanisme terpenting untuk menjana pemantapan akhlak, kekuatan rohani ,kecelikan minda, kekuatan fizikal dan juga menghasilkan produk yang berkualiti kepada sesebuah peradaban.

Dipetik dan diadaptasi daripada Engku Ahmad Zaki Engku Alwi, 2006. Membina Peribadi Muslim.

No comments:

Post a Comment