Sunday, April 18, 2010

KAEDAH AGAMA ISLAM MENDORONG MANUSIA MEMBINA TAMADUN "BERSYUKUR"

Antara kaedah agama Islam dalam mendorong manusia membina tamadun adalah dengan memerintahkan supaya manusia mensyukuri nikmat Allah. Makna bersyukur bukan sahaja sekadar mengucapkan lafaz alhamdulillah. Sebenarnya, syukur itu perlu diterjemahkan dalam realiti hidup kita sama ada dengan perkataan, dan tindak-tanduk kita sehari-hari.

Firman Allah : ”Dan ingatlah ketika tuhan kamu memberitahu : Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur nescaya aku akan tambahkan lagi kepada kamu dan demi sesungguhnya jika kamu kufur ingkar sesungguhnya azabku amatlah pedih”. (Ibrahim : 7)


Al-Quran telah menceritakan bala yang telah menimpa kaum Saba pada masa dahulu. Kaum ini telah diberi nikmat dengan tanah pertanian yang subur. Namun mereka kufur malah jauh sekali untuk bersyukur kepada Allah. Akibatnya meraka ditimpakan banjir yang menyebabkan hasil pertanian musnah seterusnya digantikan dengan hasil pertanian yang sangat pahit. Ekonomi mereka pula jatuh merudum. Di sini kita dapat melihat kesan apabila manusia itu tidak bersyukur ke atas nikmat yang ada. Akhirnya kenikmatan yang diperolehi oleh sesuatu tamadun itu musnah dan lenyap. Maka, kesyukuran itu amat diperlukan bagi membina dan mengekalkan tamadun yang gemilang dan harmoni dari segala aspek kehidupan.

Amalan bersyukur perlu diterjemahkan dalam kehidupan masyarakat. Manusia dituntut untuk memuji dan berzikir kepada Allah s.w.t. Tambahan lagi, bersyukur perlu ditunjukkan dengan cara mempertingkatkan lagi amal ibadat kepada Allah. Segala nikmat yang diberikan oleh Allah mestilah digunakan untuk kebaikan diri dan masyarakat. Sebagai contoh, nikmat kekayaan yang kita nikmati perlulah dikongsi dengan cara kita mendermakannya kepada yang miskin dan fakir.

Apabila masyarakat saling berkongsi nikmat kekayaan yang dimiliki, maka kesusahan hidup yang dirasai oleh masyarakat lain akan berkurang dan nasib mereka akan terbela. Kesimpulannya, kesyukuran itu perlu dizahirkan dengan cara bantu - membantu sesama masyarakat bagi membina dan mengekalkan tamadun yang gemilang dan seimbang dalam segala aspek kehidupan.

No comments:

Post a Comment