Tuesday, September 27, 2011

NILAI SEBUAH KEIKHLASAN

“Ustaz-ustaz, apa itu ikhlas?” Tanya seorang murid kepada ustaz kesayangannya. Tergaru-garu ustaz dek persoalan yang ditimbulkan oleh salah seorang muridnya. “Ikhlas itu, kita melakukan sesuatu perkara hanya kerana Allah, bukan kerana manusia”. Jelas sang ustaz. Kelihatan murid-murid mengangguk-angguk kepala tanda setuju dengan penjelasan yang diberi.
“Ikhlas merupakan suatu sifat yang sukar dicapai oleh manusia, tidak diukur melalui banyaknya melakukan amalan, bukan sekadar lafaz dilaungkan atau sebesar perkataan “ikhlas” diberikan. Ikhlas ialah setiap perkara yang disusuli dengan hati yang suci dan bersih tanpa    dibuat-buat”.



Sejauh Mana Pentingnya Keikhlasan?


Banyak sekali nas yang menunjukkan kepentingan ikhlas dalam sesuatu amalan. Antaranya ialah:
“Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan Ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid..” (Al-Bayyinah : 5)




“Sesungguhnya setiap amalan itu dinilai berdasarkan niat” (Al-Bukhari, KItab Badaa al-Wahyu, Bab Kaifa Kana Bada al-Wahy)
“Allah tidak melihat rupa paras dan hartamu, tetapi Dia melihat hati dan amalan kamu” (Muslim, Kitab al-Bir wa al-Salah wa al-Adab)


Resipi Mudah Menyediakan Keikhlasan?

 Sediakan semangkuk penuh air pengharapan pahala atau syurga dari Allah.
 Cincang lumat serta singkirkan kotoran-kotoran yang boleh mendatangkan kemurkaan Allah
 Masukkan ramuan tersebut ke dalam mangkuk iman, gaul hingga sebati serta hiaskannya dengan buah keredhaan.
 Perhatian : Sila ulangi langkah di atas untuk menghasilkan hasil yang maksimum.


Kesan Daripada Sifat Ikhlas

Seorang yang ikhlas dapat dikesan melalui perkataan serta tindakan yang diambil. Antara ciri orang yang ikhlas ialah melakukan sesuatu perkara dengan tekun dan bersungguh-sungguh tanpa mempedulikan apa yang akan dikatakan oleh orang lain.
Orang yang ikhlas juga tidak mudah berputus asa dalam hidup walaupun menerima banyak ujian dan halangan. Mereka tidak pernah mengharapkan ganjaran daripada makhluk, sebaliknya sentiasa optimis dalam mengharapkan ganjaran daripada Allah.
Marilah sama-sama kita berusaha menjadikan ikhlas sebagai pakaian kita serta menjadikannya sebagai mutiara yang tidak ternilai harganya…

~Nukilan Ikhlas Daripada Lajnah Tarbiah Dan Kepimpinan PMFPI~

No comments:

Post a Comment