Friday, September 30, 2011

PERKONGSIAN ~NuR QaLBi 1 : TiMe MaNaGeMent



Dengan nama Allah, Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani..Alhamdulillah, segala puji dan pujian ditujukan kepada Allah s.w.t  di atas nikmat Iman dan Islam yang dianugerahkan kepada kita, sekalian hambanya. Selawat dan salam buat Rasul junjungan, Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga dan para sahabat r.anhum. Salam pertemuan buat sahabat-sahabat yang dikasihi Allah s.w.t.

Alhamdulillah, pada 29 September 2011 telah berlangsung Nur Qalbi musim pertama yang merupakan program berkala dari Lajnah Tarbiah dan Kepimpinan PMFPI. Nur Qalbi kali ini tampil dengan kupasan mengenai  isu pengurusan masa yang merupakan aspek penting dalam pembinaan keterampilan mahasiswa/I di perbukitan ilmu UKM ini.

Bagaimanakah kita berusaha membentuk sikap dan keperibadian kita? Inilah persoalan yang dilontarkan oleh penceramah jemputan, iaitu Ustaz Mohd Faisal Ash’ari. Menurut beliau, medan yang paling utama adalah diri sendiri. Sekiranya kita mampu menguruskan diri sendiri, nescaya kita akan mampu untuk mengurus selain itu. Mahasiswa/I Islam mestilah sentiasa berusaha untuk menjadi pengurus yang baik kepada diri sendiri. Peluang dan kesempatan menuntut ilmu di perbukitan ilmu UKM ini perlu digunakan semaksimum mungkin. Fikirkanlah matlamat anda, apa yang hendak dicapai bahkan apa yang telah pun dicapai.

Kupasan mengenai pengurusan masa (time management) diperincikan lagi dengan satu kata kunci penting iaitu KEUTAMAAN. Dalam hidup ini, kita sering kali berdepan dengan pelbagai PILIHAN. Justeru itu, kebijaksanaan dalam menentukan sesuatu keutamaan amatlah penting agar pilihan yang dibuat tepat dan sesuai mengikut situasi dan kondisi kita.  Pemilihan perkara utama/ prioriti perlulah dipertimbangkan berdasarkan keutamaan atau fiqh awlawiyyat. Fiqh awlawiyyat ini  meliputi tiga perkara iaitu dharuriyyat yang bersifat utama, hajiyyat (keperluan) serta tahsiniyyat (pelengkap). Ketiga-tiga perkara ini perlu diperhalusi dalam membuat sesuatu pilihan. Antara bahan bacaan yang boleh dirujuk ialah Fiqh Awlawiyyat karangan Dr. Majdi al Hilali serta karangan Dr.Yusuf al-Qardhawi.

Antara aspek lain dalam pengurusan masa yang perlu diberikan penekanan ialah pengurusan tidur iaitu tidur dan bangun pada masa yang sepatutnya. Dengan ini, insyaAllah permasalahan pengurusan masa yang lain akan mampu ditangani dengan baik. Kewajipan jauh lebih banyak dari waktu. Justeru itu, gunakanlah masa dengan sebaiknya agar mampu menjadi individu yang bertanggungjawab kepada diri, keluarga dan agama. Paling penting, meneruskan tanggungjawab dakwah Islam kepada ummah.

Penglibatan aktif di dalam aktiviti keilmuan (kuliah, majlis ilmu) serta kegiatan berpersatuan memberi pendedahan serta pengalaman kepada mahasiswa/I untuk berhadapan dengan cabaran serta masalah. Dengan ini, terhasillah hikmah yang mampu membentuk pengurusan diri yang baik dalam diri mahasiswa/i. Pengurusan diri meliputi pengurusan masa, kewangan mahupun gerak kerja berpersatuan merupakan satu nilai tambah yang bernilai bagi mahasiswa/ I demi mencapai kecemerlangan. Tuntasnya, kesemua ini menuntut pembudayaan ilmu yang terhasil dari penghayatan, amalan, pemerhatian serta pengalaman dalam kehidupan.

ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI~





No comments:

Post a Comment