Thursday, September 15, 2011

Alu-aluan YDP PMFPI



بسم الله الرحمن الرحيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته .....
الحمدلله رب العالمين, الصلاة والسلام على إمام المتقين والمجاهدين, رسولنا محمد صلى الله عليه وسلم, وعلى آله وأصحابه ومن تبعهم بإحسان إلى يوم الدين


Firman Allah s.w.t :
Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatnya) gementarlah hati mereka; dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan mereka jualah mereka berserah. Iaitu orang-orang Yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.
(Surah Al-Anfal: 2-4)


Pertama kalinya marilah kita sama-sama memanjatkan kesyukuran kita kepada Allah s.w.t di atas segala kurniaanNya termasuklah dua nikmatNya yang paling besar iaitu nikmat Iman dan Islam.
Sesungguhnya beriman kepada Allah s.w.t dan kesejahteraan i’tiqad adalah teras kepada segala-galanya, yang mana tanpanya segala amalan yang di laksanakan tiada nilai sedikit pun disisi Allah s.w.t walaupun ianya kelihatan besar, banyak dan mulia. Ini kerana segala amalan yang dibangunkan adalah di atas asas yang kosong, yang menghala kearah kesesatan. Berkata al-Syahid Imam Hasan al-Banna “sesungguhnya kewajipan seorang muslim itu ialah berusaha untuk berakhlak dengan semua cabang iman, yang menghimpunkan semua amalan, sama ada amalan hati mahupun amalan anggota”.


Berdasarkan firman Allah di atas, Allah s.w.t memerintahkan kita agar bertawakkal serta takut kepadanya, dan diperintahkan juga untuk mendirikan solat, mengeluarkan zakat serta berzikir. Akan tetapi kesemua perintah dan arahan itu mestilah didasari dengan asas keimanan yang kukuh.
Oleh itu, sebagai mahasiswa/i Fakulti Pengajian Islam, mestilah menjadi contoh yang terbaik kepada mahasiswa/i yang lain sama ada dari segi amalan, pembelajaran, pengurusan dan sebagainya, supaya kecantikan dan kehebatan Islam terserlah.


Akhir kalam, tahniah diucapkan kepada semua pimpinan PMFPI yang baru, serta tidak lupa juga kepada pimpinan kelab-kelab jabatan, semoga semuanya dapat melaksanakan amanah dan tanggungjawab yang diberikan dengan baik dan cemerlang.
Sekian, Wassalam



(WAN MUHAMMAD NAIF BIN MOHD NORDIN)
Yang Dipertua,
Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments:

Post a Comment