Tuesday, November 26, 2013

Fadilat Solat Berjemaah ~

Solat jemaah ialah solat beramai-ramai yang sekurang-kurang bilangannya selain daripada solat fardhu Jumaat ialah 2 orang.

Seorang menjadi imam dan seorang menjadi makmum. Semakin ramai bilangan jemaah maka semakin besar pula fadhilat pahalanya.
Solat jemaah adalah berlainan hukumnya menurut jenis solat yang dikerjakan, iaitu:
Solat berjemaah sangat dituntut dalam Islam. Solat berjemaah menzahirkan syiar Islam dan memupuk semangat perpaduan di kalangan muslimin. Kerana inilah ia perlu dihidupkan dalam kehidupan seharian kita, selaku insan bergelar muslim.

Berfirman Allah Taala :
إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللّهِ مَنْ آمَنَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلاَةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلاَّ اللّهَ فَعَسَى أُوْلَـئِكَ أَن يَكُونُواْ مِنَ الْمُهْتَدِينَسورة التوبة: الآية18.
“Hanya yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Hari kemudian, serta tetap mendirikan shalat, menunaikan zakat dan tidak takut (kepada siapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang-orang yang diharapkan termasuk golongan orang-orang yang mendapat petunjuk”. at-Taubah : 18

Tuntutan berjemaah pada solat fardhu:

Tuntutan berjemaah pada solat 5 waktu yang selain daripada solat fardhu Jumaat, pada pendapat yang masyhur dan paling sohih menurut Imam an-Nawawi adalah tuntutan fardhu kifayah yang diwajibkan bagi orang-orang lelaki yang berakal, baligh, bermukim, mempunyai pakaian menutup aurat dan tidak mempunyai apa-apa keuzuran syarie.

Jadi bererti apabila sesebuah kampung atau mukim mendirikan solat jemaah di tempat yang dikira menzahirkan syiar Islam seperti di masdjid atau surau, maka gugurlah dosa atas orang-orang kampung atau mukim yang tidak hadir bersolat jemaah. Tetapi sekiranya tidak didirikan solat jemaah maka semua penduduk kampung atau mukim itu berdosa.

Dalil tentang amat kuatnya tuntutan berjemaah itu ialah apa yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, bahawa, Rasulullah s.a.w pernah mengancam untuk membakar rumah orang yang meninggalkan solat berjemaah.

Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:
Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya, tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang dikumandangkan di masjid.

Kelebihan Solat Isyak Dan Subuh Berjemaah
عَنْ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ, سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ: مَنْ صَلَّى الْعِشَاءَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا قَامَ نِصْفَ اللَّيْلِ, وَمَنْ صَلَّى الصُّبْحَ فِي جَمَاعَةٍ فَكَأَنَّمَا صَلَّى اللَّيْلَ كُلَّهُ. رَوَاهُ مُسْلِمٌ.
Daripada Usman bin Affan r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesiapa yang sembahyang Isya' berjemaah, maka seolah-olah dia telah bangun separuh malam, dan sesiapa yang sembahyang subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersembahyang keseluruhan malam. Hadis riwayat Muslim.
Di antara kelebihan-kelebihan mengerjakan sembahyang fardhu dengan berjamaah ialah:

Pertama.
Sesiapa yang dapat bersama imam pada takbir pertama selama 40 hari dia terlepas daripada api neraka dan dari menjadi orang munafik

 Sabda Rasulullah s.a.w.:

مَنْ صَلَّى لِلَّهِ أَرْبَعِينَ يَوْمًا فِى جَمَاعَةٍ يُدْرِكُ التَّكْبِيرَةَ الأُولَى كُتِبَتْ لَهُ بَرَاءَتَانِ بَرَاءَةٌ مِنَ النَّارِ وَبَرَاءَةٌ مِنَ النِّفَاقِ. قَالَ أَبُو عِيسـَى وَقَدْ رُوِىَ هَذَا الْحَدِيثُ عَنْ أَنَسٍ مَوْقُوفًا وَلاَ أَعْلَمُ أَحَدًا رَفَعَهُ إِلاَّ مَا رَوَى سَلْمُ بْنُ قُتَيْبَةَ عَنْ طُعْمَةَ بْنِ عَمْرٍو عَنْ حَبِيبِ بْنِ أَبِى ثَابِتٍ عَنْ أَنَسٍ. (سنن الترمذى، الصلاة)

Bermaksud: Sesiapa yang sembahyang kerana Allah selama 40 hari dengan berjemaah dan mendapat takbir yang pertama. Ditulis bagi orang itu dua pelepasan, pelepasan daripada neraka, dan pelepasan daripada menjadi orang munafik.
Dalam hadis ini, Rasulullah s.a.w. menjelaskan bahawa orang yang dapat berjemaah bersama-sama imam dari takbir pertama hingga akhir sembahyang selama 40 hari dilakukan semata-mata kerana Allah dia terselamat daripada dua perkara iaitu terselamat daripada neraka dan terselamat daripada menjadi munafik. Dengan itu marilah kita berusaha untuk mendapatkan kelebihan ini.

Kedua.
Banyak  langkah menuju ke masjid untuk berjama`ah menghapuskan dosa dan meninggikan darjat.
Sabda Rasulullah s.a.w.:

أَلاَ أَدُلُّكُمْ عَلَى مَا يَمْحُو اللَّهُ بِهِ الْخَطَايَا وَيَرْفَعُ بِهِ الدَّرَجَاتِ. قَالُوا بَلَى يَا رَسُولَ اللَّهِ. قَالَ «إِسْبَاغُ الْوُضُوءِ عَلَى الْمَكَارِهِ وَكَثْرَةُ الْخُطَا إِلَى الْمَسَاجِدِ وَانْتِظَارُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الصَّلاَةِ فَذَلِكُمُ الرِّبَاط». (صحيح مسلم، الطهارة)

Bermaksud: Tidakkah aku tunjukkan kamu sesuatu yang Allah menghapuskan dosa dan mengangkat darjat? Para sahabat menjawab, “Ya, wahai Rasulullah”, sabda Baginda: “Banyak langkah ke masjid dan  menunggu satu sembahyang selepas satu sembahyang. Itu adalah ikatan”. 

Hadis ini menunjukkan kepada kelebihan banyak langkah ke masjid dan kelebihan menunggu satu sembahyang setelah menunaikan satu sembahyang, dan sekali gus menunjukkan kelebihan sembahyang berjemaah. Dalam nas yang lain Baginda menegah sahabat yang hendak berpindah ketempat yang berhampiran dengan masjid dengan meninggalkan tempat kediaman yang lama.

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ قَالَ خَلَتِ الْبِقَاعُ حَوْلَ الْمَسْجِدِ فَأَرَادَ بَنُو سَلِمَةَ أَنْ يَنْتَقِلُوا إِلَى قُرْبِ الْمَسْجِدِ فَبَلَغَ ذَلِكَ رَسُولَ اللَّهِ - صلى الله عليه وسلم - فَقَالَ لَهُمْ «إِنَّهُ بَلَغَنِى أَنَّكُمْ تُرِيدُونَ أَنْ تَنْتَقِلُوا قُرْبَ الْمَسْجِدِ». قَالُوا نَعَمْ يَا رَسُولَ اللَّهِ قَدْ أَرَدْنَا ذَلِكَ. فَقَالَ «يَا بَنِى سَلِمَةَ دِيَارَكُمْ تُكْتَبْ آثَارُكُمْ دِيَارَكُمْ تُكْتَبْ آثَارُكُمْ». (صحيح البخارى، المساجد)

Bermaksud: Daripada Jabir bin Abd Allah katanya: Kawasan di sekeliling masjid telah lapang, oleh itu Banu Salamah hendak berpindah ke kawasan yang berhampiran dengan masjid, maka perkara ini sampai kepada Rasulullah s.a.w. maka sabdanya: Bahawasanya sampai kepadaku berita bahawa kamu hendak berpindah ke kawasan yang hampir masjid. Mereka menjawab, “Ya, wahai Rasulullah, kami hendak demikian”. Jawab Baginda:“Wahai Bani Salamah! Rumah kamu, (jangan pindah) kesan-kesan tapak kaki kamu (ke masjid) ditulis, rumah kamu (jangan pindah), kesan-kesan tapak kaki kamu ke masjid ditulis”.

Hadis ini menunjukkan kelebihan pergi ke masjid untuk sembahyang berjemaah, di mana setiap langkah adalah mendapat pahala dari Allah s.w.t.

Ketiga.
Orang yang keluar dari rumahnya untuk menunaikan sembahyang berjamaah mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakan haji.
Sabda rasulullah s.a.w.

 مَنْ خَرَجَ مِنْ بَيْتِهِ مُتَطَهِّرًا إِلَى صَلاَةٍ مَكْتُوبَةٍ فَأَجْرُهُ كَأَجْرِ الْحَاجِّ الْمُحْرِمِ وَمَنْ خَرَجَ إِلَى تَسْبِيحِ الضُّحَى لاَ يُنْصِبُهُ إِلاَّ إِيَّاهُ فَأَجْرُهُ كَأَجْرِ الْمُعْتَمِرِ وَصَلاَةٌ عَلَى أَثَرِ صَلاَةٍ لاَ لَغْوَ بَيْنَهُمَا كِتَابٌ فِى عِلِّيِّينَ. (سنن أبى داود، الصلاة)

Bermaksud: Siapa yang keluar dari rumahnya dengan keadaan bersuci menuju kepada sembahyang fardhu maka pahalanya seperti pahala orang haji yang berihram dan sesiapa yang keluar hanya semata-mata untuk tasbih al-Duha maka pahalanya seperti pahala orang yang mengerjakan umrah. Satu sembahyang selepas satu sembahyang, tiada melakukan perkara sia-sia di antara kedua-duanya ditulis pada kalangan orang yang mempunyai kedudukan yang tinggi.

-Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam Sesi 2013/2014-

No comments:

Post a Comment