Friday, December 23, 2011

Pengisian Ceramah Motivasi Exam



Pada 22/12/11 telah berlangsung Majlis Solat Hajat & Ceramah Motivasi Sempena Exam di Masjid UKM anjuran Lajnah Akademik Persatuan Mahasiswa Fakulti Pengajian Islam (PMFPI) dengan kerjasama Pusat Islam UKM menampilkan penceramah jemputan, iaitu Dr. Abdul Rahman bin Mahmood (Pensyarah di Jabatan Usuluddin & Falsafah, FPI,UKM).  

Dengan tema “ Doa Dipanjatkan, Usaha Diteruskan” , majlis bermula dengan solat Maghrib berjemaah, bacaan yasin,  solat hajat seterusnya  ceramah motivasi oleh Dr. Abdul Rahman sebagai satu suntikan semangat bagi mahasiswa/ i yang akan menghadapi peperiksaan tidak lama lagi. Penceramah telah mengupas mengenai adab-adab dalam menuntut ilmu bagi mencapai kecemerlangan.

-->
Adab Menuntut Ilmu :
1.Niat. Niat adalah azam yang sungguh-sungguh. Niat juga merupakan titik mula bagi menentukan hala tuju seterusnya dalam menuntut ilmu. Justeru itu, kita perlu mengikhlaskan niat menuntut ilmu semata-mata kerana Allah s.w.t di samping juga berniat menuntut ilmu untuk  menghilangkan kejahilan diri dan  orang lain.

2.Penjagaan Ilmu. 
Ilmu adalah cahaya dan cahaya itu tidak menyinari hati yang kotor.Diceritakan para ulama’ ketika mana menghadapi kesukaran dalam ilmu, mereka akan menuju ke masjid untuk mendapatkan kekuatan dan ketenangan. Justeru itu, apabila kita ingin mencari ketenangan, carilah ia di dalam rumah Allah, masjid dengan bermunajat kepadaNya. Sesungguhnya pertolongan Allah itu melalui sabar dan solat sebagaimana firman Allah s.w.t di dalam surah al Baqarah :153:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ اسْتَعِينُواْ بِالصَّبْرِ وَالصَّلاَةِ إِنَّ اللّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) solat; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar.

3.Memelihara amalan fardhu dan sunat.
Penuntut ilmu mestilah memelihara amalan fardhu dan sunat. Dari sudut aplikasinya, ialah tidak meninggalkan kewajipan amalan fardhu, bahkan menambah amalan-amalan sunat dalam kehidupan seharian. Dengan melakukan ketaatan, keimanan kepada Allah semakin meningkatkan bahkan menjadi sumber kekuatan dan benteng dari melakukan kemaksiatan kepadaNya. Menghidupkan amalan memberi dan menyebarkan salam, memberi bantuan kepada orang yang memerlukan serta sentiasa mendoakan orang-orang di sekeliling kita juga merupakan pintu untuk memperoleh keberkatan.

4.Merendah diri dengan ilmu.
Ilmu tidak dapat dicapai melalui sifat sombong dan ego. Ilmu mampu diperoleh apabila wujudnya sifat merendah diri  pada penuntut ilmu iaitu  dengan menghormati guru serta mengamalkan adab-adab dalam menuntut ilmu. Bahkan seorang guru juga dituntut menghormati penuntut ilmu dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

5.Berakhlak mulia, baik tingkah laku.
Ilmu hanya mampu bertapak di dalam hati yang bersih. Justeru itu, penuntut ilmu mestilah berakhlak mulia serta baik tingkah lakunya hasil ilmu yang dipelajari. Akhlak penuntut ilmu seringkali mencerminkan guru yang mengajar, maka berdoalah dan carilah guru yang benar untuk hidup beradab dan bersopan. Ini kerana pelaksanaan itu teramat berbeza dengan hanya berteori, maka guru merupakan qudwah yang boleh dicontohi dari sudut realiti dan praktikal. 
  
6.Pengurusan masa untuk belajar.
Penuntut ilmu mestilah meluangkan masa untuk belajar. Pengurusan masa yang baik amat penting bahkan jangan disia-siakan masa walaupun sedikit. Sekiranya merasa malas, ambillah inspirasi dari kegigihan para ulama’ dalam menuntut ilmu. Bacalah dan  dengarlah kisah mereka, maka ambillah pengajaran darinya. Sesungguhnya kegigihan yang disertai taufik dari Allah mampu menghasilkan kefahaman yang luarbiasa.

7.Memilih sahabat yang baik. 
Ini kerana pemilihan sahabat juga berperanan dalam menghidupkan keilmuan dalam diri kita.

Akhir kalam, buat semua penuntut ilmu, ayuh kita amalkan adab-adab mulia dalam menuntut ilmu agar ilmu  yang diperoleh diberkati Allah.  Ilmu itu cahaya, dan cahaya itu perlu kita pelihara agar sinarannya tidak padam. Berazamlah untuk berjaya dan buktikanlah ia dengan kegigihan dan kesungguhan. Semoga kita menjadi ahli ilmu yang benar serta mengabdikan diri kepada Allah..InsyaAllah.

ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI

No comments:

Post a Comment