Tuesday, December 13, 2011

Ulasan CITRA SISWI : Puteri Bulan Bersiram

-->
Citra Siswi kali ini tampil dengan tajuk yang sangat menarik iaitu ‘’Puteri Bulan Bersiram”  disampaikan oleh Ustazah Qurrotul Aien Binti Fatah Yassin, didatangkan khas dari UIA Gombak. “ Puteri Bulan Bersiram” berkaitan dengan kehidupan muslimat yang dikurniakan Allah dengan kedatangan haid setiap bulan. Ia topik yang sangat wajar dikupas kerana manfaatnya dalam kehidupan muslimat.
❀ ܓDefinisi..

Haid adalah sesuatu yang terjadi kepada setiap wanita pada umumnya menandakan seseorang wanita itu normal dan sihat, namun tidak dinafikan terdapat  juga sesetengah wanita yang mengalami haid sekali sahaja dalam hidupnya dan ada juga yang tidak langsung mengalami haid dalam hidup. Hal ini sebagaimana yang telah kita ketahui melalui kisah Maryam al-Muqadasah, ibu kepada Nabi Isa a.s  tidak pernah datang haid dalam hidupnya. Kitab Fiqh al-Manhaji (Mazhab Syafi’I) sebagai panduan dalam mengupas dan membincangkan tajuk ini.  Pengertian haid menurut mazhab Syafi’e ialah as-sailan iaitu bermaksud sesuatu yang mengalir yang merujuk kepada darah haid yang keluar dari rahim setiap wanita. Haid juga adalah darah yang semulajadi  menunjukkan seseorang wanita itu sihat dan normal. Ia menandakan mereka telah baligh. Manakala haid menurut pengertian syara’ ialah darah yang keluar dari rahim wanita secara semulajadi, bukan kerana suatu sebab, pada waktu tertentu.


❀ ܓ Bila..
Haid ini berlaku dalam masa yang tertentu dan berbeza antara setiap wanita mengikut keadaan. Haid ialah tanda seseorang wanita itu baligh iaitu yang paling awal terjadi ialah seawal umur 9 tahun sehingga 15 tahun. Melalui ceramah yang disampaikan, kita dapat mengetahui bahawa ada juga sesetengah wanita yang bermimpi sehingga  keluar air mani dan ini juga dikatakan sebagai tanda seseorang itu baligh. Justeru itu, walaupun  seseorang wanita tidak datang haid dan tidak bermimpi setelah mencapai umur 15 tahun, dia dianggap telah baligh. Umur 15 tahun yang dimaksudkan ini ialah dikira berdasarkan bulan qamariah kerana kitaran haid berlaku berdasarkan bulan qamariah dan menurut penceramah mengikut bulan qamariah umur kita akan lebih tua setahun daripada umur kita sekarang.


❀ ܓ Tempoh Haid..
Tempoh haid yang paling singkat ialah selama 24 jam (sehari semalam) dan yang paling lama ialah selama 15 hari dan sekiranya seseorang wanita itu mengalami pendarahan lagi selepas tempoh 15 hari, darah yang keluar itu dikenali sebagai darah istihadhah. Manakala sekiranya darah yang keluar dan mengalir tidak sampai 24 jam ia tidak dikategorikan sebagai darah haid. Mengikut Mazhab Syafi’e darah yang keluar selepas tempoh hari ke 15, ia dikira sebagai darah istihadhah iaitu darah penyakit dan ketika ini kita wajib melaksanakan solat.


❀ ܓHikmah..
Hikmah di sebalik haid yang telah ditentukan Allah merupakan masa cuti yang Allah S.W.T berikan kepada wanita kerana tugas dan tanggungjawab wanita yang sangat banyak berbanding kudrat dan tenaganya. Kedatangan haid yang Allah tetapkan kepada wanita adalah sebagai waktu rehat kepada wanita daripada melakukan perkara-perkara tertentu iaitu perkara-perkara yang haram dilakukan semasa haid seperti solat, puasa dan sebagainya. Namun menurut penceramah, apabila kita meninggalkan solat ketika haid hendaklah memasang niat di dalam hati kita bahawa kita meninggalkan solat pada waktu tersebut ialah kerana mentaati Allah, dan dengan niat kita ini dikatakan kita akan memperolehi pahala sebagaimana kita solat walaupun kita tidak solat. Tetapi dengan syarat orang yang berniat ini hendaklah orang yang tidak pernah meninggalkan solat semasa sucinya dari haid.


❀ ܓKewajipan..
Haid suatu perkara yang mewajibkan seseorang wanita mandi untuk bersuci daripadanya apabila suci kerana dalam tempoh haid ini sesorang wanita itu dalam keadaan kotor. Hal ini sebagaiman yang telah dijelaskan oleh Allah S.W.T di dalam al-Quran yang bermaksud:
“Maksudnya : Mereka bertanya kepadamu tentang haid. Katakanlah : “Haid itu adalah suatu kotoran”. Oleh sebab itu, hendaklah kamu menjauhkan diri dari wanita di waktu haid, dan janganlah kamu mendekatkan mereka, sebelum mereka suci …”.
Dalam ayat ini, yang dijadikan Allah sebagai batas akhir larangan adalah kesucian, bukan  berlalunya sehari semalam, ataupun tiga hari, ataupun lima belas hari. Hal ini menunjukkan bahwa illat hukumnya adalah haid, yakni ada atau tidaknya. Jadi, jika ada haid berlakulah hukum itu dan jika telah suci tidak berlaku lagi hukum-hukum haid tersebut.


❀ ܓWarna..
Terdapat lima warna darah haid iaitu pada awal datang haid, darah yang keluar adalah berwarna hitam dan bersamanya ketulan dinding uterus, kemudiannya warna merah, coklat, kuning dan seterusnya putih iaitu yang telah hampir untuk bersuci daripada haid. Untuk memastikan kita telah suci daripada haid ini, kita hendaklah memeriksanya dengan  menggunakan kapas. Setelah diyakini telah suci daripada haid, hendaklah mempercepatkan mandi wajib. Manakala sekiranya dalam bulan ramadhan seseorang yang hendak bersuci dan dia telah berniat puasa tetapi tidak sempat mandi sebelum subuh, maka dalam keadaan ini dia dibolehkan berpuasa dan dia hendaklah mandi wajib sebelum matahari terbit. 


Cecair selain haid yang keluar bukan ketika dalam keadaan haid ialah  mazi, wadi dan mani. Mazi ialah sejenis cecair (najis) yang keluar dalam dua keadaan iaitu pertama semasa seseorang bernafsu dan ketika seseorang itu dalam keadaan terlalu letih dan apabila keluar mazi, seseorang itu wajib mencucinya serta memperbaharui wudu’. Sementara wadi dikenali juga sebagai keputihan, manakala mani ialah cecair yang keluar apabila bermimpi dengan mimpi-mimpi  tertentu yang menyebabkan keluarnya mani. Mani bukan najis, tetapi wajib mandi untuk mensucikannya. Selain itu, terdapat juga sejenis cecair putih yang jernih keluar menandakan seseorang dalam keadaan subur apabila mengalaminya.
        

❀ ܓPerkara-perkara yang diharamkan semasa haid..
 Sama keadaannya dengan perkara yang tidak boleh dilakukan semasa tiada wudu’ iaitu tidak boleh mengerjakan solat, namun apa perkara yang lebih khusus diharamkan ketika dalam haid ialah tidak boleh membaca dan memegang kitab al-Quran, tidak boleh berpuasa, tidak boleh masuk ke dalam masjid, bersetubuh dan sebagainya. Semasa dalam keadaan haid seseorang wanita tidak boleh membaca ayat-ayat al-Quran kecuali dibolehkan membaca ayat-ayat al-Quran yang selalu diamalkan dalam hidupnya sebagai doa dan golongan yang dibolehkan membaca al-Quran semasa haid ialah hafizah yang sentiasa menghafal al-Quran. Masuk ke dalam masjid tanpa tujuan  juga merupakan larangan kepada orang yang berhaid.



❀ ܓAkhir kalam, memahami fiqh wanita seperti haid sangat penting dan bermanfaat kepada golongan muslimat. Penjagaan penyucian (taharah) hendaklah diberi penekanan oleh golongan muslimat kerana  penyucian (taharah) penting sebelum kita melakukan ibadat dan kebanyakan orang menerima azab kubur kerana tidak menitikberatkan perkara ini. 
Allahu a'lam..
 
~ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI


         
           

No comments:

Post a Comment