Sunday, December 4, 2011

Ulasan CITRA SISWI ~Wanita : Anak, Isteri, Ibu DAN Bos..?

-->
          
 

Dewasa ini, kebanyakan wanita  bekerjaya serta pada masa yang sama memikul tanggungjawab sebagai anak, isteri dan ibu. Justeru itu, tugas dan tanggungjawab wanita pada hari ini semakin mencabar  dalam memenuhi tuntutan tanggungjawab yang tergalas di bahu mereka.

ܓBagaimanakah kesemua tuntutan ini mampu dilaksanakan oleh golongan wanita?
Bertitik tolak dari persoalan ini, pengurusan masa yang baik dan teratur mampu membantu  wanita mengimbangkan tugas dan tanggungjawab mereka.Sesungguhnya masa itu merupakan anugerah iaitu nikmat yang berharga dikurniakan Allah S.W.T kepada seluruh manusia untuk beribadat kepadaNya (ubudiyyah). Masa perlu digunakan sebaiknya untuk mengimbangkan antara pelbagai tuntutan dan peranan serta mengamalkan dan gaya hidup yang produktif  dan diberkati Allah S.W.T dengan menggunakan masa yang sama dengan orang lain tetapi menghasilkan kesudahan yang terbaik dari segi kualiti dan kuantitinya dan mendapat keberkatan daripada Allah S.W.T.

Oleh itu kesempatan dan masa kehidupan di dunia ini hendaklah digunakan sebaik mungkin sebagai hamba dengan mentaati segala perintah dan meninggalkan apa yang dilarang oleh Allah S.W.T untuk memperolehi kejayaan untuk meneruskan kehidupan di akhirat yang kekal abadi. Antara dalil dalam al-Quran yang menjelaskan tentang kepentingan masa dalam kehidupan kita sebagai hamba Allah ialah dapat kita lihat melalui firman Allah S.W.T dalam surah al-‘Asr yang bermaksud :
1. Demi Masa! 2. Sesungguhnya manusia itu Dalam kerugian -3. kecuali orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.

            Melalui ayat diatas dapat kita fahami bahawa kunci kejayaan adalah terletak pada cara mengisi dan menguruskan masa. Antara tindakan bijak dalam menguruskan masa ialah dengan mengutamakan yang lebih utama dalam kehidupan. Wanita hendaklah  bijak meluangkan masa dengan keluarga iaitu dengan suami dan anak-anak walaupun mereka ini sibuk dengan kerjaya masing-masing demi kebahagiaan keluarga.Contohnya, sekali sekala meluangkan masa bersama keluarga dengan aktiviti yang dapat mengeratkan lagi hubungan dan kasih sayang seperti melancong, beriadah dan berkelah. Sekiranya seseorang wanita dapat membahagikan masa mereka untuk semua ini sebaik mungkin, mereka mampu membahagiakan semua pihak, seperti mana kata-kata hikmat yang pernah kita dengar iaitu “ orang yang bahagia ialah orang yang membahagiakan orang lain”. 

            Faktor penting dalam menentukan pola penyusunan masa ialah mengetahui kepentingan waktu dalam kehidupan kita. Setiap detik dan masa yang berlalu ada perhitungannya di hadapan Allah S.W.T. dan pada masa yang sama kita juga hendaklah memahami konsep hidup yang hakiki mengikut ajaran islam serta memahami hakikat ibadat kepada Allah yang merupakan tanggungjawab kita sebagai hamba Allah. Penyusunan waktu yang sistematik dalam kehidupan amat penting  agar segala apa yang kita lakukan mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah S.W.T.. Rasulullah S.A.W telah bersabda dalanm hadis baginda berkaitan dengan kepentingan masa ini iaitu: Daripada Ibnu Abbas r.a, Rasulullah S.A.W. bersabda: Dua nikmat yang kebanyakan manusia selalu abaikan (rugi): iaitu nikmat sihat dan waktu lapang.

            Beberapa persediaan perlu ada pada  seseorang wanita yang bergelar sebagai anak, isteri, bos dan ibu mereka dalam aspek pengurusan masa ini ialah :
ܓKeseimbangan antara kegiatan mendidik dan mengisi rohani, hati, akal, emosi dan jasmani
ܓSentiasa menyedari hakikat hidup kita sebagai hamba Allah dan dunia ini hanyalah sementara sahaja
ܓMengoptimumkan waktu yang ada dengan perkara-perkara yang berfaedah kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
ܓSentiasa menepati janji
ܓMenjaga hubungan dengan Allah dan sentiasa disuburkan menerusi keimanan, ketaqwaan dan ketaatan kepada-Nya. 
            Pengurusan masa yang baik membantu wanita memenuhi tuntutan dan tanggungjawab kehidupan mereka. Sebagai individu muslim, wanita perlu  bijak memperuntukkan masa untuk melaksanakan tanggungjawab kepada Allah iaitu melaksanakan perintah-Nya seperti solat, puasa, zakat, berdoa dan sebagainya. Manakala dalam kerjaya pula, wanita perlu melaksanakan tugasan kerja yang dipertanggungjawabkan sebaik serta sebagai ibu dan isteri, wanita perlu, memperuntukkan masa bersama keluarga seperti makan bersama, sembahyang berjemaah dan menjadi pendengar yang baik kepada keluarga iaitu kepada suami dan anak-anak. 

            Akhir kalam, apa yang dapat disimpulkan dari perkongsian  Ustazah Nur Atiqah Abdullah (pensyarah di Fakulti Ekonomi dan Pengurusan) dalam Citra Siswi kali ini ialah, pengurusan masa yang baik sangat penting bagi memenuhi setiap tuntutan dan tanggungjawab wanita sebagai anak, isteri, ibu dan juga bos. Moga-moga, apa yang dilakukan mendapat keberkatan serta rahmat daripada Allah S.W.T. Amiin ya Rabbal 'Alamiin.

~ISLAM MENERAJUI KEPIMPINAN MADANI~



No comments:

Post a Comment